Thursday, November 15, 2007

Orang muda perlu didedah politik – Musa Hitam

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Golongan muda disaran bergiat aktif dan sentiasa bersiap sedia menjadi pelapis pemimpin yang berkaliber untuk meneruskan agenda politik negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, pendedahan itu penting untuk mereka menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat.

‘‘Ia sebenarnya satu pengalaman menarik. Golongan muda ini boleh mula berfikir secara adil dan melihat semua perkara dari aspek yang natural.

‘‘Politik mendisiplinkan golongan muda. Ia membuka pemikiran yang sempit kepada satu pandangan jelas mengenai masa depan dan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian buku The Unmaking of Malaysia di sini hari ini.

Buku setebal 271 muka surat hasil tulisan Ahmad Mustapha Hassan itu menceritakan kembali perbezaan cara penulis bekerja semasa berkhidmat di bawah dua bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia juga berkisar tentang kejadian berdarah, 13 Mei 1969 selain cara yang digunakannya untuk menemukan dua bekas Perdana Menteri itu dan bagaimana mengendalikan kerenah ahli perniagaan.

Tambah Musa yang juga Timbalan Presiden UMNO dari 1981 hingga 1987, kelahiran buku itu dilihat sebagai satu cara untuk membangkitkan kembali semangat kenegaraan yang semakin pudar di kalangan rakyat.

‘‘Secara jujurnya, objektif penerbitan buku ini sudah tercapai. Ia mengandungi cerita yang seharusnya diketahui pembaca tentang konsep pemerintahan pemimpin negara dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka,” ujarnya.

BPR panggil Jeffrey beri keterangan

KOTA KINABALU 14 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah hari ini merekod keterangan Naib Pengerusi Ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berhubung laporan polis yang dibuatnya mengenai penganugerahan darjah tertinggi negeri kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan.

Jeffrey dilihat tiba di Ibu Pejabat BPR di sini, kira-kira pukul 10 pagi untuk diambil keterangan.

Ketika ditemui, Jeffrey memberitahu, beliau menerima panggilan daripada ibu pejabat BPR minggu lalu untuk direkod keterangan hari ini.

‘‘Ia berhubung laporan polis saya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengenai penganugerahan darjah kebesaran kepada Ketua Pengarah BPR (Said).

‘‘Ketika penganugerahan darjah berkenaan, BPR masih menyiasat kes rasuah membabitkan Ketua Menteri (Musa).

‘‘Selepas (penganugerahan darjah) itu, BPR mengumumkan Ketua Menteri bebas daripada kes rasuah. Adakah siasatan kes sudah dikompromi?'' katanya di sini, hari ini.

Penganugerahan darjah kebesaran tertinggi kerajaan negeri iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) itu diberikan kepada Ahmad Said ketika sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah ke-61 pada 27 Oktober lalu.

Jeffrey seterusnya berkata, beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembiranya kerana pihak BPR telah memberi reaksi segera terhadap kes tersebut.

BPR ambil keterangan Jeffrey

KOTA KINABALU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah mengambil beberapa dokumen daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, selepas menemubualnya di pejabat BPR di sini, semalam.

Difahamkan, Jeffrey dipanggil ke pejabat BPR berikutan dakwaannya sebelum ini kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, terbabit dalam rasuah.

Pengarah BPR negeri, Latifah Mohd Yatim, yang dihubungi Berita Harian semalam, mengesahkan pegawai BPR mengambil dokumen berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan sama ada dokumen berkenaan mempunyai kaitan dengan dakwaan Jeffrey sebelum ini atau sebaliknya.



Pada 4 November lalu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, dilaporkan sebuah stesen televisyen swasta sebagai berkata, siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Musa sudah ditutup kerana didapati tiada kes.

Laporan berkenaan adalah berikutan dakwaan Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub ketika menghadiri Forum Integriti di Institut Integriti Malaysia (IIM) di Kuala Lumpur pada tarikah sama, kononnya BPR tidak menjalankan siasatan terhadap dakwaan Musa terbabit dalam rasuah.

Guru kena tindakan jika berdemonstrasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengesan guru yang mungkin terbabit dalam perhimpunan haram anjuran parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) di beberapa lokasi di ibu negara, Sabtu lalu.

Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang, berkata pihaknya memandang serius pembabitan guru kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan seperti termaktub dalam Perintah Am.

Beliau berkata, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati bersalah, termasuk mencadangkan mereka dibuang kerja, turun pangkat atau menahan kenaikan gaji.

"Peraturan kerajaan dalam Perintah Am adalah jelas dan perlu dipatuhi semua pihak terbabit. Mereka yang bersalah sudah pasti tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan," katanya selepas melancarkan Hari Integrasi atau e-Integrasi Kelompok Sentul di sini, semalam.

Sabtu lalu, seramai 254 individu, berusia antara enam hingga 55 tahun ditahan selepas disyaki menyertai perhimpunan haram di sekitar ibu negara, meskipun diarahkan bersurai oleh polis.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai pembabitan mana-mana guru dalam perhimpunan haram berkenaan.

Mengenai penahanan 18 kanak-kanak pada perhimpunan haram itu, beliau berkata, kementerian sedang menunggu laporan lengkap mengenainya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dilaporkan berkata sekiranya 18 kanak-kanak yang ditahan itu pelajar, mereka tidak akan dibuang, sebaliknya perlu melalui proses pemulihan.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, kementerian sedia menimbangkan cadangan untuk memperluaskan program e-Integrasi ke Sabah dan Sarawak sekiranya projek perintis yang sedang dilaksanakan di Semenanjung berjaya.

Wednesday, November 14, 2007

'Bila pula polis dibenarkan rompak baju kuning rakyat?'

Ali Bukhari Amir
Wed | Nov 14, 07 | 1:25:03 pm MYT

Di hujung 1990-an, setelah Reformasi Indonesia berhasil meranapkan tembok kekuasaan tirani Presiden Suharto yang menyaksikan puluhan khalayak dan mahasiswa Universitas Trisakti hilang, maut dan tenggelam dalam badai amukan tentera, ada jalur fahaman lain menjelma mengiriingi peristiwa berdarah itu. Protes rakyat aman kerana dikawal polis!

Ketika mengulas insiden keganasan polis Malaysia dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat baru-baru ini, wartawan penyair dari Batam, Indonesia Hasan Aspahani, 37, berkata hal itu tidak berlaku lagi di mana-mana tempat di negara jiran tersebut.

"Saya tidak ingat nama undang-undang itu secara jelas. Tapi sememangnya ada undang-undang yang menyebutkan bahawa aksi dan protes itu dikawal oleh polis dengan aman, tanpa ribut. Asalkan perhimpunan itu tidak bersifat anarkis.

"Pokoknya, hal itu sudah menjadi fahaman umum dalam kalangan warganegara bahawa setiap aksi dan protes itu akan dilindungi oleh polis supaya tidak berlaku apa-apa ke atas khalayak,” kata Hasan sambil menyifatkan tuntutan Bersih itu sudah tepat pada saatnya.

Adakah polis Malaysia dan pemerintah dijangkiti penyakit sadisme atau pun penderitaan secara psikologi di mana para pesakit jiwa itu gemar melihat mangsanya menderita akibat dipukul, ditendang dan mengerang kesakitan?

Kalau benar, amat malang bagi rakyat negara ini kerana penyakit kejiwaan itu membarah dan merebak ke dalam hati pihak berkuasa dan tiada pakar peru batan yang dapat merawat 4,000 anggota 'keselamatan' yang ditugaskan mengawal ketenteraman rakyat amnya.

Bukan cabar kuasa

Sementara itu, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dalam temuramah eksklusif bersama penulis menerusi gerbang maya berkata, rakyat Malaysia tak perlu takut untuk menuntut hak mereka secara berterusan walaupun terdedah dengan ancaman dan tekanan pemerintah.

"Rakyat berhak menubuhkan parti dengan manifesto sendiri dan bertanding dalam pilihan raya. Demonstrasi tidak menjatuhkan kerajaan. Tidak betul disebut bahawa perhimpunan itu adalah pemberontakan.

"Rakyat bukan cabar kuasa. Tetapi, cuma mengingatkan perlunya dilaksanakan reformasi sebenar dan janganlah mencabar ketuanan Tuhan dengan menderhaka dan menipu," kata Abdul Ghani lagi.

Kekerasan polis dan FRU ini, kata beliau, dengan sendirinya telah menunjukkan kerajaan sendiri mencemarkan imej negara dengan tindakan tidak demokratik dan penguasa seperti mahu menunggang minda bangsa hingga membawa mereka melonjak ke angkasa.

"Siapa yang kerahkan polis sempitkan jalan? Saya dengar ada orang yang ingin datang ke ibu kota dan akhirnya dipaksa pulang ke kampung masing masing.

"Jalan raya yang sesak dengan sekatan itu tiada faedah, melainkan menghabiskan minyak kereta orang ramai yang beribu ringgit. Kehadiran demonstran tidak banyak menghalang laluan kecuali di istana dan di beberapa simpang terhad untuk menyeberang," katanya.

Kesesakan seluruh negara pada hari itu, kata Abdul Ghani, adalah disebabkan polis yang hanya menurut arahan Umno. Beliau turut membangkitkan persoalan yang menunjukkan pihak kerajaan dan polis seperti lumpuh daya fikiran atau bertindak di luar kewarasan.

"Malah, ada yang merampas baju kuning orang ramai. Bila polis dibenarkan 'merompak' baju rakyat? Apa salahnya memakai baju kuning dengan tulisan khas atau mungkin telah ada pihak tertentu yang yang gentar terhadap baju kuning itu?

"Kenapa dituduh mencemarkan institusi raja apabila Agong terima memorandum rakyat? Bukankah BN yang zalim memerintah boleh ditakrifkan sebagai mencemarkan nama baik raja dan negara juga?

"Polis yang memberi permit demo kepada Umno BN, tapi tidak beri kepada rakyat adalah polis yang dipengaruhi. Polis hanya bersikap profesional apabila tampuk negara dipegang oleh pimpinan yang adil dan bermaruah," kata beliau lagi.

Berhubung gesaan Anwar untuk buat perhimpunan 200,000 rakyat dalam 3 minggu lagi, beliau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan itu terhadap kebijaksanaan pimpinan.

Gelombang fesyen kuning

"Perhimpunan yang ramai itu tentu perlukan persiapan masa lama. Ia mestilah sempurna dengan logistik dan perlu diperhalusi. Bagaimanapun, saya tertarik dengan cadangan agar memakai baju kuning Bersih setiap hari Sabtu. Ini untuk memberi tekanan agar penguasa menyerah kepada kemahuan rakyat akhirnya," katanya.

Mungkinkah budaya menguningkan pejabat, melahirkan trauma kuning ke atas penguasa akan berterusan hingga pilihan raya ini? Jikalau fenomena trauma kuning, menguningkan ceramah pembangkang berjaya dilaksanakan, tentunya hal ini akan memeningkan kepala Umno dan menambahkan demam kuning ke atas pihak polis pula.

"Kita perlu latih polis agar tidak lagi merompak baju kuning. Saya cadang baju itu dijahit dalam pelbagai potongan. Boleh buat baju Melayu yang banyak kocek. Ini akan cetuskan gelombang fesyen Bersih yang terbaru," kata Abdul Ghani.

Kebanyakan revolusi dan budaya menentang di Barat akhirnya melahirkan fesyen-fesyen. Gaya rambut Neo-Nazi, ala punk adalah kesan pemberontakan tertentu yang lahir melalui fesyen pakaian. Mungkinkah gelombang kuning bakal lahir dalam bentuk fesyen pakaian dalam acuan revolusi ala kita sendiri?

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz ketika mengulas isu perhimpunan 100,000 rakyat kepada wartawan di Lobi Parlimen pada 12 November lalu berkata, Umno juga mampu meraih sokongan rakyat melalui perhimpunan jika ada pihak tertentu yang mahu mereka buktikan kekuatan daripada sokongan massa.

"Jika pembangkang fikir perhimpunan 100,000 rakyat itu adalah bukti bahawa rakyat kini menyokong mereka, maka kita juga dapat berbuat begitu. Kita akan himpun sejuta rakyat bagi menunjukkan bahawa rakyat kini menyokong Umno!" katanya dengan nada angkuh.

Barangkali Bersih boleh mencabar Nazri untuk menghimpunkan rakyat dengan cara yang sama? Sudah pasti tiada sekatan jalan, water canon, bom pemedih mata yang dihadiahkan FRU - PDRM kerana perhimpunan ini bermotifkan wang.

Umno tentu terpaksa mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk mengupah mat rempit bermotor di jalan raya hanya semata-mata mempertahankan ego mereka. Silap hari bulan, akan terjadi pertembungan aksi berdarah antara mat rempit - FRU. Lebih ganas dan liar!


Gelombang rakyat 10 Nov mampu kekalkan momentum

Roslan Shahir
Wed | Nov 14, 07 | 6:55:46 pm MYT

Pada pagi Sabtu bersejarah itu perjalanan saya menaiki komuter KTM dari Subang Jaya ke hentian di Bank Negara terasa begitu perlahan. Orang ramai dalam komuter luar biasa ramainya bagi perjalanan pagi Sabtu, iaitu hari tidak bekerja.

Apabila tiba di stesyen KL Sentral perjalanan kami terhenti buat seketika atas pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak KTM. Saya menjangkakan kerja-kerja untuk menggagalkan Himpunan Aman Rakyat anjuran Bersih petang nanti sudah bermula.

Dari perhentian Bank Negara atas nasihat seorang anggota Pemuda PAS Shah Alam yang saya jumpa atas komuter tadi, saya berjalan kaki dengan iringan beliau terus ke Pejabat Agung di Jalan Raja Laut, kerana pagi itu pimpinan PAS termasuk Dato' Seri Tuan Guru Presiden akan diberikan taklimat terkini tentang status terkini perhimpunan tersebut.

Pejabat Agung ketika itu seolah dikepung oleh anggota polis, kereta peronda polis dan anggota RELA, termasuklah anggota Cawangan Khas yang walaupun tidak beruniform sudah boleh dikenali oleh orang-orang PAS.

Alhamdulillah kehadiran anggota Unit Amal yang lengkap berunifrom di hadapan pintu masuk utama Pejabat Agung memberikan semangat kepada suasana yang menjadi semakin kelam dan tegang itu.

Gagalkan perhimpunan

Suasana menjadi sedemikian kerana usaha-usaha pihak tertentu untuk menggagalkan himpunan aman ini sudah berjalan sejak sehari dua sebelumnya. Kenderaan termasuklah bas yang membawa masuk ahli dan para penyokong PAS dari luar KL telah dihalang dan sengaja dilambat-lambatkan.

Seorang bekas calon PAS di Terengganu ditahan keretanya selama hampir 30 minit atas pelbagai alasan dan kemudian dibebaskan begitu sahaja.

Di tingkat empat Pejabat Agung, pimpinan tertinggi parti sedang bersedia untuk bersama rakyat di perhimpunan tersebut. Masing-masing mengenakan pakaian kuning khasnya t-shirt Bersih yang telah sedia ditempah.

Tuan Guru Presiden sendiri mengenakan vest yang disediakan oleh Dewan Muslimat. Taklimat demi taklimat diberikan tentang perkembangan di Dataran Merdeka dan pusat-pusat berkumpul yang telah ditetapkan iaitu di Masjid Negara, Masjid Jamek, perkarangan Sogo dan perkarangan Central Market,

Dataran Merdeka telah ditutup sementara kedua-dua masjid Jamek dan Masjid Negara ditutup sebentar dan dibuka kembali memandangakan umat Islam mahu menunaikan solat zohor.

Di hujung taklimat Tuan Guru Presiden telah membacakan doa dan diaminkan oleh semua pimpinan kanan parti yang hadir (yang tidak hadir tanpa alasan syarie pasti akan dipertanggungjawabkan oleh perwakilan dalam Muktamar PAS yang akan datang).

Sejurus itu hujan mula membasahi bumi Kuala Lumpur, hujan rahmat kata Presiden. Dan rupanya memang ia hujan rahmat kerana kemudiannya hujan yang samalah yang telah membantu mencuci air kimia yang disembur ke atas tubuh para pejuang rakyat dijalanan di samping meredakan longgokkoan gas pemedih mata yang ditala ke arah perhimpunan.

Lebih kurang jam 12 tengahari pimpinan diketuai Presiden dan Timbalan Presiden bergerak ke destinasi masing-masing yang telah ditetapkan. Dr Hatta Ramli, Dato' Tuan Ibrahim, Dato' Dr Hassan Ali menuju ke Masjid Jamek, Dato Dr Mahfuz dan Mazlan Aliman sudah menunggu di Central Market sementara Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Samsuddin, Dato' Takiyuddin, Ustaz Dato Abu Bakar Chik menuju ke Sogo.

Turut bergerak ketika itu yang sempat saya perhatikan adalah Salahuddin Ayub, Ustazah Nuridah, Ustaz Idris Ahmad, Dr Dzulkifli, Dr Syed Azman, Hj Asmawi, Dato' Wan Mutallib, Ustaz Mujahid, Hanipa Maidin dan Amiruddin.

Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden, Dato' Kamarudin Jaafar, Mahfuz Omar dan Mohammad Sabu, tiba di Masjid Negara tepat pada waktu Zohor dan terus menunaikan solat Zohor berjemaah diikuti dengan solat hajat yang dipimpin oleh Tuan Guru Presiden sendiri.

Hujan ketika itu terus turun mencurah-curah menambahkan kedinginan suasana walaupun jam sudah melewati 1 petang. Saya lihat di Masjid Negara ribuan telah berhimpun terutama wakil-wakil dari utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing bersemangat menunggu arahan pimpinan. Mereka ternyata gembira apabila pusat mereka menjadi pusat buat pimpinan tertinggi parti juga.

Kira-kira jam 2.30 petang keputusan diambil agar semua yang hadir bergerak ke Istana Negara. Mereka yang berkumpul di Sogo dan di Central Market dan Masjid Jamek dikhabarkan akan bergerak serentak dan bertemu di hadapan Istana Negara.

Bakar semangat

Ketika itu Presiden yang sepatutnya dipandu ke Istana Negara membuat keputusan untuk berjalan mengepalai perarakan ini. Sudah pastilah kehadiran Tuan Guru Presiden itu sendiri terus membakar semangat mereka yang hadir walaupun dalam keadaan cuaca yang terus dingin. Maka bergeraklah ribuan yang berada di Masjid Negara ke arah Istana Negara diketuai oleh Presiden PAS sendiri.

Saya sendiri sangat bimbang ketika itu kerana di luar sana, ratusan anggota polis termasuk FRU dan lain-lain sudah lengkap bersedia. Saya bimbang jika mereka bertindak menghalang pergerakkan ini sedangkan Presiden berada di barisan hadapan. Tapi alhmadulillah kami melangkah keluar tanpa sebarang halangan dari sesiapa selain kebisingan deruan injin helikopter PDRM yang sibuk memantau dari udara.

Presiden dan saf pimpinan lain termasuk pimpinan KeADILan diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim, lain-lain NGO dan pimpinan DAP melangkah pantas dan berani menuju ke Istana Negara diiringi ratusan anggota Unit Amal yang begitu berdedikasi dan komited. Semuanya berjalan dengan penuh teratur dan lancar.

Demikianlah sehingga sampai di Istana Negara dan kemudiannya selesai majlis penyerahan memorandum Bersih ke wakil Yang di-Pertuan Agong. Di Istana Negara, semua yang berkumpul disekitar KL tadi berhimpun menjadi satu kumpulan besar sayup sejauh mata memandang. Tidak ketinggalan saya lihat pimpinan dan anggota Dewan Muslimat di samping Dr Lo'lo dan Dr Siti Mariah dan Dewan Pemuda.

Apa yang mahu saya sebutkan di sini, sesungguhnya Perhimpunan Aman ini (walaupun terdapat gangguan di Masjid Jamek dan hadapan Bangunan Dewan Bandaraya di Jalan Raja Laut) terbukti begitu berjaya. Kejayaan bukan sekadar diukur pada berjayanya diserahkan memorandum sebagaimana yang dicadangkan tetapi lebih-lebih lagi kehadiran puluhan ribu rakyat Malaysia tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik.

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh laman-laman web dan blog yang bukan PAS (tidak dimiliki atau dikendalikan PAS atau ahli-ahli PAS) ramai yang tidak aktif dalam mana-mana parti pun urut turun menjayakan himpunan ini kerana mahu menjadi sebahagian dari sejarah.

Tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang tidak cintakan amalan demokrasi dalam negara. Himpunan ini mahu mempertahankan dan memulihkan demokrasi, lalu tidak ada sebab untuk ianya ditentang oleh mana-mana pihak pun.

Selain itu saya percaya kenaikan kos hidup yang melampau turut mendorong orang-ramai yang kini memiliki keresahan yang sama untuk turun membuat tuntutan. Ada sahabat yang mendengar anggota polis yang bertugas pada hari tersebut turut berbual berkenaan bahana kenaikan kos hidup ini.

Cintakan Raja, negara

Kesimpulannya, perhimpunan ini telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia. Ia bukan anjuran PAS atau KeADILan atau DAP, tetapi ia anjuran rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan keadilan.

Perhimpunan ini menjadi bersejarah apabila ia diraikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan menerima memorandum rakyat itu. Tidak ada ekstrimis agama atau ekstrimis kaum dalam perhimpunan ini, yang ada cuma rakyat Malaysia yang cintakan Raja dan Negara mereka.

Perhimpunan ini bagi saya adalah permulaan gelombang rakyat, yang dikejutkan dari lena mereka, untuk bangun dengan berani menuntut hak mereka yang semakin dikikis dan dinodai.

Sekiranya momentum rakyat ini terus berkekalan tidak mustahil, arus yang kuat ini akan mencuci dan menendang keluar segala kelodak dan kekotoran sehingga akhirnya terbina sebuah negara yang benar-benar adil dan saksama di bawah payung Raja kita yang dikasihi, dengan diterajui oleh saf pimpinan baru yang berwibawa dan bertaqwa.

Syabas rakyat Malaysia!

Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS.

Kemerdekaan negara ini bermula dengan demonstrasi

Abdul Halim Mohd Rashid
Wed | Nov 14, 07 | 7:43:37 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Hrkh) -Kemerdekaan negara ini bermula dengan demonstrasi demi demonstrasi yang digerakkan oleh para pejuang kemerdekaan, kata Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman.

Sambil menolak dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kononnya perhimpunan aman rakyat bukan cara Malaysia, Dr Hayati berkata sejarah merakamkan dengan terang dan jelas bahawa para pemimpin Umno sendiri berdemonstrasi menentang penjajahan British termasuk Malayan Union.

"Ketika menentang Malayan Union, Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri memimpin demonstrasi menentang Malayan Unnion dan beliau adalah antara pengasas Umno malah Presiden Umno yang pertama," katanya.

Di samping gerakan-gerakan perjuangan yang lain, demonstrasi demi demonstrasi yang bermula ketika penentangan Malayan Union itulah yang merintis jalan ke arah kemerdekaan negara ini.

"Kalau tidak kerana demonstrasi demi demonstrasi, mungkin negara ini tidak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957," katanya.

Beliau kesal dengan Perdana Menteri dan pengampu-pengampunya yang bercakap "ikut sedap mulut" tanpa membuat kajian.

"Kerana cakap ikut sedap mulut itu, ada blogger yang menyifatkan Perdana Menteri dan menghina Onn," katanya.

Blogger Amin Iskandar (aminiskandar.wordpress.com) menyatakan: "Pak Lah yang diketahui umum dikawal oleh menantunya telah menghina pengasas Umno, Dato Onn Jaafar. Kenyataan Pak Lah yang mengatakan bahawa demonstrasi jalanan bukan budaya Malaysia dan Umno adalah satu fakta yang salah.

"Perdana Menteri kelima itu telah menidakkan peranan “Demonstrasi Jalanan” yang dipimpin oleh Dato Onn Bin Jaafar (atuk Ketua Pemuda Umno) dalam melawan Malayan Union".

Perdana Menteri mendakwa, demokrasi jalanan "bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara amalan demokrasi Malaysia. Amalan demokrasi jalanan kita tak dapat terima langsung".

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, berhimpun dan mengadakan demonstrasi, menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan yang sah dari segi syara' dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran.

"Ia suatu pendekatan yang berkesan untuk menyerlahkan pengaruh dan kuasa kebenaran," katanya.

Dengan itu, katanya lagi, orang yang zalim akan kembali sedar menginsafi kesalahan diri mereka.

"Hukum asal berhimpun secara aman dan berdemonstrasi adalah harus .

"Tapi kalau dirujuk kepada ‘Maqasid al Syaria’ah’ ia mungkin menjadi ‘Mandub’ atau sunnah. Malah ia mungkin beralih kepada hukum wajib seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka atau di jalan raya," kata Abdul Ghani.

Beliau memetik pandangan Syaikh Abdul Rahman Abdul Khaliq yang menyatakan demonstrasi ada disebutkan sebagai salah satu cara yang diambil oleh Rasulullah s.a.w. untuk mengenengahkan kekuatan Islam dan sebagai salah satu cara dakwah.

"Ini berlandaskan hadith bahawa kaum muslimin keluar beramai-ramai setelah Omar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan. Satu barisan diketuai oleh Hamzah r.a. dan satu lagi diketuai oleh Omar.

"Teriakan mereka terdengar bagaikan deru kisaran tepung sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan saya tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan (suara kebenaran)," kata Abdul Rahman.


Tidak sembunyi tarikh pilihan raya

KUCHING 13 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau bukan seorang yang suka menyembunyikan sesuatu terutamanya berhubung tarikh pilihan raya umum.

“Saya tidak suka menyembunyikan maklumat,” kata Perdana Menteri setelah didesak sama ada kedatangan beliau ke negeri ini adalah untuk membincangkan perkara-perkara berhubung pilihan raya umum nanti.

Soalan itu tercetus ekoran pertemuan beliau secara tertutup dengan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di Miri malam tadi.

“Saya tidak ada bincang tentang pilihan raya umum..., tidak ada berbincang mengenai pembahagian kerusi,” kata beliau ketika ditanya sama ada mesyuarat tersebut turut membincangkan pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini untuk parti-parti komponen BN.

Abdullah berkata, pertemuan semalam hanyalah penjelasan berhubung perkara-perkara yang membabitkan pembangunan terutamanya berhubung koridor pembangunan Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Mengenai koridor pembangunan di Sarawak, beliau berkata, apabila dilancarkan kelak, ia tidak akan menyebabkan projek-projek lain yang disusun dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk Sarawak ditinggalkan begitu sahaja.

Ditanya mengenai Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Abdullah berkata, sebarang keputusan yang tercetus daripada Permudah untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap sesuatu projek akan dimaklumkan kepada setiap kerajaan negeri.

Pas berkuasa kerana SPR adil

PASIR PUTEH 13 Nov. – Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Md. Nor menegaskan, dengan tuduhan pilihan raya tidak diadakan dengan adil bagi mempengaruhi rakyat, Pas sepatutnya turut tidak mengakui kemenangan mereka di negeri ini.

“Seramai 23 ahli Dewan Undangan Negeri dari parti Pas yang menduduki kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu, sepatutnya melepaskan kerusi masing-masing sekiranya benar SPR tidak adil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anehnya, kata beliau, kerusi yang disandang selepas menerima undian rakyat terus dipertahankan sehingga 18 tahun kerana kepentingan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka terus menerus memperlekehkan kewibawaan SPR.

Katanya, apa yang pemimpin Pas lakukan termasuk turut serta dalam menggerakkan perhimpunan haram adalah untuk mencari alasan bahawa sekiranya kerajaan Pas Kelantan yang kini goyah tumbang kelak, ia bukan kerana ditolak oleh rakyat.

Beliau berkata, kebimbangan para pemimpin Pas semakin ketara kerana ramai penyokong mereka beralih memberi sokongan kepada UMNO akibat kecewa dengan gelagat para pemimpin Pas.

“Dalam kawasan Parlimen Pasir Puteh sahaja, lebih 2,000 penyokong Pas telah beralih sokongan kepada UMNO selepas pilihan raya umum 2004 bagi memastikan berlakunya perubahan tampuk pemerintahan Kelantan kelak,” ujarnya.

Tuesday, November 13, 2007

Perhimpunan Batu Buruk, Umno minta polis bertindak!

Awang Harun
Tue | Nov 13, 07 | 3:48:40 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 13 Nov (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang dilihat semakin terdesak dengan kebangkitan rakyat memohon pihak polis bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam, beliau yang merujuk kepada ura-ura satu program di Batu Buruk pada keesokan hari (malam ini) yang berkata,"kita tidak mahu kejadian pada 8 September berulang di Terengganu."

Katanya, kedegilan penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu sesungguhnya mencabar kedaulatan undang-undang dan telah terbukti mereka tidak mampu mengawal penyokong-penyokong dari bertindak ganas dan melanggar undang-undang apabila pihak berkuasa ingin mengambil tindakan menyurai mereka.

"Mereka sengaja ingin mencetuskan keadaan kacau-bilau, huru-hara dan menyusahkan rakyat. Sehubungan itu, saya memohon supaya pihak polis bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan ini," ujarnya.

Menurutnya, PAS ingin menganjurkan perhimpunan haram pada 13 November di kawasan yang tidak sesuai dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam kerana premis itu terlalu sempit dan tidak mampu menampung bilangan orang yang ramai seperti yang disasarkan.

Katanya, kesesakan lalu lintas dan bunyi bising akan mengganggu penduduk-penduduk di kawasan tersebut dan pihak polis telah tidak meluluskan permit untuk perhimpunan ini.

"Penganjuran perhimpunan adalah salah dari segi undang-undang. Ini adalah perhimpunan haram," katanya. - mks.


Syabas Bersih! Mari perbetulkan demokrasi pilihan raya yang pincang

ato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Mon | Nov 12, 07 | 10:15:48 pm MYT

Bagi pihak PAS saya merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik, yang telah turun berama-ramai untuk menjayakan Himpunan Aman BERSIH pada hari Sabtu 10 November, 2007 yang lalu.

ImageTernyata Himpunan Aman BERSIH itu telah berjaya walaupun terdapat usaha untuk menggagalkannya dari berbagai pihak.

Mudah-mudahan semangat dan daya juang yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu, akan berterusan sehinggalah ianya dipenuhi oleh pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Sesungguhnya demokrasi yang diamalkan di negara kita ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya sistem pilihan rayanya pincang dan tempang.

Saya turut merakamkan tahniah khas kepada Unit Amal Malaysia yang di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat kerana berjaya menjalankan tugas dengan penuh berani, amanah dan dedikasi.

ImageDan hakikat ini bukan hanya diiktiraf oleh pihak PAS malah semua yang hadir termasuklah kebanyakkan laman-laman web bukan PAS yang turut mengiktiraf dan menghargai peranan Unit Amal Malaysia itu.

Pimpinan dan seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS berbangga dengan keberanian, amanah dan dedikasi pasukan Unit Amal yang bertugas pada hari tersebut khasnya di kawasan Masjid Jamek, yang telah sekaligus mengharumkan nama parti dikalangan orang-ramai termasuklah media antarabangsa yang membuat liputan.

Ternyata pihak penganjur dengan bantuan Unit Amal Malaysia mampu untuk memastikan kelicinan dan ketenteraman mereka yang berhimpun secara aman pada hari tersebut, dan jika ianya berjalan tanpa gangguan sudah pasti tiada tangkapan atau penyuraian secara paksa perlu dilakukan.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak, dan semoga perjuangan murni kita ini akan beroleh kejayaan, insyallah.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


Bagaimana kalau BK Tan & Co yang berhimpun di Dataran Merdeka?

Abdul Halim Mohd Rashid
Tue | Nov 13, 07 | 6:40:12 pm MYT

Antara yang tidak saya lupakan pada hari Perhimpunan Aman Bersih pada 10 November lalu bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih ialah kata-kata bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong.

Menurut Wee, keganasan polis untuk menyuraikan perhimpunan tersebut menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jauh lebih baik dari Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Wee mengakui, Dr Mahathir juga menggunakan keganasan polis untuk menumpaskan demonstrasi zaman Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. Tetapi, katanya lagi, pada masa itu Dr Mahathir berhadapan dengan protes. Dalam hati saya berkata, semua orang tahu pada masa itu Dr Mahatahir adalah sasarannya. Undur Mahathir slogan yang sangat popular pada masa itu. Saya pun melaungkan slogan itu, walaupun saya tidak pernah menyertai demonstrasi Reformasi malah sangat berterima kasih dengan tindakan Dr Mahathir memecat Anwar.

Terus-terang dan Allah Maha Tahu, sejak dari Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi saya berharap Abdullah yang akan menjadi Perdana Menteri negara ini. Saya mahu kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar hilang lenyap dari puncak kuasa.

Pada masa itu, saya kabur dengan panggilan Mr Clean kepada Abdullah. Mana tak kabur, bila bersembang fasal politik wang dengan orang-orang Umno pada masa itu, saya tak ingat seorang pun yang kata Abdullah terlibat. Yang lain, tak payah cakaplah.

Hari ini, terasa benar Abdullah lebih teruk dari Dr Mahathir. Malah, kadang-kadang saya terasa Abdullah sebenarnya penghimpun segala keburukan. Saya hanya terasa begitu. Saya tak tuduh kerana saya pun tak ingat sebanyak mana koleksi keburukan Abdullah.

Tetapi, apabila melihat reaksinya ketika berhadapan dengan Perhimpunan Aman Bersih, saya terasa benar betapa tidak bermutunya Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Walaupun Perdana Menteri tidak datang dari parti yang saya sokong, tetapi itu tidak bermakna saya boleh menerima Perdana Menteri yang bingai dari parti lain.

Abdullah menuduh pembangkang mencabar undang-undang. Cabar undang-undang? Perhimpunan itu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Memorandum pula dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diterima oleh Baginda. Lebih dari itu, penganjur perhimpunan memohon permit untuk berhimpun.

Siapa yang cabar siapa? Bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cabar pembangkang supaya mengambil tindakan itu? Dah berapa kali berunding sehingga ada pemimpin pembangkang yang lembik tengkuk dengan permainan kata-kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan mengajak orang lain turut mempercayainya.

Ada yang memberitahu, kononnya Abdul Rashid suka PAS menghentamnya. "Kalau tak, nanti Umno syak dia sokong pembangkang pula," begitulah diceritakan kepada saya. Saya teringat SB yang menyoalsiasat saya dahulu. "Saya ni Cik bakar, adik-beradik saya semua PAS. Mak ayah penyokong PAS. Tapi dah rezki saya nak kerja polis dan terpaksa siasat orang PAS pula," kata SB itu. Siapa yang percaya permainan kata-kata SB itu, angkat tangan!

Selepas itu, silalah beriman kepada permainanan kata-kata Abdul Rashid.

Malang sungguh orang-orang yang terpedaya dengan permainan kata-kata SPR. Ketagih sangat nak berunding dengan SPR.

Adakah mereka tidak tahu sifat Pengerusi SPR? Bukan baru, malah 14 Januari lalu Harakah menyiarkan berita penipuan Abdul Rashid. Berita yang dengan sendirinya membuktikan bahawa pemimpin pembangkang memang berusaha untuk berunding dengan SPR melaporkan:

Salahuddin juga mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai pembohongan Pengerusi SPR itu.

"Kira-kira lima bulan yang lalu, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman (Syed Nawawi), Hanifah Mydin dan saya sendiri berjumpa dengan Abdul Rashid untuk menyerahkan memorandum tiga perkara yang menuntut dibersihkan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan celup jari selepas mengundi untuk mengelakkan penipuan.

"Sebelum kami berjumpa (dengan Abdul Rashid), DAP terlebih dahulu berjumpa dengannya. (Setiausaha Agung) DAP, Lim Guan Eng memberitahu kami bahawa Abdul Rashid telah memberitahu mereka bahawa PAS membantah (sistem) celup jari kerana bertentangan dengan Islam.

"Apabila kami bertemu Abdul Rashid, kami soal dia, betul dia kata begitu? Dia kata bukan PAS kata, ulama India kata. Inilah lidah biawak, lidah bercabang," beliau mengecam Pengerusi SPR itu.

Kalau di dalam perundingan pun berbohong, apa jaminan tidak tipu dalam pilihan raya? Siapa cabar siapa? Pembohong atau yang dibohongi? Orang Putih kata, "Once a liar, always a liar". Pembohong terpaksa terus berbohong untuk menyembunyikan pembohongannya yang lalu.

SPR tak mungkin akan mengakui ia menipu. Tetapi saya tak lupa apa yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Menurut beliau, pilihanraya umum 2004, menyaksikan undi yang dipungut oleh calon-calon Barisan Aternatif (BA) di seluruh Terengganu hanya merosot sebanyak 9,103 undi.

Dalam tahun 1999, katanya, BA menerima 180,239 undi manakala dalam tahun 2004 pula 171,136 undi. Perbezaannya hanya 9,103 undi sahaja. Jumlah kemorosotan ‘undi rakyat’ itu sangat kecil dan tidak memungkinkan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu.

"Bagaimana Umno boleh menang?" soal beliau.

Beliau mendedahkan, selepas pilihanraya 1999, ada ‘pihak tertentu’ telah membawa masuk orang bukan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Terengganu. Terengganu menyaksikan kenaikan peratus pengundi yang luar biasa dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu sebanyak 17.7 peratus "dan ini jauh melebihi purata kebangsaan".

Pengundi baru, kata beliau, bertambah sebanyak 68,585 orang. Undi BA merosot sebanyak 9,103 undi tetapi undi BN meningkat sebanyak 93,249 undi berbanding 1999, katanya lagi.

"Jika kita tolak 9,103 undi yang dulunya mengundi BA dan sekarang mengundi BN (93,249 tolak 9,103 = 84,146). Undi BN tidak termasuk pertambahan ‘undi rakyat’ sebanyak 9,103 undi tadi telah meningkat sebanyak 84,146 undi!

"Angka ini melebihi angka pertambahan pengundi baru seramai 68,585 orang! Misteri ini tidak dapat dijawab walaupun mengambil kira pertambahan secara mendadak peratus keluar mengundi iaitu sebanyak 25.1% berbanding pilihanraya sebelumnya. Jika semua peratus keluar mengundi yang bertambah dilonggokkan untuk BN, iaitu seramai 11,279 undi, masih belum dapat menjawab bagaimana Umno/BN mendapat pertambahan sebanyak 84,146 undi berkenaan," Exco Kerajaan Kelantan itu mendedahkan.

Dan, sehingga kini masih belum terjawab soalan Husam: "Bukankah ini semua meninggalkan misteri yang perlu dijawab oleh SPR?"

"Apatah lagi, jika kita menyemak semula senarai pengundi di Terengganu berasaskan kod kad pengenalan, kita dapati seramai 70,602 orang pengundi adalah bukan dilahirkan di Terengganu tetapi mendaftar di Terengganu.

"Adakah ini bermakna Umno/BN menang di Terengganu dengan satu ‘operasi khas’ dan bukan dengan suara rakyat?" kata Husam.

SPR harus menyahut cabaran semua pihak untuk memberikan jawapan pada isu-isu yang sangat penting ini, katanya lagi.

Perdana Menteri, siapa cabar siapa? Pembohong atau yang dibohongi?

Oleh kerana jerkah tempiknya "saya pantang dicabar" ternyata tidak laku seduit pun dalam pasaran politik malah menjadi bahan persendaan pula, terutama dari penyokong-penyokong Dr Mahathir yang berkali-kali mencabar Perdana Menteri, dituduhnya pula pembangkang cuba mengheret raja-raja ke kancah politik.

Husam dah jawab. Dalam posting bertajuk "Agong jangan diugut", Husam bertanya, "Pembangkang cuba heret Agong ke kancah politik atau Perdana Menteri cuba ugut Agong jangan bersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan Bersih?"

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar pula menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai tindakan memperkecilkan pemikiran dan kedudukan raja-raja.

Bagai biasa, tak cukup dengan lolongan Perdana Menteri, kaki-kaki ampu juga berebut-rebut mengeluarkan kenyataan. Tetapi yang paling tidak benar ialah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Musa mendakwa, polis tidak guna kekerasan.

Apakah takrif guna kekerasan pada Musa? Adakah guna peluru hidup seperti di Batu Burok barulah dianggap menggunakan kekerasan? Belasah kanak-kanak dan wanita tak kasar? Wartawan yang menjalankan tugas pun dipukul. Tak payah sebutlah semburan air laknat dan tembakan gas musibat.

Musa juga mendakwa kanak-kanak diperalatkan dan tindakan tegas akan diambil. Cukuplah Datin Paduka Marina Mahathir menjawabnya dalam posting beliau bertajuk "Spin, spin, spin..." Latar belakang posting itu berwarna kuning.

Musa merungut, ibu bapa yang membawa kanak-kanak itu sepatutnya tahu bahaya melibatkan kanak-kanak dalam perhimpunan itu. Sedap jawapan Marina bila Musa kata bahaya. "Only if the police start firing teargas and watercannons. Otherwise, perfectly safe," kata beliau. (Hanya apabila polis mula menembak gas pemedih mata dan meriam air. Jika tidak, selamat sepenuhnya).

Musa juga menuduh ibubapa yang membawa anak-anak mereka ke perhimpunan itu sebagai tidak berperikemanusiaan. Kenapa? Kerana polis hendak bertindak tegas? Boleh terangkan perbezaan bertindak tegas dan bertindak ganas?

Sehingga beberapa bulan lalu saya tidak suka mengecam Musa. Hari ini pun saya tak mahu mengecam beliau. Saya hanya hendak bertanya.

Sebelum ini, Tan Sri, saya terbaca akuan bersumpah ASP Mior Fahim Ahmad. Berdasarkan surat sumpah itu dan apa yang didakwa oleh Datuk Ramli Yusof, saya ingin bertanya apakah tindakan yang akan diambil jika BK Tan dan Tengku (Goh Cheng Poh) serta gerombolan mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka?


Suhakam jangan hakis kepercayaan rakyat - Bersih

Nyza Ayob
Tue | Nov 13, 07 | 6:32:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak agar Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N. Siva Subramaniam meletakkan jawatan daripada suruhanjaya tersebut berikutan kenyataannya bahawa polis tidak menggunakan kekerasan dalam perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu.

Jawatankuasa Bersih, Yap Swee Seng menegaskan kenyataan Siva itu amat memeranjatkan kerana dilihat bertentangan dengan mandat Suhakam untuk membela hak asasi manusia.

Malahan katanya dilihat berbeza dengan kenyataannya selama ini berhubung beberapa insiden kekejaman polis yang berlaku.

Jelas Pengarah Eksekutif Suaram ini, laporan daripada media antarabangsa mengenai perhimpunan tersebut secara langsung jelas menunjukkan kekejaman yang dilakukan polis.

Beliau melahirkan kekesalan bagaimana Siva menyatakan tiada kekejaman yang berlaku pada hari tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media anjuran pertubuhan tersebut di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut melahirkan kekecewaan kerana sebelum ini, Suhakam dalam laporan inkuiri awam berhubung tragedi 'Bloody Sunday' juga menyokong perhimpunan aman seta mengharapkan pihak polis menghapuskan permohonan permit untuk berhimpun.

"Kenyataan Siva itu telah menghakis kepercayaan kami kepada Suhakam, sedangkan badan ini dikatakan bertanggungjawab membela hak asasi manusia.

"Kami mengharapkan Suhakam tidak mengikis kepercayaan rakyat dengan pendirian seperti yang ditunjukkan Siva itu. Sedangkan dalam perhimpunan tersebut ada antara peserta yang cedera parah akibat kekasaran pihak polis,"katanya.

Selain Yap Swee Seng dan Salahuddin, sidang media tersebut dihadiri oleh beberapa orang jawatan kuasa Bersih yang lain antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Teresa Kok,Maria Chin Abdullah dan Khai Loon.

Dalam pada itu, Dr Syed Azman menyatakan Bersih juga tidak teragak-agak untuk mengadakan pertemuan dengan pihak polis berhubung satu laporan polis terhadap Bersih pada Khamis ini.

Empat orang pemimpin Bersih iaitu Mohamad Sabu, Ronnie Liu, Dr Syed Azman dan Sivarasa Rasiah akan memberi keterangan di Jabatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10.00 pagi.

Jelas Syed Azman beliau dan rakan-rakannya yang lain tidak gentar apabila dipanggil untuk memberi keterangan kerana perhimpunan yang diadakan merupakan satu perhimpunan aman.

Syed Azman sewaktu diajukan wartawan mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa perhimpunan tersebut untuk mengheret Institusi Di Raja dalam kancah politik, beliau menafikan kenyataan tersebut.

"Kami tidak sama sekali hendak mengheret Institusi Raja dalam politik, tetapi ke mana lagi rakyat hendak mengadu jika rayuan kami kepada pihak Perdana Menteri dan pihak SPR tidak dilayan diterima malahan tidak dilayan dengan baik.

"Maka dengan sebab itulah kami meletakkan Yang di-Pertuan Agung dan Raja-raja Melayu sebagai payung kepada Perlembagaan Malaysia dan rakyat Malaysia kepada sebuah negara benar-benar merealisasikan tuntutan demokrasi, "katanya.

Jelasnya lagi, kenyataan Abdullah itu juga berkemungkinan disebabkan tekanan terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara.

Tambahnya, hasrat kabinet, Umno dan Barisan Nasional mungkin tidak tercapai kerana adanya bangkangan daripada pihak istana terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru.

Pada perkembangan tersebut, Salahuddin turut menjelaskan, surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung yang dihantar kepada Bersih yang menyatakan akan menerima memorandum tersebut menunjukkan bahawa baginda bersedia mendengar tuntutan Bersih terhadap empat perkara ke arah pilihan raya adil dan bersih.

Dalam sidang akhbar itu juga, jawatankuasa Bersih menunjukkan surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung sebagaimana yang diminta oleh para wartawan.

"Jika tuntutan ini sebagai tuntutan yang tidak penting dan remeh, kenapa baginda bersedia untuk menerima penyerahan memorandum kami. Dan pada 10 haribulan itu juga setiausaha sulit baginda menerima memorandum tersebut.

"Ini bermakna baginda amat prihatin dengan tuntutan rakyat dan bukan soal mengheret baginda dalam kancah politik," tegas Salahuddin.

Sementara itu Salahuddin yang ditemui sejurus sidang akhbar memberi isyarat yang jelas kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya melihat perhimpunan 100,000 orang ini sebagai kebanjiran bantahan rakyat dan tidak menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.

Jelasnya, Abdul Rashid harus belajar daripada perhimpunan tersebut dan melihat sebagai protes rakyat yang terbesar di negara kita.

Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan Bersih akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya pihak SPR dan kakitangannya menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.

Dalam sidang media itu juga, Bersih menggalakkan semua rakyat memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari Sabtu. Bersih turut mengumumkan penyertaan Parti Pasok Sabah ke dalam Bersih menjadikan enam buah parti politik yang menyertai pertubuhan tersebut.

Jelas Maria Chin, Bersih tidak menghadkan kepada mana-mana pertubuhan atau parti politik untuk menyertai mereka. Malahan jika Umno dan BN hendak menyertai pertubuhan tersebut, ia dialu-alukan. - mks.


Koleksi Gambar: Perhimpunan Rakyat - Save Malaysia, Restore Our Rights

Wan Zahari Salleh & Mohd Nasir Sudin
Tue | Nov 13, 07 | 10:37:00 am MYT

Kemaskini! Keinginan rakyat agar perubahan dilakukan bagi tuntutan pelaksanaan demokrasi yang adil berjaya menghimpun lebih 100,000 rakyat pada 10 November yang lalu.

Berikut dipaparkan sebahagian dari detik-detik ketika perhimpunan berlangsung. Klik pada gambar-gambar berikut untuk melihat dengan lebih jelas.

Image