Friday, September 21, 2007

Rusuhan: Dua lagi serah diri

UTUSAN

KUALA TERENGGANU 20 Sept. – Dua lagi individu yang dicari polis bagi membantu siasatan kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini pada 8 September lepas, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu hari ini.

Kedua-dua mereka yang berumur 22 dan 25 tahun yang berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai dan bekerja sebagai buruh binaan menyerah diri di balai polis berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, perkembangan terbaru ini menjadikan kesemuanya tujuh orang daripada 46 individu yang dicari polis bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan menyerah diri setakat ini.

‘‘Saya minta mereka yang lain menyerah diri dengan segera bagi membolehkan kita menyelesaikan kes ini dengan segera.

‘‘Jangan bimbang kerana polis tidak akan menahan mereka sewenang-wenangnya sebab kita bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, empat individu yang menyerah diri sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Polis sebelum ini mengedarkan gambar 46 lelaki yang dicari berhubung kes rusuhan dalam perhimpunan haram di Batu Buruk pada 8 September lalu.

Berikutan penyiaran gambar itu, seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah agama swasta menyerah diri Ahad lepas diikuti seorang peniaga ayam berusia 50 tahun serta dua lagi iaitu seorang pelajar dan peniaga pasar malam, semalam.

Polis memberi tempoh sehingga esok untuk individu terlibat menyerah diri dan jika gagal, gerakan mencari ke rumah akan dilakukan bagi mengesan mereka.

Menurut Khairi, individu terbabit yang mahu menyerah diri boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Terengganu, Deputi Supritendan Noor Mushar Mohamad di talian 013-9366565 atau pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Hazwan Zulkifli (012-3674945).

No comments: