Mon | Oct 15, 07 | 7:51:29 pm MYT
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo dilihat gagal membariskan pemimpin dan wakil rakyat yang berwibawa berikutan pelbagai masalah dan salah-laku moral yang melibatkan beberapa pemimpin mengakibatkan rakyat semakin meragui kemampuan BN dalam membimbing rakyat ke arah modal insan seperti yang diuar-uarkan Perdana Menteri selama ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata adalah jelas selama ini bahawa slogan modal insan yang dipopularkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekadar ungkapan kata-kata tanpa makna sedangkan pemimpin BN secara kesuruhannya tidak mempraktikkan apa yang dicanangkan kepada rakyat.
"Khir Toyo gagal mengemukakan barisan wakil rakyat Selangor yang baik selama ini. Bagi saya, ia merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat negeri ini yang telah mengamanahkan tanggungjawab untuk membimbing, mendidik dan membawa hal tuju masa depan yang baik kepada mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.
"Semua pemimpin mesti ada strictly moral standard supaya mereka ini boleh dijadikan contoh teladan oleh masyarakat dan wakil-wakil rakyat ini pula tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka sesuka hati," katanya ketika diminta mengulas dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangan' Dr Khir Toyo.
Menurut sumber, antara yang terbabit dengan salah-laku moral itu ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datin Paduka Norhayati Onn, anggota Exco Wanita Umno Malaysia Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail. Gambar intim mereka berdua, dalam keadaan yang mencurigakan, yang diambil di tiga buah hotel berasingan, kini hangat diperkatakan apabila ia disebarkan secara meluas.
Manakala wakil rakyat yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib juga disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang dilihat boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang Ketua Wanita Umno bahagian dan kedudukannya sebagai seorang isteri, di sebuah hotel di ibu kota pada awal pagi 26 Ogos lalu.
Yang ironinya pihak yang "membongkar" salah-laku moral dua wakil rakyat Wanita Umno itu adalah suami masing-masing, melalui laporan polis dan afidavit yang dikemukakan. Justeru, kesahihan dakwaan berkenaan lebih mudah untuk dipercayai.
Sebelum ini, Adun Pelabuhan Klang Dato' Zakaria Mat Deros telah didakwa menyalahgunakan kuasa dan harta termasuk mempunyai pelbagai masalah yang boleh dikaitkan dengan elemen salah-guna kuasa, sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya telahpun digugurkan.
Zakaria, menjelang Aidilfitri lalu, mendedahkan kepada masyarakat bentuk "istana" yang dibinanya, yang makin menimbulkan syak bahawa beliau sebenarnya mempunyai sumber pendapatan yang dipertikai. Difahamkan Zakaria mempunyai hubungan cukup rapat dengan Perdana Menteri meskipun Khir tidak begitu menyenanginya.
Walaupun dibayangkan pemimpin-pemimpin bermasalah ini bakal digugurkan daripada menjadi calon dalam pilhan raya umum akan datang oleh Khir Toyo, itu bukanlah satu penyelesaian yang betul dalam menangani gegajal rosak akhlak di kalangan pemimpin.
"Tidak memadai hanya sekadar pecat atau menggugurkan mereka dan akhirnya kesalahan mereka itu didiamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan tegas. Ini bukan caranya untuk sebuah parti politik seperti Umno yang kononnya juga turut memperjuangkan Islam menangani kemelut salah-laku moral pemimpinnya," kata Khalid Samad lagi.
Ternyata selama ini BN mahupun Umno gagal mempamerkan imej yang baik di mata masyarakat berikutan tidak seriusnya mereka dalam membanteras segala salah-laku baik moral, kuasa dan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin mereka.
"Khir Toyo berada dalam keadaan tidak selesa kerana beliau sendiri pernah mempunyai masalah dari segi pengambilan tanah, isu setinggan dan pelbagai isu lagi yang perlu segera ditangani," tanbah Yang Dipertua PAS Shah Alam itu.
"Kegagalan BN ada hubung-kaitnya dengan dasar mereka selama ini makin rapuh dan dicurigai ramai. Dasar mereka sekadar mementingkan diri dan kelompok mereka sendiri, bukannya merujuk kepentingan rakyat jelata," katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut mengucapkan 'Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin' kepada semua pendokong perjuangan Islam dan menyarankan agar semua pihak mempertingkatkan pengorbanan demi memastikan kemenangan Islam.
No comments:
Post a Comment