Saturday, May 20, 2006

Beting Maro, PAS hakis majoriti BN kepada 895 undi

Sat | May 20, 06 | 10:32:39 PM
Oleh Mohd Rashidi Hassan

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - PAS mencatat kejayaan membanggakan di N.24 Dewan Undangan Negeri Beting Maro, Sarawak kerana berjaya mengurangkan majoriti Barisan Nasional di kawasan tersebut kata Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md. Ramli.

Menurut beliau dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak tahun 2001, BN mencatatkan majoriti sebanyak 3034, bagaimanapun berdasarkan keputusan pengundian yang diadakan sebentar tadi, majoriti calon BN hanya tinggal 895 undi sahaja.

Beting Maro mempunyai seramai 7,267 pengundi, di mana Melayu Melanau sebanyak 91 peratus, Cina (2.28 peratus) dan Iban (6.73 peratus).

"Bagi PAS, walaupun kita hanya bertanding satu kerusi sahaja, ini adalah permulaan yang amat baik untuk kita kembangkan sayap di seluruh negeri Sarawak," ujarnya.

Calon PAS, Haji Alem Din memperolehi 1901 undi berbanding dengan calon BN, Bolhasan Di yang meraih sebanyak 2796, manakala 45 undi rosak dengan peratusan keluar mengundi sekitar 50 peratus sahaja.

Bagaimanapun berdasarkan keputusan ini menurut Dr Hatta, berbanding dengan keputusan 2001, BN menerima tamparan hebat kerana selain undi PAS meningkat sebanyak 502 undi, jumlah undi yang diperolehi oleh calon BN yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, berkurangan sebanyak 1637 undi.

Untuk rekod, dalam PRU 2001 di Dun Beting Maro, Bolhasan memperolehi 4433 undi menewaskan calon PAS, Abang Ahmad Abang Dahlan yang hanya meraih 1399 undi.

Apa yang mengejutkan kata Dr Hatta, di kawasan peti undi Beladin, calon PAS berjaya mengatasi BN di semua enam saluran tempat mengundi.

"Cuma sekarang ini kita harus bekerja keras untuk meyakinkan kaum Iban untuk turut menyertai perjuangan universal yang kita pelopori," ujar beliau.

Bagi pihak PAS beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada petugas-petugas pilihan raya PAS yang datang dari Semenanjung dan juga kalangan rakyat tempatan yang begitu komited membantu gerak kerja pilihan raya.

Katanya, bagi pihak PAS Sarawak, beliau juga berterima kasih dengan para dermawan yang banyak membantu kelancaran jentera pilihan raya PAS di Beting Maro.

HARAKAHDAILY

No comments: