Wednesday, May 24, 2006

SUPP mengaku silap pilih calon

BERITA HARIAN

Oleh Sariha Mohd Ali dan Matzidi Dris



KUANTAN: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengakui kesilapan memilih calon antara faktor kekalahannya di lapan kerusi pada pilihan raya Sarawak kesembilan, Sabtu lalu.

Setiausaha Organisasi SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata parti menyedari calon terbabit tidak digemari pihak tertentu yang mempunyai calon untuk diketengahkan.

“Mungkin kita kalah disebabkan tersalah pilih calon, selain isu tertentu dimainkan pembangkang termasuk isu tanah dan kenaikan harga minyak,” katanya selepas menemui Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di sini, semalam.

Pada pilihan raya negeri kali ini, SUPP – parti komponen Barisan Nasional (BN) berteraskan kaum Cina, diperuntukkan 19 kerusi. Bagaimanapun, ia tewas di Kota Sentosa, Batu Lintang, Pending, Bukit Assek dan Meradong kepada DAP; Padungan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR); Engkelili di tangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan gagal merampas kerusi Kidurong.

Chin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pemilihan calon dilakukan SUPP selepas mengambil kira pandangan parti itu dan komponen BN.

Katanya, SUPP melaporkan segera hasil siasatan kekalahan parti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, walaupun kecewa dengan sokongan merosot pengundi Cina terhadap SUPP, ia bukan bermakna pengundi Cina menolak kerajaan sedia ada.

“Saya tak fikir ketidakpuasan hati pengundi Cina disuarakan terhadap SUPP dalam pilihan raya DUN Sarawak itu, memberi gambaran sebenar perasaan pengundi Cina terhadap kerajaan,” katanya.

Sementara itu di KUCHING, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, berkata kekalahan calon SUPP perlu dikaji dari pelbagai sudut agar punca sebenar kekalahannya dapat dikenal pasti, sekali gus dijadikan iktibar kepada semua komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden I Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, PBB simpati dengan kekalahan yang dialami SUPP dan berharap parti itu segera mengenal pasti punca yang menyebabkannya lapan calonnya kalah teruk.

“Kita berharap SUPP mengadakan bedah siasat berhubung kekalahan lapan calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

No comments: