Thursday, November 22, 2007

UPM tidak endah permintaan Suhakam supaya henti prosiding kes pelajar

Intan Abdullah
Thu | Nov 22, 07 | 12:21:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Universiti Putra Malaysia (UPM) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam kes penganiayaan mahasiswa tahun dua, Lee Song Yong yang didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atas tuduhan enggan memberikan kerjasama kepada Pegawai Keselamatan.

Bagaimanapun UPM tidak mengendahkan permintaan Suhakam (semalam) yang meminta sebarang prosiding kes diteruskan sementara siasatan dijalankan badan itu.

UPM meneruskan prosiding kes jam 10 pagi tadi.

Semalam, Pesuruhjaya Suhakam, Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim memberitahu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang melaporkan kes terbabit, untuk menghentikan sementara prosiding kes tersebut yang sepatutnya dijalankan pada hari ini.

Ia bertujuan untuk membolehkan penyiasatan dibuat dengan teliti mengenai aduan yang diterima supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang terbabit.

Menurut sumber, setakat ini pihak Suhakam telah berbincang untuk meneliti tindakan selanjutnya, memandangkan kes yang sama pernah berlaku sebelum ini di kampus yang sama.

Sementara itu, beberapa front mahasiswa iaitu, SMM, Mpower, gabungan Anak Muda dan pelajar dan Dema mengadakan perhimpunan di depan pintu masuk kampus berkenaan akibat tidak dibenarkan masuk memberikan sokongan kepada Lee.

Bahkan wakil media juga tidak dibenarkan masuk bagi membuat liputan kes tersebut oleh pegawai keselamatan UPM, menyebabkan mereka terpaksa berdiri di tepi pintu masuk utama kampus.

Lee ditemani seorang mahasiswa tahun tiga, Simon Ooi menghadiri prosiding tersebut di samping mengemukakan seorang saksi, Loke Qiu Qi yang turut berada di tempat kejadian pada 22 Ogos lalu. - mr


Umno gagal fahami falsafah perundangan dalam kerangka pemikiran Melayu

Ali Bukhari Amir
Thu | Nov 22, 07 | 12:16:20 pm MYT

Masih terpahat di ingatan kita darihal ungkapan keramat Presiden Umno di dalam Perhimpunan Agung kali ke-58 lalu: "Saya pantang dicabar!" Ungkapan ini ditujukan kepada kumpulan Bersih yang mengecewakan Abdullah sepanjang pemerintahannya mutakhir ini.

Mulanya, Abdullah berkata bukan dirinya yang dicabar Bersih. Hakikatnya yang dicabar itu adalah undang-undang negara itu sendiri. Pulak dah?

"Mereka sebenarnya bukan mencabar saya, tetapi apa yang mereka cabar adalah undang-undang!" demikian tegasnya secara berbelit-belit.

Lafaz ungkapan dan ucapan ahli Umno melambangkan corak pemikiran Umno itu sendiri. Tatkala sang Presiden berkata demikian, denyut nalurinya seolah-olah ingin menyampaikan kata-kata ini: "Sebenarnya, akulah undang-undang dan undang-undang itu adalah aku!"

Ertinya, mencabar undang-undang negara itu sama ertinya dengan mencabar Abdullah menurut perhitungan tersiratnya dalam realiti politik kita hari ini. Cuma, apa yang berlaku di dalam ucapan penggulungan itu, ialah samada beliau berbolak-balik secara sedar lalu menyatakan perundangan adalah perundangan, Abdullah tetap Abdullah. Abdullah dan perundangan - entiti yang berbeza.

Atau ketika berucap itu Abdullah melafazkannya dalam keadaan beliau tidak peka makna sebenar yang terkandung di sebalik istilah undang-undang lalu terbabas menyatakan bahawa beliau itulah undang-undang dan undang-undang itu dirinya sendiri. Sifat ini sebenarnya mewakili sifat Tuhan.

Allah membuat undang-undang tanpa keputusan syura, tanpa mesyuarat bersama para malaikat. Atau, dalam kata lain - Allah tidak pernah 'mengundang' sesiapa pun untuk membentuk undang-undang dan hukum alam ini. Sebab itu, fitrah, nature, hukum alam, sunnatullah, masa selalunya digambarkan dalam nas-nas dan dalil naqli sebagai mewakili sesuatu daripada Tuhan itu sendiri.

Sebab itulah Allah menyeru: "Wa amruhum syura bainahum" - Lafaz pengertian di sini ialah suatu keputusan mestilah dicapai melalui persetujuan dan konsensus antara raja (pemimpin) - rakyat guna membezakan antara Ketuhanan dan Kemanusian.

Di dalam bualan singkat, tidak dapatlah tulisan ini mengajak pembaca mengembara terlalu dalam bagi meneroka sesuatu yang bersifat falsafah, apatah lagi hal yang bersifat pandangan peribadi.

Tapi, ketika menonton Hujah di TV9 pada 20 November lalu yang menampilkan Ahli Parlimen Seri Gading Dato' Mohamad Aziz dan Pengarah Institut Sosial Malaysia Prof Dr Mohd. Fadzil Che' Din mengulas tajuk itu, rasanya perlu dirapi semula pandangan Melayu Umno ke atas perundangan.

Asal usul perundangan dalam kerangka pemikiran Melayu

Topik itu membawa tajuk 'Rasa tidak puas hati bagaimana nak diluahkan?'. Dalam pusingan awal sahaja, Dato' Mohamad Aziz telah menyebutkan sebagaimana yang diucapkan oleh sang presiden iaitu tindakan menyekat limpahan protes yang mencurah di jalan raya itu wujud adalah kerana hal perhimpunan itu menyalahi undang-undang negara.

"Kita tidak mengizinkan perhimpunan itu kerana ia menyalahi undang-undang," demikian mudah ulasan Aziz sambil merujuk kepada pemberian permit polis sebagai tanda pengukur sama ada ia halal atau haram. Permit polis itu akan menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perhimpunan.

Inilah tembok besar yang sukar dipecahkan kerana elit penguasa telah berasakan kekuasaannya mencapai darjat Ketuhanan itu. Jadi, bagaimana mahu luahkan rasa tidak puas hati secara halal?

"Anda boleh menggunakan saluran media, akhbar," kata Aziz ketika menjawab soalan moderator Dr. Mohamad Agus Yusof. Jawapan itu sebenarnya telah dipatahkan Agus dengan katanya media dan akhbar di negara ini pun perlukan permit penerbitan dan penyiaran.

Sekali lagi, permit (keizinan dan restu penguasa) di sini telah menghalalkan serta mengharamkan suatu cara lagi bagi rakyat meluahkan perasaan tak puas hati mereka. Pada malam itu fokus rasa tidak puas hati rakyat menumpu kepada perhimpunan Bersih dan bukanlah isu picisan melibatkan politik di peringkat Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebaliknya, perbincangan malam itu memperlihatkan pemikiran panelis yang menggambarkan hal tak puas hati yang berkaitan permasalahan lampu rosak, longkang tersumbat yang berada dalam bidang kuasa PBT. Sekali lagi, bukanlah hal itu yang sebenarnya ingin didebatkan.

"Kita boleh adukan masalah prasarana yang rosak itu ke akhbar, tiada masalahnya," kata panelis.

Namun, apa yang dibangkitkan ialah hal keizinan pemerintah bagi menerbitkan akhbar dan restu polis untuk menghalalkan perhimpunan rakyat telah mencerminkan sikap 'double standard' pihak pemerintah. Dan hal itulah yang dibangkitkan Agus sebagai salah satu pertanyaannya.

Selain itu, Aziz kelihatan terperangkap apabila disoal oleh Agus: "Habis Dato', kalau sudah tiada ruang lagi untuk memajukan rasa tidak puas hati ini (akhbar disekat, perhimpunan diharamkan), di manakah lagi ruang untuk rakyat kita menuntut perubahan?"

"Pilihan raya…," jawab Aziz mudah. Mungkin, baginya cuma itulah satu-satunya pilihan yang ada.

"Tapi Dato', pilihan raya lima tahun sekali Dato'. Sedangkan masalah dan aduan rakyat mengenai kenaikan harga barang, minyak dan lainnya berlaku tiap-tiap hari," soal Agus kembali dan kali ini tiada jawapan diberikan. Mungkin menyedari kesilapannya menjawab.

Berbalik kepada persoalan asal, iaitu kegagalan pemikiran asli Melayu yang gagal diratah hadam oleh pimpinan tertinggi terhadap pandangan hidup sebenar mereka mengenai keadilan, undang-undang dan lainnya, hal ini mendatangkan kelemahan menjawab dan gagal bertindak secara adil.

Seperti yang termaklum, syura pertama yang wujud dalam sejarah Melayu adalah syura tentang ketaatan rakyat ke atas raja dan keadilan raja ke atas rakyatnya, di mana setiap hamba Melayu itu jangan dipermalukan dan diaibkan jika sebesar manapun salah dan dosanya.

Dalam Sulalatus Salatin, hal ini terangkum dalam syura antara Seri Tri Buana dan Demang Lebar Daun yang memutuskan 'perundangan' yang disebut sebagai wa'ad, perjanjian dan kontrak sosial antara rakyat dan pemerintah itu.

'Undang-undang' dibentuk melalui majlis 'undangan'

Dalam satu tafsiran lain, kita boleh menyebutkan bahawa segala hukum-hakam, undang-undang, peraturan dan 'perundangan' itu wujud setelah Seri Tri Buana 'mengundang' Demang Lebar Daun untuk mewujudkan 'undang-undang' baru yang perlu dipatuhi oleh hamba dan raja.

Parlimen sungguh pun daripada suatu segi adalah tempat 'mengundang' perwakilan rakyat untuk meluluskan undang-undang, namun masih ada kecacatan dari sudut perbahasan. Misalnya, tidak dibenarkan mana-mana ahli Parlimen menyokong usul pembangkang. Dalam hal ini tentunya ahli Parlimen Seri Gading ada pengalaman kerana pernah terlanjur menyokong usul pembangkang.

Ertinya, dalam 'undangan' di Parlimen itu sendiri sudah wujud ada permit, keizinan dan restu ahli Parlimen parti pemerintah. Tidak perhimpunan,akhbar saja perlu permit malah ahli Parlimen pun!

Maka, hal ini juga perlulah diperhalusi oleh ahli Parlimen Sri Gading sebelum melihat permit serta restu dalam konteks perhimpunan Bersih dan penerbitan akhbar sahaja. Mereka sendiri pun telah terikat dan tidak diberikan permit untuk menyokong usul musuh politik yang bercakap benar!

Oleh itu, apa ertinya 'undangan' ke Parlimen bagi meluluskan undang-undang ini jika naluri mahu bersuara secara bebas ini terhad? Ini juga perlu diperhalusi oleh Umno yang tidak faham falsafah undang-undang dalam kerangka pemikiran Melayu hadhari di zaman bahari yang lampau.

Debat antara Seri Tri Buana-Demang Lebar Daun itu adakah disekat? Adakah Seri Tri Buana yang mewakili keinginan kaum raja telah menyekat penyertaan suara hati Demang Lebar Daun selaku wakil hamba rakyat dalam kalangan Melayu? Malah, 'sembah derhaka' pun boleh disuarakan.

Saya masih teringatkan suatu pidato allahyarham mantan Mursyidul Am Pas Ustaz Yusof Rawa di mana di dalam pidatonya menyebutkan kisah Firaun yang menyekat suara hati ahli sihirnya yang telah ditundukkan oleh mukjizat Nabi Musa a.s.

Dan kemenangan Nabi Musa itu menyebabkan barisan ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri dan mereka bersujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, iaitu Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun." - (al-A'raaf: 120 – 122)

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberikan keizinan kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya)." - (al-A'raaf: 123)

And the sorcerers fell down prostrate. They (sorcerers) said: "We believe in the Lord of the 'Alamin (mankind, jinn and all that exist). The Lord of Musa (Moses) and Harun (Aaron)." - (al-A'raff: 120 - 122)

Firaun (Pharaoh) said: "You have believed in him [Musa (Moses)] before I give you permission. Surely, this is a plot which you have plotted in the city to drive out its people, but you shall come to know. - (al-A'raaf: 123)

Firaun telah mengenakan permit di mana ahli-ahli sihir perlukan restu dan keizinan terlebih dulu daripada dirinya sebelum membenarkan mereka bersuara, menyatakan keimanan mengikut rasa hati mereka yang suci untuk menyembah Tuhan Nabi Musa a.s.

Kesimpulannya, segala sekatan melalui permit, tindakan ke atas ahli Parlimen kerana menyokong usul pembangkang, permit akhbar, permit perhimpunan, perlu keizinan restu TNC HEP menulis di media oleh pelajar-pensyarah adalah manifestasi khazanah pemikiran Firaun yang masih terjelma sebagai warisan Umno yang tidak hadhari pemikirannya. Khasnya, mengenai undang-undang itu.

Dalam sudut lain Melayu yang asli tulen ini telah membentuk suatu pemikiran yang kukuh apabila meletakkan istilah undang-undang bagi merujuk kepada hukum, akta. Ini kerana undang-undang sebagai yang disebutkan di atas telah merujuk kepada proses debat di mana seseorang itu akan 'mengundang' seseorang sebelum meluluskan 'undang-undang' yang mana tiada permit keizinan diperlukan ketika proses perbahasan sedang berlangsung.

Penggunaan istilah undang-undang ini tentunya berbeza dengan istilah Inggeris, 'act' yang telah dimelayukan sebagai 'akta'. Idea yang tercetus daripada 'akta' (act) ini menunjukkan 'tindakan', atau aksi terlebih dahulu yang bukan dimulakan dengan 'undangan' debat, perbahasan terlebih dahulu. Sudah tentulah tindakan, aksi yang dilaksanakan tanpa perhitungan ilmiah adalah zalim.

Ini berbeza dengan istilah Melayu di mana 'undang-undang' mestilah dibentuk melalui 'undangan' kemudian disusuli dengan penguatkuasaan. Ertinya, tanpa Islam sekali pun, corak berfikir Melayu sudah cukup kuat dan teguh dalam hal keadilan. Sebab itu juga Melayu mudah menerima Islam.

Umno dinasihatkan supaya berfikir secara Melayu jika mereka tidak mampu berfikir secara Islam. Bertindaklah sebagai khalifah yang tawaduk kepada Tuhan dengan mengambil pandangan orang terbanyak, mengundang penyertaan khalayak untuk bersuara untuk merumuskan perundangan.

Jangan sesekali menjadi Tuhan yang tidak memerlukan 'undangan' sesiapa pun untuk membuat 'undang-undang'. Jadilah Melayu sejati yang handal merumus teori secara rapi, tersusun melalui falsafah dan pemikiran yang mendalam ke atas makna kehidupan yang sementara ini. Dan kalau 'mengundang' seseorang untuk berbincang, jangan diletakkan syarat, perlu restu izin permit pula.

Alangkah sulitnya mengasuh pemerintah berfikir secara hadhari kerana kawah pemikiran mereka sudah mendasar jauh meninggalkan kerak hitam berkarat yang sukar disucikan lagi. Cuma taubat dan penyesalan yang membasuh jiwa mereka. Tapi, adakah taubat wujud dalam fikiran mereka? - mks.

Kerajaan perlu ubah dasar ekonomi, elak krisis inflasi

Ali Bukhari Amir
Thu | Nov 22, 07 | 11:54:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) – Beberapa polisi kerajaan tentang ekonomi perlu diubah secara drastik bagi mengelakkan krisis inflasi yang kian meruncing khasnya yang membabitkan dasar pertanian negara.

Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pemerkasaan dasar pertanian mampu mengeluarkan bahan keperluan isi rumah sekali gus menampung permintaan bahan keperluan semasa.

"Dengan ini, kenaikan harga bahan keperluan rakyat dapat dikawal memandangkan hasil pengeluaran selari dengan permintaan," kata beliau.

Menurut Faisal, dasar pasaran yang terlalu bergantung kepada ukuran permintaan dan penawaran tanpa kawalan pihak bertanggungjawab menyebabkan berulangnya inflasi.

"Sebab paling utama kenaikan harga adalah kenaikan harga barang api. Kenaikan minyak di pasaran dunia sebanyak AS$100 dolar setong berikutan keengganan OPEC melakukan penambahan pengeluaran mewujudkan keadaan amat merumitkan.

"Dalam masa yang sama, pasaran minyak Malaysia seolah-olah seperti pasaran di negara 'pengimport bersih' kepada bahan bakar itu yang terlalu bergantung kepada kadar harga di pasaran antarabangsa.

"Jadi, seperti yang diramalkan, tindakan yang diambil untuk menangani masalah adalah dengan mengurangkan pemberian subsidi minyak sedia ada kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Mohd Shafie Apdal berkata, kenaikan harga minyak mentah global yang melonjak melebihi paras AS$100 setong kini memberi tekanan kepada harga minyak tempatan dan akan mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan lain.

"Kenaikan harga minyak tempatan terus berlaku walaupun kita tersenarai sebagai negara pengeluar minyak," kata Faisal, sambil menyarankan supaya teori ekonomi Ibnu Khaldun diberi kan perhatian melalui peningkatkan perbelanjaan rakyat dan dalam masa yang sama kerajaan perlu mengurangkan bebanan seperti cukai dan harga minyak.

"Ini termasuk pemberian subsidi kepada peniaga khasnya bumiputera supaya mereka tidak menaikkan harga. Apabila bebanan kadar cukai, harga minyak dan lainnya dikurangkan, ia menggalakkan rakyat berbelanja. Maka, akan ramai bilangan pengusaha dan pembekal.

"Kesannya, kerajaan akan memperolehi semula perbelanjaan rakyat menerusi cukai yang dikutip dari pertambahan bilangan pengusaha dan pembekal," tambah beliau.

Selain itu, kata Faisal kerajaan perlu menggiatkan usaha menyelidik bagi mencari sumber lain sebagai alternatif kepada petrol seperti minyak kelapa sawit.

"Hasil penemuan bahan gentian itu dapat membantu mengurangkan kadar kenaikan harga minyak.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu berperanan meningkatkan penguatkuasaan dalam kawalan harga barang. Jika kerajaan tidak menangani kenaikan harga barang, inflasi akan meningkat seterusnya kos hidup mencanak, sekali gus rakyat akan menderita," katanya. - mks.

Pengerusi SPR diingat jangan ugut pembangkang - Bersih mahu kempen 21 hari

Intan Abdullah
Thu | Nov 22, 07 | 11:30:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) tetap menuntut supaya tempoh kempen dalam pilihanraya umum akan datang diperuntukkan sekurang-kurangnya 21 hari.

Dalam kenyataannya, Bersih juga mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar bersikap profesional dan konsisten dalam menangani hal tersebut.

Terdahulu dalam satu sidang akhbar sebelum ini, Rashid dilaporkan berkata tempoh kempen mungkin lebih pendek sekiranya sesetengah parti terus membuat 'huru-hara' bahkan membawa isu tersebut ke jalanan.

Bersih amat kesal kerana Rashid memilih untuk tidak mengendahkan desakan bagi membuat perubahan dalam pilihanraya seperti yang dituntut dalam memorandum yang dihantar semasa Perhimpunan Aman Rakyat 10 November lalu.

Sebaliknya, kata Bersih, beliau bertindak "mengugut" pihak pembangkang dan rakyat amnya dengan mengisytiharkan bahawa beliau akan menjadikan tempoh pilihanraya umum akan datang sebagai yang terpendek dalam sejarah Malaysia.

"Atau tindakan Tan Sri Rashid itu hanya mahu mengampu kerajaan supaya Perlembagaan dipinda untuk meningkatkan had umur persaraan anggota SPR dari 65 tahun kepada 66 tahun.

"Ia akan membolehkan Tan Sri Rashid berkhidmat setahun lagi dan sekaligus dapat mengendalikan satu lagi pilihanraya umum," demikian kenyataan Bersih tersebut.

Sehubungan itu, Bersih menegaskan bahawa Rashid perlu membuat penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung perkara tersebut.

Menurut Bersih, kebanyakan negara demokrasi menyediakan tempoh berkempen yang mencukupi untuk calon-calon menemui para pengundi dan sebaliknya.

"Malangnya, dalam kes Malaysia, keadaannya semakin berkurangan dan mundur. Pilihanraya persekutuan yang pertama di Malaya pada tahun 1955 menyediakan tempoh berkempen selama 42 hari," katanya.

"Dalam tiga pilihanraya berikutnya selepas Merdeka (1959, 1964 dan 1969) tempoh berkempen adalah lima minggu atau kira-kira 35 hari.

"Tempoh kempen bagi empat pilihanraya berikutnya (1986, 1990, 1995 dan 1999) sewaktu pentabiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sama ada sembilan atau 10 hari. Pilihanraya umum 2004 pula menyaksikan tempoh berkempen paling pendek - tujuh hari setengah," tegas Bersih.

Oleh itu, Bersih mendesak supaya tempoh kempen bagi pilihanraya umum akan datang diperuntukan selama 21 hari, iaitu separuh daripada tempoh kempen dalam pilihanraya 1955.

Tempoh tersebut, jelas Bersih, akan memberi masa kepada para pengundi untuk mengenali calon-calon mereka dan mesej yang diperjuangkan oleh mereka.

"Ini amat penting memandangkan media arus perdana bersikap berat sebelah dalam laporannya. Tempoh kempen yang panjang akan membantu menyediakan padang permainan yang sama rata serta membolehkan rakyat menilai calon-calon secara yang lebih teliti," menurut kenyataan itu. - mr


Pemimpin Umno lembap: Bazir RM5 bilion untuk Sains & Matematik dalam B.I

Azamin Amin
Thu | Nov 22, 07 | 9:50:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Para pemimpin Umno dibidas kerana mempunyai pemikiran yang 'lembap' dalam melaksanakan pelbagai dasar negara yang akhirnya merugikan dan membazirkan wang rakyat jelata.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata kebanyakan pemimpin Umno mempunyai pemikiran yang lambat dan enam tahun terkebelakang dan terbukti setelah gagal mencapai matlamat kini mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ingin ditukar kembali ke bahasa Melayu.

"Setelah bazirkan hampir RM5 bilion dan gagal, baru sibuk nak kembali ke bahasa Melayu.Kita sokong cadangan ini cuma kita kesal sebab sudah banyak pihak dan pembangkang dari awal lagi menentang pelaksanaan ini tetapi Umno degil akhirnya setelah enam tahun nak kembali kepada asal," katanya di satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Angka RM5 bilion itu katanya telah diperuntukkan untuk enam tahun bagi tujuan mengajar bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik termasuklah membeli kelengkapan alat mengajar, menyediakan buku-buku teks, memberi kursus dan insentif kepada para guru.

"Yang lucunya beberapa pemimpin Umno yang sokong cadangan kembali ke bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Umno adalah juga yang berucap berapi-api menyokong Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris satu ketika dulu," katanya.

Sikap memartabatkan bahasa Melayu ini begitu disanjung tinggi namun katanya ini secara tidak langsung melambang sikap 'hipokrit' para pemimpin Umno yang suka berdolak-dalik yang akhirnya 'merosakkan' masa depan generasi muda khususnya orang Melayu yang ketinggalan dari sudut pendidikan bahkan dari segi ekonomi.

"Kita dah tegur dan bagi cadangan lama dah... tapi sebab pemikiran Umno ini agak lambat dan lembap menyebabkan banyak wang rakyat telah dibazirkan termasuk menyebabkan pelbagai dasar negara menjadi pincang," katanya

Beliau juga turut memberi contoh bagaimana kerajaan BN khususnya Umno bertindak begitu lambat dan lemah dalam menangani isu badan kehakiman negara yang telah menghilangkan kepercayaan rakyat jelata terhadap intergritinya.

Katanya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lambat dalam menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kesahihan klip video yang menunjukkan perbualan telefon seorang peguam mengenai pelantikan hakim.

Sedangkan katanya suruhanjaya sepatutnya ditubuhkan setelah disaran banyak pihak dan sebaik sahaja kes tersebut tercetus pada September lalu menyebabkan penubuhan panel bebas menjadi sia-sia serta membuang masa dan membazirkan wang.

"PAS dan parti politik pembangkang lain, serta Majlis Peguam, sudah berulangkali mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja, sebaliknya Abdullah lebih berminat dengan panel bebas.

"Kita tidak setuju kerana panel bebas tiada kuasa. Kini terbukti panel bebas tidak boleh menyelesaikan isu tersebut," katanya

Mahfuz berkata, kini desakan pihak pembangkang, NGO dan Majlis Peguam supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja kerana ia boleh menyelesaikan isu klip video Lingam, terbukti benar.

"Kalau ia ditubuhkan sejak awal-awal lagi, mungkin kita sudah tahu hasilnya hari ini," katanya lagi. - mks.


Sah SPR tidak telus, Rashid mesti letak jawatan!

Azamin Amin
Thu | Nov 22, 07 | 9:49:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh)- Tanpa sebarang 'main wayang', Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mesti meletakkan jawatan berikutan terdapat bukti bahawa SPR tidak telus dalam menjalankan tanggungjawab dan amanahnya.

Perkara ini telah terbukti pada 2001,apabila mahkamah melalui Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan pilihan raya DUN Likas, Sabah atas alasan senarai pemilih 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang di mana pengundi-pengundi hantu, termasuk yang bukan warganegara, telah secara bukti dibenarkan membuang undi pada hari pengundian.

Demikian menurut kenyataan media Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengulas 'kesanggupan' Rashid berundur sekiranya terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya sebelum ini termasuk kenyataan Perdana Menteri bahawa sistem pilihan raya Malaysia telah dijalankan dengan adil dan bersih tanpa campur tangan parti pemerintah sejak sekian lama.

"AMK begitu berharap agar kedua mereka ini kembali berpijak di bumi yang nyata sebelum mengeluarkan kenyataan yang bersifat 'ibarat meludah ke langit'," katanya.

"AMK mengingatkan Rashid dan Abdullah bahawa konotasi kepada sistem pilihan raya yang kotor dan berat sebelah membawa kepada kuasa pemerintahan yang tidak sah.

Beliau menjelaskan bahawa dalam penghakiman Hakim Muhammad Kamil berkata, SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengesahkan dan menggazet senarai pemilih yang mencurigakan, di samping banyak laporan yang dibuat terhadap kepincangan SPR serta pihak kerajaan bagi menjalankan siasatan terhadap wujudnya orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam senarai pemilih.

Lebih menarik kata Shamsul, selepas penghakiman Likas itu dibuat, kerajaan dengan kebenaran SPR membuat pindaan di mana senarai pemilih; sebaik sahaja disahkan atau disahkan semula dianggap muktamad dan diterima dan tidak boleh dipersoalkan atau membuat rayuan atau dinilai semula, dipinggirkan oleh mana-mana mahkamah.

"Kes ini, meskipun hanya sebuah kes, tetapi ianya memberikan satu signifikan besar dalam sebarang dakwaan yang dibuat ke atas SPR yang jelas tidak telus dan saksama dalam menguruskan sistem pilihan raya Malaysia," katanya.

"Justeru, AMK melihat wajar bagi bukan sahaja Rashid, malahan Abdullah sendiri bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat mereka, dengan berundur demi memberi ruang kepada pembaikpulihan sistem pilihan raya dan kerajaan yang telus dan berwibawa," katanya lagi. - mks.


"Saya akan kempen untuk PAS habis-habisan" - Ketua Wanita Umno Paloh

Buletinonline
Thu | Nov 22, 07 | 8:06:59 am MYT

KUALA TERENGGANU, 22 Nov (Hrkh) - Kezaliman kerajaan Umno Terengganu semakin bermaharajalela apabila pihak penguatkuasa telah merobohkan tiga buah kedai yang sedang menjalankan perniagaan baru-baru ini.

Tiga buah kedai tersebut terletak di Paloh, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu, menjalankan perniagaan kedai makanan, bengkel motosikal dan pembuat plet kenderaan.

Laman web Buletinonline melaporkan, operasi meroboh dimulakan pada jam 9.45 pagi dengan dua buah jentolak, polis dan penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Pemilik kedai dan orang ramai yang berurusan terpaksa keluar dari kedai tersebut apabila penguatkuasa muncul secara tiba-tiba.

ImagePemilik kedai makan, Abdul Rahman Muda dan isterinya Maimun Abd Ghani ketika ditemui melahirkan tidak puas hati dan kecewa atas tindakan roboh tersebut.

"Kami sedang berniaga, dia mari robohkan. Tengok ni semua kuih-kuih ada belaka,"Abd Rahman berkata sambil menunjuk kepada barang-barang yang dipunggah dari kedainya.

"Saya baru sekali diberi notis, lebih kurang dua bulan yang lalu," kata Abdul Rahman lagi.

"Sesen bayaran pun tak dapat,"katanya bila ditanya sama ada dia menerima sebarang bayaran pampasan.

"Kedai depan tu, bayaran dah dapat, notis dah tiga kali, tapi tak roboh pun,"tambah isterinya, Maimun Abd Ghani.

ImageMaimun Abd Ghani juga adalah Ketua Wanita Umno Cawangan Kg Paloh. Walaupun dia seorang pimpinan wanita peringkat cawangan, namun rayuannya supaya diperimbangkan sedikit bayaran saguhati tidak diendahkan oleh kerajan Umno.

"Ada dia panggil sekali, ingatkan nak berbincang pasal bayaran, tapi dijamu dengan nasi minyak sahaja,"keluh Maimun.

"Eloklah dia orang buat begini, dekat pilihan raya. Kali ni saya akan pangkah PAS dan akan kempen untuk PAS habis-habisan,"katanya dengan nada marah.

Pada zaman PAS memerintah kerajaan negeri Terengganu dulu, memang ada kedai dan rumah yang dirobohkan untuk tujuan pembesaran jalan. Tetapi kerajaan pada ketika itu memberikan bayaran saguhati atas kesusahan dan bebanan yang ditanggung oleh pemilik walaupun, tanah tersebut terletak atas tanah kerajaan. - mks.


"Kalau pemerintah tak ubah, kita akan himpun setengah juta"

Zaili Muhammad
Thu | Nov 22, 07 | 6:40:31 am MYT

TANGGA BATU, 22 Nov (Hrkh) - Rakyat di negara ini mesti berjuang bagi memulihkan sistem demokrasi yang diamalkan selama ini kerana demokrasi telah tiada di negara ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, negara ini memang sudah tiada demokrasi lagi, oleh itu rakyat perlu berjuang memulihkan demokrasi dan ini yang perlu ditekadkan selepas 2004.

"Kita mahu demokrasi dipulihkan keadilan ditegakkan semula, ini azam kita sebab kita mahu Malaysia aman tenteram pelabur terus datang ekonomi terus berkembang sepatutnya kerja yang saya buat kerajaan kena beri gelaran 'Tun' kepada saya," kata beliau ketika berceramah di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, usaha perlu dilakukan kerana tidak mahu anak-anak muda yang kecewa dengan sistem demokrasi di negara ini menuju ke arah militan.

"Anak muda yang kecewa ini akan memilih salah satu dari dua jalan, satu anak muda yang kecewa dan tak ada pedoman yang ini akan jadi mat gian atau mat rempit masuk pusat serenti berkali-kali dan yang ini kerajaan tak bimbang keluar duit sedia jarum, kondom untuk berubat walau tak terubat.

"Satu lagi kumpulan anak muda yang beragama yang bersembahyang mereka bila melihat Islam diperhina setiap hari ditindas setiap hari mereka memilih jalan yang lain, ini yang kita lihat seperti Pakistan hadapi, Afghanistan, Arab Saudi, Mesir dan Morocco hadapi," kata beliau.

Sebab itu, beliau menegaskan,"di peringkat putik ini kita perbaiki dan saya di hujung umur ini akan menghabiskan waktu untuk memmulihkan demokrasi, akan berjuang sama ada nak berjaya tahun depan 5 tahun lagi atau 10 tahun lagi terserah kepada keadaan yang menentukan tapi yang penting kita memulakan perjuangan memulihkan demokrasi itu."

"Kita memilih demokrasi tapi demokrasi tiada itu kerja bodoh, seperti juga kita memilih angkat senjata tapi senjata tiada, kalau kita pilih angkat senjata kita nak senjata yang paling canggih sekali lempar 6 kali meletup, ini kita pilih cara demokrasi tiba-tiba demokrasi tiada banggang tak kita.

"Ini yang kita fikirkan selepas pilihan raya 2004 kerana pilihan raya itu yang paling kotor di antara lima Perdana Menteri dan Pak Lah mendapat mandat haram sebab itu zaman pemerintahannya berlaku kelam-kabut bencana begitu banyak kerana dia dapat secara yang paling kotor," katanya.

Beliau menambah,"Kita lihat ledakan rakyat sudah terjadi, kalau kita lihat pemerintah tak berubah pada pilihan raya akan datang kali ini kita akan berhimpun setengah juta di Kuala Lumpur, ini amaran kepada pemerintah yang ada sekarang supaya jangan sombong.

Beliau turut menjelaskan bahawa banyak pemerintah di dunia ini yang zalim telah jatuh dengan gelombang rakyat seperti yang berlaku di Filipina, Indonesia, Thailand dan sekarang ia sedang melanda Malaysia.

Pada ceramah tersebut beliau turut mencadangkan agar Sultan Perak dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu video VK Lingam, "sebagai rakyat, sebagai Naib Presiden PAS, saya mencadangkan Pengerusi Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat video VK Lingam ialah baginda Sultan Perak kerana beliau bekas Ketua Hakim Negara, anggotanya seorang macam Tun Salleh Abbas, kalau betul undang-undang kita nak diperbetulkan secara serius." - mks.


Pengagihan kerusi hampir selesai - Husam

Rizal Tahir
Thu | Nov 22, 07 | 6:33:17 am MYT

KOTA BHARU, 22 Nov (Hrkh) - Pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 di semua negeri sudah mencapai 95 peratus.

Pengagihan kerusi di semua negeri-negeri hampir selesai, kecuali hanya beberapa buah negeri sahaja yang masih dalam proses akhir.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, ketika ditemui selepas majlis perasmian Pembukaan Rasmi Persidangan Dun Kelantan Kali Ketiga (Belanjawan) semalam, memberitahu antara negeri yang masih belum selesai ialah Kelantan.

Bagaimanapun, menurut Husam lagi perkara itu akan dapat diselesaikan dengan segera dalam tempoh terdekat ini.

"Kita yakin, insya-Allah pengagihan kerusi akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini," ujarnya ketika ditemui.

Negeri-negeri lain, menurutnya seperti Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan, Selangor semuanya sudah selesai.

Tambah Husam lagi, secara keseluruhannya PAS sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum sama ada pengagihan kerusi atau manifesto pilihan raya, terutama di peringkat negeri.

Sambungnya, manifesto juga hampir siap di mana hari Selasa merupakan hari terakhir untuk tujuan itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, seterusnya memberitahu, sebagai sebuah parti yang bergabung dalam pakatan Barisan Alternatif (BA), pihaknya tidak bersendirian menghuraikan intipati dalam manifesto itu.

Sehubungan itu, Husam turut menafikan dakwaan yang mengatakan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam pilihan raya kali ini.

Jelasnya, parti itu telah mendakwa mereka akan menang pada pilihan raya umum 1995, bagaimanapun nasib malang telah menimpa parti mereka.

"Tidak munasabahlah sebuah parti dan kerajaan yang kucar-kacir, akan menaikkan harga minyak yang tinggi pula dalam waktu terdekat ini akan menang dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Jelasnya lagi, beliau telah mengikuti senario pilihan raya sejak tahun 1964, di mana Umno menang besar ketika itu, kemudian jatuh teruk dalam pilihan raya 1969.

Jelasnya, kekalahan itu dikatakan berpunca dari Perdana Menteri ketika itu ke luar negara dalam keadaan gembira yang partinya akan menang besar.

"Jadi, ciri-ciri pada ketika itu hampir sama waktu ini, cakap memang hebatlah lancar itu, lancar ini, tapi buatnya tidak," ujar Husam lagi.

Husam menambah lagi, pilihan raya umum sama ada ianya diadakan awal atau sebaliknya bukan menjadi isu utama untuk pembangkang.

Katanya, pembangkang akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

"Bagaimanapun kerajaan tidak seharusnya merahsiakan tarikh pilihan raya umum yang bakal diadakan.

"Negara luar mengamalkan amalan demokrasi di mana kerajaan menetap satu tarikh awal sebelum pilihan raya diadakan," ujarnya.

Dengan sendirinya semua pihak tidak akan teragak-agak untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

"Kalau di Bangladesh dia umumkan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal untuk tarikh sebenar pilihan raya, jadi dia lebih teluslah.

"Bukan gunakan tarikh pilihan raya tersebut untuk kepentingan sendiri serta dalam masa yang sama akan memerangkap pembangkang," ujarnya lagi.

Menurut Husam lagi, untuk melaksanakan pilihan raya sama ada lambat atau sebaliknya bukan suatu masalah, sebaliknya harus dinyatakan tarikh sebenar bila ianya akan diadakan secara jelas. - mks.


Liputan kepada Nurin Alert semakin meluas

Abdul Halim Mohd Rashid
Thu | Nov 22, 07 | 2:47:45 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Usaha menyedarkan masyarakat tentang Nationwide Urgent Response Information Network (Nurin) Alert semakin meluas apabila sebuah majalah yang dijangka mendapat sambutan hangat, Tell, menyiarkan beberapa pendedahan mengenai inisiatif terpuji itu.

Nurin Alert ialah inisiatif yang digerakkan oleh beberapa insan prihatin sejak tragedi menyedihkan menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang telah diculik, dikatakan diperkosa dan dibunuh dengan kejam.

Sehingga ke hari ini, penjenayah ganas yang bertanggungjawab ke atas kekejaman itu masih belum dapat diberkas walaupun pihak polis berusaha mendapatkan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Orang yang pertama yang mencadangkan badan seperti Amber Alert (America's Missing: Broadcast Emergency Response) di Amerika itu ialah Pengarang Kumpulan Tell sendiri, Nuraina Abdul Samad. Bekas editor politik New Straits Times (NST) itu juga adalah salah seorang blogger yang berpengaruh di negara ini.

Nurin Alert ialah sistem hebahan awal untuk menyedarkan masyarakat bersama-sama membantu mencari kanak-kanak yang diculik melalui kerjasama pihak polis, media dan orang ramai.

Untuk memastikan kejayaannya, Nuraina malah menulis email kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil mengenai inisiatif itu.

Kemudian, bekas editor eksekutif The Malay Mail, Ahirudin Attan tampil dengan ideanya mengenai Amber Alert versi Malaysia, Nurin Alert. Ahirudin kini adalah kolumnis dan strategis media yang juga mengendalikan blognya sendiri, Rocky's Bru, yang pernah diiktiraf sebagai salah satu dari 50 blog yang paling popular di negara ini.

Oktober lalu, Nurin Alert mendapat liputan dalam rancangan Wanita Hari Ini terbitan TV3 di mana Nuraina bersama-sama bapa saudara Nurin, Jasni Abdul Jalil dan perunding keselamatan Kamal Effendi Hashim memberikan gambaran sebenar tentang Nurin Alert.

Wakil BN pulau sidang DUN Kelantan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM


Semua Adun BN meninggalkan Dewan Undangan Negeri bagi membantah keputusan Speaker, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah yang mengarahkan Nozula Mat Diah keluar Dewan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 21 Nov. – Semua anggota pembangkang bertindak meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika sesi petang perbahasan hari ini setelah keanggotaan Nozula Mat Diah (BN-Paloh) digantung ekoran keengganannya mematuhi arahan Speaker, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah.

Nozula berkeras untuk turut serta dalam perbahasan walaupun Wan Abd. Rahim berulang kali mengarahkannya duduk kerana belum sampai gilirannya berbuat demikian.

Ia bermula apabila Nozula bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tetapi sebaliknya Wan Abd. Rahim meminta seorang lagi wakil pembangkang, Mohd. Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) untuk berucap.

Bagaimanapun, Mat Zain tidak bangun dan Norzula mahu mengambil laluan itu sehingga berlaku pertikaman lidah di antara Nozulah dan Wan Abd. Rahim.

Nozula berkata, beliau telah bangun lima kali untuk berucap membahaskan usul Ucapan Menjunjung Kasih Atas Titah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

“Saya perlu berucap untuk memberitahu masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan saya yang jauh di pedalaman Gua Musang... sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah mengambil tahu apa yang terjadi,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Abd. Rahim berkata, beliau hanya akan memberikan peluang kepada Nozula semasa perbahasan rang undang-undang perbekalan.

“Sebelum ini saya telah meminta kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) supaya memberikan nama mereka yang nak ambil bahagian dalam perbahasan,” katanya.

Nozula lantas bangun mencelah dan berkata, beliau telah memberikan nama dan berada pada giliran kedua dalam senarai berkenaan.

Wan Abd. Rahim tetap bertegas tidak membenarkan Nozula berucap dan terus meminta seorang pencadang serta penyokong bagi mengikut peraturan 51 (3) serta membuat undian.

Seorang lagi anggota pembangkang, Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) bangun meminta Speaker melupakan kejadian itu kerana Speaker sendiri telah melakukan kesilapan sebelum ini dan jika tidak boleh berunding, mereka akan keluar Dewan.

Selepas itu, melalui usul yang dikemukakan oleh Zakaria Yaakob (Pas-Kemuning) dan disokong oleh Mohd. Shukri Abdul Rahman (Pas-Kadok), sidang mengundi dan mengambil keputusan menggantung Nozula apabila 23 bersetuju manakala 20 tidak bersetuju.

Ketika ditemui di luar Dewan, Nozula berkata, beliau hairan kenapa beliau tidak dibenarkan berucap sedangkan peraturan dengan jelas memberikan ruang untuk sesiapa saja berucap.

“Saya berasa amat terkilan kerana Speaker menggantung saya daripada mesyuarat... sebenarnya dah lima kali saya bangun untuk berucap tetapi dia jemput mereka yang tidak mahu berucap.

“Sekiranya diberi peluang tadi saya mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai ‘ladang rakyat’ yang menipu belia dengan memanggil mereka untuk temu duga dan dijanjikan tempat tinggal untuk majukan ladang tersebut tetapi semuanya tidak ada,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Abd. Rahim ketika ditemui tetap mempertahankan keputusannya.

“Beliau (Nozula) telah melanggar peraturan di bawah peruntukan perintah 51 (3) bahawa seseorang ADUN yang dipanggil nama oleh Speaker selepas daripada melakukan kesalahan tidak mengendahkan arahan Speaker dan berulang mengganggu perjalanan Dewan, maka satu cadangan dengan segera dan disokong oleh 2 orang ahli dikemukakan dalam undian.

“Bagaimanapun, beliau boleh kembali menyertai semula mesyuarat esok mengikut peruntukan 51 (5) iaitu jika keahlian seseorang tergantung menurut syarat perintah ia hendaklah mengundurkan diri dan penggantungan tidak lucut sehingga tamat mesyuarat itu,” katanya.

Sementara itu, Adhan Kechik berkata, tindakan Wan Abd. Rahim itu tidak adil dan mengabaikan peraturan Dewan.

“Memang senarai nama diambil tetapi itu hanya sebagai satu panduan untuk menjaga masa dan bukan termaktub dalam peraturan,” katanya.

Megat Junid sudah boleh bercakap

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65, yang dilaporkan kritikal di Pusat Perubatan Pantai (PMC) di sini semalam, kini sudah sedar dan stabil.

Beliau yang dimasukkan ke PMC sejak malam kelmarin juga sudah boleh bercakap.

Pengurus Perhubungan Pesakit PMC, Shusheel Kaur berkata, keadaan Megat Junid telah beransur pulih dan menunjukkan perkembangan positif.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

‘‘Keadaannya amat baik dan memberangsangkan. Beliau sudah boleh menerima tetamu dan berkomunikasi seperti biasa.

‘‘Beliau dijangka boleh dipindah keluar dari ICU ke wad biasa dalam tempoh terdekat ini,’’ katanya ketika ditemui di PMC di Bukit Pantai di sini, hari ini.

Antara orang kenamaan yang turut meluangkan masa melawat Megat Junid di PMC ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Semalam, Megat Junid dilaporkan koma selepas menjalani pembedahan dan ditempatkan di ICU pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Pembedahan itu dijalankan untuk mengeluarkan darah beku dari dalam perut beliau berikutan berlaku pendarahan dalaman.

Sebelum ini, beliau pernah menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura pada 2004.

Zakaria boleh mohon tanah – Menteri Besar

SHAH ALAM 21 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros tidak perlu menarik balik permohonan mendapatkan tanah seluas kira-kira 1,300 meter persegi bersebelahan kediaman barunya di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, permohonan bagi mendapatkan tanah kerajaan adalah hak rakyat dan sesiapa pun boleh memohon.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri juga tidak akan mengambil keputusan drastik membatalkan atau menggagalkan permohonan tersebut hanya kerana kontroversi pernah melanda wakil rakyat berkenaan.

‘‘Saya tidak boleh buat keputusan begitu, saya kena ikut prosedur yang ditetapkan. Kita akan teliti permohonan itu dari sudut perundangan, pentadbiran dan teknikal terlebih dahulu.

‘‘Kalau saya halang, ia menunjukkan saya tidak adil dan membuat keputusan melulu,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

MIUP dilancar 25 November

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) akan dilancarkan pada 25 November ini di Hotel Istana di sini dengan Presiden penaja parti itu, Datuk S. Nallakaruppan menjangkakan 2,000 ahli MIUP termasuk barisan kepimpinan parti itu akan menghadiri majlis tersebut.

Menurut ahli perniagaan itu, pada hari pelancaran beliau akan mengumumkan pendirian parti itu sama ada memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

‘‘Pada hari pelancaran nanti saya akan beritahu apa pendirian MIUP. Yang pasti kami tidak akan memberi sokongan kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

PM akan umum senarai ahli Suruhanjaya Diraja

Laporan Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman keanggotaan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video Lingam yang mengandungi perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membincangkan perkara itu.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini tetapi dalam perkara yang besar seperti ini ia perlu diumumkan Perdana Menteri,” katanya ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada Kabinet sudah melantik ahli Suruhanjaya Diraja berhubung kes berkenaan.

Kelmarin, Najib dilaporkan berkata, Kabinet akan melantik anggota Suruhanjaya Diraja semalam bagi menyiasat klip video berkenaan dan Kabinet juga akan membincangkan bidang tugas suruhanjaya itu.

Pembentukan suruhanjaya itu, yang dicadangkan satu panel yang sebelum ini menyiasat kesahihan klip video itu, diumumkan pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri.

Nazri berkata, Kabinet membincangkan secara umum mengenai suruhanjaya diraja itu. Ditanya mengenai siapa dilantik menganggotai suruhanjaya berkenaan, beliau enggan mengulas lanjut.