Wednesday, May 24, 2006

Abdullah Mahu SUPP Buat Analisis Terperinci Kekalahan Di Sarawak

BERNAMA

TOKYO, 24 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang mendakwa kesilapan memilih calon dikatakan punca parti itu kehilangan lapan kerusi, yang dianggap kekalahan mengejut buat parti itu, pada pilihan raya Sarawak Sabtu lepas.

Sebaliknya Abdullah berkata parti itu wajar menganalisis lebih terperinci mengenai punca kekalahannya di negeri itu memandangkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain berjaya hampir 100 peratus di kerusi-kerusi yang ditandingi.

Pada pilihan raya Sabtu lepas, SUPP tewas lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri kesembilan manakala sebuah lagi parti komponen BN, Parti Rakyat Sarawak tewas satu kerusi.

DAP yang sebelum ini hanya memenangi satu kerusi, mendapat enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Bebas, masing-masing memenangi satu kerusi.

Abdullah yang menjawab pertanyaan wartawan Malaysia mengenai dakwaan SUPP bahawa kekalahan itu kerana salah memilih calon, berkata ia mungkin berpunca daripada sebab-sebab lain yang kepimpinan parti itu dan BN perlu menelitinya.

"Kalau dia (SUPP) mengaku, dialah yang lebih tahu daripada siapa pun dan kalau dia tahu satu kesilapan telah berlaku, maka jangan lagi melakukan kesilapan seperti itu," kata Abdullah yang kini dalam rangka lawatan lima hari ke Jepun, pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Pengerusi BN, berkata SUPP perlu mengkaji secara lebih mendalam bagi mencari sebab-sebab lain yang menyebabkan parti itu mengalami kekalahan.

"Pihak pembangkang berkata ada perkara yang mereka (rakyat) tidak puas hati dengan peranan SUPP dalam BN. PBB, parti Tan Sri Taib Mahmud sendiri, mendapat sokongan seratus peratus.

"Tetapi dia perlulah memperincikan hasil keputusan pilihan raya tersebut, halusi, tengok apakah petunjuk yang perlu diambil kira dan di mana perlu kita betulkan, di mana ada kelemahan kita perbaiki.

"Dan di mana ada kekuatan, kita akan menambahkan kekuatan dan menjadi lebih baik," katanya.

Perdana Menteri menegaskan kemenangan selesa BN menunjukkan rakyat Sarawak menaruh kepercayaan penuh kepada BN dan juga mahu BN Sarawak bekerjasama dengan kerajaan pusat melaksanakan dan menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Ditanya sama ada beliau bimbang terhadap undi popular BN yang lebih kecil kali ini sedangkan BN mendapat kejayaan besar sejak beberapa lama, Abdullah berkata: "Apa juga yang menjejaskan prestasi kita tentulah perlu diberi perhatian. Bimbang, mestilah, kalau kita tak peduli, tak baiklah. Kita mesti mengatasi segala kekurangan, itu mesti menjadi pendekatan kita.

"Pilihan raya itu adalah satu penilaian rakyat terhadap kerajaan. Alhamdullilah, BN dapat kemenangan dengan kelebihan dua pertiga".

No comments: