Friday, October 19, 2007

BPR diberi lebih masa siasat klip video

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi lebih masa untuk menyiasat kesahihan klip video yang memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara.

Ketua panel bebas khas, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, masa itu diberi kerana sehingga kini orang ramai masih ‘senyap’ daripada memberi sebarang kerjasama atau maklumat mengenai klip video tersebut.

‘‘Kita terpaksa menangguhkan mesyuarat kedua yang dijadualkan semalam kepada 29 Oktober ini.

‘‘Rasanya tiada guna kalau bermesyuarat pun. Laporan siasatan daripada BPR masih belum diperoleh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Panel bebas yang ditubuhkan pada 27 September lalu diketuai oleh Haidar dan dianggotai aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Menurut Haidar, panel itu hanya boleh membuat keputusan untuk tindakan seterusnya selepas bermesyuarat dengan BPR.

‘‘Ikut langkah demi langkah. Kita tidak boleh halang dan hanya tunggu apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, kerajaan membuat keputusan menubuhkan panel bebas itu memandangkan dakwaan serta spekulasi tentang perkara berkenaan boleh menjejaskan kewibawaan dan integriti sistem kehakiman negara.

Haidar yang juga bekas Hakim Besar Malaya berkata, panel itu hanya diberi tempoh 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya 27 September lalu untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan klip video berkenaan.

‘‘Kami mesti menyiapkan tugas secepat mungkin dan menghantar laporan berhubung pengesahan klip video pada 8 November ini seperti yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi kepastian bila mesyuarat yang seterusnya akan diadakan.

No comments: