Wed | Oct 10, 07 | 7:59:52 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Hrkh) - Hasil siasatan awal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati berlakunya keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.
Demikian antara kenyataan media yang dibacakan Suruhanjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam petang semalam.
Kenyataan itu dibuat hasil daripada perbincangan mesyuarat Suruhanjaya Suhakam yang diadakan Isnin 8 Oktober lepas berhubung insiden 'berdarah' selepas polis cuba menyuraikan orang ramai yang menghadiri ceramah yang sudah pun dibatalkan anjuran badan pemantau pilihan raya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, kata Siva.
"Bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam hingga 2 pagi.
"Ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif ketika mengendalikan orang ramai," katanya.
Sewajarnya polis menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.
"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.
"Kita percaya seorang insan itu perlu dihormati dan mempunyai hak untuk hadir dalam perhimpunan aman," katanya menjelaskan tentang prinsip hak asasi manusia yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak.
Sepatutnya polis mengelak berlakunya kekerasan,kecederaan dan penggunaan asakan fizikal tetapi sebaiknya menggunakan budi bicara serta perbincangan dalam menghadapi perhimpunan aman, katanya.
Suhakam tidak boleh membuat Siasatan Awam
Dalam pada itu siasatan awal Suhakam tidak menemui sebarang bukti bahawa pihak penganjur mahupun pihak polis telah merancang untuk melakukan rusuhan pada malam tersebut.
Ketika ditanya wartawan, Siva berkata, siasatan awal itu gagal menentukan punca sebenar berlakunya rusuhan tersebut tetapi menjelaskan secara umum bahawa sesuatu yang dibenarkan tetapi dilarang menyebabkan perkara tersebut terjadi.
"Pada pandangan saya bahawa jika dibenarkan perhimpunan aman perkara seperti ini tidak akan berlaku," katanya yang memandang serius kejadian Batu Buruk itu.
Siva bagaimanapun menjelaskan lagi bahawa Suhakam memutuskan tidak akan mengadakan siasatan awam atas alasan perundangan walaupun maklumat awal yang dikumpulkan dalam siasatan awal Suhakam mendapati terdapat bukti keganasan polis dan pelanggaran hak asasi manusia sewaktu kejadian tersebut.
Katanya Suhakam "tidak mempunyai kuasa" untuk menyiasat rusuhan tersebut kerana ada kes mengenainya di mahkamah yang melibatkan seorang individu yang hadir di perhimpunan itu, Khair Muzakkir Ali, 22, atas tuduhan merosakkan harta benda awam dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada polis sewaktu kejadian rusuhan tersebut.
Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 melarang suruhanjaya itu daripada menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia apabila kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah, katanya.
"Jika undang-undang membenarkan, kita pasti menimbang (untuk mengadakan siasatan awam)," katanya ketika ditanya jika suruhanjaya tersebut akan mengadakan siasatan awam jika tiada lagi kes mengenainya didengar di mahkamah.
Tembakan ke udara?
Walaupun begitu, Suhakam tetap akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai cadangan suruhanjaya itu berhubung langkah-langkah kawalan orang ramai dan pindaan kepada Akta Polis 1997 mengenai pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam.
Suhakam akan mengesyorkan supaya Sesyen 27 Akta Polis 1997 dipinda untuk memboleh perhimpunan secara aman diadakan tanpa perlu mendapatkan permit dalam pertemuannya dengan Musa nanti.
Siasatan awal Suhakam yang diketuai oleh Siva sendiri telah menemubual sejumlah 43 individu yang terdiri daripada 13 "mangsa", 22 anggota polis dan lapan pemimpin parti pembangkang termasuk menyaksikan rakaman video antara 19 dan 20 September lalu.
Ditanya wartawan berhubung video insiden itu, Siva menjawab rakaman tersebut telah dibekal oleh pihak Polis dan FRU memandang penganjur mendakwa semua kamera dan video di pihaknya telah dirampas oleh polis sebelum ini.
"Kita juga telah menyoal Konstabel yang menembak. Katanya dia melepaskan tembakan ke udara.
"Dan kita juga menemubual mangsa tembakan peluru hidup itu dan menyatakan bahawa dia ditembak daripada belakang," kata Siva yang menjawab soalan wartawan sambil menunjukkan gambar mangsa dan FRU yang tercedera kepada media namun tidak dapat menjelaskan secara terperinci dan membuat sebarang kesimpulan memandangkan Suhakam tidak dapat melakukan siasatan awam seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Siva juga menegaskan bahawa Suhakam tidak menyokong sebarang perhimpunan awam yang tidak diadakan secara aman, dan suruhanjaya itu mengklasifikasikan kejadian di Batu Buruk itu sebagai satu rusuhan, berdasarkan kepada bukti-bukti yang diperolehi.
Dalam insiden tersebut, tujuh orang dilaporkan cedera termasuk empat anggota polis dan dua orang awam yang terkena tembakan seorang anggota polis.- mks.
(Sebarang pendedahan, berita ataupun cadangan, sila emailkan kepada azaminamin1@yahoo.com dan salam Aidilfitri pada semua, segala salah dan silap mohon dimaafi. Hati-hati di jalan raya, insan tercinta setia menanti.)
No comments:
Post a Comment