Tuesday, September 18, 2007

Rusuhan: 37 lagi dicari bantu siasatan

BERITA HARIAN



Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh


DIKEHENDAKI: Gambar terbaru 37 individu dikeluarkan polis Terengganu, semalam yang disyaki terbabit dalam rusuhan di Jalan Sultan Mahmud pada malam 8 September lalu sehingga menyebabkan empat anggota polis parah. Mereka berusia antara 20 dan 60 tahun diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu atau balai polis untuk membantu siasatan.

Polis masih tunggu lapan suspek beri keterangan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU: Polis mengedarkan 37 lagi gambar lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan penyokong pembangkang di Jalan Sultan Mahmud di sini, yang turut menyebabkan empat anggota polis cedera pada malam 8 September lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata semua lelaki terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Mereka diminta hadir ke Balai Polis atau IPD bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan untuk membantu siasatan kes ini. Mereka diminta memberi kerjasama sebaiknya supaya siasatan dapat berjalan lancar dan dapat dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.


Khairi berkata, semua lelaki itu berumur di antara 20 dan 60 tahun dan dipercayai warga Terengganu.

Katanya, dengan pendedahan gambar 37 lelaki terbabit, ia diharap dapat membantu melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan yang disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis yang kini 70 peratus siap.

"Jika mereka tampil beri keterangan, polis yakin dapat lengkapkan siasatan kes secepat mungkin," katanya.



Sabtu lalu, polis menyiarkan gambar sembilan lelaki bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung kes membakar Jalur Gemilang yang disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan.

Mengenai perkembangan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah agama swasta di Marang yang tampil menyerah diri selepas gambarnya disiarkan Sabtu lalu, Khairi berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan percakapan yang direkodkan, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dan dia dibebaskan kira-kira jam 10 pagi semalam selepas hampir 24 jam disoal siasat.

Mengenai siasatan kes pembakaran Jalur Gemilang, Khairi berkata, polis masih menunggu kelapan-lapan individu yang gambar mereka disiarkan untuk memberi keterangan.

"Polis mempunyai satu lagi gambar terbaru individu terbabit dalam insiden itu dan akan menyiarkannya melalui media dalam masa terdekat.

"Polis memberi peluang kepada individu terbabit tampil membantu siasatan dan jika mereka gagal polis pergi ke rumah mereka," katanya.

Sementara itu, Khairi berkata, hanya seorang lagi perusuh berusia 38 tahun yang terkena tembakan dalam rusuhan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil selepas pembedahan mengeluarkan peluru pada 13 September lalu.

Rusuhan: 37 lagi dicari

UTUSAN MALAYSIA

Oleh RAJMAH HASAN

KUALA TERENGGANU 17 Sept. – Polis hari ini mengedarkan gambar 37 lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Burok di sini malam 8 September lalu.

Kesemua lelaki yang berusia antara 20-an hingga 60-an itu dicari kerana dipercayai dapat membantu polis melengkapkan kertas siasatan berhubung rusuhan pada hari kejadian mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, kesemua mereka yang dipercayai rakyat tempatan telah dikenal pasti menerusi rakaman video serta gambar yang diambil pada malam kejadian.

‘‘Polis meminta individu terbabit tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes rusuhan itu di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

‘‘Kerjasama mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan itu yang kini sudah 70 peratus siap sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,’’ kata Khairi pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, pengedaran gambar itu menjadikan keseluruhan 46 lelaki dikehendaki polis setakat ini termasuk sembilan individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang dan merosakkan harta benda awam pada hari rusuhan.

‘‘Sembilan keping gambar itu telah pun diedarkan kepada media pada Jumaat lalu tetapi hanya seorang daripada mereka iaitu pelajar sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang menyerah diri ke IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 pagi semalam bagi membantu siasatan kes itu.

‘‘Bagaimanapun, pelajar berusia 16 tahun berasal dari Kampung Tok Dir dekat sini itu telah dilepaskan kira-kira pukul 10 pagi ini dengan jaminan polis selepas polis berpuas hati dengan keterangannya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata, polis juga telah menerima banyak maklumat daripada orang awam yang mengetahui butiran lapan lagi individu terbabit.

Katanya, gerakan mencari mereka di rumah masing-masing akan dilakukan dalam tempoh terdekat jika mereka gagal menyerah diri.

Hasrat DAP rampas Pulau Pinang ‘indah khabar dari rupa’

UTUSAN MALAYSIA


PULAU PINANG 17 Sept. – Barisan Nasional (BN) negeri menganggap hasrat parti pembangkang khususnya DAP merampas negeri ini pada pilihan raya umum akan datang sebagai sesuatu yang hanya ‘indah khabar dari rupa’.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, DAP hanya pandai bercakap dan bermain dengan emosi rakyat melalui isu-isu sensitif yang dibangkitkan tanpa ada sebarang pelan atau perancangan dibuat untuk membangunkan negeri.

Sambil mengakui BN negeri bakal berdepan tugas lebih berat dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam pilihan raya umum berkenaan, beliau yakin rakyat dan para pengundi di negeri ini tidak terpengaruh dengan taktik dan rancangan DAP yang bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

“Paling mustahak, rakyat seharusnya memikirkan dan meneliti rancangan dan projek yang telah diluluskan kerajaan untuk membangunkan negeri ini terutama projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang pasti membawa banyak kemajuan pada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata demikian apabila ditanya mengenai hasrat Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow yang menyatakan bahawa parti itu akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Kon Yeow turut menyatakan keyakinan parti pembangkang itu berupaya menambah jumlah kerusi yang dimenanginya berdasarkan kemampuan yang ada.

Dalam pada itu Kwang Chye mengingatkan pemimpin parti Komponen BN supaya peka dengan hasrat DAP tersebut dan berusaha bekerja lebih keras menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Mereka juga perlu menjaga ucapan masing-masing supaya isu-isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum antara masyarakat di Malaysia tidak disentuh.

“Masalah yang wujud dalam parti juga harus diselesaikan dengan cara yang bijaksana supaya semua parti komponen BN benar-benar bersedia menghadapi cabaran dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

DAP Sarawak umum calon pilihan raya

UTUSAN MALAYSIA

SIBU 17 Sept. – DAP mahu bertanding di tujuh kawasan Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang. Pengerusi DAP negeri, Richard Wong Ho Leng berkata, kawasan tersebut ialah Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Miri, Sarikei, Sibu dan Bintulu.

Bagi kawasan Bandar Kuching, Chong Chieng Jen akan diminta mempertahankan kerusinya. Chong juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.

Wong berkata, ADUN Batu Lintang, Voon Lee Shan pula dicadang untuk bertanding di kawasan Stampin yang kini disandang oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Bagi kerusi Lanang yang kini dipegang oleh Barisan Nasional (BN), Ketua Publisiti DAP negeri, David Wong telah dipilih untuk bertanding.

Bagi kerusi Miri yang disandang oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, nama Fong Poh Teck telah dicadangkan.

DAP juga memilih Dr. Wong Hua Sie untuk bertanding di Sarikei, kerusi yang disandang oleh bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding.

Wong yang juga ADUN Bukit Assek berkata, DAP belum memutuskan nama calon untuk bertanding di Sibu dan Bintulu yang dimiliki BN.

Bagi kerusi Sibu, parti itu mempunyai beberapa nama termasuk dirinya dan Ketua Wanita DAP, Ling Yen Lin, katanya.

– Bernama

Rusuhan: Pelajar serah diri

UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Seorang pelajar sebuah sekolah agama swasta di Binjai Bongkok, Marang, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud pada 8 September lepas.

Pelajar berusia 16 tahun dan berasal dari Kampung Tok Dir, dekat sini menyerah diri sehari selepas gambarnya bersama lapan lagi lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan disiarkan di media massa semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, pelajar tingkatan empat sekolah agama swasta itu datang seorang diri ke IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

‘‘Polis akan menjalankan soal siasat ke atas pelajar itu untuk mengetahui sejauh mana penglibatannya dalam kejadian rusuhan dan membakar Jalur Gemilang pada malam 8 September lalu.

‘‘Siasatan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 berhubung perhimpunan haram dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan bencana terhadap harta benda awam sewaktu rusuhan,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini.

Khairi berkata, sebarang keputusan untuk mendapatkan tahanan reman ke atas pelajar terbabit hanya akan diketahui hasil soal siasat ke atasnya yang dibuat hari ini.

‘‘Jika perlu siasatan lanjut, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas pelajar ini esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,’’ katanya.

Mengulas perkembangan kes tersebut, beliau berkata, setakat ini polis sudah menerima banyak maklumat daripada orang awam yang mengetahui alamat dan nombor telefon lapan lagi individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes rusuhan itu.

‘‘Polis yakin dengan maklumat-maklumat yang ada ini kita akan menahan lapan lagi lelaki yang dikehendaki tidak lama lagi ataupun mereka sendiri boleh tampil untuk menyerah diri secara sukarela,’’ katanya.

Khairi berkata, polis juga akan mengedarkan lebih 20 lagi gambar individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan pada sidang akhbar Selasa ini.

DAP hasrat tanding 7 kerusi Parlimen di Pulau Pinang

UTUSAN MALAYSIA

PULAU PINANG 16 Sept. – DAP berhasrat untuk bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata perkara itu disuarakan oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Konvensyen Pilihan Raya DAP Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu akan dibincangkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lama lagi supaya mereka dapat mengatur strategi dan menempatkan calon di kawasan yang dirasakan sesuai.

‘‘Kita akan berbincang dan berunding dengan PKR secara tertutup mengenai perkara ini,’’ katanya ketika merasmikan konvensyen itu di sini.

Katanya Pulau Pinang merupakan negeri utama yang akan membawa cabaran DAP pada pilihan raya umum akan datang dan yakin parti itu berupaya menambah jumlah kerusi yang dimenanginya kerana ia berkemampuan untuk berbuat demikian.

– Bernama

Bekas ADUN Sabai meninggal dunia

UTUSAN MALAYSIA

MENTAKAB 16 Sept. – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanggang dan Sabai, Datuk R. Sinnathamby meninggal dunia di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pukul 6.30 petang semalam akibat serangan sakit jantung.

Sinnathamby, 69, dimasukkan ke hospital itu pukul 10 malam Jumaat lepas, kata anak beliau, S. Sivalingam kepada Bernama di rumah bapanya di sini hari ini.

Mendiang yang juga bekas guru meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Sivalingam berkata, mendiang bapanya dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Hindu di Karak, pukul 4 petang ini.

Sinnathamby menjadi ADUN Sanggang dari 1991 hingga 1995 selepas menewaskan calon DAP, Ng Kwi Ling pada pilihan raya umum 1990 dan kemudian menjadi ADUN Sabai (1995-1999) selepas menang dalam pilihan raya umum 1995.

Mendiang juga ialah bekas Pengerusi MIC Pahang (1993-2003) menggantikan Datuk V.V.Aboo yang juga bekas ADUN Lanchang.

Sementara itu, Ketua MIC Bentong M.P. Nathan berkata, mendiang Sinnathamby adalah bekas guru sekolah Tamil yang sepanjang hayat beliau banyak membantu orang ramai di Pahang terutama di kawasan Karak.

– Bernama

Friday, June 29, 2007

Saturday, May 27, 2006

DBKU bukan punca undi BN kurang

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 26 Mei - Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menafikan kekurangan majoriti undi yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN) di Satok dan Pantai Damai pada pilihan raya lalu berpunca daripada tindakan tegas pihak berkuasa tempatan itu.

DBKU dalam kenyataannya di sini, hari ini berkata, isu kekurangan majoriti bukanlah disebabkan DBKU, lebih-lebih lagi yang melibatkan kawasan Pantai Damai.

Menurut kenyataan itu, Pantai Damai merangkumi Penempatan Semula Rampangi, Pasir Pandak, Pasir Panjang, Buntal dan Santubong tidak pernah terlibat dengan sebarang tindakan `keras' oleh DBKU.

Kata kenyataan itu, DBKU telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan penduduk Pantai Damai, ketua-ketua masyarakat dan juga wakil rakyat kawasan berkenaan.

``Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kempen anti nyamuk, dialog, turun padang dan program kejiranan telah dijalankan, malah pada 3 Julai tahun lepas DBKU dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Buntal telah mengadakan Program Kejiranan Mesra yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud,'' kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran komen Menteri Perumahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg yang menyarankan DBKU menggunakan pendekatan yang lebih bertolak-ansur serta kemanusiaan dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

Kalau tahu Sarawak bermasalah kenapa PM tak bantu kempen?

HARAKAHDAILY

Fri | May 26, 06 | 07:44:59 PM
Oleh A. Kadir Jasin

Barisan Nasional Sarawak tidak kalah dalam pilihan raya umum negeri 20 Mei lalu. Tetapi yang jelas “menang” adalah pembangkang.


BN memperoleh 62 daripada 71 buah kerusi Dewan Undangan yang diperbesarkan. Pembangkang dan calon bebas mendapat sembilan, bilangan terbesar sejak 1986.

Di negara-negara lain atau di negeri-negeri lain di Malaysia, keputusan begini tidak memeranjatkan. Tetapi di Sarawak ia hampir-hampir menyebabkan “serangan jantung”.

Sebabnya banyak dan pelbagai. Buat permulaan, sejak awal-awal lagi kepemimpinan negeri dan pusat, dengan bantuan media massa arus perdana, menguar-uarkan kemenangan bersih.

Ini berpandukan prestasi pilihan raya negeri 2001 dan pilihan raya umum 2004 di mana BN negeri memperoleh kemenangan besar.

Malah ada penyokong Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud “meremehkan” proses demokrasi yang sangat penting itu sebagai hadiah hari jadi kepada beliau. Abdul Taib merayakan hari jadinya yang ke-70 pada 21 Mei. Tidak mengejutkan jika tarikh pilihan raya itu dipilih khas untuk berlaku serentak dengan ulang tahun ke-70 kelahiran beliau.

Apa yang rata-rata disifatkan sebagai memeranjatkan oleh banyak pengulas politik sebenarnya tidaklah terlalu memeranjatkan. Malah dengan alasan yang begitu banyak untuk mengasak BN, parti-parti pembangkang sebenarnya gagal untuk memaksimumkan peluang keemasan mereka.

Namun kejayaan DAP memenangi enam kerusi dan Keadilan, buat kali pertama, mendapat satu kerusi cukup untuk memberi isyarat bahawa pengundi Sarawak semakin bersedia untuk menjadi “lebih Malaysia” dalam pilihan mereka.

Reaksi Kepada Monopoli Politik

Ini mungkin berupa manifestasi “pemberontakan” terhadap monopoli politik negeri itu oleh parti-parti kaum dan puak yang bergabung menjadi BN Sarawak, dan mungkin berupa isyarat awal perpecahan BN Sarawak.

Penolakan BN oleh pengundi bandar, khasnya pemilih keturunan Cina, bukan sahaja berupa pemberontakan terhadap Sarawak United People’s Party (SUPP) tetapi juga protes terhadap prestasi ekonomi yang tidak menentu.

Sebagai masyarakat peniaga, pengundi Cina lebih sensitif kepada perkembangan ekonomi yang dalam masa setahun dua ini tidak menampakkan arah dan tujuan yang jelas.

Kemerosotan bilangan pemilih yang keluar mengundi dan perubahan trend pengundian masyarakat Dayak mengukuhkan andaian bahawa berlaku protes yang meluas terhadap BN Sarawak yang diketuai oleh parti Melayu/Melanau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia di mana parti-parti nasional BN seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan tidak bertapak. Politik negeri itu diserahkan bulat-bulat kepada parti-parti etnik negeri yang bergabung membentuk BN Sarawak.

Akibatnya, Sarawak dan Ketua Menterinya mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kerangka politik nasional. Walaupun jarang diperkatakan, sistem yang memisahkan BN negeri daripada BN pusat memberikan Sarawak suatu bentuk autonomi yang tidak dinikmati oleh negeri-negeri lain.

Malah pemerhati politik tidak terlepas daripada membuat komen bahawa Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN pusat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak pun hadir untuk berkempen di Sarawak.

Jadi tidak hairanlah apabila Abdullah membuat kenyataan media di Mesir mengatakan beliau “berasa sesuatu tidak kena” mengenai pilihan raya itu beberapa hari sebelum pengundian, banyak pihak di Sarawak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa dan menyebabkan mereka berasa terkilan.

Apa Muslihat Perdana Menteri?

“Kalau tahu BN ada masalah, apatah lagi akan kalah banyak kerusi, mengapa Perdana Menteri tidak beritahu Abdul Taib atau datang sendiri membantu?” demikian reaksi para pemerhati politik di Kuching.

Bekas seorang pengarang akhbar Sarawak yang saya temui di Kuching pada 24 Mei berkata seandainya Perdana Menteri mengetahui atau “berasa” sesuatu tidak kena, logiknya beliau perlu memberitahu Abdul Taib atau pemimpin negeri yang lain.

“Atau apalah salahnya beliau memberitahu Najib (Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak) kerana Najib datang berkempen,” kata seorang wartawan Sarawak.

Apakah kenyataan Abdullah di Mesir itu mengandungi suatu muslihat atau mesej yang tidak kita fahami atau sekadar sedap cakap?

Kalau beliau “berasa” ada sesuatu yang tidak kena, siapakah yang mempengaruhi fikiran beliau untuk membuat kesimpulan sedemikian?

Teori persekongkolan (conspiracy theory) berlambak -- daripada kerenggangan perhubungan di antara Abdul Taib dengan pentadbiran baru di Putrajaya kepada isu perniagaan dan (seperti biasa) “faktor Khairy”.

PM Ada Kuasa Ghaib?

Atau apakah Perdana Menteri dan pembantu-pembantu beliau cuba memberi gambaran bahawa beliau mempunyai kuasa dan naluri istimewa untuk “menilik” apa yang akan berlaku, yang tidak nyata kepada orang lain?

Ini mengingatkan saya kepada dakwaan seorang rakan akrab Perdana Menteri, yang kini menganggotai dan mempengerusikan banyak perbadanan kerajaan dan syarikat swasta, yang secara terbuka menyifatkan Abdullah sebagai manusia yang “diberkati”.

Dalam sebuah seminar di Universiti Malaya tidak lama dulu, kawan yang mendakwa dirinya pengamal tasawuf itu berkata segala-gala yang berlaku kepada Abdullah membuktikan “keistimewaan” beliau.

Jadi tidak hairanlah jikalau akhbar Internet Malaysiakini secara berseloroh menyiarkan tajuk berita “The Clairvoyant Malaysian Prime Minister” (Perdana Menteri Malaysia Tukang Tilik).

Berasa atau tidak, tilik atau tidak dan diberkati atau tidak, keputusan pilihan raya Sarawak yang memberikan prestasi baik kepada pembangkang pasti akan memberi kesan bukan sahaja kepada negeri berautonomi itu malah kepada politik nasional.

Dengan begitu banyak soalan yang belum terjawab atau dijawab tetapi tidak meyakinkan – daripada isu AP kepada penjualan aset Proton pada harga 1 Euro, pembatalan projek jambatan, kesan perjanjian perdagangan bebas dan kenaikan harga yang berterusan – pembangkang tidak kekurangan modal untuk mengasak kerajaan.

Walaupun kerajaan, dengan bantuan media massa arus perdana yang menyokongnya, cuba memberi penjelasan mengenai pelbagai kenaikan harga yang berlaku sejak akhir-akhir ini, rakyat terbanyak terus curiga kerana banyak penjelasan itu bercanggah antara satu sama lain.

Misalnya, walaupun kenaikan 12 peratus tarif elektrik mulai 1 Jun ini didakwa tidak akan menjejas 60 peratus pengguna – mereka yang menggunakan RM43.60 sebulan atau kurang -- namun mereka akan dibebankan oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat kos elektrik yang lebih tinggi.

Kalau hari ini pengguna berasa tekanan kenaikan harga, sebabnya ialah kerana kadar inflasi yang dulunya rendah – di bawah dua peratus setahun – kini telah meningkat kepada hampir lima peratus (4.6 peratus pada bulan April)

Di masa yang sama, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih rendah daripada negara-negara jiran dan Bursa Malaysia adalah yang paling lemah prestasinya berbanding pasaran saham negara-negara Asia yang lain. Malah kita kalah kepada Indonesia, Filipina dan Negeri Thai dalam beberapa aspek.

Peluang Untuk Pembangkang

Inilah antara isu politik, ekonomi dan sosial yang boleh dan pastinya dijadikan modal oleh parti-parti pembangkang untuk meraih sokongan.

Yang menjadi tanda tanya hanyalah kemampuan mereka membuat analisis terperinci dan menyampaikan maklumat kepada rakyat jelata dan pengundi secara meluas dan berkesan.

Kemampuan mereka akan terus terhad kerana mereka tidak akan mendapat tempat di dalam media massa arus perdana dan mereka sendiri masih tidak mampu meyakinkan umum bahawa mereka boleh menjadi alternatif kepada BN.

Namun dengan semakin meluasnya penggunaan media massa alternatif seperti Internet, harapan pembangkang memecahkan monopoli politik BN adalah lebih cerah.

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak adalah bukti jelas aliran ini.

Friday, May 26, 2006

SUPP hantar laporan kepada PM

BERITA HARIAN

KUCHING: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam akan menghantar laporan lengkap kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi punca kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.

Dr Chan berkata, laporan yang akan disiapkan dalam masa sebulan turut mengambil kira pendapat ahli pada peringkat cawangan di seluruh negeri, termasuk pandangan pembangkang mengenai kelemahan SUPP.

Katanya, mesyuarat dengan ahli jawatankuasa tertinggi parti itu diadakan baru-baru ini bagi mengenal pasti punca kekalahan SUPP di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kota Sentosa, Pending, Batu Lintang, Padungan, Bukit Assek, Meradong, Engkelili dan Kidurong kepada pembangkang.

"SUPP akur dengan arahan Perdana Menteri yang meminta kami menyediakan laporan lengkap mengenai punca kekalahan teruk calon kami baru-baru ini sehingga menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) negeri keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, semalam.





Sementara itu, di PUTRAJAYA, Setiausaha Penganjur SUPP, Datuk Peter Chin, berkata semua 33 cawangan parti itu di seluruh Sarawak diarah mengadakan bedah siasat bagi membantu SUPP dan BN mengenal pasti kelemahan jentera parti hingga menyebabkan lapan kerusi itu jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya itu.













"Pada masa ini, kami tidak berminat menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya kami ingin menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, semalam.

SUPP kalah kepada DAP di DUN Kota Sentosa, Pending, Batu Lintang, Bukit Assek, Meradong dan Kidurong, manakala masing-masing tewas satu kerusi di tangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di DUN Engkelili dan Parti Keadilan Rakyat (DUN Padungan).

Dr Chan berkata, tiada sesiapa daripada parti itu termasuk calon SUPP yang kalah dalam pilihan raya lalu akan meletakkan jawatan, setakat ini.

"SUPP lebih berminat untuk menyelesaikan kemelut melanda parti ketika ini. Mereka yang ingin meletakkan jawatan hanya boleh dilakukan apabila masalah dapat diselesaikan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"SUPP bukan parti pengecut yang mudah putus asa walaupun kalah teruk ketika pilihan raya lalu dan kini dicemuh pelbagai pihak.

“Kami tidak akan berundur diri sembarangan hanya kerana calon kami tidak diterima, sebaliknya kami masih ingin berkhidmat kepada rakyat dan kini cuba memahami kemahuan mereka," katanya.

Penurunan jumlah undi SPDP dikaji

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 25 Mei - Parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) akan mengkaji punca penurunan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya negeri lalu.

Presidennya, Datuk William Mawan berkata, satu jawatan kuasa ditubuhkan bagi melakukan penilaian mengenai punca yang boleh dikaitkan kepada kemerosotan undi di kalangan calon SPDP.

``Persoalan dan perkara berbangkit akan diserahkan oleh ahli parti untuk dibincang pada mesyuarat majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.

``Kita harus cari punca kenapa sokongan yang diterima semakin berkurang, selain itu isu yang ditimbulkan oleh pembangkang semasa kempen pilihan raya lalu juga akan dikaji,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak itu berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat SPDP di Batu Kawa, dekat sini hari ini.

Berbanding pilihan raya 2001, jumlah undi yang diperoleh kebanyakan calon SPDP menurun kali ini walaupun menang di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

Menurut Mawan, hasil daripada mesyuarat majlis itu akan diketengahkan pada mesyuarat agong tiga tahun sekali parti berkenaan yang akan diadakan pada 5 Ogos nanti.

``Kita tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ini, tambahan pula masih banyak perkara yang ada hubung kait dengan parti-parti komponen BN lain perlu diselesaikan,'' ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangan SPDP, beliau berterima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh pengundi serta jentera BN termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

``Tanpa sokongan BN pusat, halangan yang dihadapi SPDP sememangnya sukar.

``Sebagai sebuah parti muda, SPDP akan berusaha lebih gigih untuk menjadi sebuah parti demokratik yang menyumbang kepada kejayaan BN di Sarawak,'' ujarnya.

Katanya, kemenangan SPDP juga membuktikan parti yang diterajui oleh pemimpin pelbagai kaum itu disambut baik dan menyumbang kepada perpaduan masyarakat di negeri ini.

``Selain mempunyai anggota parti yang berkaliber, komposisi SPDP yang terdiri daripada calon Lun Bawang, Cina, Kedayan, Bidayuh dan Kenyah adalah kebanggaan yang kami tampilkan kepada BN.

``Malah, parti juga menerima banyak permohonan daripada orang ramai yang mahu menjadi ahli SPDP,'' katanya.

Chan nafi tawar letak jawatan

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 25 Mei - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr. George Chan menolak andaian beliau menawar diri meletak jawatan ekoran kekalahan besar parti itu pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.

Malahan, katanya tiada pemimpin parti itu meletak jawatan kerana dikatakan bertanggungjawab di atas kekalahan lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri sebaliknya berkata ahli-ahli SUPP akan terus bersatu pada saat-saat seperti sekarang dan memperkukuhkan perpaduan.

``Ahli-ahli parti akan terus bersatu dan bekerja lebih kuat demi masa depan SUPP,'' katanya selepas merasmikan Seminar Daya Usaha Perlindungan Siber di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa beliau dan beberapa pemimpin SUPP menawarkan diri untuk melepaskan jawatan kerana bertanggungjawab di atas kekalahan SUPP pada pilihan raya negeri lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Law Hieng Ding dan beberapa pemimpin termasuk Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP, Datuk Alfred Yap Chin Loi turut menawarkan untuk meletak jawatan.

Dr. M terkejut SUPP tewas 8 kerusi

UTUSAN MALAYSIA

TOKYO 25 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) yang terkejut dengan kekalahan lapan kerusi oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lepas, berkata bedah siasat perlu dibuat bagi mencari puncanya.

``BN kena cari sebab mengapa sesetengah pemilih di negeri itu berasa kecewa hingga mendorong mereka menyokong pembangkang,'' katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Dr Mahathir berada di sini bagi mempengerusikan perbincangan pada hari kedua Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-12 yang bertemakan ``Masa Depan Asia'' pada Jumaat.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau menghadiri Persidangan Nikkei sejak ia mula diadakan 12 tahun lepas.

SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Parti itu hilang lima kerusi - Pending, Kota Sentosa, Padungan, Batu Lintang, Engkilili, Bukit Assek dan Meradong kepada DAP, selain gagal merampas semula Kidurong daripada parti itu (DAP), dan masing-masing satu kerusi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas.

- Bernama

Pilihan raya Sarawak: Kemenangan pembangkang petanda rakyat persoal BN

HARAKAHDAILY

hu | May 25, 06 | 03:19:55 PM
Oleh Abu Bakar Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pertambahan kerusi pembangkang di Sarawak menunjukkan rakyat Malaysia mempersoalkan prestasi Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini, kata penganalisis politik, Khoo Kay Peng.

"Selepas tiga pilihan raya dan kemenangan mutlak (BN) pada 1995, 1999 dan 2004, mereka mula mempersoalkan apa yang telah dibuat oleh kerajaan untuk pembangunan," katanya kepada AFP.

"Oleh itu dalam pilihan raya ini, rakyat mula menilai perkara itu. Arah aliran ini tidak terhad kepada Sarawak sahaja, ia mungkin mendatangkan kesan pada pilihan raya umum akan datang," katanya merujuk kepada pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2009.

Menurut Khoo, rakyat Malaysia semakin tidak sabar dengan hasil dari kempen Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi untuk menghapuskan rasuah, janji yang membantu beliau mendapat kemenangan besar pada tahun 2004.

Mandat yang diberikan melalui pilihan raya 2004 itu adalah "untuk beliau (Abdullah) melakukan reformasi. Ia terkandung dalam manifesto pilihan raya dan rakyat menyokongnya," katanya lagi.

Selepas dua tahun setengah, rakyat tertanya-tanya apakah reformasi yang dilakukan,' katanya sambil menambah parti pembangkang mengambil peranan menyuarakan keprihatinan rakyat itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bagaikan tidak peka dengan suara rakyat apabila menyifatkan ada kerusi yang dimenangi pembangkang disebabkan pertaruhan kaki-kaki judi.

Semasa keputusan Bukit Assek ditayangkan di televisyen pada 9 malam yang menunjukkan BN kalah kepada DAP, Taib berkata: "Pertaruhan. Banyak yang bertaruh. Sibu memang tempat pertaruhan," katanya sambil memandang kepada kumpulan wartawan yang membuat liputan di situ.

Thursday, May 25, 2006

SPDP Mahu Penggabungan Dengan PRS Berlaku Secara Natural

BERNAMA

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu proses penggabungannya dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS) berlaku secara natural dan tidak terlalu mendesak mana-mana pihak untuk bergabung dengannya dalam tempoh terdekat.

Presiden SPDP Datuk William Mawan Ikom berkata ada isu lain yang lebih besar untuk dibincangkan selepas selesai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kesembilan.

"Kita mahu proses penggabungan ini berlaku secara natural, asas yang paling penting ialah kita mahu bersatu hati, kita tunggu masanya akan tiba kerana isu penggabungan ini hanya isu yang kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti di sini hari Khamis.

Mawan berkata tumpuan utama parti ketika ini ialah isu kemerosotan jumlah undi dalam kawasan DUN yang diwakili oleh calon SPDP, selain isu semasa yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Katanya satu laporan post-mortem berhubung semua isu pilihan raya, termasuk kemerosotan jumlah undi, akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

Pada pilihan raya kesembilan lalu, kesemua lapan calon BN dari parti SPDP termasuk dua calon baru menang.

Selain Mawan yang menang di Pakan, calon SPDP lain yang mencatatkan kejayaan ialah Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Datuk Peter Nyarok Entrie (Krian), Wong Judat (Meluan), Rosey Yunus (Bekenu), Sylvester Entri Muran (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Nelson Balang Rining (Ba'Kelalan).

Menurut Mawan kejayaan SPDP itu merupakan satu bukti kepada keteguhan parti yang beliau anggap masih muda.

"Sekarang kita mempunyai wakil rakyat yang diwakili oleh tujuh suku kaum di Sarawak. Kita ada wakil dari kaum Iban, Cina, Bidayuh, Bisaya, Kedayan, Kenyah dan Lun Bawang. Ini sudah cukup baik," katanya.

Dalam pada itu Mawan berkata SPDP dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) pada bulan Ogos tahun ini dan ia dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

SUPP Akan Bangunkan Semula Kekuatan Parti, Kata Dr Chan

BERNAMA

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Bangunkan semula kekuatan dan strategi parti, itulah keutamaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam masa terdekat ini, kata Presidennya Tan Sri Dr George Chan hari Khamis.

Ekoran prestasi buruk pada pilihan raya negeri 20 Mei lepas, yang menyaksikan SUPP hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginnya, beliau berkata parti itu akan menjalankan bedah siasat serta-merta bagi mengenal pasti faktor-faktor kekalahannya.

"Yang penting sekarang ialah pastikan semua anggota parti bersatu. Bangunkan kekuatan parti dulu kerana saya tidak mahu sesiapapun mengatakan SUPP, yang merupakan parti yang sangat tua (dalam komponen Barisan Nasional), tidak boleh terus bertahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai Inisiatif-inisiatif Keselamatan Siber di Malaysia, di sini.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau akan menghantar laporan mengenai kekalahan parti itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, secepat mungkin.

Menurutnya beliau juga telah mengarahkan semua cawangan SUPP menghantar laporan yang sama membabitkan kawasan masing-masing dalam tempoh sebulan.

Pada pilihan raya negeri itu, SUPP tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Padungan manakala kepada DAP, masing-masing di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Meradong, Bukit Assek selain gagal menewaskan DAP di Kidurong.

BN memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini. Pembangkang menang sembilan kerusi dengan DAP memperoleh enam kerusi manakala PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas, masing-masing menang satu kerusi.

Sambil menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyalahkan sesiapa atas kekalahan paling buruk dalam pilihan raya, Dr Chan berkata SUPP perlu mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kekalahan mereka.

Menurutnya beliau juga akan meminta penilai bebas mengkaji kekalahan parti itu.

Mengenai laporan berita bahawa para pemimpin SUPP, termasuk beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan, Dr Chan berkata: "Kita bukan parti yang mudah menyerah kalah dan kita tidak putus asa terhadap rakyat. Rakyat telah bersuara lantang dan jelas. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dan kita tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri."

Bukan Islam masuk Pas helah politik

UTUSAN MALAYSIA

Oleh: TOREK SULONG

PASIR PUTEH 24 Mei - Perubahan sikap kepimpinan Pas sehingga mula sanggup membuka keahlian kepada bukan Islam hanya helah politik kerana terdesak untuk mencari peluang menguasai pemeritahan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah berkata, langkah itu adalah sebahagian strategi baru bagi mendapat mandat untuk memerintah sehingga boleh menghalalkan perkara yang pernah `diharamkan' parti itu sejak sekian lama.

Beliau percaya, pembaharuan dasar itu sebenarnya bukan daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi berkemungkinan idea kepimpinan pelapis muda Pas yang cemas terhadap kedudukan kerajaan negeri yang goyah ekoran sokongan rakyat kian terhakis.

``Saya melihat senario ini sebagai satu helah politik mengikut keadaan semasa dan tidak terkejut dengan pendekatan baru bagi memperlihatkan ia lebih terbuka,'' ujarnya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai kali ke-34 dekat sini petang semalam.

Sazmi berkata, sebelum ini pun kerajaan Kelantan pimpinan Pas menunjukkan sikap yang tidak menentu dengan mengharamkan permainan tradisional seperti dikir barat dan wang kulit serta program hiburan.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini pelbagai `taktik' dibuat bagi membenarkan semula perkara yang pernah disekat apabila melihat ada kepentingan yang boleh memberi keuntungan kepada parti itu.

Dulu, tambah beliau, penceramah Pas dengan lantang mencerca UMNO kerana bergabung dengan parti yang didokong masyarakat bukan dalam Barisan Nasional (BN).

``Sekarang ini jelas, Nik Abdul Aziz seperti meludah ke langit dan akhirnya terpalit kemuka sendiri. Pas merasa tertekan di Kelantan pada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperoleh dan melihat sokongan padu di kalangan bukan Islam kepada BN kian bertambah,'' ujarnya.

Tidak perjelas isu punca kekalahan

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 24 Mei - Kekalahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di lapan kerusi pada pilihan raya negeri Sabtu lalu kerana kegagalan menjelaskan isu pajakan tanah kawasan bandar.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Datuk Abang Johari Tun Abang Openg berkata, selain itu kekalahan terbesar parti komponen Barisan Nasional (BN) juga mungkin berpunca daripada tindakan pembangkang yang memutar belitkan isu tanah kononnya kerajaan negeri telah merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) rakyat.

Katanya, kedua-dua isu yang diputarbelitkan pembangkang itu boleh ditangkis dengan memberi penjelasan terperinci dan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi sepanjang kempen pilihan raya lalu.

``Apa yang saya perhatikan polisi kerajaan terhadap pajakan tanah di kawasan bandar tidak diperjelaskan sehingga ke akar umbi menyebabkan pengundi termakan hasutan pembangkang.

``Sedangkan polisi kerajaan adalah adil dan tidak membebankan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

SUPP, satu daripada empat parti komponen BN negeri hilang lapan daripada 19 kerusi yang diperuntukkan kepadanya iaitu Padungan, Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong. Meradong dan Engkilili.

Bagaimanapun Johari menyifatkan kekalahan SUPP itu sebagai kejutan sementara dan yakin parti yang mewakili kaum Cina Sarawak itu akan bangkit pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menyifatkan kekalahan SUPP itu sama seperti yang pernah dialami oleh PBB pada pilihan raya Parlimen pada 1999.

Katanya, ketika itu pembangkang memutar belitkan isu NCR dengan mendakwa kerajaan akan menghapuskan hak pemilikan tanah tersebut.

``PBB menang dengan majoriti tipis di kawasan Kuching akibat dakyah pembangkang ketika itu.

``Bagi saya kekalahan SUPP di lapan kerusi yang ditandinginya bukan penamat perjuangan parti itu,'' katanya.

Dalam perkembangan yang sana, Johari mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang membantu PBB menang seratus peratus khususnya di lima kawasan di bandar raya Kuching iaitu Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang dan Satok.

Katanya, kemenangan itu membuktikan sokongan terhadap BN tetap mantap walaupun terdapat beberapa kawasan mencatatkan penurunan majoriti undi.

``Kemerosotan undi di kawasan-kawasan terlibat mungkin disebabkan pembangkang memutar belitkan isu-isu di kawasan terlibat.

``Apa yang lebih penting kejayaan PBB di kawasan bandar menunjukkan BN tetap mendapat sokongan dari golongan berpendidikan tinggi dan profesional,'' katanya.

PM arah BN Sarawak kaji kelemahan

BERITA HARIAN

TOKYO: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Barisan Nasional (BN) Sarawak menjalankan kajian menyeluruh terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya negeri, Sabtu lalu, untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya untuk diperbaiki pada masa depan.

“Kajian itu boleh memberi petunjuk untuk mengatasi kelemahan. Jika ada kelemahan atau kesilapan, ia perlu dibaik dan diatasi. Jika ada kekuatan atau kebaikan, cari sebab-sebab kenapa mereka (pengundi) beri sokongan (kepada BN).

“Ini akan bantu mendapat kejayaan yang lebih baik pada masa depan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bahawa kesilapan memilih calon antara faktor kekalahan calon parti itu di lapan kerusi pada pilihan raya itu.

Setiausaha Organisasi SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui, dipetik sebagai berkata parti menyedari calon terbabit tidak digemari pihak tertentu yang mempunyai calon tersendiri untuk diketengahkan.

Pada pilihan raya negeri kali ini, SUPP yang juga parti komponen BN berteraskan kaum Cina, diperuntukkan sebanyak 19 kerusi. Bagaimanapun, ia tewas di Kota Sentosa, Batu Lintang, Pending, Bukit Assek dan Meradong kepada DAP; Padungan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR); Engkelili di tangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan gagal merampas kerusi Kidurong.

Secara keseluruhannya, BN Sarawak memenangi 62 kerusi, manakala pembangkang menang sembilan kerusi, sesuatu yang jarang berlaku di Sarawak.

Abdullah yang juga Pengerusi BN mengingatkan SUPP mengambil iktibar daripada kekalahan besar dialami parti itu dan tidak mengulanginya pada pilihan raya datang.

“Kalau dia (SUPP) tahu kesilapan, harap jangan lakukan kesilapan yang sama. Apa pun, Alhamdulillah, BN dapat (menang) lebih dua pertiga,” katanya yang turut memandang berat kemerosotan undi popular yang diperoleh BN.

Menyentuh isu lain, Abdullah kesal dengan sikap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang hanya bertindak ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di negeri itu kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram, selepas 10 tahun kesalahan itu dilakukan.

Sambil menyifatkan tindakan JAS itu sebagai satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku, Perdana Menteri berkata, perkara sedemikian tidak boleh dibenarkan berlaku kerana setiap aduan rakyat wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera.

“Tak eloklah, macam mana boleh jadi begitu. Ini satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku. Macam mana dah tahu masalah itu 10 tahun dulu, sekarang baru nak ambil tindakan. Ini yang rakyat marah kepada kita,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai JAS Selangor yang hanya bertindak selepas 10 tahun ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di Sungai Janggut kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram.