Thursday, October 11, 2007

Teguran hendaklah membina – BNBBC

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH 10 Okt. – Teguran ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta kerajaan di bawah pimpinannya seharusnya bersifat membina dan bukannya secara membuta tuli.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, kesediaan Perdana Menteri menerima teguran tidak sepatutnya diambil kesempatan oleh mana-mana pihak tertentu hingga menimbulkan suasana benci membenci dan rusuhan.

‘‘Kami mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri menerima teguran secara telus kerana ia memperlihatkan sifat terbuka beliau.

‘‘BNBBC beri teguran membina bukan seperti parti pembangkang. Kami akan terus main peranan ikut acuan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan raya kepada anak-anak yatim dan orang miskin di Masjid Pakistan Ipoh di sini malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 60 penghuni Yayasan Kebajikan Hawa Kinta dan orang-orang miskin sekitar bandar raya ini menerima bantuan baju raya, beras, makanan dan duit raya dari pemilik kedai emas D.S. Jewellers, Amaludiin Ismail.

Sumbangan disampaikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Mohamad Rafiai Moktar.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, kesediaan Perdana Menteri itu harus dilihat daripada sudut positif bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan supaya Wawasan 2020 dapat dicapai.

Birokrasi

‘‘Kerajaan mahu membangunkan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

‘‘Jika sistem penyampaian kerajaan masih tidak tersusun dan dipenuhi kerenah birokrasi, macam mana Malaysia hendak jadi negara maju,” katanya.

Beliau berkata, BNBBC akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu forum sehari pada 21 Oktober ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Raja Ahmad menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah mewujudkan sistem data mengenai penduduk setinggan dan rakyat miskin di kawasan masing-masing.

Dengan adanya sistem yang lengkap dan terkini, katanya, ia membolehkan kerajaan memberi bantuan yang perlu kepada golongan tersebut.

‘‘Kita tidak mahu orang luar cakap Malaysia hendak jadi negara maju tetapi ada rakyatnya yang masih hidup merempat.

‘‘Kerajaan mempunyai macam-macam bantuan seperti rumah, wang kebajikan, perubatan dan sebagainya,” jelas beliau.

Beliau menegaskan, sistem data itu perlu diwujudkan oleh semua PBT walau dengan apa jua kaedah sekalipun supaya bantuan dapat dihulurkan kepada mereka yang layak.

No comments: