Monday, October 15, 2007

Nazri harus tumpu isu pulih kredibiliti badan kehakiman

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Majlis Peguam Malaysia hari ini menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya memberi tumpuan kepada isu memulihkan kredibiliti badan kehakiman berbanding tumpuan kepada peguam dan mereka yang membuat pendedahan atau pemberi maklumat.

Presidennya, Ambiga Sreenevasan berkata, gesaan itu bukan sesuatu yang baru namun tiada tindakan atau inisiatif diambil.

“Apa yang penting ialah mesej yang disampaikan semasa ahli-ahli majlis berarak di Putrajaya bulan lepas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri di portal berita yang menyelar tindakan peguam sebagai ‘gila’ kerana menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap badan kehakiman negara dengan berarak dari bangunan Istana Kehakiman ke pejabat Perdana Menteri pada 26 September lepas.

“Saya tidak ingin bertelingkah dengan menteri itu oleh kerana saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengannya tetapi dalam isu ini, saya ingin untuk tidak bersetuju dengannya kerana sebelum ini dia juga menyatakan bahawa Majlis Peguam berkelakuan seperti sebuah parti pembangkang,” katanya.

– Bernama

No comments: