Tuesday, October 09, 2007

'Beri tumpuan strategi pilihan raya'



MAKLUMAT TERKINI: Muhyiddin melancar web Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran Biro Pertanian Umno, di Wisma Tani, Putrajaya, semalam.

Ahli Umno diminta ketepi soal jawatan dalam parti

PUTRAJAYA: Kepemimpinan Umno bahagian dan negeri diingatkan supaya memberi tumpuan kepada persiapan dan strategi menghadapi pilihan raya umum, bukan pencalonan untuk pemilihan parti akan datang.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras arahan Majlis Tertinggi dan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua ahli memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya umum.

"Soal jawatan dalam parti harus diketepikan...yang lebih utama iaitu pilihan raya adalah lebih penting kepada Umno," katanya pada selepas melancarkan laman web Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran Biro Pertanian Umno, di Wisma Tani, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan Umno bahagian Cheras menyatakan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al-Hasshee, berkata Azalina adalah calon paling layak menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap Umno itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau tetap menghormati pandangan Senator Datuk Syed Ali, selaku ketua Umno Cheras yang mencadangkan pencalonan Azalina .

Sehubungan itu, Muhyiddin, meminta ahli dan barisan kepemimpinan Umno menjadikan persiapan menghadapi pilihan raya umum sebagai hala tuju dan agenda utama perjuangan kerana pemilihan parti hanya diadakan selepas pilihan raya umum dan tidak memerlukan tumpuan utama pada masa ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Biro Pertanian Umno berharap penganjuran konvensyen dua hari mulai 27 Oktober akan membuka minda ahli parti mengenai sektor pertanian sebagai sumber ekonomi dan pembasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu pada masa depan.

Katanya, konvensyen yang dijangka dihadiri 1,200 peserta anggota parti, ahli korporat serta akademik itu akan disempurnakan Perdana Menteri di Hotel Allson Klana, Negeri Sembilan pada 27 Oktober, manakala penutupnya oleh Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak sehari kemudian.

No comments: