Friday, September 21, 2007

2 lagi serah diri bantu siasat rusuhan

Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh

KUALA TERENGGANU: Dua lagi individu yang gambar mereka disiarkan media bagi membantu siasatan kejadian rusuhan pada 8 September lalu yang mengakibatkan empat polis cedera, tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, pagi semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata dua lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai memberi keterangan kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

"Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun bekerja sebagai buruh binaan.

"Setakat ini sudah tujuh orang tampil memberikan keterangan, termasuk empat semalam, manakala seorang lagi menyerah diri selepas gambar disiarkan Ahad lalu," katanya yang ditemui pemberita di pejabatnya semalam.

Tiga daripada tujuh yang tampil adalah pelajar Tingkatan Empat yang berasal dari Kampung Tok Dir Kedai Buloh, Kampung Gong Penaga dan Kampung Nibong, Pasir Panjang, dekat sini.

Katanya, kelmarin seorang peniaga ayam berusia 50 tahun dari Kampung Tok Dir, Kedai Buloh dan seorang peniaga pasar malam dari Kampung Alur Toman, Marang menyerah diri dan memberi keterangan kira-kira jam 11.20 pagi, manakala seorang lagi pada jam 12.30 tengah hari.

"Dua pelajar Tingkatan Empat itu pula datang menyerah diri selepas tamat waktu persekolahan kira-kira jam 2.30 petang semalam (kelmarin)," katanya.

Dengan tampilnya tujuh individu terbabit, polis kini masih menunggu lapan daripada sembilan gambar disiarkan Sabtu lalu, dan 31 lagi yang gambar mereka disiarkan Selasa lalu.

Sembilan daripada mereka disiasat kerana dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan dan membakar Jalur Gemilang mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan manakala 37 lagi disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis.

Khairi berkata, polis meminta kerjasama daripada individu yang masih belum tampil memberikan keterangan supaya berbuat demikian selewat-lewatnya hari ini, sebelum polis membuat gerakan menahan mereka.

"Polis bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak akan menahan sewenang-wenangnya mereka yang tampil memberi keterangan.

"Semua yang datang memberi keterangan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai disoal siasat bagi membantu menyelesaikan kertas siasatan kes berkenaan," katanya.

No comments: