Saturday, October 06, 2007

Persefahaman antara kaum ambil masa

Cadangan semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) bergabung menjadi satu parti politik memerlukan jangka masa untuk mengeratkan persefahaman dan hubungan antara kaum walaupun ia sukar dilaksanakan.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata ia berikutan setiap kaum di negara ini mempunyai parti yang memperjuangkan nasib mereka, walaupun bersatu di bawah BN.

Beliau berkata, banyak isu dan perkara termasuk berkaitan agama dan kaum dibincangkan secara bersama pemimpin setiap parti dalam BN seperti mesyuarat Kabinet, ahli majlis kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, cadangan itu bukan baru kerana pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar pernah mengemukakan perkara sama 50 tahun lalu, malah beliau juga ada membangkitkan cadangan berkenaan ketika menjadi Ketua Pemuda Gerakan pada perhimpunan Pemuda BN selama empat hari di Batang Ai, Sarawak pada 1983.

“Cadangan yang saya kemukakan mencetuskan perbahasan dan kesimpulan yang dibuat ketika itu ialah ia satu idea baik, tetapi mengambil masa untuk dilaksana khususnya di negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan bagaimana untuk melakukannya.

“BN bertindak sebagai satu parti dalam kerajaan dan pada peringkat kepemimpinan juga hubungan dan integriti sudah lama terjalin tetapi kita yakin ia boleh dilakukan lebih daripada itu termasuk pada peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Wanita dan Pemuda Gerakan Ke-20, di sini semalam. Hadir sama Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Gerakan, Mah Siew Keong dan Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe.

Mah ketika berucap mengemukakan cadangan supaya 14 parti komponen BN bergabung menjadi satu parti iaitu BN bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.

Beliau berkata, selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, Pemuda Gerakan perlu mengambil langkah pertama menyatukan semua 14 parti dalam BN.

“Mewujudkan satu parti gabungan komponen dalam BN termasuk parti di Sabah dan Sarawak memerlukan banyak komitmen, kerjasama padu dan rundingan yang perlu dilakukan walaupun mengambil masa panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mencadangkan semua parti komponen BN perlu meningkatkan dan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan mengeratkan hubungan antara kaum terutama di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, tiada had masa atau rangka kerja khusus yang perlu disediakan kerana proses meningkatkan keakraban hubungan dan perpaduan antara kaum sepatutnya dilakukan secara berterusan.

“Banyak perkara yang masih perlu dilaksanakan sama ada di peringkat pemimpin dan akar umbi. Kita boleh kata ini satu proses evolusi dan hanya melalui aktiviti dan program, keyakinan tinggi dan saling menghormati antara kaum perlu terus diutamakan dan diamalkan,” katanya.

No comments: