Sunday, May 21, 2006

Isyarat positif dari Kuching

Sat | May 20, 06 | 11:29:35 PM
Oleh Ahmad Lutfi Othman

MENGEJUTKAN tapi cukup memberangsangkan. Kemenangan beberapa calon pembangkang, khususnya DAP yang dapat menewaskan dua menteri muda dalam pilihan raya umum Sarawak, juga kejayaan buat pertama kali calon KeADILan di Padungan, di samping penafian ketara majoriti calon BN oleh PAS, di Beting Maro, memberi makna besar buat gerakan oposisi di negara ini.

Walaupun tiada siapa menduga BN negeri akan ditewaskan, namun ramai beranggapan rakyat Sarawak tidak seberani itu untuk memberi pengajaran bermakna buat Abd Taib Mahmud.

Khususnya bagi pengundi Cina, mereka memberi isyarat jelas bahawa kehadiran pembangkang amat diperlukan untuk memastikan peranan semak dan imbang terlaksana dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dari sudut ini, gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perlunya pembangkang wujud secara berkesan dalam amalan demokrasi disambut baik rakyat Sarawak.

"There should be an opposition because they are there to remind us that we are making mistakes or that we need to study things much more deeply. But if there is no opposition, you’ll think that whatever you do is right and it may be very, very wrong," ucapan Mahathir yang kini diedarkan melalui DVD dipetik.

Bagi saya, persefahaman antara parti-parti pembangkang untuk mengelak pertembungan sesama sendiri - biarpun tidak semuanya dapat bergabung dalam satu barisan - sudah cukup baik. Ia petanda positif untuk pilihan raya umum nanti, bagi menentukan BN ditentang satu lawan satu.

Kemenangan calon KeADILan, Dominique Ng Kim Ho tentunya bagai azimat penting buat penyokong parti itu di Semenanjung, sekurang-kurangnya dapat melonjakkan semangat dan menyuntik keyakinan baru, sesuatu yang saya kira cukup penting untuk penggerak, aktivis dan pemimpin pembangkang buat masa ini.

Bukan rahsia lagi bahawa kelesuan yang berpangkal daripada keputusan pilihan raya umum 2004 masih belum terubat. Isu-isu yang kerap muncul, misalnya kenaikan harga minyak, isu IFC, pembatalan jambatan bengkok dan faktor Mahathir, sesekali dapat menghangatkan "kesejukan" senario politik, tetapi gerakan pembangkang memerlukan lebih daripada itu, dan diharapkan pilihan raya Sarawak dapat membantu.

Sebagai titik mula Anwar Ibrahim "berkampung semula" di negara ini, kemenangan sulung itu amat berharga sekali. Anwar wajar memulakan operasinya, dari Kuala Lumpur, secara lebih tersusun, dan tidak membiarkan spekulasi nakal tentangnya terus merebak.

Keputusan di Sarawak, khususnya sekitar Kuching membuktikan pembangkang bukan saja relevan tetapi juga boleh dimantapkan lagi jika beberapa pengubahsuaian dapat dibuat.

Walaupun DAP mungkin merasakan langkahnya untuk tidak dikaitkan, sama ada dengan KeADILan dan juga PAS, sebagai tindakan yang betul di Sarawak, namun bagi saya, percaturan di Semenanjung tidak semudah itu.

Benar, pengundi Cina lebih tertarik dengan saranan untuk memperkukuhkan pembangkang, bukan mengambil alih kerajaan, tapi psikologi pemilih Melayu lebih kompleks.

Atau, menyahut saranan Mahathir itu, maka parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan KeADILan, perlu membetulkan tema kempen ke arah mewujudkan barisan pembangkang yang berwibawa dan berkesan, dengan memastikan lebih ramai wakil di Parlimen dan Dun, bukannya usaha menubuhkan kerajaan alternatif? Segalanya terbuka untuk perbincangan lanjut. -mr

HARAKAHDAILY

No comments: