Friday, October 19, 2007

SPR jamin daftar pemilih bersih

Oleh Saufi Hamzah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan senarai daftar pemilih yang bakal digunakan pada pilihan raya umum ke-12 bersih daripada penyelewengan.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, berkata ini kerana gerakan pembersihan menerusi pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih dilakukan sepanjang tahun.

Katanya, daftar pemilih terdiri daripada Daftar Pemilih Induk mengandungi nama pemilih berdaftar yang disahkan pada awal tahun, manakala Daftar Pemilih Tambahan pula mengandungi nama pemohon yang baru layak dan mereka yang memohon menukar kawasan pendaftarannya.


"Tidak ada kelemahan semakan daftar pengundi yang sedang dilaksanakan. Semuanya mengikut proses undang-undang. Kita buat semakan dan pengesahan bagi Daftar Pemilih Tambahan secara telus dan terbuka," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai SPR yang mendedahkan, segelintir Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) yang dilantiknya, menyalah guna kuasa dengan memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran.

Pegawai terbabit dikesan memindahkan nama pemilih baru atau sedia ada, yang memohon menukar alamat mengikut Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002.


Kamaruzaman berkata, Daftar Pemilih Induk mengandungi nama pemilih sudah meninggal dunia atau yang sudah hilang kelayakan.

Katanya, nama itu, sebaik saja diperakukan Jabatan Pendaftaran Negara dan atau mahkamah akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih Induk.

Minggu lalu, SPR memperakui Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahunan Kedua 2007 bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun lalu yang membabitkan 316,223 pemilih. Kira-kira 15.1 juta rakyat Malaysia layak mengundi.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Umno akan meminta SPR memberi penjelasan sepenuhnya mengenai penyelewengan segelintir PPP yang memindah nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran.

Beliau berkata, parti itu ingin mengetahui sejauh mana perkara itu berlaku dan kesannya serta jumlah kawasan yang terbabit.

"Kita berasa dukacita apa yang berlaku dan perkara ini harus dipandang serius. Saya harap pimpinan parti semua peringkat supaya peka dan membuat bantahan apabila ada masa untuk menyemak daftar pemilih," katanya.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata sebarang bentuk penyelewengan dalam daftar pemilih menimbulkan keraguan di kalangan rakyat dan menyebabkan proses demokrasi di negara ini tercemar.

"SPR sebagai satu badan bebas yang mendapat kepercayaan rakyat dalam menegakkan proses demokrasi perlu bersih daripada sebarang penyelewengan. Selama ini kita menaruh kepercayaan kepada SPR yang mengendalikan 11 pilihan raya umum. Kita menggesa kerajaan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh, berkata SPR mesti melaporkan penyelewengan berkaitan pemindahan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah.

Katanya, pendekatan tunggu dan lihat tidak sesuai digunakan dalam isu itu dan penyelewengan yang berlaku adalah salah dari segi integriti.

"Ini dikira salah guna kuasa oleh sesetengah pihak yang sengaja melakukannya untuk kepentingan diri atau orang lain. Jika tindakan tidak diambil SPR dipersalahkan," katanya.

No comments: