Roslan Shahir
Mon | Sep 17, 07 | 2:57:51 pm MYT
Sejak tewas dalam Pilihan raya Umum 2004 yang lalu bukan hanya PAS di Terengganu malah di seluruh negara berusaha merawat kecederaan masing-masing untuk bangkit menghadapi Umno/BN dalam Pilihan raya Umum ke-12 nanti dalam kedaan yang lebih bersedia dan teratur.
Di Terengganu sendiri khususnya, jentera PAS bergerak semakin tersusun sejak kebelakangan ini walaupun pada awalnya agak lembap sejurus tewas teruk ditangan Umno pada Pilihan raya Umum 2004 lalu.
Ceramah-ceramah umum dan aktiviti parti semakin dibanjiri dan Ijtimak Pilihan raya PAS Negeri baru-baru ini merupakan isyarat awal kemuncak kebangkitan semula PAS di Terengganu.
Kebangkitan PAS secara fizikal ini dibantu pula dengan bebeapa kelemahan ketara kerajaan negeri pimpinan Idris Jusoh yang baru berusia 3 tahun lebih itu. Baru-baru ini Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Integriti Parlimen yang dipengerusikan oleh ahli parlimen Gerik (BN) Dato Dr Wan Hashim Wan Teh telah mendedahkan akan menyiasat dakwaan bahwa penganjuran Monsoon Cup di Terengganu tidak memberikan pulangan kepada rakyat.
Kemudian terbit pula Laporan Ketua Odit Negara yang terbaru yang turut mendedahkan kelemahan pengurusan kewangan kerjaan negeri Terengganu pimpinan Umno itu.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sendiri mengakui bahawa kecenderungan orang-ramai untuk kembali kepada PAS di Terengganu semakin ketara lantaran beberapa perkembangan ini disamping pengalam beliau sendiri apabila turun ke akar-umbi.
Segala perkembangan ini sudah pastilah mencemaskan Umno Terengganu yang belum pun puas memanaskan kerusi kuasa diperingkat negeri yang baru mereka perolehi itu. PAS negeri pula terbit dengan beberapa pengumuman taktikal termasuklah pengisytiharan Pesuruhjaya PAS Negeri bahawa PAS akan mengemukakan sekurang-kurangnya 40 peratus wajah-wajah baru sebagai calonnya diperingkat negeri dalam Pilihan raya Umum ke-12 nanti.
Lalu Umno seakan tidak memiliki senjata untuk berhadapan dengan PAS dalam keadaan pengaruh mereka semakin tercabar ini. Umno perlu menangkis dan mematikan serangan dan ofensif PAS, namun serangan PAS seumpama anai-anai, memamah Umno dari dalam dan memerangkap mereka dalam keadaan tidak bersedia.
Dalam pada itu rakyat jelata di negeri ini mula membuat perbandingan antara kerajaan PAS yang lalu dan kerajaan Idris Jusoh kini. Rakyat kini baru terasa bahawa apa yang dikatakan janji kemakmuran negeri ini sebenarnya cuma dinikamti oleh segelintir kecil khasnya mereka yang kuat pautannya pada pimpinan tertinggi Umno dari Wisma Darul Iman sehinggalah ke Putrajaya.
Lalu apakah opsyen yang ada bagi Umno Terengganu untuk “membunuh” pengaruh PAS itu?. Jika PAS ada potensi untuk kembali berkuasa potensi itu perlu diracuni segera agar ia terkulai dan mati tanpa sempat merebak.
Umno Terengganu kini tiada mampu mengulangi kesilapannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Wan Mokhtar pada tahun 1999 lalu sehingga akhirnya jatuh kecundang teruk.
Berkemungkinan ulangtahun Persitiwa Hitam 11 September iaitu pemusnahan bangunan WTC di New York dan cubaan meranapkan Pentagon pada tarikh yang sama, ditangan pengganas, memberi ilham kepada Umno Terengganu.
Islam ganas dan terrorist sebagaimana berjaya diwarnakan oleh Amerika Syarikat melalui tangan Bush hasil dari Persitiwa Hitam itu sangat efektif. Malah sehingga hari ini Islam dan mereka yang menggerakkannya terus dimomok dan dijauhi.
Lalu ceramah anjuran BERSIH pada 8 September lalu di Batu Burok merupakan peluang terbaik buat Umno negeri untuk melepaskan senjata terbesarnya! PAS perlu diwarnai dengan warna ganas, nanti rakyat akan lari darinya, sebagaimana dunia lari dari Islam pasca 11 September, Terengganu pasti nanti kekal ditangan Umno, jika PAS berjaya dilabel ganas!
Dan berlakulah apa yang telah berlaku pada 8 September lalu sebagaimana kita semua telah ketahui.
Berjayakah Umno dengan agenda jahatnya itu, atau apakah PAS telah dan sedang berjaya memutarkan kembali kerja-kerja jahat Umno negeri itu untuk membunuh pula mereka? Seluruh ahli dan pimpinan PAS ternyata perlu meniti dengan penuh berhati-hati ledakkan peluru Umno ini.
Kita mahu muncul sebagai penyelamat kepada rakyat negeri dari kerakusan dan tamak-haloba Umno negeri, tetapi dalam waktu yang sama kita perlu menangkis diri dari sebarang kejahatan yang cuba Umno palitkan pada kita.
Justeru kita dituntut berhati-hati jangan lalai dan leka sehingga terjerumus jatuh ke dalam perangkap jahat Umno itu. Dalam waktu yang sama kerja-kerja penerangan perlu dilakukan secara menyeluruh dengan matlamat rakyat menerima dan akur dengan versi kita dan menolak versi Umno terhadap tragedi ini.
Kerja-kerja engagement dengan masyarakat ramai perlu diteruskan. Momokkan pengganas dan terrorist itu akan berjaya kiranya rakyat melihat kita demikian, sedangkan kita tidak. Oleh itu jangan sekali-kali kita membuka ruang sehingga kita dilihat rakyat seolah memakai topeng hodoh yang disediakan Umno itu.
* Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS
No comments:
Post a Comment