PUTRAJAYA 8 Okt. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua ahli parti supaya menjadikan agenda menghadapi pilihan raya umum sebagai keutamaan berbanding kempen meraih sokongan untuk pemilihan parti.
Tegas beliau, Majlis Tertinggi (MT) parti juga sudah mengeluarkan arahan supaya tumpuan diberikan kepada pilihan raya dan bukannya berkaitan perebutan jawatan dalam parti.
“Sekarang ini kita tengah hangat berbincang tentang persiapan pilihan raya umum dan MT juga sudah keluarkan arahan, apa juga perkara atau topik sekarang ini berkisar pada pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan terbuka UMNO Bahagian Cheras kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dipetik sebagai berkata, Azalina merupakan calon yang layak untuk menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap UMNO itu.
Menurutnya, Azalina seorang yang berpendirian dan berani dalam berpolitik dan perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut.
Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun berkata, pemimpin dan ahli-ahli parti berhak memberikan pandangan serta pendapat masing-masing dan ia tidak boleh disekat.
Dengan itu, katanya, pandangan Syed Ali itu tidak boleh dijadikan sebagai satu pertelingkahan kepada soal yang lebih utama iaitu persiapan dan strategi menghadapi pilihan raya.
“Saya fikir pada peringkat ini (persiapan pilihan raya) seharusnya menjadi keutamaan terutamanya kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan ramai Melayu tidak mendaftar sebagai pengundi.
“Itu lebih penting daripada nak tanding jawatan, saya tak katakan idea itu tak baik dan sebagainya, tapi yang penting ialah hala dan perhatian utama pada soal hadapi pilihan raya,” jelasnya.
Beliau menambah, pemilihan parti hanya akan berlangsung selepas pilihan raya umum dan oleh sebab itu, MT memutuskan pemilihan dilakukan pada tahun depan.
Menurut Muhyiddin, selepas melaksanakan tanggungjawab memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kelak, semua pihak tidak akan dihalang daripada membicarakan soal pemilihan dalam parti.
“Sekarang ini kena selesaikan pilihan raya dulu, pastikan memang dengan cemerlang lepas itu nak suarakan siapa nak bertanding, rebut jawatan itu ke, tidak ada halangan, tetapi pandangan Syed Ali itu kita hormati,” katanya.
No comments:
Post a Comment