Tuesday, October 16, 2007

Jangan biarkan anak guam tertanya-tanya, tegur Suhakam

Harakahdaily
Tue | Oct 16, 07 | 9:46:14 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Okt - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegur peguam yang membiarkan anak guam mereka tertanya-tanya mengenai perkembangan kes mereka.

Malah kebanyakan tahanan reman mendakwa peguam mereka, "disebabkan jadual yang sibuk", jarang sekali mengunjungi atau menghubungi mereka selama lebih setahun.

Susulannya, Suhakam banyak menerima aduan daripada tahanan terhadap peguam yang dilaporkan "sibuk" dengan tugas mereka, oleh itu tidak dapat memberitahu perkembangan terkini kepada anak guam masing-masing.

"Ini merupakan antara aduan utama yang kami terima semasa melakukan lawatan ke penjara di seluruh negara," kata Pesuruhjaya Suhakam Dato' N. Siva Subramaniam kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata adakalanya peguam akan memaklumkan kepada anak guam yang mereka akan datang melawat tetapi tidak muncul meskipun pegawai penjara telahpun mengaturkan kunjungan tu.

Peguam terbabit seharusnya mengambil berat terhadap nasib anak guam mereka dengan memaklumkan perkembangan terkini kepada tahanan terbabit atau anggota keluarga terdekat bagi memastikan mereka mengetahui kemajuan kes, katanya.

"Memandangkan mereka ingin mendapatkan keadilan, Suhakam sesungguhnya percaya tahanan reman ini berhak mendapatkan khidmat yang lebih baik daripada peguam mereka," katanya.

Siva Subramaniam, bagaimanapun, berkata masalah itu timbul disebabkan sesetengah tahanan memilih untuk mendapatkan khidmat peguam kanan yang berkemungkinan sibuk dengan kes lain di mahkamah.

Beliau menegaskan bahawa tertuduh bebas untuk mendapatkan khidmat peguam mengikut pilihan mereka, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi mereka perlu bersedia menghadapi sebarang kelewatan dan halangan.

"Suhakam atau mana-mana pihak tidak boleh menghalang seseorang tertuduh daripada memilih peguam atau orang yang terkenal.

"Bagaimanapun, kami hanya boleh merayu kepada mereka (peguam kanan) supaya mengekalkan tahap profesionalisma dengan tidak membiarkan anak guam mereka tertanya-tanya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Amalan Jenayah Badan Peguam Kuala Lumpur N. Sivananthan berkata masalah itu tidak akan berbangkit sekiranya semua peguam mematuhi sepenuhnya Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Undang-undang.

Sependapat dengan pandangan Siva Subramaniam, Sivananthan berkata beliau turut menerima aduan serupa daripada tahanan dan pegawai di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, yang mendakwa peguam gagal melawat atau memaklumkan perkembangan terkini kepada anak guam mereka.

"Ada di antara tahanan reman yang terpaksa merengkok di penjara sehingga dua tahun disebabkan peguam mereka sibuk dengan kes lain," katanya.

Beliau berkata tahanan yang terjejas itu boleh mengemukakan rungutan mereka kepada lembaga disiplin Majlis Peguam atau menemui peguam sukarela di Pusat Bantuan Guaman Badan Peguam Kuala Lumpur yang melawat tahanan di kedua-dua penjara itu seminggu sekali.

"Bagi Pusat Bantuan Guaman ini, tahanan terbabit boleh mengadu rungutan mereka secara lisan untuk disiasat sebelum dibawa ke lembaga disiplin untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sivananthan, seorang anggota tribunal siasatan lembaga disiplin, berkata peguam tidak seharusnya mengambil terlalu banyak kes daripada yang mereka dapat kendalikan memandangkan langkah itu akan menjejaskan anak guam mereka.

Lima kes sehari

Beliau mendakwa ada peguam kanan yang mengendalikan sehingga lima kes setiap hari, dengan tiga hingga empat kes ditetapkan untuk perbicaraan di lokasi yang berlainan. "Bayangkanlah, seorang yang berada di bawah tahanan reman selama satu atau dua tahun, akhirnya diberitahu yang kesnya sudahpun ditetapkan untuk perbicaraan.

"Bagaimanapun, apabila tiba di mahkamah, dia dimaklumkan oleh pegawai mahkamah bahawa kesnya ditangguhkan kerana peguamnya terpaksa menghadiri kes lain," katanya.

Bagaimanapun, seorang peguam kanan dari Ipoh, Naran Singh, pula berkata pihak berkuasa penjara hanya membenarkan peguam melawat anak guam mereka dari Isnin hingga Jumaat, dan pemintaan untuk melawat pada hujung minggu ditolak.

"Daripada lima hari itu, sehari ditetapkan untuk lawatan majistret bagi melanjutkan perintah tahanan terhadap tahanan reman," katanya.

Baki empat hari lagi, katanya, peguam sibuk dengan kes mahkamah dan perlu menguruskan operasi harian di firma guaman mereka.

"Oleh itu pegawai penjara perlu mengkaji kemungkinan membenarkan peguam melawat anak guam mereka pada hujung minggu," katanya.

Dato' Syed Ahmad Idid, bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan bekas Pengarah Pusat Arbitrasi Serantau Kuala Lumpur, berkata masalah itu juga boleh dikaitkan dengan tahanan itu sendiri yang tidak segera menjelaskan bayaran guaman kepada peguam mereka.

"Tidak banyak peguam yang hidup senang. Apabila terdapat kelewatan dalam menjelaskan bayaran, mereka terpaksa menerima kes lain bagi menjalankan firma guaman mereka," katanya.

Syed Ahmad turut menarik perhatian bahawa peguam seharusnya dipandu sepenuhnya oleh Akta Profesion Undang-undang 1976, dengan bersikap munasabah dalam menerima kes yang mereka boleh kendalikan, dan memberi jaminan bahawa anak guam mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

"Peguam harus ingat sekiranya mereka seorang yang 'benar-benar tabah hati', mereka akan cemerlang dalam kerjaya dan akan dihormati oleh rakan setugas," katanya.

No comments: