Sunday, October 14, 2007

Aidilfitri terakhir sebelum pilihan raya

Intan Abdullah
Sun | Oct 14, 07 | 5:51:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Aidilfitri kali ini diyakini perayaan Aidilfitri terakhir sebelum pilihan raya umum.

"Lepas ni, kita pilihan raya pulak," demikian pesanan AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud kepada seluruh pembaca Harakahdaily.

Beliau tidak menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat kemungkinan tarikh PRU akan diawalkan iaitu dalam tahun ini juga.

Tegasnya, ia adalah berdasarkan penilaian beliau dari segi ekonomi yang dijangka akan bertambah buruk pada tahun hadapan.

"Ekonomi negara dijangka semakin teruk pada tahun depan memandangkan kenaikan harga minyak. Kerajaan juga terpaksa menaikkan harga minyak selepas berakhirnya PRU sebagai 'hadiah' kemenangan Umno-BN,"tegasnya.

Dalam saranan yang disampaikan, beliau menasihati semua pihak supaya mengambil langkah yang bijak dan sesuai untuk mengelakkan pergantungan kepada persekitaran dalam keadaan Malaysia yang kini meningkatkan peratus makanan import.

"Semoga kita kembali daripada kampung dengan semangat baru, dengan berbekalkan semangat kemenangan syawal," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dr Mariah melahirkan kekesalan dengan cara kerajaan Umno-BN yang ghairah menghidangkan hiburan yang berlebihan sebagai tradisi dan budaya yang kurang sesuai bagi meraikan sambutan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

"semoga sambutan perayaan ini tidak akan meneutralkan amalan sebulan Ramadan," katanya dalam nada pesanan.

Beliau juga tidak lupa untuk menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat, parti-parti komponen Barisan Alternatif serta seluruh muslimin dan muslimat.

Dr Mariah juga mengingatkan para perantau yang pulang berhari raya di kampung agar sentiasa peka kepada keselamatan dan berhati-hati di jalan raya.

"Sambutlah dengan sederhana, yakni menjadikan syariat Allah sebagai panduan sambutan agar amalan di bulan Ramadan yang lalu tidak disia-siakan," katanya lagi./tajdid

No comments: