Mon | Oct 15, 07 | 9:43:05 am MYT
Apabila Zainuddin Maidin (Zam) yang juga Menteri Penerangan memberikan ucapan di Nasional FM pada hari raya pertama, saya tidak berapa berminat mendengarnya. Tetapi apabila beliau mula bercakap tentang songkok hitam dan betapa beliau gembira kerana semakin ramai umat Islam Melayu Malaysia memakai songkok hitam sewaktu Aidilfitri, naluri ingin tahu saya mendorong telinga saya 'melekap' di corong radio.
Menurut Zam, meningkatnya bilangan umat Melayu yang bersongkok hitam sewaktu Aidilfitri adalah suatu perkembangan yang baik kerana orang Melayu sudah mula kembali kepada identiti Nusantara dengan bersongkok hitam. Beliau juga secara sinis mengkritik orang Melayu yang berkopiah putih dan menganggap kopiah yang dipakai tidak melambangkan 'budaya Melayu' tetapi budaya yang datang dari Timur Tengah!
Hati saya berdetik: "Orang tua ni buat dah!"
Saya termenung sejenak memikirkan pandangan Zam itu. Di pagi Aidilfitri ini, sepatutnya Menteri Penerangan bercakap tentang sesuatu yang lebih utama daripada isu songkok hitam. Kenapa tidak disebut tentang soal mengukuhkan persaudaraan, memperbaiki hubungan, menghidupkan amalan ziarah menziarahi (daripada duduk di hadapan tv menonton rancangan hiburan!). Zam boleh bercakap tentang seribu satu macam topik yang lebih utama daripada songkok hitam!
Bagaimanapun, apabila direnung kembali rekod perkhidmatan Zam, beliau memang terkenal dengan kontroversi-kontroversi tidak perlu - contohnya mewajibkan semua penceramah agama yang keluar di kaca tv memakai songkok hitam! Seorang prof akademi pengajian Islam pernah merungut di dalam ceramahnya tentang arahan tersebut.
"Saya bukan tak mahu pakai songkok hitam, tetapi tak berapa selesa kerana penari zapin pun pakai songkok hitam," katanya berseloroh.
benarkah songkok hitam budaya Melayu Nusantara?
Ada dua isu yang timbul daripada kenyataan Zam ini. Pertama: Adakah benar songkok hitam adalah budaya asal Melayu dan Nusantara yang wajib dipertahankan. Kedua: Adakah budaya Timur Tengah (Islam) yang diamalkan oleh sebahagian bangsa Melayu seperti berkopiah putih (menurut pandangan Zam) tidak boleh diterima sebagai budaya Melayu dan Nusantara?
Ketika sebahagian wakil-wakil rakyat PAS muncul di Dewan Rakyat dengan berbaju Melayu lengkap pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum 1999, penampilan itu mendapat pujian pelbagai pihak. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam dilapor melahirkan kekaguman dengan identiti yang ditunjukkan wakil-wakil rakyat PAS itu. Memang mereka, terutamanya Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor tampil segak berbaju Melayu dan bersongkok. Penulis diberitahu, Almarhum Ustaz Fadzil sebenarnya lebih selesa bersongkok hitam ketika menghadiri sidang Dun dan Parlimen. Mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Buhanuddin al-Helmi dan Timbalannya, Prof Zulkifli Muhammad juga bersongkok hitam. Oleh itu tidak timbul isu kopiah putih dan songkok hitam dalam PAS kerana ia isu remeh yang tidak harus diangkat menjadi isu nasional.
Bagaimanapun untuk memperbetulkan tanggapan Zam tentang songkok hitam dan kopiah putih, rasanya elok kita menelusuri sepintas lalu sejarah pemakaian songkok hitam dan kopiah putih umat Melayu Islam negara ini.
Dalam pemerhatian penulis, songkok hitam tidak menjadi pakaian orang-orang Melayu sebelum abad ke-20. Lihat sahaja lukisan dan foto berhubung bangsa Melayu yang dipamerkan di muzium dan buku-buku sejarah Melayu seawal pemerintahan kesultanan Melayu Melaka. Apa yang dapat kita lihat, orang Melayu lebih gemar memakai ikat kepala (dipanggil semutar di Kelantan dan Terengganu). Bagi golongan kerabat dan bangsawan Melayu, setanjak dipakai bagi menggambarkan status kedudukan.
Filem-filem klasik Melayu juga tidak pernah menunjukkan songkok hitam sebagai pakaian Melayu. Daripada filem Hang Tuah, Laksamana Bentan, Panglima Harimau Berantai, Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak dan seumpamanya, tidak seorang pun aktor Melayu yang memakai songkok hitam! Takkanlah Zam tak perasan?
Sebaliknya, pemakaian serban dan kopiah putih sudah tercatat dalam sejarah Melayu sejak kedatangan pedagang dan pendakwah Islam daripada Timur Tengah ke Melaka. Lihat sahajalah filem klasik Siti Zubaidah yang menggambarkan sebuah keluarga alim berketurunan Raja di sebuah pulau yang ketua keluarganya berserban dan berjubah. Dalam filem itu, aktor-aktor Melayunya tidak langsung bersongkok hitam!
Bapa persuratan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) digambarkan sebagai seorang lelaki yang gemar memakai tarbus dan bukan berkopiah hitam. Karya Abdullah yang terkenal, Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah, yang banyak menceritakan perihal kehidupan orang Melayu pada zamannya tidak menyebut langsung tentang songkok hitam sebagai pakaian orang Melayu pada abad ke-19.
Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa songkok putih lebih sinonim dengan budaya Melayu dan Nusantara berbanding songkok hitam yang hanya muncul dalam sejarah peradaban Melayu di awal abad ke-20!
Dari mana datangnya songkok hitam? Dalam pemerhatian penulis, budaya memakai songkok hitam di bawa oleh pendatang India Muslim benua India yang berhijrah ke negeri-negeri selat semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain, kaum kerabat Zam yang dikategorikan Abdul Rahim Kajai - seorang pengasas sastera Melayu moden - sebagai "Melayu DKK" membawa budaya songkok hitam ke Tanah Melayu. (Untuk lebih memahami tentang "Melayu DKK" dan "Melayu DKA", sila baca tulisan-tulisan Abdul Rahim Kajai).
Berdasarkan pemerhatian penulis, foto sejarah Melayu paling awal yang menggambarkan seorang Melayu berkopiah hitam adalah foto Syed Syeikh al-Hadi. Syed Syeikh al-Hadi pun bukanlah anak Melayu tulen Tanah Melayu tetapi termasuk dalam kategori "Melayu DKA" tafsiran Kajai.
Untuk pengetahuan Zam juga, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak bersongkok hitam mahupun berbaju Melayu lengkap ketika melaungkan "Merdeka" di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman berpakaian "baju MUscat" - berasal daripada Oman - dengan bersetanjak. Raja-raja Melayu yang berada di pentas juga tidak mengenakan songkok hitam malah bersetanjak.
Di benua India - tempat asalnya songkok hitam - pakaian itu tidak melambangkan agama pemakainya. Dalam filem biografi 'Ghandi' - filem yang memenangi kategori kustom terbaik Festival Filem Amerika, para penganut Hindu asal India di Afrika Selatan dan penyokong parti KOngres India pimpinan Pandit Jawharlal Nehru memakai songkok sebagai pakaian harian.
Untuk pengetahuan Zam juga, para anggota sayap pemuda parti Nasionalis India, Barathiya Janata (BJP) yang dikenali sebagai Rhang Savak Sangh (RSS) memakai songkok sebagai pakaian rasmi. RSS adalah salah satu persatuan ekstremis Hindu yang bertanggung jawab meruntuhkan Masjid Babri di India!
Sepupu penulis yang berkhidmat dengan tentera Malaysia pernah menasihati penulis. Beliau yang berpengalaman berkhidmat di Sarawak dan negara jiran Indonesia mengingatkan penulis supaya berhati-hati apabila ingin menjamu selera di beberapa bandar di Sumatera dan pulau Jawa.
Beliau pernah masuk ke 'rumah makan' yang tuan punyanya bersongkok hitam tetapi terperanjat melihat 'kerbau pendek panggang' bergantungan di bahagian dapur restoran itu apabila mahu ke tandas. MUjurlah beliau belum menjamah makanan dan memohon maaf kepada tuan punya kedai kerana tidak tergamak makan di situ!
terimalah songkok hitam mahupun kopiah putih
Seperti ditekankan di awal penulisan ini, bukan niat penulis untuk menjadikan songkok hitam mahupun kopiah putih sebagai polemik Aidilfitri. Bukan juga niat penulis untuk mengkategorikan Melayu sebagai Melayu tulen, Melayu DKK dan Melayu DKA. Apa yang penulis hajatkan adalah meletakkan budaya pemakaian songkok hitam dan kopiah putih pada perspektif yang betul apatah lagi apabila isu ini disinggung Menteri Penerangan dalam saluran rasmi radio kerajaan di hari pertama Aidilfitri.
Dalam konteks Malaysia, songkok hitam, kopiah putih, Melayu tulen, Melayu DKK mahupun Melayu DKA sebenarnya diikat oleh satu unsur kesamaan iaitu Islam. Islam adalah agama universal yang merentasi budaya, bangsa dan warna kulit. Menteri Penerangan perlu menginsafi hakikat ini kerana tiada siapa pun yang mahu Islam disempitkan dan umatnya dikurung di bawah songkok hitam!/tajdid
No comments:
Post a Comment