Tuesday, October 30, 2007

Tips Himpunan Rakyat 10 Nov: Peserta dinasihati berdisiplin, jangan takut!

Azamin Amin
Tue | Oct 30, 07 | 11:13:18 am MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Tinggal hanya beberapa hari lagi, perhimpunan 100,000 untuk menuntut pilihan raya bebas, bersih dan adil akan berlangsung di Dataran Merdeka 10 November ini.

Ini adalah satu perhimpunan sekalian rakyat dan perhimpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong.

Ini adalah perhimpunan raksaksa bagi memanifestasikan keluhan rakyat mengenai perjalanan sistem pilihan raya di negara ini yang terlalu banyak sumbing dan tempangnya.

Justeru, tiada sebab ia perlu dihalang oleh sesiapa saja sama ada polis mahupun kerajaan sendiri, kata aktivis politik Badrul Hisham dalam blognya.

Kebelakangan ini katanya, desas-desus dan usaha-usaha untuk menggagalkan perhimpunan ini yang kononnya ianya tidak berpermit malah khabarnya peserta perhimpunan akan dihalang dengan cara termasuk sekatan jalan raya menuju ke Dataran Merdeka.

Khabarnya anggota FRU telah bersiap sedia untuk "menggempur" peserta perhimpunan, kononnya nanti ada yang bakal "tertembak" dan 1001 jenis desas-desus lain yang cuba untuk menakutkan orang ramai untuk turut serta perhimpunan berkenaan, katanya lagi.

"Kepada sekalian rakyat, kita serukan agar jangan gentar dan takut kepada sebarang kezaliman dan kekejaman yang mungkin berlaku.

"Keputusan mahkamah 18 Oktober lalu di mana Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari pada zaman reformasi lain sepatutnya menjadi peransang untuk sekalian rakyat marhaen yang tidak bersalah untuk tidak lagi gentar dengan sebarang ugutan polis atau sesiapa sahaja selepas ini," katanya dalam blognya di chegubard.blogspot.com.

Dalam pada itu beliau turut memberi petua dan saranan kepada peserta perhimpunan supaya menjaga disiplin sepanjang masa kerana mahu berhimpun secara aman.

"Kita berhimpun untuk merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong," katanya.

Nasihat dan tips perhimpunan rakyat

Hadirkan diri dan jangan timbulkan lakukan apa-apa tindakan sebelum mendapat izin dan makluman dari pimpinan perhimpunan malah datang dan sertai kelompok orang yang ramai mengikut pertubuhan masing-masing dan jangan berjalan sendirian, katanya.

Antara lain nasihatnya ialah:

1. Jangan sekali-kali membawa senjata api atau apa-apa juga benda-benda tajam atau bahan bakar.

2.Jangan berlari, jangan membaling apa-apa, jangan rosakkan sebarang kenderaan atau apa juga yang ditemui di sepanjang jalan seperti pokok-pokok, tanaman bunga, papan tanda, bendera dan sebagainya serta jangan memaki atau berbahasa kesat kepada sesiapa sahaja.

3.Elakkan menghisap rokok di sepanjang jalan kerana puntung rokok yang dibuang mungkin boleh mengakibatkan kebakaran dan kemusnahan.

Seandainya kenderaan anda ditahan oleh polis;

1. Dapatkan kad kuasa polis yang menahan dengan baik untuk pastikan beliau sememangnya seorang anggota polis.

2. Ambil gambar dari beberapa kamera yang berbeza terhadap insiden itu

3. Jangan lari, jangan takut tetapi jangan timbulkan sebarang ketegangan

4.Kawal emosi serta berhubung dengan pimpinan sekadar segera

Polis yang berpakaian preman (SB-SB) amat mahir untuk menimbulkan provokasi di dalam keadaan-keadaan seperti itu. Justeru itu tuan-tuan pastikan:

1. Mengenali provokator yang bertindak lain dari apa yang diarahkan pimpinan

2. Mengenalpasti mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya ada di dalam sebarang perhimpunan aman seperti membakar bendera, membaling batu, memaki hamun, merosakkan kenderaan dan harta benda serta bertindak ganas

3. Mengambil gambar-gambar mereka dan perlakuan mereka dari kamera atau videocam yang banyak dan berbeza-beza (penting untuk evidence jika ada kes mahkamah dan penting juga jika satu rampas ada 10 yang lain)

4.Bertanya kawan jika ada yang mengenali "orang yang bertindak ganjil"

5. Bertindak untuk menasihat "perbuatan ganjil" itu dihentikan

6. Melihat kelompok yang membawa sepanduk/banner, supaya hanya sepanduk/banner yang diluluskan sahaja dibawa (ertinya tiada sepanduk/banner yang bermaksud lain daripada motif atau motto perhimpunan)

7. Pakaian yang digunakan oleh peserta tidak ada tulisan atau gambar motif keterlaluan, sebaik-baiknya pakaian berwarna kuning atau memakai pakaian rasmi perhimpunan.

Semoga Perhimpunan 10 November 2007 ini berjaya dengan cemerlangnya dan menjadi titik tolak baru di dalam sejarah kebangkitan rakyat negara ini serta mendapat keberkatan Allah SWT hendaknya, katanya. - mks.

Majlis Peguam diberi ingatan -- Abdullah mahu badan itu tidak gugat kepentingan negara

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Peguam Malaysia dalam membuat satu pendirian, mestilah bagi kepentingan negara dan bukan hanya bagi sebarang kumpulan pendesak atau sesetengah anggotanya.

“Sebagai contoh, apabila Majlis Peguam secara rasmi menyokong penghakiman yang dipertikaikan atau mengemukakan pandangannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, Majlis Peguam mestilah mengambil kira dengan tidak mewakili pandangan sesetengah kelompok masyarakat saja,” kata Perdana Menteri dalam ucaptamanya pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-14 di sini, malam ini.

Beliau berkata, sebarang salah perhitungan dalam perkara ini boleh menimbulkan jurang antara kumpulan berlainan di negara ini.

“Ini membuka Majlis Peguam itu kepada tuduhan yang boleh menyebabkan kemudaratan yang besar, bukan hanya kepada Majlis Peguam sebagai sebuah badan profesional, tetapi juga kepada negara,” kata beliau.

Abdullah berkata, sebagai sebuah badan di mana pandangan sangat dihormati bukan hanya dalam tempatan tetapi juga antarabangsa, Majlis Peguam mestilah mengiktiraf akibat tindakannya itu.

“Berkaitan dengan perarakan anggota Majlis Peguam di Putrajaya, saya mengambil pandangan satu demonstrasi awam bukanlah sepertimana acara sosial awam yang lain.

“Demonstrasi memberikan anggapan bahawa satu masalah telah sampai kepada satu kebuntuan yang tidak dapat dielakkan, walaupun, dalam realiti, ia bukanlah keadaan sebenar,” kata beliau.

Abdullah berkata, ia juga menghantar suasana negatif yang tidak formal kepada pelabur tempatan dan asing, melemahkan usaha sektor industri dan kerajaan dalam menarik pelaburan dan seterusnya mewujudkan dan menyediakan peluang ekonomi baru.

Masa depan negara bergantung kepada antara lain kestabilan politik dan keamanan sosial yang dipulihara sejak beberapa tahun, dan “pewujudan persepsi negatif, melalui tuduhan umum yang tidak berasas,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, ‘persepsi yang merosakkan’ dalam persekitaran dunia yang kompetitif yang kian meningkat.

“Kita mesti sentiasa mengambil pandangan bahawa ketidak sefahaman boleh ditangani dalam banyak cara. Kerajaan bukan hanya sanggup, tetapi serius dalam menangani pandangan mereka dalam bidang perundangan, yang mana Majlis Peguam adalah sebahagiannya,” kata beliau.

Abdullah berkata, satu cara yang lebih konstruktif sedang dijalankan dengan ikhlas dan tanpa prasyarat, serta, tanpa syak wasangka antara satu sama lain.

Kerajaan mengambil perhatian pandangan yang dilahirkan oleh Majlis Peguam dengan seriusnya dan “seperti Majlis itu, kita percaya dalam kebebasan kehakiman dan berpegang teguh dengan keagungan Perlembagaan.”

Memperbaiki perkhidmatan kehakiman, pembasmian rasuah dan meningkatkan pencapaian sektor awam juga antara keutamaan nasional kerajaan, kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak menafikan terdapatnya ketidaksempurnaan dan cabaran yang negara hadapi, “sementara kita masih ada jalan, mereka dalam bidang ini janganlah bertindak secara tidak waras atau pesimistik mengenai kemajuan negara yang telah dicapai.”

Abdullah berkata, terdapat banyak peluang yang boleh diteroka bersama dan dengan satu tujuan yang sama, bukan hanya untuk pembangunan sosio politik di negara tetapi juga untuk memajukan lagi ekonomi negara.

Katanya, firma guaman hendaklah menjual perkhidmatan mereka pada peringkat antarabangsa, dan selaras dengan langkah kerajaan dalam mempromosikan pertumbuhan sumber baru, misalnya perkhidmatan kewangan Islam, mereka dalam bidang ini digalakkan untuk memajukan kepakaran perundangan.

Dengan berbuat demikian, mereka mampu mengambil peluang sama yang ditawarkan yang telah dilakukan oleh sektor profesional lain, kata beliau.

“Peluang perniagaan baru dan kemasukan penggerak global yang besar dan canggih dalam industri dan kawasan pertumbuhan yang dirancang, seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) memerlukan firma perundangan kita yang mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk memenuhi permintaan dan harapan yang meningkat,” kata beliau.

Abdullah juga mencadangkan bahawa Majlis Peguam yang mempunyai lebih 12,000 anggota dan sedang bertambah pada 10 hingga 12 peratus setahun, sepatutnya membantu anggotanya, terutamanya bagi firma kecil dan sederhana, untuk memajukan kemahiran perniagaan dan kepakaran perundangan, termasuk aplikasi antarabangsa bagi membolehkan mereka bersaing dengan firma tempatan besar yang telah membentuk satu pakatan dengan syarikat asing utama.

Beliau juga berkata, terdapat keperluan untuk strategi dan program bagi memastikan bahawa peguam Malaysia adalah lebih baik untuk memahami dan memenuhi permintaan yang lebih dan persekitaran perundangan global yang sentiasa berubah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan.

– Bernama

BPR jangan hanya tangkap ‘bilis’ – PAC

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) bukan setakat menangkap ‘bilis’ malah mengheret sama ke muka pengadilan ‘jerung-jerung’ yang terlibat dalam penyelewengan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad turut menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat pembekal yang terlibat dalam kes salah urus dana awam itu.

‘‘Kita berasa sungguh kecewa dengan penyelewengan ini yang tidak seharusnya berlaku. Tindakan tegas perlu dikenakan sama kepada pembuat keputusan. Saya merasakan banyak lagi tangkapan boleh dibuat.

‘‘Adalah tidak wajar jika ‘bilis’ sahaja ditangkap memandangkan ‘jerung’ dilepaskan. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam urusan rundingan dan melakukan penyelewengan perlu didakwa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini mengenai Pengurusan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan.

Mengenai mesyuarat hari ini Shahrir berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan sebanyak RM226 juta pada tahun ini untuk memberi bantuan subsidi baja kepada 292,000 petani di seluruh negara.

Tambahnya, kementerian akan menjalankan satu kajian secara menyeluruh mengenai skim bantuan subsidi itu dan ia akan mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

‘‘Kajian ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun depan dan ia akan fokus kepada pelbagai isu seperti masalah penyakit, perparitan, benih dan bajak yang timbul dalam aktiviti penanaman padi,” ujarnya.

BPR kecewa Anwar enggan serah klip video

Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 29 Okt. – Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan kecewa dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan menyerahkan klip video penuh rakaman perbualan telefon seorang peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

Menurut beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya membantu BPR melengkapkan laporan untuk diserahkan kepada panel bebas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut.

‘‘Dia (Anwar) kata ada klip video asal selama 14 minit tetapi hanya menyerahkan sebahagian sahaja... lapan minit dan masih ada sebahagian lagi yang patut diserahkan kepada kami.

‘‘Jika dia benar-benar mahu membantu panel siasatan dan BPR untuk mengenal pasti kesahihan video klip itu, datang dan serahkan. Bukannya pergi kepada mahkamah untuk batalkan arahan BPR... sekarang dia buat yang lain pula,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian khidmat cemerlang kakitangan BPR Sabah di sini, malam tadi.

Jumaat lalu, Anwar memfailkan permohonan mengetepikan perintah di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 supaya beliau menyerahkan klip video asal perbualan telefon peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

Dalam notis usul itu, Anwar memohon supaya perintah agar beliau mengemukakan dokumen (klip video asal) di bawah Seksyen 22 (1)(b) akta tersebut yang diserahkan kepadanya pada 22 Oktober lalu adalah tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi undang-undang.

Sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa kegagalan Anwar menyerahkan klip video asal itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29(c) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, BPR telah mengambil keterangan 12 saksi berhubung klip video itu dan menyerahkan kepada panel bebas berkenaan untuk membuat keputusan lanjut.

‘‘BPR dalam aspek ini hanya memainkan peranan membantu panel dan ketiadaan klip video penuh yang asal tentu sekali menyukarkan kami,’’ katanya sambil menegaskan bahawa Anwar sepatutnya tampil menyerahkan bahan bukti itu dan bukannya memberi alasan pegawai BPR gagal datang menemuinya.

Menjawab satu soalan, Ahmad Said memberitahu, BPR tidak sesekali menutup siasatan terhadap laporan penyelewengan mana-mana individu termasuk pemimpin tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, setiap laporan akan disiasat sebaik mungkin oleh BPR sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, apa yang sepatutnya difahami oleh orang ramai ialah dalam menjalankan siasatan, BPR perlu memastikan kebenaran laporan itu supaya orang yang tidak bersalah tidak menjadi mangsa atau teraniaya.

Panel khas bergantung laporan saintifik pakar

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Panel bebas khas bagi menentukan kesahihan klip video perbualan seorang peguam kanan dan seorang hakim kini bergantung kepada laporan saintifik pakar dalam menyediakan laporan kepada kerajaan sebelum tarikh akhir pada 9 November ini.

Ketua panel itu, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, sehingga kini tiada pihak tampil bekerjasama memberikan keterangan secara langsung walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan pemberi maklumat akan dilindungi.

Beliau yang juga bekas Hakim Besar Malaya berkata, panel berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa. Katanya, ia tidak dapat memaksa saksi memberi maklumat.

Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli panel akan meneliti laporan dan pandangan dua pakar tempatan daripada syarikat Cyber Security diketuai oleh Ketua Forensik Digital, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin bagi membantu panel mengemukakan pandangan berhubung ketulenan rakaman lapan minit yang telah disunting itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kandungan laporan pakar itu yang dikemukakan kepada panel berkenaan dalam mesyuarat selama lima jam yang berlangsung di sini hari ini.

‘‘Panel selesai bermesyuarat dan kami akan memulakan kerja-kerja penyediaan laporan sebelum tarikh akhir.

‘‘Saya rasa kami tiada masalah untuk mengemukakannya kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat panel bebas khas itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Menara Tun Razak di sini.

Panel tersebut ditubuhkan pada 25 September lalu dan diberi tempoh selama 30 hari bekerja bagi menentukan ketulenan rakaman video perbualan telefon yang membincangkan mengenai pelantikan hakim pada tahun 2002.

Pemuda kenang suka duka perjuangan

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan membangkitkan isu perjuangan dan suka duka pergerakan itu menempuh cabaran sehingga mengukuhkan parti pada Perhimpunan Agung Umno mulai 5 hingga 9 November ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, penting bagi pergerakan itu mengingatkan kembali perwakilan mengenai cabaran yang pernah dihadapi sehingga mereka menjadi kukuh dan bersatu padu.

Beliau berkata, generasi pemimpin pelapis perlu melihat cabaran yang dilalui Pemuda bagi mengukuhkan dan mempertahankan perjuangan pada masa akan datang.


“Ini adalah antara inti pati ucapan dasar saya pada perhimpunan kali ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Exco Pemuda, di sini semalam.

Beliau berkata, pemuda kini semakin kuat dan perlu memandang ke depan bagi menterjemahkan perjuangan kepada generasi muda supaya sentiasa relevan.

Hishammuddin berkata, bukan mudah membawa pergerakan itu ke tahap sekarang jika mengambil kira segala masalah dan cabaran yang dihadapi, terutama pergolakan politik masa lampau.


Bagaimanapun, kematangan yang diwarisi, membuatkan Pemuda Umno berjaya menghadapi segala kemelut politik serta memulihkan sayap itu sehingga mengharumkan imej Umno.

Beliau berkata, pada perhimpunan kali ini, pemuda menetapkan ucapan dasar Ketua akan dibahas Ketua Penerangan, Datuk Azimi Daim, usul ekonomi dan pendidikan dibawa oleh Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, manakala usul agama dan sosial oleh Ketua Pemuda Selangor, Shukor Idris.

Ditanya sama ada dalam perhimpunan kali ini, beliau akan mencium keris seperti yang dilakukannya sebelum ini, Hishamuddin berkata, beliau akan berbuat demikian.

Katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) memahami tindakan mencium keris adalah lambang menunaikan amanah menjaga kepentingan semua kaum, bukannya memperjuangkan hak orang Melayu saja.

Sebelum ini, segelintir pemimpin parti komponen dikatakan tidak senang dengan Hishammuddin mencium keris Panca Warisan ketika perasmian Mesyuarat Agung Pemuda Umno tahun lalu sehingga menimbulkan polemik.

Bicara Nik Sapeia: Ibrahim Ali sihat kecuali tekaknya merah

KOTA BHARU 29 Okt. – Seorang saksi yang melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa, Datuk Ibrahim Ali memaklumkan Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa keadaan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu umumnya dalam keadaan baik melainkan tekaknya.

Dr. Ridzuan Mohd. Isa yang juga bekas Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berkata, selain itu keadaan jantung, paru-paru dan mata Ibrahim didapati berada dalam keadaan normal.

Katanya, bagaimanapun daripada empat aspek pemeriksaan itu hanya kerongkong Ibrahim didapati merah dan ia berkemungkinan disebabkan berlakunya pendedahan kepada bahan kimia.

‘‘Secara umum Ibrahim berada dalam keadaan baik, tidak ada gangguan kesihatan selepas kejadian yang berlaku tiga hari sebelum itu,” katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Kecemasan, Hospital Ampang, Selangor.

Beliau berkata demikian pada hari ke-14 perbicaraan ke atas ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53, yang didakwa menyebabkan kecederaan ke atas empat lelaki termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad secara menyembur bahan berbahaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11 pagi, 28 Julai tahun lalu.

Pendakwaan

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Perbicaraan didengar di hadapan Majistret Azman Mustapha sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, Khairul Anuar Wahab dan Noor Ezwanee Mohamad.

Sementara tiga peguam bela, Mohd. Ilyas Mohd. Noor, Zainal Abidin Mustaffa dan Datuk Abdul Aziz Nawi mewakili Nik Sapeia.

Dr. Riduzan yang mengambil giliran sebagai saksi pendakwa ke-15, memberi keterangan dalam bahasa Inggeris berkata, pemeriksaan ke atas Ibrahim dilakukannya pada 31 Julai tahun lalu sewaktu bertugas di HUKM.

Menurutnya, sebelum pemeriksaan dilakukan, Ibrahim telah diminta menceritakan tentang kejadian yang diceritakan berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 28 Julai tahun lalu.

‘‘Dari cerita Ibrahim, beliau mengalami pedih mata dan sesak dada yang agak teruk sebaik menghidu semburan gas ketika menyambut seorang kenamaan pada hari tersebut.

‘‘Simptom yang diceritakan sewaktu pemeriksaan yang dijalankan tiga hari selepas kejadian memang berkemungkinan akibat pendedahan kepada bahan kimia.

‘‘Cuma dari pemeriksaan didapati hanya tekaknya sahaja ada kesan dan ini mungkin disebabkan pendedahan tersebut bukan bersifat berterusan,” jelasnya.

Perbicaraan bersambung pada 24 hingga 26 Februari 2008.

Kesihatan Ibrahim tak terjejas: Saksi

KOTA BHARU: Seorang doktor yang melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, memberitahu Mahkamah Majistret, di sini semalam pada umumnya beliau berada dalam keadaan sihat kecuali mengalami masalah pada kerongkong.

Dr Ridzuan Mohd Isa, bekas Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berkata, pemeriksaan lain seperti keadaan jantung, paru-paru dan mata Ibrahim menunjukkan beliau dalam keadaan normal.

Dr Ridzuan yang kini Ketua Jabatan Kecemasan, Hospital Ampang, Selangor, berkata demikian di hadapan Majistret Azman Mustapha pada perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53, yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap empat lelaki termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara menyembur bahan berbahaya.


Selain Dr Mahathir dan Ibrahim, dia juga dituduh mencederakan Mohd Nasir Muda, 45, dan ahli perniagaan Sobri Sahidan, 45.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 11 pagi 28 Julai tahun lalu.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.


Dr Ridzuan, saksi ke-15 pendakwaan, berkata kerongkong Ibrahim yang ada kesan merah berkemungkinan disebabkan berlaku pendedahan kepada bahan kimia.

“Secara umum Ibrahim berada dalam keadaan baik, tidak ada gangguan kesihatan selepas kejadian yang berlaku tiga hari sebelum itu,” katanya.

Perbicaraan disambung semula selama tiga hari bermula 24 Februari tahun depan. - Bernama



Dr Ridzuan berkata, pemeriksaan terhadap Ibrahim dilakukannya pada 31 Julai tahun lalu ketika bertugas di HUKM.

Beliau berkata, sebelum pemeriksaan dilakukan, Ibrahim menceritakan mengenai kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 28 Julai tahun lalu.

“Dari cerita Datuk Ibrahim, beliau mengalami pedih mata dan sesak dada yang agak teruk sebaik menghidu semburan gas ketika menyambut seorang kenamaan pada hari itu.

“Tanda-tanda yang diceritakan sewaktu pemeriksaan yang dijalankan tiga hari selepas kejadian memang berkemungkinan akibat pendedahan kepada bahan kimia,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Raja Rozela Raja Toran, Khairul Anuar Wahab dan Noor Ezwanee Mohamad, manakala Nik Sapeia diwakili oleh Mohd Ilyas Mohd.

Noor, Zainal Abidin Mustaffa dan Datuk Abdul Aziz Nawi.

Perbicaraan disambung semula selama tiga hari bermula 24 Februari tahun depan. - Bernama

Lelaki dituduh langgar Karpal mengaku cuai

GEORGETOWN: Seorang pengurus bank yang dituduh memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan Pengerusi DAP, Karpal Singh, mengaku bersalah atas pertuduhan itu, semalam.

Lay Yee Fuat, 46, membuat pengakuan itu ketika kes dibicarakan di hadapan Majistret Ooi Sheow Yean.

Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad kemudian meminta laporan perubatan Karpal dijadikan sebagai bahan bukti.


Bagaimanapun peguam Lay, M Bala, membantah permohonan Azizah itu, dengan menyebut laporan perubatan tiada kaitan dengan kes kerana ia tidak membabitkan kes jenayah sebaliknya kes saman.

Azizah mempertahankan permintaannya itu kerana laporan perubatan dapat membuktikan kecederaan yang dialami mangsa.

Ooi kemudian mencelah dengan menyebut terpulang kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan laporan perubatan kerana pendakwaan berhak berbuat demikian.

Beliau juga memberi masa kepada pendakwaan untuk mempertimbang permohonan itu sebelum menetap 12 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman.

Lay yang berbaju putih dan berseluar gelap, dituduh memandu secara cuai dan mendatangkan kecederaan kepada Karpal di Jalan Utama, jam 12.15 tengah malam, 29 Januari 2005.

Sabit kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum setahun penjara atau denda maksimum RM10,000.

Peguam R S N Rayer hadir sebagai peguam pemerhati Karpal.

Pemuda bawa isu kepayahan perjuangan sebelum kuat

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO akan membawa isu kepayahan perjuangan yang pernah ditempuhi sebelum pergerakan itu menjadi kuat dan stabil seperti sekarang ini, pada perhimpunan agung parti bulan depan.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu tersebut akan diberi penekanan bagi menyedarkan setiap perwakilan supaya menghindari sebarang konflik yang boleh membawa perpecahan kepada parti.

“Hari ini, Pemuda UMNO sudah kuat dan stabil. Kita perlu cari jalan untuk mengekalkannya sehingga bila-bila.

“Lihat ke hadapan. Tengok cabaran pemimpin Melayu hari ini yang perlu difikirkan supaya perjuangan sentiasa relevan dengan anak muda,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco pergerakan itu di sini hari ini.

Mesyuarat terakhir sebelum Perhimpunan Agung parti minggu hadapan itu turut membincangkan persiapan terakhir dan usul yang akan dibawa oleh perwakilan Pemuda.

Pada majlis itu juga, Ketua Penerangan, Datuk Azimi Daim dipilih untuk membahaskan ucapan dasar Presiden; Naib Ketua, Khairy Jamaluddin membentangkan usul ekonomi dan pendidikan manakala Ketua Pemuda Selangor, Shukor Idris membentangkan usul agama dan sosial.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, penangguhan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi subjek Matematik dan Sains dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat penting untuk agenda pendidikan negara.

“Pelbagai perkara perlu difikirkan sebelum peperiksaan sekolah dirombak sepenuhnya,’’ ujarnya.

PBT tentukan lokasi tampal poster pilihan raya

PUTRAJAYA: Mulai pilihan raya umum akan datang, parti politik tidak perlu lagi berebut lokasi menampal poster pilihan raya kerana tempatnya akan ditentukan pihak berkuasa tempatan berdasarkan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata peraturan itu terkandung dalam garis panduan mengenai kaedah menampal poster yang akan dikeluarkan SPR tidak lama lagi.

Katanya, ia sebagai langkah mengatasi masalah perang poster yang berlaku pada setiap kali pilihan raya diadakan.


Beliau berkata garis panduan itu meliputi peraturan menggantung bendera parti dan semua bahan kempen selain jumlah poster dan tempat yang boleh ditampal.

“Mereka tidak lagi perlu berbalah.

“Jika ada dua atau tiga calon, setiap mereka diberi ruang di tempat yang dikhususkan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri jamuan Aidilfitri SPR di sini, semalam.


Beliau berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah menampal poster yang tidak terkawal seperti pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, di Kelantan.

Abdul Rashid berkata unit penguatkuasaan SPR akan membuat pemantauan dan jika ada pihak tidak mematuhinya, parti politik akan diarah menurunkan sebarang bahan yang ditampal atau digantung.

Mengenai tarikh pilihan raya, beliau berkata ia boleh dilangsungkan seawal-awalnya bulan depan dan beliau sudah memaklumkan kesediaan SPR berbuat demikian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pertemuan bulan lalu.

Kerajaan sudah memperuntukkan RM220 juta kepada SPR untuk pilihan raya umum akan datang dan SPR memohon tambahan RM100 juta lagi bagi membeli peti undi dan penindik kertas undi.

Abdul Rashid berkata, SPR sudah bersedia dalam semua aspek termasuk logistik bagi mengendalikan pilihan raya umum ke-12 dan hanya menunggu pengumuman kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata SPR menyambung usaha mengesan baki 16,000 daripada 22,432 pengundi yang tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara dua bulan lagi sebelum tindakan susulan.

Setakat ini ada 10,516,256 pengundi berdaftar dan layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Hieng Ding umum bersara politik, tak bertanding

BEKAS Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding (gambar) semalam mengumumkan persaraan daripada politik dan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Sarikei itu berkata usianya kini mencecah 72 tahun dan sudah sampai masa untuk bersara daripada politik selepas berkhidmat selama 43 tahun.

"Saya tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak yang diwakili sejak 1982 pada pilihan raya umum akan datang. Saya akan bersara atas pilihan sendiri bagi memberi laluan kepada golongan muda," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.


Pengumuman Law itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Lim Si Cheng, secara berseloroh bertanya sama ada ucapan itu dibuat kerana Law sudah tahu tarikh pilihan raya umum akan datang.

Sambil tersenyum, Law menjawab beliau tidak mengetahui bila pilihan raya umum ke-12 berlangsung tetapi mengambil kesempatan itu kerana khuatir tidak berpeluang membuat ucapan perpisahan pada masa akan datang.

Dalam perbahasannya beliau menyentuh pelbagai aspek termasuk isu perpaduan bangsa, pendidikan, ekonomi, kekuatan parti serta sejarah dan harapannya dalam bidang politik.


Law berkata, selaku veteran dalam Barisan Nasional (BN), beliau berharap Ahli Parlimen, terutama pemimpin muda sering turun padang dan tidak angkuh dengan gelaran wakil rakyat.

Ketika ditemui di lobi Parlimen kemudian, Law berkata beliau sudah menyatakan hasrat bersara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi belum menyerahkan sebarang surat rasmi berhubung perkara itu.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu berkata hasrat bersara sudah lama difikirkan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khidmatnya masih diperlukan dalam parti dan kerajaan.

"Saya pernah suarakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 1999 atas alasan umur, tetapi Dr Mahathir tanya berapa umur saya dibanding umur dia. Dia kata memandangkan dia belum bersara, dia tolak niat saya," katanya. "Begitu juga pada 2004, hasrat saya untuk bersara terpaksa ditangguhkan sebab tidak dipersetujui pemimpin parti," katanya.

Law berkata memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, cabaran sekarang ialah untuk mencari penggantinya yang boleh diterima masyarakat kawasan itu.

Bapa kepada tiga anak dan tujuh cucu itu turut mengakui niat untuk bersara disambut gembira keluarganya.

Monday, October 29, 2007

Gerai makan rakan PM 'Pak Din' di Sentul menyembah bumi

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Oct 29, 07 | 5:06:27 pm MYT

Jam 11.00 pagi, sewaktu pelanggan 'Pak Din' datang ke gerainya untuk menikmati juadah tengahari sekumpulan 30 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu gerainya untuk meroboh struktur gerai tersebut.

Pak Din adalah seorang aktivis reformasi yang cukup dikenali kerana kelibatnya sering kelihatan di mana-mana sahaja demonstrasi, ceramah atau program anjuran Barisan Alternatif (BA).

Gayanya yang bersahaja dan berkopiah selain memakai baju lusuh sering mendapat perhatian lensa kamera setiap kali adanya himpunan reformasi pada tahun 1998 hingga sekarang.

Beliau akan hadir jika kelibat bekas Timbalan Perdana Menteri, dato' Seri Anwar Ibrahim muncul di khalayak ramai.Sejak 14 tahun lalu, Pak Din telah menjalankan perniagaan makanan panas di gerainya itu tanpa gangguan.

ImageBegitupun gerai yang telah lama bertapak di kawasan yang didakwa milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu diroboh dengan rakus oleh anggota DBKL yang datang dengan jengkaut dan jentera pemusnah binaan pagi tadi.

Demikian kata Pak Din, yang juga seorang rakan lama Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditemui Harakahdaily petang tadi bagi menceritakan detik-detik cemas DBKL meroboh gerainya di hadapan Stesen KTMB Sentul dekat sini.

Hujan gerimis yang turut sejak tengah hari tadi lagi tidak meredakan panas di hati Pak Din kepada sikap DBKL yang lansung tidak mahu berbincang dengannya bagi memberi jalan kepada Pak Din untuk mendapatkan tapak di tempat lain meneruskan perniagaan.

ImagePerasaan sayu di hati Pak Din tidak dapat ditahan memandangkan itu adalah punca rezeki beliau dan beberapa adiknya yang lain yang menjalankan perniagaan tersebut untuk menyabung hidup.

Malah bilik kecil belakang gerai yang dijadikan tempat menginap enam ahli keluarga Pak Din telah dirobohkan, dan ia menimbulkan keresahan di hati penghuninya dimana tempat berteduh selepas ini.

Meskipun selepas diserang jentera DBKL itu, Pak Din masih meneruskan perniagaanya bagi menghabiskan juadah yang disajikan sejak pagi tadi.

Ketika ditanya dimana beliau akan meneruskan perniagaan menjual mee rebus, laksa utara dan nasi campurnya itu jika DBKL datang lagi untuk memusnahkan baki binaan gerainya, Pak Din terkedu, malah menyerahkannya kepada takdir.

"Saya cuma minta DBKL bersabar, saya tahu saya perlu pindah berdasarkan kepada notis yang diberi beberapa kali, tetapi saya sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk membuka gerai di kawasan tanah milik jabatan itu.

Paling menyedihkan kata Pak Din, tanah tempat beliau berniaga itu difahamkan akan diserah kepada sebuah kontraktor besar milik bukan Bumiputera yang cukup terkenal.

ImageDakwanya, tapak gerai tempat beliau berniaga itu satu ketika dahulu dikuasai oleh golongan samseng, dan beliau berjaya menjalankan perniagaannya dengan mengusir samseng berkenaan.

Katanya lagi, peras ugut yang berlaku suatu ketika dahulu di situ berjaya diselesaikan setelah beberapa kali terpaksa berhadapan dengan samseng.

Akhirnya hari ini, gerainya itu separuh hancur disodok oleh jentera milik DBKL, kata Pak Din.

"Inilah perangai Umno, kata nak perjuangkan bangsa Melayu dan agama, tetapi bangsa sendiri dihalau dari berniaga di tanah Melayu.Apa yang mereka boleh buat hanyalah mengampu, dan 5 November ini sekali lagi mereka mengampu dan menipu orang Melayu,"katanya sedih.

"Saya dahulu pernah bersama PM (Abdullah) makan sama-sama dan berjuang bersama, tetapi kini inilah hadiah beliau kepada saya dengan DBKL meroboh tempat saya berniaga.Inilah satu-satunya pendapatan kami sekeluarga (beliau dan adik-beradiknya) selepas pencen,"katanya.

Jika gerai usangnya itu hendak terus dirobohkan DBKL lagi esok, maknanya Pak Din akan hilang mata pencariannya, malah nasib enam sekeluarga yang tinggal di bilik kecil belakang gerai Pak Din juga akan tidak menentu.

Ketika kunjungan Harakahdaily petang tadi, seorang bayi sedang ditidurkan oleh anak saudara Pak Din di dalam buaian di bahagian bilik belakang gerai yang mana dindingnya sudahpun terdedah kerana dirobohkan.

Pak Din sendiri tidak keruan dengan nasibnya, apatah lagi bayi yang sedang ditidurkan dalam buaian dan anak-anak sekolah yang bakal menanti malam dengan bilik yang tiada lagi dinding.

Esok sama-sama kita saksikan samada DBKL akan meruskan niatnya untuk meroboh gerai Pak Din atau sebaliknya.

Jika Wan Farid dilantik jadi MB T'ganu, itu petanda Idris Jusoh gagal

Intan Abdullah
Mon | Oct 29, 07 | 4:32:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Desas-desus yang kuat menyatakan Senator Dato' Wan Ahamd Farid Wan Salleh akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang, Kuala Terengganu berkemungkinan besar menggantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu adalah bukti yang jelas bahawa Idris gagal menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Jika sekiranya dakwaan tersebut benar, ini membuktikan bahawa kerajaan Terengganu pimpinan Idris Jusoh selama ini telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka mentadbir Terengganu," kata Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Tegasnya, ia adalah natijah daripada tindakan Idris yang merampas kuasa pemerintahan di Terengganu daripada PAS secara kotor dan jelas menyeleweng pada pilihanraya umum yang lalu.

Ustaz Hadi berkata, pelancaran Koridor pembangunan Pantai Timur (ECER) tidak lebih sekadar mengulangi kesilapan Umno-BN yang lalu dengan peruntukan kewangan yang besar untuk diagihkan kepada kroni-kroni mereka yang membantu dalam pilihan raya umum.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan BN yang secara tradisinya menggunakan taktik politik kotor termasuk membuat propaganda yang bertujuan untuk memusnahkan masa depan politik orang Melayu di tanah air ini.

"Namun, masalah yang timbul adalah penyuburan media yang bebas kini telah dikongkong sehingga menyukarkan penyampaian maklumat.

Bagaimanapun, PAS tetap bersabar dan mengambil tanggungjawab ini," tegasnya

Katanya, PAS tidak akan berhentu membicarakan soal penafian hak oleh BN, untuk akses kepada maklumat, sebagaimana yang sedang dituntut oleh Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sekarang ini.

Ustaz Hadi mendakwa kerajaan Terengganu yang diterajui Umno-BN bukan dilantik hasil sokongan padu rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2004.

Katanya, hal ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malangnya media dihalang daripada menyiarkan maklumat tersebut kepada umum.

Katanya, hasil post mortem PRU ke-11 yang lalu, terdapat peningkatan undi PAS di beberapa kawasan di Terengganu. Bahkan peratusan keluar mengundi juga meningkat kepada 90 peratus.

Jentera Pilihanraya PAS Terengganu juga akan meneruskan gerakerja bagi memastikan pilihanraya umum akan datang berlangsung dengan aman dan telus, ujar beliau. - mr

Lebih 40 NGO akan turut serta dalam himpunan 100 ribu

Salmiyah Harun
Mon | Oct 29, 07 | 4:16:51 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Lebih 40 NGO memberi komitmen untuk turut serta berhimpun dan berarak di Himpunan Aman Rakyat pada 10 November nanti bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Hingga kini boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bermesyuarat dan mengadakan pertemuan-pertemuan, di samping turun menjelajah ke seluruh negara untuk memobilisasi rakyat untuk turun beramai-ramai pada hari tersebut.

Jurucakap Bersih, Dr Syed Azman Syed Nawawi ketika dihubungi berkata, selain NGO semestinya parti politik yang akan membarisi perhimpunan itu iaitu PAS, Keadilan dan DAP.

"Komitmen menyeluruh daripada parti-parti pembangkang dan juga NGO amat memberangsangkan untuk sama-sama turun berhimpun pada Sabtu nanti," katanya.

Beliau juga turut memberitahu, pimpinan utama setiap parti akan mengepalai perhimpunan itu seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun beliau berkata, sebelum perhimpunan berlangsung wakil Bersih akan bertemu dengan pihak polis untuk memaklumkan kepada mereka tentang himpunan itu.

"Kita akan maklumkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum perhimpunan itu diadakan," katanya.

Perhimpunan 100,000 diadakan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta akan berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam tiga petang dan kemudiannya akan berarak sejauh tiga kilometer ke Istana Negara sejam selepas itu. - mks.

Tepis khabar angin yang berniat gagalkan perhimpunan 10 November

Intan Abdullah
Mon | Oct 29, 07 | 1:53:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mahu semua ahli dan penggerak parti menepis desas desus yang menyatakan bahawa sesetengah pimpinan parti enggan untuk turut sama dalam perhimpunan rakyat anjuran Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November ini.

Menurutnya, ia adalah salah satu daripada usaha pihak tertentu mahu menggagalkan perhimpunan raksasa rakyat, bagi menyerahkan memorandum tuntutan pilihan raya bersih dan adil kepada DYMM Yang diPertuan Agong di Istana Negara selepas berarak daripada Dataran Merdeka bermula jam 3 petang.

"Saya yakin hal ini dilakukan oleh mereka yang lemah iman mereka, namun kita tidak perlu mempedulikan apa yang mereka katakan kerana ia boleh mengundang perpecahan di kalangan kita," katanya ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS, semalam.

Tambahnya lagi, setakat ini sudah ada negeri-negeri yang telah memaklumkan jumlah penyertaan perhimpunan itu selepas mengadakan 'exercise' bagi menghadapi program tersebut dengan mengadakan program ijtima' di peringkat negeri masing-masing.

"Tidak timbul masalah tiada arahan secara khusus oleh pimpinan atasan kepada ahli sebagai kerahan mereka untuk turun, kerana kita sebelum ini telah memaklumkannya beberapa kali di dalam setiap kali program yang dijalankan sebagai penegasan kepada perkara tersebut," tegasnya menjawab dakwaan sesetengah pihak.

Sementara itu, Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah pula berpendapat bahawa sesiapa yang tidak turun sama dalam perhimpunan tersebut dianggap sebagai tidak mengetahui apa-apa perkembangan yang berlaku dalam negara.

"Pencinta keadilan, terutamanya wanita khususnya harus turut sama dan memahami tujuan sebenar penganjuran perhimpunan tersebut di samping menghayati mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat di luar sana," katanya ketika ditemui di majlis yang sama.

Beliau menjangkakan seramai 50,000 orang akan hadir pada 10 November ini sebagai tanda sokongan kepadan tuntutan yang akan disampaikan nanti.

"Rakyat di negara-negara Asia Tenggara lain telahpun bangkit menentang segala penyelewengan dan salah laku pimpinan yang berlaku dalam negara mereka. Sekarang adalah masanya untuk rakyat untuk bangun menentang segala kelemahan ini," katanya.

Tambahnya, daripada empat tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih, hanya satu sahaja yang diterima oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, Bersih kini lebih menumpukan tuntutan mereka untuk mendapatkan hak untuk akses kepada media yang sama rata dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Athirah yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa perhimpunan Rakyat menjelaskan bahawa mereka masih mengadakan roadshow untuk memastikan kerahan dan penyertaan rakyat secara maksimum dalam perhimpunan itu nanti. - mns

Law Hieng Ding umum bersara dari politik

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Tan Sri Law Hieng Ding hari ini mengumumkan di Dewan Rakyat hasratnya untuk bersara daripada bidang politik setelah berkhidmat selama 43 tahun.

Law, 72, berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak yang diwakilinya sejak 1982 pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya akan bersara atas pilihan sendiri bagi memberi laluan kepada golongan muda,” katanya ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008.


Pengumuman Law itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Lim Si Cheng, yang mempengerusikan persidangan pada masa itu secara berseloroh bertanya sama ada ucapan itu dibuat kerana Law sudah tahu tarikh pilihan raya umum akan datang.

Sambil tersenyum Law menjawab beliau tidak mengetahui bila pilihan raya umum ke-12 akan berlangsung tetapi mengambil peluang itu kerana khuatir tidak berpeluang membuat ucapan perpisahan di masa akan datang.

Dalam perbahasannya beliau menyentuh pelbagai aspek termasuk isu-isu perpaduan bangsa, pendidikan, ekonomi, kekuatan parti serta sejarah selain impian dan harapannya dalam bidang politik.


Law berkata selaku seorang veteran dalam Barisan Nasional, beliau berharap rakan-rakan anggota parlimen terutamanya pemimpin muda supaya sering turun padang dan tidak berasa angkuh dengan gelaran wakil rakyat.

“Jangan bersikap sombong kepada rakyat pada bila-bila masa pun. Sebaliknya sentiasa bersedia untuk menerima kritikan daripada rakyat seperti mana bersedia menerima kepujian,” katanya,

Ketika ditemui di lobi parlimen kemudiannya, Law berkata beliau sudah menyatakan hasratnya untuk bersara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi setakat ini belum menyerahkan sebarang surat rasmi berhubung perkara itu.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu berkata hasrat untuk bersara dari bidang politik sudah lama difikirkan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khidmatnya masih diperlukan dalam parti dan kerajaan.

“Saya pernah suarakan kepada (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 1999, dengan alasan umur, tetapi Dr Mahathir tanya berapa umur saya, dibanding dengan umur dia. Dia kata memandangkan dia belum bersara, dia tolak niat saya.

“Begitu juga pada 2004, hasrat saya untuk bersara terpaksa ditangguhkan sebab tidak dipersetujui pemimpin parti,” katanya.

Law berkata memandangkan pilihan raya umum sudah semakin hampir, cabaran sekarang ialah untuk mencari penggantinya yang boleh diterima oleh masyarakat di kawasan itu.

Bapa kepada tiga anak dan tujuh cucu itu turut mengakui niat untuk bersara disambut gambira keluarganya. — Bernama

PAS tambah calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang - Presiden

Intan Abdullah
Mon | Oct 29, 07 | 10:55:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - PAS akan menambahkan bilangan calon wanita dari kalangan muslimah yang berketerampilan, pada pilihan raya umum yang akan datang kata Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, langkah tersebut bukanlah perkara baru memandangkan parti itu pernah meletakkan calon wanita dan menang dalam pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1955.

Image"Jika sekiranya mereka (calon wanita tersebut) tidak berjaya dalam pilihan raya, mereka akan tetap dilantik memegang beberapa jawatan tertentu di peringkat daerah atau perbandaran," ujar beliau ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Taman Melewar semalam.

Katanya, calon-calon yang dilantik adalah berdasarkan keperluan kawasan, dewan undangan negeri atau parlimen setelah dinilai oleh Majlis Syura Ulama' dengan mengambil kira kriteria tertentu.

Ustaz Hadi turut menyatakan, kedudukan jentera pilihan raya PAS kini berada dalam situasi bersiap sedia sekiranya pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang terdekat.

"Meskipun kita berdepan dengan keadaan demokrasi yang begitu teruk, namun jentera kita tetap bersiap sedia daripada awal untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan," tegasnya lagi.

Katanya, ini termasuk gerak kerja di peringkat penerangan, serta dewan-dewan selain jabatan pilihan raya bagi memastikan segalanya berada dalam keadaan bersedia sepanjang masa.

"Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar walaupun ada kekangan, insya Allah kita akan memperhalusi perkara ini dengan teliti seterusnya mengatur langkah yang sewajarnya untuk memperlengkapkan segala strategi supaya ia lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan berhadapan dengan suatu bentuk penyelewengan dalam PRU akan datang berdasarkan pengalaman yang dihadapi sebelum ini.

"Bahkan kita dapat lihat demokrasi di negara lain lebih baik daripada negara sendiri, yang memberikan ruang kepada pembangkang mereka untuk menyatakan pendapat dan pandangan untuk dinilai oleh rakyat," ujarnya merujuk kes saman yang dikenakan ke atas akhbar Daily Mirror London yang memfitnah beliau.

Tegasnya, demokrasi di Malaysia kini telah dicabul dengan sistem pentadbiran dan kehakiman yang sudah tidak lagi telus.

"Oleh sebab itu, adalah menjadi kewajipan kepada PAS untuk menyedarkan rakyat akan kepincangan yang berlaku bagi mengelakkan bencana dan bala yang akan ditimpakan Allah jika kita tidak menjalankan kerja-kerja Amar Ma'ruf Nahi Munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran," ulasnya mengenai isu-isu mutakhir ini yang mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan, berkata muslimat mempunyai senarai nama calon wanita untuk diketengahkan dalam PRU akan datang.

"Ia menunjukkan bahawa pimpinan memberi peluang kepada muslimat yakni wanita untuk tampil memegang suatu tanggungjawab yang besar dalam negara," katanya semasa ditemui dalam majlis yang sama.

Namun, Wan Hasrina berharap agar calon wanita diberikan kerusi yang tidak begitu 'sukar' untuk ditandingi.

Bercakap mengenai persiapan pilihan raya, beliau menjelaskan bahawa jentera HalWa di setiap peringkat sedang aktif menggerakkan 'grassroot' sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Kami memperlengkapkan diri setiap muslimat dari segi mental dan fizikal untuk bekerja bagi menghadapi apa jua bentuk cabaran dalam PRU ini memandangkan ada yang menjangkakan ianya akan lebih kuat berdasarkan PRU yang lalu," ujarnya.

Rumah terbuka Aidilfitri PAS berlangsung semalam, menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai yang hadir sehingga mencecah kira-kira 20,000 orang.

Ia turut disambung dengan pelancaran buku Harakah pada sebelah malamnya di tempat yang sama. - mr

Panel bebas 'perkakas kerajaan' tutup kes 'Pita Lingam'

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Oct 29, 07 | 1:15:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Sejak Panel Bebas ditubuhkan lebih sebulan yang lalu bagi menyiasat skandal 'Pita Lingam' badan itu tidak henti dihujani kritikan kerana kegagalannya memanggil mahupun melindungi saksi dalam siasatan mereka.

Hari ini panel yang dikepalai Tan Sri Haidar Mohd Nor itu sekali lagi dikecam dan disifatkan menjadi 'perkakas kerajaan' bagi menutup skandal 'Pita Lingam' oleh Parti KeADILan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kecaman itu dibuat Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan beberapa pimpinan NGO serta pemuda dan wanita KeADILan dalam satu sidang media selepas pertemuan 10 minit dengan panel bebas di Suhakam pagi tadi.

Tian Chua berkata, setakat ini panel itu hanya menghabiskan masa dan wang rakyat kerana hanya menjadi 'perkakas' kepada kerajaan untuk menutup kes tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mewakili pelbagai pihak parti politik dan NGO kepada Panel Bebas di pejabat Suhakam hari ini.

Turut serta ialah, Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan, Latheefa Koya; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; wakil Suaram, Eric Paulsen dan beberapa aktivis NGO lain.

KeADILan berpendirian panel ini langsung tidak berwibawa dengan hanya mengharapkan maklumat dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan tidak berkuasa memanggil saksi, kata Tian Chua.

Beliau juga melihat bahawa keenganan panel bebas untuk berbincang lebih lama dengan delegasi KeADILan serta NGO hari ini menyebabkan wibawa panel itu sekali lagi boleh dipertikai.

Katanya, tiada guna kerajaan menubuhkan panel itu jika pihak yang mendedahkan maklumat tidak diberi peluang yang secukupnya untuk berbincang dan memberi maklumat serta pandangan kepada panel tersebut.

Seharusnya panel bebas itu mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal dalam pita tersebut yang sebenarnya memberi kesan besar kepada sistem kehakiman negara.

Sementara itu wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Eris Paulsen juga senada dengan Tian Chua yang mahukan Suruhanjaya Diraja dibentuk segera.

Ujar Eric lagi, memandangkan sebelum ini dalam beberapa kes dan skandal lain kerajan boleh menubuhkan Suruhanjaya Diraja, mengapa tidak dalam kes sebesar kes 'Pita Lingam' ini.

Terdahulu sebelum itu semua delegasi NGO dan KeADILan telah dihalang dari bertemu dengan panel itu hingga salah seorang ahli panel, Dato' Mahadev Shankar keluar ke pekarangan pejabat Suhakam di Tingkat 30 bertemu dan berbincang dengan delegasi.

Hasil dari itu hanya tiga orang sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke pejabat Suhakam itu pun hanya sepuluh minit sahaja untuk bertemu dengan Panel Bebas itu antaranya, Tian Chua, Eric Paulsen dan Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Latheefa Koya.

Berikutan itu kekecohan berlaku sebentar dan sementara menanti kebenaran masuk, pelbagai aksi dilakarkan di luar pejabat Suhakam.

Antara yang menarik aksi Tian Chua melakarkan semula kartun yang sudah siap sedia dilukis oleh seorang pelukis yang enggan identitinya dikenali.

Lukisan itu menggambarkan tiga ekor burung Ostrich yang kepalanya terbenam ke tanah dan masing-masing ditulis nama tiga panel tersebut iaitu nama Mahadev, Tan Sri Haidar Mohd Nor dan Lee Lam Thye.

Dengan nada sinis tertera tulisan 'Where is the evidence' bersebelahan dengan lakaran kartun burung Ostrich.

Ramai yang tertawa dengan lakaran itu yang cukup sinis, dan ada juga yang masam kerana kurang suka dengan lakaran tersebut.

Sudah tentu mereka yang kurang suka adalah di kalangan polis dan Pegawai Cawangan Khas (SB) yang sejak pagi lagi asyik memperhati gelagat delegasi serta wartawan yang membuat liputan penyerahan memorandum kepada panel bebas. - mks.

KeADILan sudah sedia hadapi pilihan raya umum - Azmin

Salmiyah Harun
Mon | Oct 29, 07 | 11:59:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat telah pun melengkapkan semua persiapan termasuk gerak kerja, latihan dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke 12 yang dijangka November ini.

Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) telah mengadakan tiga kursus Pilihan Raya mengikut zon yang disertai oleh 500 peserta dikalangan pimpinan tertinggi Bahagian, Angkatan Muda dan Wanita.

Kursus pilihan raya bagi Zon Timur melibatkan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang diadakan pada 26 Oktober, manakala pada 27 Oktober melibatkan Zon Utara iaitu Perlis,Kedah dan Pulau Pinang serta Zon Tengah antaranya Perak, Selangor, Wilayah Perseketuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam perbincanganya memperakukan cadangan-cadangan dari JPRP.

Menurut Pengerusi JPRP Mohamed Azmin Ali, majlis tertinggi juga memberi mandat penuh kepada Ketua Umum dan presiden untuk melantik calon-calon setelah berunding dengan Perhubungan Negeri-Negeri.

Katanya, Ketua Umum juga mengesahkan nama-nama calon utama dikalangan pimpinan parti dan golongan profesional yang menyatakan kesediaan mewakili keADILan dalam pilihan raya yang akan datang.

Tegsnya, PKR mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa pilihan raya akan diadakan dalam bulan November 2007 sejurus selepas Perhimpunan Agung UMNO.

Sementara itu, KLpos.com melaporkan, Azmin berkata, pihaknya percaya pilihanraya akan diadakan secara mengejut selepas perhimpunan agung Umno bulan depan.

Menurut Azmin, partinya kini selesai melengkapkan semua persiapan termasuk gerak kerja, latihan dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke 12.

"Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR juga memberi mandat penuh kepada Ketua Umum dan YB Presiden untuk melantik calon-calon setelah berunding dengan Perhubungan Negeri-Negeri.

"Ketua Umum juga mengesahkan nama-nama calon utama dikalangan pimpinan parti dan juga golongan professional yang menyatakan kesediaan mewakili PKR dalam pilihan raya yang akan datang," kata Azmin.

Jelasnya lagi, bahan-bahan pilihanraya yang utama seperti bendera PKR, T Shirt, topi, lencana dan banner telahpun siap ditempah dan akan diedarkan pada masa yang sesuai.

PKR kini hanya mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah di Permatang Pauh. Selain itu PKR mempunyai satu kerusi DUn di Sarawak yang dimenanginya dalam pilihanraya dewan undungan negeri tahun lalu.

Menurut sumber parti tersebut, PKR mensasarkan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen dan DUN dalam pilihanraya akan datang.

Sementara itu, PAS turut membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya mengejut bila-bila masa.

Di Selangor misalnya, satu program road show ceramah diatur di seluruh negeri tersebut.

Selain road-show, ceramah isu semasa, ceramah Muslimat di kawasan-kawasan di negeri Selangor serta kempen tandatangan "Selamatkan Malaysia" yang akan digerakkan di semua kawasan di negeri Selangor.

Program tersebut anjuran Lajnah Penerangan Badan Perhubungan dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS mesasarkan semua kawasan di Negeri Selangor untuk siri jelajah ceramah yang melibatkan kepimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri.

30/10/2007 - Sungai Besar : Ir Khalid Samad, Ust Kamal Ashaari, Ust Abdul Ghani Shamsuddin

03/11/2007 - Tanjong Karang : Ust Dr Othman Sabran, Khairudin Othman, YB Amirudin Hamzah

04/11/2007 - Kuala Selangor : Iskandar Abdul Samad, Sani Hamzan, YB Zaki Ibrahim

05/11/2007 - Selayang : Ust Mohd Zin Abd Rahman, Ust Solehin Mukhyi, Haji Mohamad Sabu

05/11/2007 Puchong : Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan, Ust Kamal Ashaari, Haji Mahfuz Omar

05/11/2007 Bangi : Ust Dr Othman Sabran, Sdr Jamzuri Ardani, Ust Mujahid Yusuf Rawa

06/11/2007 - Paya Jaras : Dr Hasan Mohd Ali, Sani Hamzan, Haji Mohamad Sabu

06/11/2007 - Shah Alam : Ir Khalid Samad, Khairudin Othman, Haji Mohamad Sabu v 09/11/2007 - Kapar : Ustazah Zahrawani Ismail , Ust Hasbullah Ridzwan, Mazlan Aliman

12/11/2007 - Sabak Bernam : Saari Sungib, Jamzuri Ardani, Dr Hatta Ramli.

15/11/2007 - Kuala Langat : Dr Halimah Mohd Ali, Ust Solehin Mukhyi, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

17/11/2007 Sepang : Ust Mohd Zin Abd Rahman, Ust Kamal Ashaari, Dr Hasan Mohd Ali.

18/11/2007 Klang : Iskandar Abdul Samad, Ust Solehin Mukhyi, Dr Hasan Mohd Ali.

20/11/2007 Gombak : Ust Dr Othman Sabran, Ust Najmi Abd Karim, YB Salahudin Ayub, Dr Hatta Ramli

21/11/2007 - Shah Alam : Ir Khalid Samad, Ust Najmi Abd Karim, Ust Idris Ahmad 23/11/2007 - Hulu Langat : Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan, Ust Solehin Mukhyi, Ezam Mohd Noor

26/11/2007 - Kota Raja : Dr Hasan Mohd Ali, Ust Solehin Mukhyi, Haji Mahfuz Omar. - mr