Wed | Nov 14, 07 | 6:55:46 pm MYT
Pada pagi Sabtu bersejarah itu perjalanan saya menaiki komuter KTM dari Subang Jaya ke hentian di Bank Negara terasa begitu perlahan. Orang ramai dalam komuter luar biasa ramainya bagi perjalanan pagi Sabtu, iaitu hari tidak bekerja.
Apabila tiba di stesyen KL Sentral perjalanan kami terhenti buat seketika atas pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak KTM. Saya menjangkakan kerja-kerja untuk menggagalkan Himpunan Aman Rakyat anjuran Bersih petang nanti sudah bermula.
Dari perhentian Bank Negara atas nasihat seorang anggota Pemuda PAS Shah Alam yang saya jumpa atas komuter tadi, saya berjalan kaki dengan iringan beliau terus ke Pejabat Agung di Jalan Raja Laut, kerana pagi itu pimpinan PAS termasuk Dato' Seri Tuan Guru Presiden akan diberikan taklimat terkini tentang status terkini perhimpunan tersebut.
Pejabat Agung ketika itu seolah dikepung oleh anggota polis, kereta peronda polis dan anggota RELA, termasuklah anggota Cawangan Khas yang walaupun tidak beruniform sudah boleh dikenali oleh orang-orang PAS.
Alhamdulillah kehadiran anggota Unit Amal yang lengkap berunifrom di hadapan pintu masuk utama Pejabat Agung memberikan semangat kepada suasana yang menjadi semakin kelam dan tegang itu.
Gagalkan perhimpunan
Suasana menjadi sedemikian kerana usaha-usaha pihak tertentu untuk menggagalkan himpunan aman ini sudah berjalan sejak sehari dua sebelumnya. Kenderaan termasuklah bas yang membawa masuk ahli dan para penyokong PAS dari luar KL telah dihalang dan sengaja dilambat-lambatkan.
Seorang bekas calon PAS di Terengganu ditahan keretanya selama hampir 30 minit atas pelbagai alasan dan kemudian dibebaskan begitu sahaja.
Di tingkat empat Pejabat Agung, pimpinan tertinggi parti sedang bersedia untuk bersama rakyat di perhimpunan tersebut. Masing-masing mengenakan pakaian kuning khasnya t-shirt Bersih yang telah sedia ditempah.
Tuan Guru Presiden sendiri mengenakan vest yang disediakan oleh Dewan Muslimat. Taklimat demi taklimat diberikan tentang perkembangan di Dataran Merdeka dan pusat-pusat berkumpul yang telah ditetapkan iaitu di Masjid Negara, Masjid Jamek, perkarangan Sogo dan perkarangan Central Market,
Dataran Merdeka telah ditutup sementara kedua-dua masjid Jamek dan Masjid Negara ditutup sebentar dan dibuka kembali memandangakan umat Islam mahu menunaikan solat zohor.
Di hujung taklimat Tuan Guru Presiden telah membacakan doa dan diaminkan oleh semua pimpinan kanan parti yang hadir (yang tidak hadir tanpa alasan syarie pasti akan dipertanggungjawabkan oleh perwakilan dalam Muktamar PAS yang akan datang).
Sejurus itu hujan mula membasahi bumi Kuala Lumpur, hujan rahmat kata Presiden. Dan rupanya memang ia hujan rahmat kerana kemudiannya hujan yang samalah yang telah membantu mencuci air kimia yang disembur ke atas tubuh para pejuang rakyat dijalanan di samping meredakan longgokkoan gas pemedih mata yang ditala ke arah perhimpunan.
Lebih kurang jam 12 tengahari pimpinan diketuai Presiden dan Timbalan Presiden bergerak ke destinasi masing-masing yang telah ditetapkan. Dr Hatta Ramli, Dato' Tuan Ibrahim, Dato' Dr Hassan Ali menuju ke Masjid Jamek, Dato Dr Mahfuz dan Mazlan Aliman sudah menunggu di Central Market sementara Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Samsuddin, Dato' Takiyuddin, Ustaz Dato Abu Bakar Chik menuju ke Sogo.
Turut bergerak ketika itu yang sempat saya perhatikan adalah Salahuddin Ayub, Ustazah Nuridah, Ustaz Idris Ahmad, Dr Dzulkifli, Dr Syed Azman, Hj Asmawi, Dato' Wan Mutallib, Ustaz Mujahid, Hanipa Maidin dan Amiruddin.
Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden, Dato' Kamarudin Jaafar, Mahfuz Omar dan Mohammad Sabu, tiba di Masjid Negara tepat pada waktu Zohor dan terus menunaikan solat Zohor berjemaah diikuti dengan solat hajat yang dipimpin oleh Tuan Guru Presiden sendiri.
Hujan ketika itu terus turun mencurah-curah menambahkan kedinginan suasana walaupun jam sudah melewati 1 petang. Saya lihat di Masjid Negara ribuan telah berhimpun terutama wakil-wakil dari utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing bersemangat menunggu arahan pimpinan. Mereka ternyata gembira apabila pusat mereka menjadi pusat buat pimpinan tertinggi parti juga.
Kira-kira jam 2.30 petang keputusan diambil agar semua yang hadir bergerak ke Istana Negara. Mereka yang berkumpul di Sogo dan di Central Market dan Masjid Jamek dikhabarkan akan bergerak serentak dan bertemu di hadapan Istana Negara.
Bakar semangat
Ketika itu Presiden yang sepatutnya dipandu ke Istana Negara membuat keputusan untuk berjalan mengepalai perarakan ini. Sudah pastilah kehadiran Tuan Guru Presiden itu sendiri terus membakar semangat mereka yang hadir walaupun dalam keadaan cuaca yang terus dingin. Maka bergeraklah ribuan yang berada di Masjid Negara ke arah Istana Negara diketuai oleh Presiden PAS sendiri.
Saya sendiri sangat bimbang ketika itu kerana di luar sana, ratusan anggota polis termasuk FRU dan lain-lain sudah lengkap bersedia. Saya bimbang jika mereka bertindak menghalang pergerakkan ini sedangkan Presiden berada di barisan hadapan. Tapi alhmadulillah kami melangkah keluar tanpa sebarang halangan dari sesiapa selain kebisingan deruan injin helikopter PDRM yang sibuk memantau dari udara.
Presiden dan saf pimpinan lain termasuk pimpinan KeADILan diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim, lain-lain NGO dan pimpinan DAP melangkah pantas dan berani menuju ke Istana Negara diiringi ratusan anggota Unit Amal yang begitu berdedikasi dan komited. Semuanya berjalan dengan penuh teratur dan lancar.
Demikianlah sehingga sampai di Istana Negara dan kemudiannya selesai majlis penyerahan memorandum Bersih ke wakil Yang di-Pertuan Agong. Di Istana Negara, semua yang berkumpul disekitar KL tadi berhimpun menjadi satu kumpulan besar sayup sejauh mata memandang. Tidak ketinggalan saya lihat pimpinan dan anggota Dewan Muslimat di samping Dr Lo'lo dan Dr Siti Mariah dan Dewan Pemuda.
Apa yang mahu saya sebutkan di sini, sesungguhnya Perhimpunan Aman ini (walaupun terdapat gangguan di Masjid Jamek dan hadapan Bangunan Dewan Bandaraya di Jalan Raja Laut) terbukti begitu berjaya. Kejayaan bukan sekadar diukur pada berjayanya diserahkan memorandum sebagaimana yang dicadangkan tetapi lebih-lebih lagi kehadiran puluhan ribu rakyat Malaysia tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik.
Berdasarkan laporan yang dibuat oleh laman-laman web dan blog yang bukan PAS (tidak dimiliki atau dikendalikan PAS atau ahli-ahli PAS) ramai yang tidak aktif dalam mana-mana parti pun urut turun menjayakan himpunan ini kerana mahu menjadi sebahagian dari sejarah.
Tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang tidak cintakan amalan demokrasi dalam negara. Himpunan ini mahu mempertahankan dan memulihkan demokrasi, lalu tidak ada sebab untuk ianya ditentang oleh mana-mana pihak pun.
Selain itu saya percaya kenaikan kos hidup yang melampau turut mendorong orang-ramai yang kini memiliki keresahan yang sama untuk turun membuat tuntutan. Ada sahabat yang mendengar anggota polis yang bertugas pada hari tersebut turut berbual berkenaan bahana kenaikan kos hidup ini.
Cintakan Raja, negara
Kesimpulannya, perhimpunan ini telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia. Ia bukan anjuran PAS atau KeADILan atau DAP, tetapi ia anjuran rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan keadilan.
Perhimpunan ini menjadi bersejarah apabila ia diraikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan menerima memorandum rakyat itu. Tidak ada ekstrimis agama atau ekstrimis kaum dalam perhimpunan ini, yang ada cuma rakyat Malaysia yang cintakan Raja dan Negara mereka.
Perhimpunan ini bagi saya adalah permulaan gelombang rakyat, yang dikejutkan dari lena mereka, untuk bangun dengan berani menuntut hak mereka yang semakin dikikis dan dinodai.
Sekiranya momentum rakyat ini terus berkekalan tidak mustahil, arus yang kuat ini akan mencuci dan menendang keluar segala kelodak dan kekotoran sehingga akhirnya terbina sebuah negara yang benar-benar adil dan saksama di bawah payung Raja kita yang dikasihi, dengan diterajui oleh saf pimpinan baru yang berwibawa dan bertaqwa.
Syabas rakyat Malaysia!
Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS.
No comments:
Post a Comment