Sunday, October 14, 2007

Usah mudah salahkan sasaran jika dakwah kurang berkesan

Basiron Abdul Wahab
Sun | Oct 14, 07 | 10:09:29 pm MYT

KUALA LIPIS 14 Okt (Hrkh) - Kecantikan Islam perlu disampaikan dengan cermat agar tidak menjejaskan kecomelannya, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar.

Menurutnya, kesilapan dalam menyampaikan Islam dengan cermat oleh individu dan jamaah Islam menjadi punca kenapa Islam ditolak masyarakat, dan bukannya kerana Islam itu yang tidak cantik.

Beliau berkata, individu pendakwah atau jamaah Islam tidak wajar cepat berputus asa dengan memberi lebel tertentu kepada masyarakat yang menolak dakwah, sebaliknya perlu bersikap proaktif dengan melihat kepada diri bagi mencari kesilapan serta segera memperbaikinya.

Hamzah menolak dakwaan kononnya majoriti masyarakat Melayu di negara ini tidak mampu berubah khususnya dalam membuat perubahan politik, sebaliknya beliau berpendapat apa yang berlaku ialah kesilapan dalam pengurusan strategi.

"Mengatakan masyarakat masyakat Melayu sukar membuat perubahan politik adalah tidak tepat, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan dalam pengurusan strategi," katanya ketika berucap sempena meraikan anak Lipis di perantuan, dekat sini.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak ialah menyusun strategi lebih sesuai dengan memberi penekanan kepada golongan sasaran secara lebih khusus.

Beliau berpendapat, hasil daripada kajian yang dibuat mendapati masyarakat Melayu memerlukan jentera parti mendekati sasaran secara lebih dekat selain mengekalkan strategi tradisional.

Katanya, melalui pendekatan itu, jentera parti mungkin perlu menyampaikan maklumat parti dari pintu ke pintu bagi menyaingi strategi lawan.

Beliau menambah strategi tersebut mungkin memerlukan usaha yang lebih kuat dan dilakukan secara berterusan dengan gerak kerja lebih bersungguh-sungguh.

Hamzah berkata, antara strategi yang diambil ialah bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

"PAS dan KeADILan mempunyai kekuatan masing-masing, PAS dengan kekuatan tersendiri begitu juga KeADILan mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki PAS.

Katanya, KeADILan banyak membantu PAS dalam menyediakan isu besar sebagai dalam isu membabit Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1999 dan kini parti itu banyak menonjolkan isu-isu berkaitan kehakiman.

No comments: