Monday, October 15, 2007

PAS tetap harap Suruhanjaya Diraja siasat tragedi Batu Burok - Mustafa Ali

Intan Abdullah
Mon | Oct 15, 07 | 8:23:48 am MYT

KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Hrkh) - PAS Terengganu masih berharap agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi mengambil tindakan yang serius terhadap penjenayah sebenar yang terlibat dengan peristiwa berdarah di Batu Buruk pada 8 September lalu.

"Hanya Suruhanjaya Siasatan Diraja sahaja yang berkuasa dan berupaya untuk bertindak ke atas mereka yang didapati bersalah mencetuskan kekecohan dalam kejadian tempoh hari," ujar Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali.

Beliau yang ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Terengganu kelmarin menyambut baik syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tragedi di Batu Burok, yang menyaksikan dua orang awam ditembak polis dengan menggunakan peluru hidup.

Bagi Mustafa, cadangan Suhakam itu sekali gus akan menyelesaikan masalah ketempangan demokrasi yang berlaku dalam negara masa kini termasuklah beberapa hak asasi rakyat yang telah dicabul oleh pihak kerajaan yang memerintah.

Hasil siasatan awal Suhakam mendapati berlaku keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.

Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam dalam satu sidang akhbar di pejabatnya berkata, Suhakam akan mengesyorkan supaya Sesyen 27 Akta Polis 1997 dipinda untuk memboleh perhimpunan secara aman diadakan tanpa perlu mendapatkan permit.

"Suhakam kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan standard antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.

Mustafa menekankan: "PAS Terengganu menyambut baik dengan syor tersebut, memandangkan pihak pembangkang tidak lagi mempunyai saluran alternatif untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat."

Sementara itu, beliau turut menyokong pandangan Suhakam yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan majlis ceramah anjuran Bersih di Batu Burok tersebut.

"Saya tidak hairan pandangan Suhakam sama dengan PAS, kerana hasil siasatan yang dibuat adalah menepati apa yang telah kami perolehi sebelum ini," katanya lagi.

Tambahnya, ia merupakan gambaran yang tepat kepada apa yang sebenarnya berlaku sekali gus mengetepikan tohmahan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta serta menyembunyikan hakikat yang terjadi di Batu Burok daripada masyarakat umum.

Dalam pada itu, Mustafa yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat menggesa kerajaan untuk menghormati dan menerima hasil siasatan yang dikemukakan oleh Suhakam seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghukum pihak yang bersalah.

No comments: