Friday, October 12, 2007

Dua ahli PKR enggan dedah sumber klip video

KUALA LUMPUR: Dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendedahkan sumber klip video perbualan peguam dan hakim kanan, sekali lagi enggan berbuat demikian walaupun tempohnya berakhir semalam.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan penyelaras politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sim Tze Tzin, yang hadir di pejabat BPR Putrajaya bagi kali ketiga, tetap enggan mendedahkan kepada badan itu, mengenai sumber klip video berkenaan.

Sivarasa berkata, beliau sudah memberi jawapan bertulis kepada BPR bagi menjelaskan kepada badan itu mengapa beliau enggan mendedahkan sumber yang memberi klip video itu.


"Kami hanya akan mendedahkan identiti terbabit selepas mendapat persetujuan daripada orang berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.

Sivarasa berkata, jika BPR ingin tahu kesahihan klip video terbabit, badan itu boleh mendapatkan pakar teknikal untuk mengesahkannya.

Pada 20 September lalu, Sivarasa dan Sim membuat laporan kepada BPR dan meminta siasatan dijalankan terhadap klip video itu.

Mereka kemudian dipanggil oleh BPR bagi membantu siasatan dan mendedahkan sumber klip video itu.

No comments: