Friday, September 21, 2007

Syor badan siasat klip video bual peguam

KUALA LUMPUR: Sebuah Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat secara bebas pendedahan menerusi klip video perbualan antara seorang peguam kanan dan hakim kanan mengenai usaha untuk melantik hakim itu sebagai ketua hakim negara pada 2002.

Kalangan pengamal undang-undang sepakat kerajaan mesti bertindak segera bagi mendapatkan gambaran sebenar kerana isu itu menyentuh kewibawaan seorang yang menjadi tunjang kepada bidang kehakiman negara.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaikh Daud Md Ismail, berkata klip video itu sungguh mengejutkan kerana mendedahkan sistem perundangan negara selama ini mungkin dibelenggu rasuah.

“Kerajaan mesti menyiasat dengan mendalam kerana perkara ini menyentuh mengenai orang yang memegang jawatan tertinggi dan bertanggungjawab melindungi sistem kehakiman negara.

“Kini kita lihat kedudukan hakim itu yang sangat tinggi dan pendedahan ini perlu disiasat sehingga ke akar umbi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai klip video lapan minit menunjukkan visual peguam itu yang dirakamkan secara sulit. Klip video itu disiarkan media internet, Malaysiakini, kelmarin.

Semalam, klip video sama diserahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Wilayah Kuala Lumpur, Abu Zubir Mohd Hassan.

Dalam klip video itu, peguam berkenaan dilihat membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara.

Mengulas lanjut, Shaikh Daud berkata, kerajaan tidak seharusnya menolak pendedahan ini dengan alasan tiada bukti, sebaliknya perlu menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memastikan penyiasatan menyeluruh, mendalam dan bebas.

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia akan mengadakan mesyuarat tergempar khusus bagi membincangkan isu klip video itu, hari ini.

“Khabar angin dan dakwaan mengenai tindakan salah laku sebegitu semakin memuncak sejak krisis kehakiman pada 1988,” kata Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.

Ambiga turut menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara itu.

Di PUTRAJAYA, peguam Karpal Singh menggesa Peguam Negara menyiasat klip video itu.

“Tan Sri Abdul Gani Patail perlu menangani sendiri perkara ini kerana rakaman itu membabitkan dakwaan serius yang boleh memberi kesan buruk kepada badan kehakiman negara.

"Badan kehakiman yang akan 'dibicarakan' jika dakwaan dalam rakaman itu benar kerana kesan dakwaan membabitkan seorang peguam kanan dan hakim kanan amat berat.

"Saya sendiri akan mengusulkan isu ini apabila Parlimen bersidang selepas Aidilfitri kerana ia membabitkan kepentingan awam," katanya ketika ditemui di Istana Keadilan di sini, semalam.

No comments: