Monday, May 25, 2009

Nizar pulangkan Camry

Nizar pulangkan Camry

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 24 Mei - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akhirnya akur bahawa beliau bukan Menteri Besar Perak apabila mengembalikan kereta rasmi kerajaan negeri yang digunakannya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pukul 8.10 pagi ini.

Pemulangan kereta berwarna hitam itu bagaimanapun dibuat secara 'senyap-senyap' dan hanya diketahui pihak media pada tengah hari ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Pegawai Khas beliau, Amran Harun yang turut menemani bekas Menteri Besar Perak itu memulangkan kereta dengan nombor pendaftaran AGS10 tersebut.

Amran ketika dihubungi berkata, Mohammad Nizar mengambil keputusan untuk menyerahkan kereta itu sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Katanya, tindakan itu selaras dengan pendirian Mohammad Nizar sebelum ini yang bersedia mengembalikan kenderaan itu jika mahkamah memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

''Mohammad Nizar telah memulangkan kereta rasmi kerajaan negeri di Bangunan SUK pagi ini. Beliau dan pemandunya kemudian menaiki kereta peribadinya bersama saya," katanya.

Mohammad Nizar sebelum ini sentiasa menggunakan kereta tersebut ke mana saja kerana menganggap beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah walaupun selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

Beliau juga sentiasa bertegas untuk tidak memulangkan kereta rasmi kerajaan negeri itu selagi mahkamah tidak membuat keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.

Menurut Amran, pihaknya menyerahkan kunci kenderaan itu kepada pengawal di pondok keselamatan kerana pejabat kerajaan ditutup hari ini.

Ditanya kenapa memulangkan kenderaan tersebut pada hari tidak bekerja, dia berkata, ia dibuat kerana kebetulan mereka dalam perjalanan untuk menghadiri Konvensyen Pas di Teluk Intan.

''Lagipun, kita menerima arahan untuk memulangkan kenderaan itu pada hari Jumaat selepas Mahkamah Rayuan mengeluarkan keputusannya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abd. Rahman Hashim ketika dihubungi turut mengesahkan Mohammad Nizar telah memulangkan kenderaan rasmi itu.

''Saya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa pembantu Mohammad Nizar telah menghantar kenderaan itu pagi ini.

''Saya juga telah minta pegawai saya hantar kenderaan itu ke bengkel untuk diselenggara dan pemeriksaan kerosakan," katanya




Bekas MB Perak serah kenderaan rasmi


KERETA Toyota Camry (gambar fail) dengan nombor pendaftaran AGS 10 yang digunakan Nizar diserahkan kepada kerajaan negeri pagi semalam.

IPOH: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyerahkan kenderaan rasminya, Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS 10 kepada kerajaan negeri kira-kira jam 8 pagi semalam.

Beliau ditemani pembantu khasnya, Amran Harun hadir menaiki dua kereta di pintu masuk utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Istana untuk menghantar semula kenderaan rasmi Menteri Besar itu.

Ketika dihubungi, Amran berkata, kunci kereta itu diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas memandangkan semalam adalah hari cuti hujung minggu untuk kakitangan kerajaan.

Katanya, mereka meninggalkan pekarangan bangunan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian menaiki sebuah lagi kereta Toyota Camry berwarna Perak milik Mohammad Nizar.

Difahamkan, Mohammad Nizar sudah memaklumkan kepada pegawai kerajaan negeri berkaitan berhubung pemulangan kenderaan rasmi itu.

Dipercayai pemulangan kenderaan itu ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu yang memperakui Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Tinjauan Berita Harian pula mendapati kereta itu sudah dibawa keluar daripada premis berkenaan untuk diselenggara dan pembersihan sebelum diletakkan kembali ke dalam kawasan pekarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sebelum ini, kereta itu menjadi antara punca kontroversi apabila Mohammad Nizar enggan menyerahkannya kembali kepada kerajaan negeri selepas Pakatan Rakyat tidak lagi berkuasa sebaliknya terus menggunakannya dengan alasan beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan itu memaksa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim mengeluarkan kenyataan menyatakan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah salah kerana beliau tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dan boleh mengelirukan rakyat.

Tindakan jika burukkan parti tidak bertanding

Tindakan jika burukkan parti tidak bertanding

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Fazallah Pit
bharian@bharian.com.my


PEKAN Penanti tenang tiada sebarang bendera atau poster parti bertanding dipasang sepanjang Jalan Besar Penanti.

SPR akan awasi kempen calon, sepanduk langgar etika

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap parti dan calon yang memburukkan parti yang tidak bertanding dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata perbuatan menjatuhkan maruah parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya adalah tindakan yang tidak beretika dan boleh dikenakan hukuman kerana melanggar Akta Keselamatan Pilihan Raya.

"SPR menganggap apa-apa perbuatan yang memburuk-burukkan parti atau individu yang tidak bertanding ketika tempoh kempen sama ada melalui ceramah, slogan, sepanduk atau poster sebagai tidak beretika kerana menyalah gunakan ruang dan peluang berkempen.

"Ketika berkempen, parti dan calon yang bertanding sepatutnya mengambil peluang memperjelaskan manifesto dan janji yang hendak dibawa dan akan cuba ditunaikan kepada pengundi. Bukannya memburuk-burukkan parti lain yang tidak ada kena mengena dalam pilihan raya kecil ini," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Pilihan raya kecil Penanti 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman, 59, dan tiga calon Bebas, iaitu Aminah Abdullah, 56, yang juga bekas Ketua Wanita PKR; bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Teluk Wang, Nai Khan Ari, 41, serta pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Hari pertama kempen kelmarin menyaksikan penceramah dari parti pembangkang dilaporkan melempar pelbagai tohmahan terhadap Barisan Nasional (BN), kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, konsep 1Malaysia dan menuduh Umno parti perkauman selain mempertikai keputusan mahkamah berhubung isu Menteri Besar Perak.

KERANI penyemak daftar pemilih SPR, Meor Ariffin Mat Ali (dua dari kiri) membantu warga emas, Mohd Khalid Ghazali, 56, (kiri) di kaunter SPR di Kubang Semang, Penanti, semalam.

Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, BN tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Penanti, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya itu.

Wan Ahmad berkata, antara tindakan yang boleh diambil SPR ialah mengarahkan sepanduk atau poster yang memburukkan parti yang tidak bertanding diturunkan, manakala polis boleh menarik balik permit ceramah atau meminta penganjur menghentikan ceramah.

"SPR akan bertegas dalam hal ini. SPR akan mengawasi perjalanan kempen di Penanti. Parti atau individu yang memburuk-burukkan parti yang tidak bertanding akan dikenakan tindakan jika ingkar arahan ini," katanya.

Di BUKIT MERTAJAM, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa BN cuba memperoleh kemenangan moral dengan menaja calon Bebas supaya majoriti undi yang diperoleh PKR, merosot.

"Jangan ingat BN tak letak calon bermakna mereka tidak bertanding. Mereka cuma tidak berani berlawan secara berdepan tetapi sebenarnya mahu 'menang tanpa bertanding'. Jadi, jangan ambil mudah pilihan raya Penanti.

"Tengok calon Bebas, siapa dia? Bukan proksi BN? Saya menyeru pengundi Penanti, jangan sampai undi majoriti kita jatuh walaupun memang yakin menang," katanya ketika berceramah di Berapit di sini, malam kelmarin.

PKR cabar Aminah lapor SPRM isu ganjaran

PKR cabar Aminah lapor SPRM isu ganjaran


BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar calon Bebas, Aminah Abdullah membuat laporan kepada Suruhanja-ya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya parti itu menawarkan ganjaran supaya beliau tidak bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ketua Penerangannya, Tian Chua, berkata dakwaan berkenaan tidak berasas kerana tiada bukti untuk mengaitkan PKR pernah menawarkan ganjaran kepada calon Bebas itu.

"Saya cabar Aminah supaya membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan itu," katanya pada sidang media di Yayasan Aman di Penanti dekat sini, semalam.

Kelmarin, Aminah dilaporkan berkata beliau akan mendedahkan bukti ganjaran ditawarkan oleh PKR supaya menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei ini.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang yang menggunakan lambang kunci, turut dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, berkata beliau berharap Aminah berhenti menyebarkan fitnah dan tidak menyerang peribadi calon yang bertanding sepanjang berkempen.

"Saya dan Aminah sangat rapat dan kami seperti adik beradik. Walaupun beliau menawarkan diri bertanding tetapi hubungan kami tidak akan terjejas disebabkan tindakannya itu," katanya.

Saifuddin berkata, beliau sangat menghormati keputusan 'kakaknya' yang memberanikan diri bertanding pada pilihan raya kecil itu dan menganggap ia disebabkan perbezaan pendapat dengan pemimpin.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, hampir 45 peratus pengundi sudah ditemui oleh jentera PKR sejak tiga minggu lalu.

"Kami mengadakan kempen dari rumah ke rumah bagi memastikan pengundi berdaftar keluar mengundi. Jangan fikir PKR sudah menang, maka mereka tidak mengundi," katanya.

Beliau berkata, perkara yang paling dikhuatiri ketika hari pengundian ialah penurunan peratusan yang keluar mengundi kerana ia akan menjejaskan majoriti.

Orang Islam dilarang sertai mogok lapar - Mufti

Orang Islam dilarang sertai mogok lapar - Mufti

KUALA LUMPUR 24 Mei - Haram dan menyerupai amalan agama lain!

Itu reaksi dua orang mufti yang dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas tentang hukum penglibatan umat Islam dalam mogok lapar selama tiga hari anjuran pakatan pembangkang di Perak bermula Selasa ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan para penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Beliau mengulas rancangan pakatan pembangkang mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula Selasa ini, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

"Jika ia dilakukan oleh orang Kristian tidak mengapa kerana memang ada amalan sebegitu dalam agama mereka.

"Tetapi suka diingatkan, orang Islam dilarang meniru amalan agama lain yang memudaratkan diri, menimbulkan fitnah kepada pihak lain dan melanggar undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Aminah mahu dedah 'wajah' sebenar PKR

Aminah mahu dedah 'wajah' sebenar PKR

BUKIT MERTAJAM 24 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah (gambar) bertekad akan mendedahkan kepada pengundi mengenai 'wajah' sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh berkempen untuk menjelaskan mengenai sikap pemimpin PKR yang selama ini berselindung di sebalik konsep keadilan untuk mengaburi mata rakyat.

"Saya berada lama dalam PKR dan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan parti tetapi akhirnya keluar walaupun ketika itu mereka sedang menuju ke kemuncak.

"Tindakan keluar daripada PKR bukan dibuat sesuka hati, itulah yang akan saya jelaskan kepada pengundi supaya mereka betul-betul faham sikap sebenar pemimpin PKR," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aminah adalah salah seorang daripada tiga calon Bebas yang disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Menurutnya, walaupun ada penyokong PKR cuba memperkecil-kecilkannya dengan label 'calon pengacau', ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bersaing.

"Niat saya bertanding ialah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang sebenar. Sampai sekarang, niat itu masih saya pegang.

"Kalau penyokong PKR nak bagi label apa-apa pun tidak mengapa, saya mahu beri perhatian untuk berkempen untuk pengundi," katanya.

Aminah berkata, beliau dan rakan-rakan lebih selesa berkempen dari rumah ke rumah dan sebagai bekas pemimpin PKR di Pulau Pinang, beliau juga mempunyai ramai kenalan di Penanti.

"Kos kempen saya kecil, jadi saya dan keluarga bersama rakan-rakan lebih selesa kempen dari rumah ke rumah. Walaupun jentera kecil, tapi kami tetap berusaha sedaya yang termampu," katanya.

Simpati Kit Siang cuma sandiwara

Simpati Kit Siang cuma sandiwara
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my

Tengku Adnan tidak tahu muslihat hendak dimain Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menganggap Penasihat DAP, Lim Kit Siang hanya bersandiwara ketika mengeluarkan kenyataan berbaur simpati terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Ser Dr Mohamad Khir Toyo yang digantung elaun dan keistimewaan kerana didakwa bersalah menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Lim juga mempunyai muslihat tertentu dalam isu berkenaan sehingga mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu membela Dr Mohamad Khir.

"Kita tidak tahu muslihat yang dia nak mainkan. Ia mainan yang mungkin ada kepentingan untuk mereka. Ada udang di sebalik batu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tengku Adnan mengulas kenyataan Lim yang disiarkan dalam blognya kononnya DUN Selangor tidak wajar menggantung elaun bekas Dr Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang kerana seseorang Adun dipilih oleh pengundi yang mewakili pengundi pada peringkat kerajaan negeri.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa, pengundi tidak harus diletakkan dalam keadaan tidak menentu kerana tidak ada Adun untuk mewakili mereka walaupun digantung menghadiri sidang DUN.

Pada 19 Mei lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (JKHK) mendapati Dr Mohamad Khir yang juga Adun Sungai Panjang dan empat anggota DUN lain BN bersalah menghina dewan itu.

Jawatankuasa itu memperakukan Dr Mohamad Khir digantung selama setahun daripada menghadiri sidang dewan tanpa elaun dan keistimewaan kerana gagal menghadiri siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada Mac.

Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, Lim dan DAP hanya berlakon untuk mendapat perhatian orang ramai kononnya parti itu tidak bersikap zalim.

"Tetapi hukuman yang dikenakan ke atas saya dan empat Adun lain adalah zalim dan tidak pernah dibuat mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

"Mereka tidak layak memperjuangkan keadilan dan mahu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka lebih zalim," katanya.

Keputusan Mahkamah Rayuan diakui tepat

Keputusan Mahkamah Rayuan diakui tepat

KUALA LUMPUR 24 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak diterima sebagai berada di landasan yang betul oleh pihak Queen's Counsel dari United Kingdom.

Kata Perdana Menteri, salah seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester yang diminta pandangan perundangan berhubung krisis di negeri itu berpendapat bahawa sistem kehakiman Malaysia berada di landasan yang betul.

"Pendapat oleh Mahkamah Rayuan itu dikongsi oleh pakar undang-undang peringkat antarabangsa seperti seorang Queen's Counsel bernama Lord Lester yang kita telah terima pendapat perundangannya.

"Kalau Queen's Counsel seperti Lord Lester boleh keluarkan pendapat kita berada di atas landasan yang betul seperti mana keputusan Mahkamah Rayuan, janganlah disalah-ertikan atau diberi pandangan negatif terhadap badan kehakiman negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang mengecewakan dan memperlihatkan badan kehakiman negara hancur dan perlu diperbetulkan.

Malah Anwar menyifatkan penghakiman kemelut di Perak dibuat mengikut selera politik dan arahan.

Dalam pada itu, Najib menempelak sikap pembangkang di negara ini terutama dalam isu Perak yang menetapkan label kebebasan terhadap mahkamah di negara ini mengikut faedah yang diperoleh mereka.

"Kita tidak boleh mengambil sikap kalau keputusan itu memihak kepada kita, maka kita kata sistem kehakiman itu bebas.

"Tetapi kalau sistem kehakiman itu atau mahkamah mengambil keputusan yang sama dengan kehendak kerajaan, maka badan kehakiman itu pula dituduh sebagai mengikut telunjuk kerajaan, ini tidak adil," jelasnya.

Perdana Menteri juga mengkritik Anwar yang cuba memburukkan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan dengan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak sedangkan beliau sendiri pernah berusaha memujuk 31 Ahli Parlimen membentuk kerajaan pusat dalam kaedah sama.

Mengulas isu sama, Najib turut berharap krisis di Perak dimuktamadkan segera agar kerajaan dapat memulakan usaha yang lebih fokus untuk membantu membangunkan rakyat Perak.

Malah, beliau bersifat positif dengan berkata, pihak pembangkang masih berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi berharap ia dilakukan dengan pantas demi memastikan krisis di Perak diselesaikan segera.

"Kita harap ada penamat dari segi proses ini, saya difahamkan kemungkinan besar mereka (pembangkang) akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, mereka ada hak buat rayuan.

"Kita terimalah apa keputusan mahkamah yang tertinggi sekali, dari segi kerajaan kita berharap ada penyudahnya atau 'finality' dalam proses ini agar kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Ditanya keperluan mengadakan sidang DUN di negeri itu bagi mencari penyelesaian lain, beliau berkata itu satu pilihan tetapi tidak semestinya kerajaan majoriti perlu mengambil tindakan demikian saja.

Mengenai cadangan DAP mahu mengadakan mogok lapar selama tiga hari di Perak bermula Selasa ini, Perdana Menteri berharap tiada pihak yang perlu berbuat demikian sedangkan langkah perundangan masih terbuka.

"Sepatutnya tidak berlaku perkara seperti itu, kita patut serah kepada proses Perlembagaan dan undang- undang negara, kita tengok proses undang-undang belum selesai," katanya.






Najib kesal parti pembangkang tuduh BN atur keputusan


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dibuat itu memihak kepada kerajaan.

"Tetapi apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.

"Mahkamah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Malah, keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak juga selaras pandangan pakar perundangan antarabangsa, Queen's Counsel, (Peguam Diraja) Lord Anthony Lester.

"Kita dapatkan pendapat dan pandangan perundangannya berhubung perkara itu, baru-baru ini.

"Jika Queen's Counsel boleh keluarkan pendapat bahawa kita berada di landasan yang betul seperti keputusan Mahkamah Rayuan, oleh itu jangan disalahertikan atau diberi pandangan negatif kepada badan kehakiman negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall di sini, semalam.

Najib juga membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana beliau sendiri pernah cuba menubuhkan kerajaan menggunakan cara sama dengan mempengaruhi 31 Ahli Parlimen BN untuk lompat parti.

"Sepatutnya dia (Anwar) tanya pada dirinya sendiri daripada buat tuduhan mengenai sistem kehakiman kita," katanya ketika ditanya kenyataan Anwar yang mendakwa badan kehakiman negara sudah hancur dan penghakiman Mahkamah Rayuan itu mengikut selera politik serta arahan pihak tertentu.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Rayuan itu dapat menyelesaikan krisis politik di Perak, Perdana Menteri berkata: "Kerajaan harap ada kesudahannya proses ini supaya kerajaan dapat berkhidmat kepada rakyat."

Bagaimanapun, katanya, Pakatan Rakyat mempunyai hak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mengenai kemungkinan BN mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), Najib berkata: "Itu pilihan terbuka pada kita, tetapi tidak semestinya ia satu-satunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti."

Mengenai mogok lapar yang dirancang pembangkang untuk mendesak Sultan Perak membubarkan DUN, Perdana Menteri berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkenaan seharusnya menyerahkan isu itu kepada proses undang-undang.

Mogok lapar bukan budaya kita - Zahid

Mogok lapar bukan budaya kita - Zahid

KUALA LUMPUR 24 Mei - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan rancangan pakatan pembangkang melancarkan mogok lapar tiga hari hanya membuang masa dan bukan budaya negara ini.

Katanya, pakatan pembangkang harus mengakui hakikat bahawa mereka sudah hilang suara majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

"Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin, jadi pakatan pembangkang harus menghormati mahkamah walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka.

"Keadaan ini sama juga sewaktu mereka meminta Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi apabila Zambry diisytihar bukan Menteri Besar Perak yang sah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu, pakatan pembangkang akan melancarkan mogok lapar mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan DUN Perak.

Kor Ming berkata, kempen itu akan dirasmikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker, V. Sivakumar malah pelbagai program diatur sempena mogok bermula 10 pagi di Wisma DAP itu.

Tindakan itu berikutan kekecewaan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin.

Keputusan Mahkamah Rayuan telah dijangka - Pakar perundangan

Keputusan Mahkamah Rayuan telah dijangka - Pakar perundangan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah merupakan sesuatu yang dijangka beberapa pakar perundangan.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, jangkaan itu dibuat kerana beliau berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari yang memihak kepada bekas menteri besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah salah.

''Sekurang-kurangnya, pendapat saya sebelum ini yang mengatakan Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang salah apabila berpihak kepada Nizar kini terbukti benar.

''Nizar sebenarnya telah hilang kepercayaan apabila pakatan pembangkang kekurangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru membenarkan Sultan Perak melantik menteri besar yang baru.

''Bahkan Nizar tidak pernah memanggil sidang DUN selepas tiga Ahli DUN (ADUN) dari pembangkang menjadi ADUN bebas dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN)," jelasnya.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mendapati Nizar merupakan Menteri besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

Bagaimanapun, Sham Rahayu menegaskan, Nizar masih berhak mencabar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang menjelaskan, Nizar mungkin berhadapan dengan kesukaran di Mahkamah Persekutuan nanti kerana keputusan hari ini dicapai sebulat suara oleh tiga orang panel hakim.

''Mahkamah Rayuan mungkin boleh menilai rayuan Nizar tetapi ia berdasarkan ulasan penghakiman. Jika ulasan Mahkamah Rayuan hari ini cukup dan tepat, Mahkamah Persekutuan mungkin tidak akan memfailkan kes ini," katanya.

''Sebagai salah seorang pengamal undang-undang, saya berasa lega dengan keputusan hari ini kerana ia berupaya menenangkan semua pihak terutama rakyat Perak, selain bukti keadilan dan demokrasi hidup subur di bumi ini," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula berpendapat, keputusan mahkamah yang berpihak kepada Zambry tidak akan meredakan ketegangan di Perak.

''Selain itu, kes yang berkaitan politik akan memberi tekanan kepada badan kehakiman yang telah, sedang dan akan membicarakan kes Nizar dan Zambry," tegasnya.

Khir Toyo berhak cabar keputusan Speaker

Khir Toyo berhak cabar keputusan Speaker

KUALA LUMPUR 24 Mei - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berhak mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di mahkamah jika merasakan penggantungannya dibuat tanpa mengikut peruntukan udang-undang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar yakin Mohamad Khir akan mengambil langkah terbaik dalam menyelesaikan isu tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu menyokong dan mengalu-alukan hasrat Mohamad Khir yang mahu mengambil tindakan mahkamah dalam isu itu.

"Saya percaya peguam-peguam beliau (Mohamad Khir) sudah beri nasihat, itu hak mereka.

"Sekarang kita juga perlu ambil tindakan undang-undang jika dapati kerajaan negeri buat keputusan tidak mengikut peraturan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar keusahawanan anjuran Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) di Ampang dekat sini hari ini.

Pada 19 Mei lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor yang dipengerusikan oleh Speaker DUN, Teng Chang Khim memutuskan menggantung Mohamad Khir dan empat lagi wakil rakyat BN selama setahun serta menggantung elaun mereka atas dakwaan menghina Dewan.

Mohamad Khir didapati bersalah kerana gagal menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada Mac lalu.

Empat lagi Ahli DUN (ADUN) BN iaitu Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam); Datuk Warno Dogol (Sabak); Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) didapati bersalah apabila mengkritik Selcat di media baru-baru ini.

Husam bertanding Timbalan Presiden

Husam bertanding Timbalan Presiden

KOTA BHARU24 Mei - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa (gambar) dijangka mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, esok.

Serentak itu, pertandingan untuk merebut jawatan nombor dua Pas akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, Husam dan seorang lagi Naib Presiden, Mohamad Sabu.

Menurut sumber dalaman Pas, keputusan tersebut dibuat selepas Husam mendapati keraguan tentang 'hubungan sulit' Pas-UMNO sememangnya wujud dan mendapat desakan kuat daripada akar umbi untuk beliau bertanding jawatan itu.

"Sebelum ini ada pihak tertentu menyebarkan khabar angin bahawa beliau tidak akan menarik diri dan hanya mempertahankan jawatannya sekarang sebagai Naib Presiden kerana mereka bimbang dengan pengaruhnya.

"Selain itu, suara akar umbi mahukannya untuk bertanding jawatan tersebut dan mendapat pencalonan yang amat menggalakkan dari seluruh negara seperti di Kelantan sebanyak sembilan kawasan mencalonkan beliau dan15 pencalonan dari Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada29 April lalu, Husam membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang 'hubungan sulit' Pas-UMNO yang boleh menjejaskan hala tuju Pas.

Ia seolah-olah mempertikaikan usaha dilakukan Nasharuddin yang mengadakan perbincangan dengan UMNO dan beberapa pihak lain demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini, lima calon layak untuk bertanding jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Dr. Haron Din, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Husam pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55 di Shah Alam awal bulan depan.

Bagaimanapun Azizan dan Haron menarik diri manakala Mohamad dan Nasharuddin mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut dan Husam masih belum membuat sebarang keputusan sehingga sekarang.

Sumber itu berkata, laporan yang mengatakan Nasharuddin mendapat pencalonan lebih daripada60 peratus dari137 kawasan Pas tidak tepat sama sekali.

"Ini merupakan strategi pihak tertentu bagi menarik perhatian umum dan secara tidak langsung mendesak Husam menarik diri kerana tidak mendapat restu daripada akar umbi.

"Bagaimanapun strategi ini tidak menjadi kerana beliau telah mendapat maklum balas dari semua kawasan yang telah mencalonkannya," katanya.

Tambahnya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah merestui Husam untuk menawarkan diri untuk jawatan ini.

"Ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Taman Melewar, Selangor semalam, Tok Guru menyebut beliau percaya dengan kebolehan Exconya di Kelantan yang telah bersamanya sejak 20 tahun lalu.

"Jika diteliti ucapannya itu, hanya seorang sahaja Exco yang berkhidmat dengannya selama tempoh tersebut iaitu Husam, bermula dari 1990 sebagai setiausaha akhbar," katanya

Calon Bebas guna poster Bukit Gantang

Calon Bebas guna poster Bukit Gantang

BUTTERWORTH 24 Mei - Berikutan poster yang ditempah untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti masih belum siap, calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris menggunakan lebihan posternya ketika bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang untuk berkempen hari ini.

Kamarul Ramizu, 42, memulakan kempennya hari ini dengan menggunakan antara 2,000 hingga 3,000 poster lama itu untuk memperkenalkan diri kepada penduduk Penanti menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Penanti 31 Mei ini.

"Saya dah mula kempen, saya guna poster Bukit Gantang. Ada lebih dalam 2,000 hingga 3,000," katanya.

Beliau yang merupakan pakar motivasi telah menempah antara 10,000 hingga 15,000 poster dan risalah untuk pilihan raya kali ini.

"Mungkin esok atau lusa poster baru saya akan siap. Jadi guna dulu lah poster yang sedia ada," katanya yang menggunakan lambang payung pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Pilihan Raya DUN Penanti. - BERNAMA

Nai mahu jadi pejuang masyarakat miskin

Nai mahu jadi pejuang masyarakat miskin

BUTTERWORTH 24 Mei - Calon Bebas berketurunan Siam, Nai Khan Ari hari ini memulakan aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dengan bersemuka dengan penduduk khususnya pengundi berdaftar.

Walaupun beliau merupakan anak jati Kampung Telok Wang, di sini, Nai merasakan perlu turun padang bertemu masyarakat di situ.

"Bermula pagi ini, saya bertemu orang ramai yang mengunjungi Pasar Awam Seri Penanti kemudian ke Kampung Tun Sardon yang penduduknya terdiri daripada orang Melayu.

"Di sini saya mengedar sendiri kad yang tertera wajah dan lambang Wau supaya apabila tiba hari mengundi 31 Mei ini, para pengundi Penanti terbuka hatinya untuk memilih saya sebagai wakil rakyat mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seperti calon-calon lain yang bertanding pada pilihan raya kecil itu, jentera kempennya terdiri daripada kalangan rakan-rakan dan kaum keluarga.

Jelasnya, apa yang penting ketika bertemu secara langsung dengan penduduk di Penanti, beliau dapat menjelaskan kemunculannya sebagai calon adalah untuk menawarkan diri berkhidmat membantu golongan yang sukar mendapatkan bantuan.

"Apabila kita dilahirkan dalam sebuah keluarga bukan berada, tiada siapa yang dapat memahami kesusahan hidup yang dialami.

"Sebagai contoh, masalah bekalan air paip mungkin diambil mudah tetapi ia sebenarnya satu keperluan," katanya.

Polis kini terima 34 permohonan

Polis kini terima 34 permohonan

PULAU PINANG 24 Mei - Polis sehingga kini menerima 34 permohonan permit untuk mengadakan ceramah daripada empat calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pegawai Perhubungan Media PDRM bagi Pilihan Raya Kecil DUN Penanti. Supt. Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa sehingga hari pengundian 31 Mei ini.

"Kami telah terima 34 permohonan bagi mengadakan ceramah sepanjang tujuh hari berkempen daripada empat calon yang bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Sejak 24 jam lepas, enam ceramah telah diadakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kesemuanya mempunyai permit. Setakat ini tidak ada ceramah oleh calon Bebas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59, bekas ketua wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, pengurus syarikat yang juga bekas ketua pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai- Khan Ari a/l Nai Keow, 41, dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42. Sementara itu, Shaharon Anuar berkata, semua penyokong atau petugas parti dan calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya kecil itu dilarang sama sekali berarak membawa atau memasang bendera bersaiz besar menggunakan motosikal atau kenderaan. - BERNAMA

Beliau berkata, perbuatan menaiki motosikal di jalan raya sambil mengibarkan bendera atau poster adalah dilarang kerana menyalahi undang-undang.

"Mereka didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27 (3) Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak lebih dari satu tahun," katanya.

— BERNAMA EIY LIB SN

Pilih calon selepas umum tarikh

Pilih calon selepas umum tarikh


Mustapa Mohamed meluangkan masa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Ismail Yaacob, Siti Zaharah Ibrahim di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU 24 Mei - Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan hanya memilih calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, masih terlalu awal bagi pihaknya menentukan calon kerana tumpuan utama sekarang adalah bagi memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

"Belum ada calon lagi. Kami perlu tunggu SPR umumkan tarikh penamaan calon terlebih dahulu dan UMNO Kelantan juga masih perlu bermesyuarat dengan semua Ketua Bahagian yang ada.

"Malam ini kami hanya mendengar taklimat mengenai keadaan di Manek Urai daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan langsung tidak membincangkan soal calon di DUN itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Biro Politik UMNO negeri di sini malam tadi.

Kerusi DUN N41 Manek Urai yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia Jumaat lalu kerana komplikasi jantung.

Allahyarham menyandang kerusi tersebut sejak pilihan raya umum 1986. Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004 beliau tidak dipilih untuk mewakili Pas dan menyaksikan calon parti itu, Zamzuri Mat Lazim, tewas kepada calon BN, Mohd. Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, Ismail dipilih kembali dan menewaskan Mohd. Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

Jelasnya, apa sahaja keputusan di DUN itu tidak menjadi keutamaan kerana yang penting UMNO akan memberi tentangan sengit kepada Pas yang terlalu yakin untuk memenanginya.

"Jentera pilihan raya kita telah pun berada di Manek Urai secara tidak rasmi untuk mengkaji kehidupan penduduk di sana dan melihat perubahan yang perlu kita berikan kepada mereka.

"Kami masih merancang strategi, kita akan tunggu sehingga SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, selepas itu baru kita akan jalankan segala yang telah dirancang," katanya.

Isu Perak tidak jejaskan peluang BN

Isu Perak tidak jejaskan peluang BN

SHAH ALAM 24 Mei - Kemelut politik di Perak tidak akan menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Manek Urai.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memberi penerangan kepada pengundi di Manek Urai tentang apa yang berlaku di negeri itu agar mereka benar-benar faham dan boleh membuat pertimbangan yang wajar.

Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, beliau akan pergi ke Manek Urai untuk meninjau persiapan dan menggerakkan jentera penerangan di sana pada Selasa ini.

''Di sana kita akan memberi penerangan tentang tuduhan-tuduhan pembangkang terhadap BN di Perak.

''Antara yang popular ialah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas diculik, disimpan dan sebagainya yang sering pembangkang sebut dalam ceramah, sedangkan mereka bersama BN atas kehendak sendiri dan kita juga akan menerangkan kedudukan BN di Perak adalah mengikut peraturan," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perjumpaan Ketua Penerangan Empat Peringkat UMNO Selangor di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu ini adalah perjumpaan peringkat negeri yang kesembilan sejak tiga minggu beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO.

Selepas ini, katanya, beliau akan pergi ke tiga lagi negeri yang merupakan kubu kuat UMNO iaitu di Johor, Pahang dan Sabah.

Jelasnya, dalam semua siri perjumpaan beliau akan menerangkan beberapa isu terkini termasuk isu mengapa BN tidak bertanding di Penanti.

''Kita tidak bertanding di Penanti untuk mengelak pembaziran ada beberapa pemimpin Pas yang menjadikannya isu agar kita tidak bertanding di Manek Urai pula.

''Kita sebut pembaziran adalah kerana sepatutnya pilihan raya kecil di Penanti tidak diadakan langsung dan ia sebenarnya merupakan siri untuk membina imej pembangkang. Ia berlainan dengan pilihan raya kecil di Manek Urai kerana ia memang patut diadakan," katanya.

Mengenai harapannya di Selangor, Ahmad meminta jentera penerangan UMNO di negeri ini digerakkan ke tahap paling maksimum bagi membolehkan BN berkuasa kembali.

''Selangor ini negeri BN asalnya dan selamanya dan kita akan pergi ke cawangan-cawangan bagi menjelaskan isu dan dasar sebenar agar rakyat akan membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

Mogok lapar tindakan murahan pakatan pembangkang raih simpati

Mogok lapar tindakan murahan pakatan pembangkang raih simpati

KUALA LUMPUR 24 Mei - Rancangan pakatan pembangkang melancarkan mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan disifatkan tindakan murahan bagi meraih simpati rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Idris Haron berkata, pakatan pembangkang perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin kerana ia sah dari segi undang-undang dan dibuat secara terbaik oleh tiga panel hakim yang terbabit.

"Mereka seharusnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan menghadiri Persidangan DUN Perak yang akan datang, bukannya melancarkan mogok seumpama ini.

"DUN Perak tidak perlu dibubarkan pada masa sekarang kerana rakyat Perak masih boleh membuat penilaian mereka sendiri seterusnya mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu, pakatan pembangkang akan melancarkan mogok lapar mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan DUN.

Kor Ming berkata, kempen itu akan dirasmikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker, V. Sivakumar malah pelbagai program diatur sempena kempen bermula pukul 10 pagi di Wisma DAP.

Tindakan pakatan pembangkang itu diambil berikutan kekecewaan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin.

Dalam pada itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pakatan pembangkang cuba mengeruhkan keadaan dengan mengelirukan rakyat Perak tentang kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang dengan melancarkan kempen mogok lapar Selasa ini.

"Ia bukan idea yang bernas malah tidak wajar dilakukan untuk meraih simpati rakyat terhadap pakatan pembangkang. Mereka perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin," katanya.

Menurut Cho Ha, sikap pakatan pembangkang yang tidak habis-habis mencetuskan kontroversi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Perak di saat-saat rakyat negeri itu memerlukan lebih banyak program pembangunan pada masa ini.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, kempen mogok lapar tiga hari itu tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat Perak dan jelas menunjukkan pakatan pembangkang sedang bermain wayang kulit.

"Mereka mahu mengapi-apikan emosi dan sentimen tinggi rakyat Perak supaya simpati terhadap nasib pembangkang. Tidak mustahil selepas ini ada lagi gimik politik lain yang mereka cetuskan," ujarnya.

Ko Youn berkata, wakil rakyat pembangkang tidak boleh terus alpa dengan sentimen politik semasa dan harus mengutamakan tugas mereka untuk membantu rakyat Perak menghadapi cabaran krisis ekonomi.

Tambahnya, pakatan pembangkang dilihat mengamalkan sikap dwi-standard apabila mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin.

"Walhal mereka yang memulakan kes mahkamah tersebut apabila mengemukakan permohonan semakan undang-undang mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak," jelasnya.

Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan pakatan pembangkang hendak melancarkan mogok lapar dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat itu boleh mencetuskan huru-hara di Perak.

"Mereka mahu membuatkan orang ramai benci kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Justeru, saya meminta rakyat jangan menyokong pakatan pembangkang yang tidak menghormati undang-undang dan amalan demokrasi di negara ini," katanya.





Mogok lapar niat ugut keputusan mahkamah
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my

Tindakan Pakatan Rakyat cabar institusi kehakiman

IPOH: Mogok lapar yang dianjurkan Pakatan Rakyat selama tiga hari bermula esok adalah satu bentuk ugutan terhadap sistem mahkamah supaya membuat keputusan yang memihak kepada mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata tindakan itu amat tidak wajar kerana akan memberi kesan kepada kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan.

Katanya, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu dan mogok lapar berkenaan cuba mempengaruhi barisan hakim.

"Hakim adalah manusia biasa. Mereka mungkin tertekan atau takut membuat keputusan yang silap dan penyokong Pakatan Rakyat akan mati (akibat mogok lapar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Bumi Hijau Parlimen Padang Rengas di sini, semalam.

Jumaat lalu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Kelmarin, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mengumumkan Pakatan Rakyat akan melancarkan mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, kempen mogok lapar oleh Pakatan Rakyat itu cuba menimbulkan kekacauan selepas mereka tewas di mahkamah.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, menyifatkan tindakan pembangkang bertujuan meraih simpati rakyat dan jelas tidak menghormati keputusan mahkamah.

Malah, beliau menegaskan, perbuatan itu bertentangan prinsip Rukun Negara yang meliputi penekanan kepada kedaulatan undang-undang sebagai sebahagian daripada proses membina negara.

"Pembangkang memanipulasi suasana apabila melihat BN menonjolkan semangat keharmonian, sayangkan negara serta memupuk perpaduan, maka dia tawarkan kepada rakyat semangat benci dan menentang," katanya.

Beliau secara sinis berkata: "Buatlah mogok lapar... jangan tiga hari saja tetapi sehingga Mohammad Nizar dapat menjadi Menteri Besar. Jika hendak mogok lapar, tidak payahlah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Janganlah mogok lapar untuk memperjuangkan kes berkepentingan politik mereka saja... buatlah untuk semua kes yang kalah di Mahkamah Rayuan. Ajarlah rakyat apabila kalah kes Mahkamah Rayuan, buat mogok lapar."

Najib tegur Hindraf

Najib tegur Hindraf

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lepaskan peluang memegang rambut Afro penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam sebelum menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 Kategori Seni kepada penyanyi itu pada sambutan Minggu Perpaduan 2009, semalam. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. - Foto Sairien Nafis

Mungkin ditahan ISA semula jika terus buat kenyataan jejas keselamatan, perpaduan

PUCHONG: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menahan semula pemimpin pertubuhan haram, Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika mereka terus membuat kenyataan keterlaluan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua pihak perlu faham had kebebasan bersuara dan jangan salahkan kerajaan apabila mereka dikenakan tindakan.

"Kita tengok perkembangannya nanti. Semua pihak perlu faham, ada had dalam apa yang boleh disuarakan... jangan lakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan.

"Apabila tindakan dibuat nanti, jangan pula kerajaan dipersalahkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Najib menegaskan demikian ketika ditanya sama ada pemimpin Hindraf yang dibebaskan daripada tahanan ISA baru-baru ini, akan ditahan semula kerana sering membuat kenyataan bersifat provokatif.

Sebaik dibebaskan dua minggu lalu, Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dilaporkan berkata penahanannya sejak Disember 2007 tidak mengikut undang-undang dan tiada sebab beliau perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

Uthayakumar juga tidak menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti yang ditetapkan sebelum pembebasannya kerana mendakwa Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan setiap rakyat hidup bebas tanpa sebarang sekatan.

Seorang lagi pemimpin Hindraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan pula menegaskan beliau tidak akan mematuhi syarat ditetapkan polis sebelum dibebaskan dari ISA.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, Uthayakumar menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memandang serius ugutan itu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Hindraf jika meneruskan hasrat itu.

Najib berkata, rakyat di semua peringkat seharusnya faham bahawa kerajaan ikhlas ketika membuat keputusan membebaskan tahanan ISA, termasuk pemimpin Hindraf terbabit.

"Kita tidak mahu dituduh sebagai kerajaan zalim, tetapi jika sudah dibebaskan dan mereka masih mengeluarkan kenyataan yang keterlaluan, bermakna saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sikap mereka itu," katanya.

Perdana Menteri juga berharap masyarakat terutama komuniti India memahami dengan jelas bahawa sebarang tindakan yang diambil adalah berasaskan timbang rasa dan tanggungjawab kerajaan.

Malah, beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kepentingan semua kaum terpelihara dan perpaduan nasional tidak terjejas.

ADUN Teratai dibebas dengan jaminan polis

ADUN Teratai dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kesemua 16 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa yang direman dua hari kerana menyertai perhimpunan di Taman Muda Ampang, Khamis lalu, dibebaskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kesemua mereka dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang pada pukul 10.30 pagi.

''Kesemua mereka bagaimanapun perlu melaporkan diri semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bagi semakan status pendakwaan pada 10 Jun ini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seramai 16 orang termasuk Jenice ditahan kerana menyertai perhimpunan haram di hadapan bangunan Pejabat DAP, Taman Muda Pandan Indah di sini, sebagai tanda protes terhadap kemelut politik di Perak.

Kesemua mereka iaitu 12 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 dan 50 tahun turut membawa bekas berisi lilin yang menyala sambil berarak di jalan raya.

Semalam, polis telah melakukan pemeriksaan di Ibu Pejabat DAP di Seksyen 20/9, Petaling Jaya, Selangor, dan mengambil beberapa bahan bukti termasuk komputer dan perisian yang disyaki digunakan untuk menerbitkan risalah mengandungi unsur hasutan.

Dadah: Anak ahli politik ditahan

Dadah: Anak ahli politik ditahan

MACHANG 24 Mei - Seorang pemuda yang dipercayai anak kepada seorang ahli politik wanita di negeri ini ditahan kerana disyaki memiliki sejumlah 1,056 biji pil kuda dan 120 biji pil Eramin 5, dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dalam pemeriksaan sebuah kereta, awal pagi ini.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Taman Setia Kasih, dekat sini, kira-kira pukul 1.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Supritendan Loo Lian Lay berkata, ketika serbuan, suspek baru sahaja keluar dari rumah rakannya dan berada berhampiran keretanya tersebut.

''Sebaik kita menahan suspek, polis menemui sejumlah pil kuda dan Eramin 5 yang percayai diperoleh dari negara jiran,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati suspek yang bekerja sendiri aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah tersebut di sekitar daerah ini sejak hampir dua bulan lalu.

Katanya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Katanya, pihak polis percaya dengan tangkapan tersebut dapat melumpuhkan sindiket pengedaran pil kuda di daerah berkenaan.

''Kita sedang mengesan sekiranya suspek melakukan kegiatan itu seorang diri atau sebaliknya,'' katanya dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.






Anak pemimpin bahagian miliki 1,176 pil khayal


MACHANG: Polis menahan anak seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik di Kelantan dan merampas 1,176 pil khayal dalam kereta miliknya ketika serbuan di sini, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Daerah Polis Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay, berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan sebaik keluar dari sebuah rumah rakannya dekat Taman Setia Kasih dekat Kampung Meleret, di sini.

Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Machang, sebaik suspek berada di sisi kereta Perodua Kancil miliknya.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah 1,056 pil kuda dan 120 pil Eramin 5, semua bernilai hampir RM50,000. Kita sedang siasat dari mana dia memperoleh pil khayal terbabit.

“Intipan terhadap pengedaran pil khayal yang didalangi pemuda terbabit sudah dibuat sejak dua bulan lalu. Kita sedang mengenal pasti sama dia bergerak sendirian atau secara sindiket menerusi siasatan lanjut yang sedang dijalankan,” katanya di sini, semalam.

Loo berkata, polis percaya hasil tangkapan suspek dapat membantu melumpuhkan kegiatan pengedaran pil khayal di jajahan Machang.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama seminggu mulai semalam dan disiasat mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Ada had bersuara - Perdana Menteri

Ada had bersuara - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 24 Mei - Perdana Menteri mengingatkan para pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang baru dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bahawa "ada had dari segi apa yang boleh disuarakan".

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, disebabkan kenyataan keterlaluan pihak tersebut, kerajaan akan mengikuti perkembangan aktiviti mereka sebelum memutuskan untuk penahanan semula atau sebaliknya.

Namun, tambahnya, jika ia berlaku, maka diharap rakyat faham keperluan tindakan itu dan tidak mempersalahkan kerajaan.

"Itu saya tidak tahu (penahanan semula), kita tengok pada perkembangan.

"Kita perlu faham ada had dari segi apa yang boleh kita suarakan dan jangan selepas buat sesuatu yang boleh jejaskan keselamatan dan perpaduan dan apabila tindakan dibuat nanti kerajaan pula dipersalahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Sebelum ini, Hindraf pernah mengugut akan menganjurkan protes jalanan bulan depan sekiranya larangan terhadap salah seorang pemimpinnya, P. Uthayakumar untuk bertemu Lembaga Penasihat ISA tidak ditarik balik.

Seorang lagi pemimpinnya, M. Manoharan pula meminta kerajaan supaya memberi status bumiputera kepada penduduk kaum lain yang lahir selepas merdeka.

Selain itu, banyak kenyataan sensitif lain para pemimpin Hindraf disiarkan di blog-blog dan laman web YouTube.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib berkata, terpulang kepada rakyat menilai sikap yang dipertontonkan oleh para pemimpin Hindraf itu setelah kerajaan mengambil langkah prihatin dengan membebaskan mereka.

"Kita berharap semua pihak faham bahawa kerajaan amat ikhlas dalam hal ini, kita tidak mahu dituduh sebagai kerajaan yang zalim, kalau mereka sudah dibebaskan dan mereka buat kenyataan yang keterlaluan, maka saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sikap mereka itu.

"Saya harap sebahagian besar masyarakat terutama masyarakat India faham bahawa kerajaan yang ada adalah kerajaan yang bertimbang rasa dan sentiasa bertanggungjawab menentukan kepentingan semua kaum terpelihara dan perpaduan nasional tidak terjejas," katanya.

Jelas beliau, sebarang tindakan lanjut kerajaan ke atas para pemimpin Hindraf akan hanya dilakukan atas faktor keselamatan rakyat dan negara.

Tawar jawatan MB mainan politik Pas

Tawar jawatan MB mainan politik Pas

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kesediaan Pas menyerahkan jawatan Menteri Besar di Kelantan kepada bukan Melayu sekadar slogan politik yang dibangkitkan untuk memancing undi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, tawaran itu bukan perkara baru dan sudah menjadi kebiasaan bagi Pas menarik minat kaum bukan Melayu untuk menyokong parti itu.

Menurutnya, ia gula-gula politik Pas untuk menambat hati bukan Melayu di Kelantan menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak lama lagi.

"Persoalannya ialah di mana kredibiliti Pas untuk mengotakan slogan tersebut sedangkan kepimpinan Pas pun masih tidak berubah sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas sedia menyerahkan jawatan Menteri Besar di Kelantan kepada bukan Melayu asalkan beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud dan berpendidikan agama.

Menurut Ahmad Atory, slogan politik Pas itu hanya sekadar mengulangi pendirian parti tersebut apabila ada keperluan politik.

"Jika Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Islam, usulkan juga cadangan meletakkan syarat beragama Islam bagi calon Menteri Besar di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor kepada rakan pakatan pembangkang di sana.

"Saya yakin Pas bakal berhadapan kecaman daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan berkata, cadangan tersebut tidak praktikal kerana tidak ramai bukan Melayu beragama Islam di negeri itu.

"Ini sekadar kenyataan politik Pas bagi menunjukkan bahawa parti tersebut liberal dan terbuka kepada semua kaum.

"Hakikatnya, itu sekadar memancing undi di kalangan kaum bukan Melayu menjelang pilihan raya kecil di negeri tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, tawaran Pas itu sekadar cakap kosong politik parti tersebut apabila ada keperluan.

Dari segi logik, katanya, kesediaan Pas menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada kaum bukan Melayu dengan syarat beragama Islam di Kelantan tidak menjadi isu kerana 90 peratus penduduk di negeri itu beragama Islam.

"Tidak perlu membangkitkan isu ini kerana tiada implikasinya kepada rakyat. Rata-rata rakyat Kelantan memang Islam dan kebanyakannya juga kaum Melayu," katanya.

Chin Peng: Hock Nan dibidas

Chin Peng: Hock Nan dibidas

BATU PAHAT 24 Mei - Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan terus dibidas kerana membuat saranan agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, saranan tersebut tidak wajar sama sekali kerana Chin Peng masih berfahaman komunis walaupun telah meletakkan senjata.

Menurutnya, tindakan Hock Nan itu seolah-olah hendak menjadi juara dengan memperjuangkan seseorang yang berfahaman komunis pulang ke Malaysia.

"Adakah pemimpin Gerakan ini tidak memahami sejarah negara sedangkan PKM merupakan pengganas suatu ketika dulu," katanya.

Beliau mengulas saranan Hock Nan agar kerajaan membenarkan Chin Peng pulang baru-baru ini.

Ekoran itu, Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menggesa para pemimpin Gerakan agar menghentikan sebarang perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan hubungan baik dalam Barisan Nasional (BN).

"Mereka sepatutnya membaiki diri terlebih dahulu kerana Gerakan merupakan sebuah parti yang agak lemah ketika ini," katanya.

Menurut beliau, Gerakan jangan menggunakan sentimen perkauman seperti hendak membawa pulang Chin Peng bagi menarik balik sokongan kaum Cina.

"Apa yang perlu dilakukan ialah membetulkan dulu imej Gerakan yang kini lemah, tidak mendapat sokongan termasuk di Pulau Pinang," katanya.







'Usah layan desakan benar Chin Peng pulang'


JASIN: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka meminta kerajaan mengenepikan desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.

Desakan itu seolah-olah mahu mencabar sikap keterbukaan kerajaan selain jelas membelakangkan aspirasi dan kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah negara ini.

Sambil menyatakan rasa kecewa dengan desakan terbabit, Yang Dipertua PBTM Cawangan Melaka, Datuk Wira Ahmad Hamzah, mahu kerajaan tidak melayan desakan seperti itu yang seolah-olah merestui tindakan jahat Chin Peng terhadap rakyat di negara ini pada tahun 50-an.

"Cuba kita bayangkan jika negara pada ketika ini diperintah oleh PKM menerusi perjuangan kejamnya. Sudah pasti negara ini tidak akan wujud keamanan, kemakmuran dan pelaksanaan sistem demokrasi serta raja berpelembagaan seperti sekarang.

"Tidak ada sebab untuk kerajaan mengubah pendirian terhadap Chin Peng. Sifat kemanusiaan bukan alasan bagi memaafkan pelampau seperti pemimpin komunis itu dan rakyat ketika ini masih terasa kesengsaraan ketika PKM memimpin satu ketika dulu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PBTM Cawangan Merlimau, di Taman Merlimau Baru, dekat sini semalam.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin, berkata kekejaman PKM pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan kerana disebabkan angkara beliau, banyak anggota keselamatan khususnya tentera yang terkorban ketika mempertahankan tanah air.

"Selain negara menjadi huru-hara, ramai wanita menjadi balu, anak kecil menjadi yatim piatu dan ibu pula kehilangan anak kerana perbuatan kejam yang dilakukan oleh komunis pimpinan Chin Peng,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis, Chin Peng, kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.

Beliau dilaporkan berkata, keganasan komunis sekitar tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China serta Rusia juga sudah mengalami transformasi.

Isu ahli Umno Perlis keluar parti gimik

Isu ahli Umno Perlis keluar parti gimik


KANGAR: Isu ahli Umno Perlis keluar parti dan menyertai pembangkang hanya sekadar gimik politik semata-mata, kata Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Bagi Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar, berkata isu ahli Umno melompat parti bukan lagi perkara baru, malah sudah sekian lama dijadikan gimik murahan demi meraih populariti politik peribadi.

Buat masa sekarang, katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri sudah dimaklumkan mengenai isu itu dan siasatan juga sudah dilakukan.

“Ia hanya gimik yang sengaja ditimbulkan individu atau kumpulan tertentu atas dasar terkilan untuk menunjukkan bukti protes terhadap sesuatu isu terutama mengenai kepimpinan Umno negeri.

"Malah, saya sendiri yakin akan muncul 'hero' atau penyelamat untuk menarik semula penyertaan ahli terbabit, sekali gus membuktikan dirinya mempunyai pengaruh besar terhadap kepemimpinan parti negeri.

"Kita tahu siapa dalang di sebalik isu ini dan apa tujuannya berbuat demikian. Malah, individu terbabit jugalah yang memainkan peranan sabotaj pada kempen parti ketika Pilihan Raya Umum ke-12 lalu," katanya tanpa mendedahkan identiti individu dimaksudkan itu.

Isu ahli dan beberapa pemimpin Umno negeri yang dikatakan berhasrat keluar parti beramai-ramai heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini, terutama selepas tampuk kepimpinan Umno negeri berubah.

Malah, media internet sebelum ini turut melaporkan kira-kira 1,000 ahli Umno Perlis menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Selain itu, bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh, sendiri turut menyatakan hasrat untuk berbuat demikian selepas mendakwa diketepikan barisan kepemimpinan Umno negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika diminta mengulas mengenainya berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan sesuai untuk merapatkan jurang yang wujud sesama ahli, sekali gus mengatasi isu terbabit.

"Ini termasuk mengadaptasi pendekatan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan matlamat perjuangan dalam parti iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya demi kepentingan peribadi, tercapai," katanya.

Saravanan hadir atas undangan

Saravanan hadir atas undangan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mempertahankan tindakannya hadir pada perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, Gombak, dekat sini hari ini, adalah kerana dijemput oleh World Tamil Relief (WTR).

Jelasnya, beliau memenuhi jemputan itu disebabkan rasa prihatin terhadap nasib masyarakat berketurunan Tamil di Sri Lanka.

Saravanan berkata, pada perhimpunan tersebut, beliau yang turut menyampaikan ceramah telah menyeru masyarakat di dunia supaya mendesak kerajaan Sri Lanka agar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat berketurunan Tamil.

"Kerajaan Sri Lanka perlu memberi jaminan dan menyakinkan rakyat berketurunan Tamil bahawa nasib mereka terbela dan tidak dianak tiri.

"Negara-negara antarabangsa perlu mendesak kerajaan Sri Lanka supaya tidak menganiaya orang Tamil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada perhimpunan hari ini, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak, dekat sini hari ini.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan hari ini supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Saravanan menambah, perjuangannya membela nasib masyarakat Tamil di Sri Lanka dilakukan tanpa mengira pangkat, negara atau ideologi politik.

Jenazah bapa mertua Mukhriz selamat dikebumikan

Jenazah bapa mertua Mukhriz selamat dikebumikan


Mukhriz Mahathir menyiram air mawar di atas pusara bapa mertuanya, Allahyarham Zakaria Jundai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Beting, Kuala Pilah, semalam. - UTUSAN/HUSSAINI AMRAN


KUALA PILAH 24 Mei - Jenazah Allahyarham Zakaria Jundai, bapa mertua kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Beting dekat sini hari ini.

Zakaria, 86, meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang semalam dan jenazahnya dibawa dari rumah anak perempuannya, Zuraidah, 48, di Taman Seri Siantan, Seremban ke Masjid Kariah Kampung Parit Beting pada pukul 11 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan pada pukul 12.45 tengah hari.

Selain Mukhriz dan isteri, Datin Norzieta Zakaria, turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.

Menurut Zuraidah, Allahyarham yang berasal dari Kampung Parit Beting merupakan seorang pesara polis berpangkat sarjan dan kali terakhir berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan.

''Baru-baru ini, ayah pernah memberitahu saya, dia ingin berjumpa dengan arwah ibu. Mungkin pada ketika itu arwah ayah sudah dapat merasakan ajalnya hampir tiba," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Zuraidah, ibunya, Juriah Ahmad, 70, telah meninggal dunia pada pertengahan bulan Mac tahun lalu.

Barisan baru UMNO Kelantan

Barisan baru UMNO Kelantan

KOTA BHARU 24 Mei - Badan Perhubungan UMNO Kelantan hari ini mengumumkan senarai penuh kepimpinannya dengan menampilkan dua muka baru untuk memegang jawatan penting.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussein yang dilantik sebagai Bendahari dan Ketua penerangan.

Hanafi mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Noor Zahidi Omar yang telah dilantik sebagai setiausaha badan perhubungan yang baru.

Noor Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tumpat menggantikan tempat Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ketereh (ADUN), Datuk Alwi Che Ahmad yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Penerangan UMNO Kelantan telah dilantik sebagai Setiausaha Barisan Nasional Kelantan selepas jawatannya diambil alih Dali.

Pelantikan ketiga-tiga tokoh berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik di Bangunan UMNO di sini malam tadi.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

Mustapa berkata, gabungan muka lama dan baru itu akan memperkuatkan lagi parti itu dalam usaha untuk mendapatkan keyakinan daripada rakyat negeri ini.

"Saya percaya gandingan pemimpin ini akan membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk menarik sokongan daripada rakyat bagi menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Ujian pertama kita ialah pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai dan saya yakin barisan yang kita ada hari ini mampu untuk mencatatkan kemenangan," katanya.

Ahli Umno diingat perkukuh perpaduan, ketepi perbezaan

Ahli Umno diingat perkukuh perpaduan, ketepi perbezaan


TAIPING: Umno Perak mesti kukuh, teguh dan kuat dengan semua ahlinya tanpa mengira usia dan latar belakang mengetepikan perbezaan masing-masing sebaliknya sentiasa mengutamakan perpaduan khususnya dalam suasana politik sekarang.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata golongan muda dalam Umno harus sentiasa bekerjasama dan belajar daripada ahli lama yang banyak berpengalaman dan mantap dalam perjuangan parti.

"Jika golongan muda hanya mementingkan kedudukan dan tidak mahu mendengar pandangan dan pendapat ahli lama, maka kemungkinan perjuangan Umno pada masa depan akan tersasar dan dibimbangi tidak lagi mengutamakan kepentingan orang Melayu dan rakyat pelbagai kaum.

"Adalah penting untuk kita mengutamakan dasar perjuangan Umno yang sudah diperjuangkan selama ini dan terbukti memberi banyak manfaat bukan saja kepada orang Melayu tetapi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan Umno Bahagian Taiping dan Penerangan Isu Semasa di Dewan Majlis Perbandaran Taiping di Kamunting dekat sini, petang kelmarin.

Zambry juga berharap pembangkang tidak lagi menimbulkan polemik sehingga meresahkan rakyat sebaliknya harus akur bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Sunday, May 24, 2009

POLITIK : AHAD 24 MEI 2009

Sikap pembangkang dibidas
KUALALUMPUR 23 Mei - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kesal dengan'kedegilan' pakatan pembangkang untuk menerima keputusan MahkamahRayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagaiMenteri Besar Perak yang sah.




Rakyat semakin jemu - Zambry
IPOH 23 Mei - Semua pihak perlu bekerjasama mengurangkan bahang politikketerlaluan yang mengganggu keharmonian dan meresahkan rakyat negeriini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

'Kalau menang belah dia tidak apa'
IPOH23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) hari inimembidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogoklapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yangmengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri BesarPerak yang sah.

Perkasa sifatkan pembangkang hipokrit
KUALALUMPUR 23 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)menyifatkan desakan pembangkang agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perakdibubarkan membuktikan pakatan itu bersikap hipokrit dalam perjuanganpolitik.

Mogok lapar
IPOH 23 Mei - Ibarat bayi menangis inginkan perhatian!

Reaksi Anwar
BUKITMERTAJAM 23 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimmenyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.

Nazri: Jangan tafsir negatif
KUALAKANGSAR 23 Mei - Pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsirkeputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai sesuatu yang negatif.

Nik Aziz tidak senang
KUALALUMPUR 23 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matmenempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yangtidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidakterhormat.

BN tidak sokong calon Bebas – PM
PEKAN23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan kononnyaBarisan Nasional (BN) terlibat secara tidak langsung dengan menyokongsalah seorang calon Bebas berkempen pada Pilihan Raya Kecil DewanUndangan Negeri (DUN) Penanti.

Ekonomi boleh musnah
KOTA BHARU 23 Mei - Ketaksuban rakyat terhadap sentimen politik pada masa ini boleh mengakibatkan ekonomi negara musnah.

Pilihan raya kecil Manek Urai penting bagi UMNO
JELI23 Mei - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai amatpenting bagi UMNO kerana ia akan menjadi pencetus kebangkitan ahliparti itu di negeri ini dan seluruh negara amnya.


Pas sedia serah jawatan MB pada bukan Melayu
KUALA LUMPUR 23 Mei – Pas sedia memberikan peluang kepada kaum selainMelayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dikuasai oleh partiitu dengan syarat mesti beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud danberpendidikan tinggi dalam agama.

DAP pertikai gantung elaun Khir
KUALALUMPUR 23 Mei - Dewan Undangan Negeri Selangor tidak wajar menggantungelaun bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Khir Toyo sekalipunjika ia mengesahkan perakuan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan untukberbuat demikian.

Jangan jadikan perhimpunan PPP – Kayveas
KUALALUMPUR 23 Mei – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas memberi amaran supaya perhimpunan bagi menyokong TimbalanMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di Putrajayaesok tidak dikaitkan dengan parti itu.


Empat rebut DUN Penanti
BUKITMERTAJAM 23 Mei – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antaratiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bapa mertua Mukhriz meninggal

SEREMBAN 23 Mei - Bapa mertua kepada Timbalan Menteri PerdaganganAntarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninggal duniadi kediamannya di Taman Sri Antan di sini, petang ini.









BN tidak turun kempen di DUN Penanti
PEKAN:Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tiada kaitandengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di PulauPinang, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan rayaitu pada 31 Mei ini.

'BN tidak atur keputusan hakim'
KUALALUMPUR: Umno kesal dengan tindakan parti pembangkang yang terus menuduhkerajaan atau Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuanmenentukan siapa Menteri Besar Perak yang sah.

'Henti keruhkan suasana Perak'
IPOH:Kerajaan Perak meminta semua pihak menghentikan segala tindakan yangmeningkatkan ketegangan dan perasaan tidak selesa di kalangan rakyatsebaliknya bersama-sama membantu memaju dan membangunkan negeri ini.

Nizar sedia jumpa Najib
BUKITMERTAJAM: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad NizarJamaluddin, menyatakan kesediaannya bertemu Perdana Menteri, Datuk SeriNajib Razak, bagi menyelesaikan krisis politik Perak.

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti
BUKITMERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti (N12),31 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan PartiKeadilan Rakyat (PKR) dicabar tiga calon Bebas selepas seorang lagicalon Bebas ditolak kertas pencalonannya.

Tiada ketegangan ketika proses penamaan calon
BUKITMERTAJAM: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan UndanganNegeri (DUN) Penanti, berjalan lancar, teratur dan penuh tertib, kataPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz MohdYusof.

Pakatan Rakyat lancar mogok lapar tiga hari
IPOH:Kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin, Pakatan Rakyat akanmelancarkan kempen mogok lapar selama tiga hari, mulai Selasa ini,untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan DewanUndangan Negeri (DUN).

Calon Bebas mahu dedah bukti PKR tawar ganjaran
BUKITMERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, akan mendedahkan buktiganjaran ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya beliaumenarik diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti.

Peniaga kecewa borang ditolak
BUKITMERTAJAM: Calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti, Mohd Saberi Othman, yang kertas pencalonannya ditolak,berasa kecewa dan marah dengan keputusan itu.

AJK Umno Tasek Gelugor batal hasrat tanding
BUKITMERTAJAM: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk MuhammadMustaffa Idrus, membatalkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas padapilihan raya kecil (DUN) Penanti selepas dinasihatkan pemimpin parti.

Barisan Nasional yakin rampas kerusi
PUTRAJAYA:Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Manik Urai, Kelantan pada pilihan raya kecil di situ, berikutankepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.

Manik Urai penting kepada BN
JELI:Umno Kelantan menganggap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Manek Urai, sebagai amat penting bagi membuktikan Barisan Nasional (BN)masih relevan dan diterima rakyat bukan saja di Kelantan, malah seluruhnegara

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti

Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti

Oleh Fazli Abdullah, Fazallah Pit, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my


CALON pilihan raya kecil DUN Penanti (dari kiri) Kamarul Ramizu, Mansor, Nai dan Aminah mengangkat tangan selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Bukit Mertajam, semalam.

PKR mahu mempertahan kerusi dicabar tiga calon Bebas

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti (N12), 31 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar tiga calon Bebas selepas seorang lagi calon Bebas ditolak kertas pencalonannya.

PKR yang mempertahankan kerusi itu, mencalonkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59.

Beliau dicabar bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, yang menggunakan lambang kunci; pengurus kilang keturunan Siam, Nai Khan Ari Nan Keow, 41, (wau bulan) dan ahli perniagaan, Kamarul Ramizu Idris, 42 (payung).

Kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas, ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman, 49, ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak menepati syarat.

Ini kali keempat Mansor bertanding selepas kalah tiga kali berturut-turut pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008. Pilihan raya kecil ini juga adalah percubaan kali kedua Kamarul Ramizu selepas bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, bulan lalu dan memperoleh 62 undi.

Bagi Aminah dan Nai yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, ini adalah percubaan kali pertama.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, berkata SPR menerima lima kertas pencalonan apabila penamaan calon dibuka mulai jam 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti, dekat sini.

Aminah adalah calon pertama mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Mansor pada jam 9.10 pagi, Mohd Saberi pada jam 9.11 pagi, Nai pada jam 9.15 pagi dan Kamarul Ramizu pada jam 9.17 pagi.

Turut hadir, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Pilihan raya DUN Penanti diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR pada 16 April lalu, dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah.

Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana tidak mahu terperangkap dengan permainan politik pembangkang. Ini kali kedua BN tidak meletakkan calon selepas melakukannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Menglembu, Perak pada 1975.

Seramai 15,384 pengundi, termasuk 24 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya kecil keenam selepas Pilihan Raya Umum 2008. Daripada bilangan pengundi itu, 76.68 peratus adalah Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain).

Sementara itu, kira-kira 2,000 hingga 3,000 penyokong Pakatan Rakyat hadir untuk memberi sokongan kepada calon mereka sebelum berarak ke pusat penamaan calon, kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketiadaan calon BN pada pilihan raya kecil itu menyebabkan suasana di luar pusat penamaan calon agak hambar, berbanding pilihan raya kecil sebelum ini yang mampu menarik puluhan ribu penyokong parti bertanding.






Empat rebut DUN Penanti


DARI KIRI, Kamarul Ramizu Idris (Bebas), Mansor Othman (PKR), Nai Khan Ari (Bebas) dan Aminah Abdullah (Bebas) mengangkat tangan selepas nama mereka diumum bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 23 Mei – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 12 tengah hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.

Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Roslan ketika ditemui selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berkata, kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh bantahan yang bermula pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima enam bantahan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk bantahan tersebut.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.

Terdahulu, pada sebelah pagi, pusat penamaan calon di IKBN, Jalan Berapit, Penanti dibuka pukul 9 pagi.

Sehingga pukul 9.23 pagi, hanya lima orang menyerahkan borang pencalonan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Nordin Che Ngah, tujuh borang pencalonan telah dikeluarkan oleh SPR.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan seorang lagi calon Bebas akan tampil menyerahkan borang pencalonan tetapi sehingga tamat tempoh penerimaan borang itu, individu berkenaan tidak muncul.

Aminah menyerahkan borang pencalonan sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi diikuti Mansor pukul 9.10 pagi. Beliau diiringi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR lain.

Lima minit kemudian, Mohd. Saberi yang juga bekas pesara tentera muncul dengan berpakaian baju Melayu berwarna merah hati, lengkap dengan samping dan bersongkok menyerahkan borang pencalonan.

Calon berketurunan Siam, Nai Khan Ari tiba bersama pencadangnya, Boon Sisa Wang dan penyokong, Nah Lee menyerahkan borang pencalonannya pukul 9.18 pagi.

Sementara Kamarul Ramizu menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.20 pagi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika ditemui Mingguan Malaysia memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon.

“Setakat ini, saya dapati semuanya berjalan lancar dan para penyokong calon dari parti yang bertanding akur dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus bangsa lain.