Oleh Amirullah Andi Nur
Pemimpin parti komponen BN sokong kenyataan Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyokong kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa cadangan satu parti tidak praktikal serta boleh melemahkan pakatan yang menerajui negara sejak merdeka.
Mereka juga berpendapat kenyataan Abdullah yang juga Pengerusi BN bermakna isu itu tidak perlu dibangkitkan manakala semua pihak perlu menumpukan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan parti supaya relevan sepanjang masa.
Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang mencadangkan perkara itu pada persidangan tahunan pergerakan Sabtu lalu, berkata pihaknya menghormati pandangan Perdana Menteri.
Beliau berkata, pergerakan itu memahami bahawa cadangan berkenaan jika hendak dilaksanakan, akan membabitkan persetujuan semua pihak serta mengambil masa.
"Pemuda Gerakan mengucapkan terima kasih kepada semua pandangan dan kita akan membincangkan perkara ini secara mendalam pada mesyuarat ahli jawatankuasa.
Pada satu majlis di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin, Perdana Menteri berkata, cadangan satu parti tidak praktikal kerana boleh melemahkan BN yang menerajui tampuk pemerintahan sejak sekian lama.
Abdullah berkata, tiada sebarang keperluan mewujudkan gabungan seumpama itu pada masa ini memandangkan permuafakatan parti komponen dalam BN sekarang adalah baik dan ia perlu diteruskan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata cadangan berkenaan tidak wajar dibangkitkan lagi berikutan kejayaan Malaysia selepas 50 tahun adalah hasil kesatuan erat antara parti komponen BN yang mewakili semua kaum.
�Kekuatan dan kerjasama mantap di kalangan parti komponen BN ini perlu dikekalkan sepanjang masa. Jika kita hendak mencuba sesuatu yang baru kita perlu melihat ke depan, bukannya ke belakang,� katanya.
Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat, berkata sekarang bukan masanya untuk parti komponen BN bergabung kerana pasti akan menimbulkan banyak kesulitan.
�Bayangkan jika ia membabitkan 14 parti komponen yang mempunyai struktur organisasi berbeza. Pada saya, apa yang penting kita mempertingkatkan permuafakatan di kalangan parti komponen.
�Hubungan mantap ini bukan saja pada peringkat atasan, tetapi semua peringkat terutama akar umbi,� katanya.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana boleh menyisihkan parti kecil serta kumpulan minoriti berikutan nisbah penduduk mengikut kaum memerlukan suara tersendiri bagi mengetengahkan sesuatu masalah.
�Jika bergabung parti tertentu hanya umpama sebutir kacang dalam sebelanga kari dan sukar memastikan kaum yang diwakili mendapat pembelaan sewajarnya. Sistem sedia ada tidak bermasalah dan saya rasa tidak ada sebab mengubahnya,� katanya.
Selain Umno, MCA, MIC dan Gerakan, 10 komponen BN lain adalah PPP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
No comments:
Post a Comment