Wednesday, October 10, 2007

Umur bukan syarat utama jadi calon

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya daripada kalangan Pemuda Umno tidak semestinya yang sudah mencecah umur 45 tahun, kata Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, jika faktor umur diambil kira sebagai syarat bagi membolehkan seseorang menjadi calon, ramai pemimpin pemuda sebelum ini tidak bertanding dalam pilihan raya umum.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi calon pada 1978 dan 1976 ketika usia yang muda.

"Malah, pada 1990, Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan menjadi calon. Begitu juga bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad serta Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz. Semua berumur kurang 45 tahun ketika bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis berbuka puasa Persatuan Pengasih Malaysia bersama Pemuda Umno Wilayah Persekutuan di Rumah Pengasih, di sini semalam. Hadir sama Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Mohamad Norza Zakaria dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd Yunus Pathi Mohd.

Khairy diminta mengulas sama ada Umno perlu menetapkan tanda aras umur sekurang-kurangnya 45 tahun ke atas sebagai syarat menjadi calon pilihan raya umum.


Mengenai agenda membanteras penyalahgunaan dadah, beliau berkata, Biro Antidadah dan Gejala Sosial pergerakan itu berhasil menjalankan program membantu kerajaan membanteras gejala dadah di kalangan golongan muda, termasuk bekerjasama dengan Pengasih.

"Pemuda Umno akan memberikan segala bantuan kepada polis dan kerajaan untuk memerangi penagihan dadah," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy memuji peranan bekas penagih dadah yang membantu rakan mereka yang kini menjalani pemulihan di Rumah Pengasih.

"Mereka sebenarnya wira yang tidak didendang. Jika tanpa bantuan mereka masalah dadah akan menjadi lebih besar kerana hanya bekas penagih yang benar-benar berupaya membantu rakan menjalani pemulihan," katanya.

No comments: