Wednesday, October 10, 2007

Suhakam syor mansuh permit perhimpunan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesyorkan Seksyen 27 Akta Polis 1997 dipinda bagi memansuhkan syarat mewajibkan permohonan permit atau lesen daripada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan secara aman.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam, berkata cadangan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua 18 Pesuruhjaya Suhakam dalam satu mesyuarat di sini, kelmarin.

"Suhakam juga bercadang mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawai kanannya bagi membincangkan perkara ini secara terperinci sebelum mengesyorkannya kepada kerajaan.

"Sesiapa yang mahu membantah perhimpunan atau perarakan itu boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Siva Subramaniam berpendapat penganjur dan polis juga harus diwajibkan berbincang mengenai atur cara acara yang bakal diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat persediaan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, cadangan sama pernah dikemukakan Suhakam beberapa kali sebelum ini dan yakin pelaksanaannya dapat mengelakkan kejadian seperti rusuhan di Batu Burok, Terengganu, 8 September lalu, berulang.

Selain memansuhkan keperluan permit atau lesen, Suhakam juga menggesa pihak berkuasa tidak menggunakan kekerasan keterlaluan atau senjata berbahaya terutama peluru hidup untuk menyuraikan perhimpunan haram sehingga boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.

Mengenai siasatan Suhakam kejadian rusuhan di Batu Burok, Siva Subramaniam berkata ia terpaksa dihentikan kerana seorang penganggur, Khair Muzakkir Ali, kini dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terbabit dalam rusuhan itu.

No comments: