Sunday, September 30, 2007

Pembangkang buat helah tuduh Pemuda

Oleh Johari Ibrahim

Parti lawan mahu tutup silap sendiri: Hishammuddin

ALOR STAR: Tindakan pembangkang menuduh Pemuda Umno Terengganu di sebalik rusuhan di Batu Burok, Terengganu, baru-baru ini hanya untuk menutup kesilapan sendiri selepas terdesak kerana mengetahui rakyat menolak keganasan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, apabila menyedari rakyat menolak tindakan rusuhan dan keganasan, parti pembangkang mengambil jalan mudah dengan menuduh Pemuda Umno Terengganu terbabit dalam rusuhan berkenaan.

"Pada hal sejak awal mereka (pembangkang) tahu perhimpunan itu tidak ada permit kerana terlalu dekat dengan kawasan istana dan jika diteruskan tindakan undang-undang boleh diambil, tetapi mereka teruskan juga.

"Apabila tindakan diambil, mereka menuduh kita pula," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama ahli Pemuda Umno Kedah di Hutan Kampung, malam kelmarin.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada lebih 50 fakir miskin dan orang kurang upaya di kawasan Parlimen Pokok Sena.

"Pembangkang mendapat maklum balas bahawa rakyat sudah jelak dengan rusuhan dan keganasan dan cara paling mudah untuk menafikan kesalahan sendiri ialah dengan menuduh orang lain," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan mengenai tuduhan pembangkang itu ketika ucapan pada majlis itu.

Justeru, katanya, Pemuda Umno sedang mengumpulkan bukti mengenai tuduhan itu dan mungkin mengambil tindakan undang-undang.

"Jika ada pemimpin pembangkang dari Terengganu yang datang ke Kedah dan membuat tuduhan itu, halau saja mereka," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata Umno tidak perlu melakukan tindakan itu untuk menarik perhatian rakyat sebaliknya menggunakan kuasa yang ada untuk memajukan negara.

"Selepas tiga tahun, banyak sekolah agama rakyat (SAR) mendaftar dengan kementerian tanpa paksaan, kerajaan juga bantu SAR itu, kita jalankan program bacaan al-Quran dan Jawi J-Qaf, itulah kerja kita untuk memperkasakan Islam," katanya.

Beliau berkata, tindakan merusuh dan polemik berkaitan agama tidak akan membantu memartabatkan Islam pada kaca mata antarabangsa.

"Barat menuduh Islam pengganas, mundur dan tidak berupaya menguasai teknologi dan Umno bertanggungjawab untuk mengubah persepsi itu menerusi kuasa yang ada di negara ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan semua Jabatan Pelajaran negeri memastikan semua isu kemudahan asas di sekolah termasuk bekalan air dan elektrik diselesaikan menjelang 2010.

Katanya, ia bagi memastikan usaha melonjakkan sektor pendidikan negara dalam tempoh 10 tahun sehingga 2020 tidak tergendala.

No comments: