Friday, May 26, 2006

Penurunan jumlah undi SPDP dikaji

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 25 Mei - Parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) akan mengkaji punca penurunan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya negeri lalu.

Presidennya, Datuk William Mawan berkata, satu jawatan kuasa ditubuhkan bagi melakukan penilaian mengenai punca yang boleh dikaitkan kepada kemerosotan undi di kalangan calon SPDP.

``Persoalan dan perkara berbangkit akan diserahkan oleh ahli parti untuk dibincang pada mesyuarat majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.

``Kita harus cari punca kenapa sokongan yang diterima semakin berkurang, selain itu isu yang ditimbulkan oleh pembangkang semasa kempen pilihan raya lalu juga akan dikaji,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak itu berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat SPDP di Batu Kawa, dekat sini hari ini.

Berbanding pilihan raya 2001, jumlah undi yang diperoleh kebanyakan calon SPDP menurun kali ini walaupun menang di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

Menurut Mawan, hasil daripada mesyuarat majlis itu akan diketengahkan pada mesyuarat agong tiga tahun sekali parti berkenaan yang akan diadakan pada 5 Ogos nanti.

``Kita tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ini, tambahan pula masih banyak perkara yang ada hubung kait dengan parti-parti komponen BN lain perlu diselesaikan,'' ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangan SPDP, beliau berterima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh pengundi serta jentera BN termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

``Tanpa sokongan BN pusat, halangan yang dihadapi SPDP sememangnya sukar.

``Sebagai sebuah parti muda, SPDP akan berusaha lebih gigih untuk menjadi sebuah parti demokratik yang menyumbang kepada kejayaan BN di Sarawak,'' ujarnya.

Katanya, kemenangan SPDP juga membuktikan parti yang diterajui oleh pemimpin pelbagai kaum itu disambut baik dan menyumbang kepada perpaduan masyarakat di negeri ini.

``Selain mempunyai anggota parti yang berkaliber, komposisi SPDP yang terdiri daripada calon Lun Bawang, Cina, Kedayan, Bidayuh dan Kenyah adalah kebanggaan yang kami tampilkan kepada BN.

``Malah, parti juga menerima banyak permohonan daripada orang ramai yang mahu menjadi ahli SPDP,'' katanya.

No comments: