Sunday, November 18, 2007

Badan kehakiman kini korup, tidak lagi telus dan bebas - Tun Salleh

Intan Abdullah
Sun | Nov 18, 07 | 11:56:03 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Mutakhir ini, umum mengetahui bahawa badan kehakiman di negara ini sudah tidak lagi bebas dan telus dalam membuat sebarang keputusan terhadap sebarang penghakiman.

Hal ini adalah disebabkan terdapat campurtangan daripada badan pelaksana atau eksekutif iaitu anggota kabinet pemerintahan.

Implikasinya, banyak kes berprofil tinggi mengalami campurtangan yang serius daripada badan eksekutif tersebut menyebabkan ada pihak yang meragui ketelusan dan keadilan badan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, salah satu penyelesaian kemelut ini adalah campurtangan oleh kerajaan dalam memulihkan semula imej dan kredibiliti badan tersebut.

"Jika kerajaan boleh campurtangan dalam krisis kehakiman pada tahun 1998 yang menjadi punca kepada keadaan sekarang, (maka) kerajaan bertanggungjawab untuk campurtangan semula bagi membetulkan kerosakan tersebut," kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, ketika bercakap mengenai isu-isu kehakiman khususnya selepas pendedahan video rakaman perbualan Dato' VK Lingam kepada kira-kira 2,000 yang hadir dalam satu forum undang-undang bertajuk, "Krisis Kehakiman - Bagaimana hendak membetulkannya?" anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) di Federal Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, para hakim tidak boleh merubah sendiri badan kehakiman kerana tanggungjawab itu terletak di tangan kerajaan.

Ini kerana pada 1988, sejarah telah merakamkan pindaan perlembagaan yang meninggalkan kesan pada hari ini, apabila kuasa badan kehakiman telah diletakkan kepada badan eksekutif (pelaksana) yang sekaligus menghakis kuasa badan kehakiman.

Tun Salleh ketika itu telah bertindak mempersoalkan pindaan tersebut yang membuatkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan tribunal khas untuk mendengar tuduhan salahlaku terhadap Tun Salleh.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung,Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh - yang memutuskan tribunal itu tidak sah di segi perlembagaan turut dipecat bersama Tun Salleh, selepas didapati bersalah atas tuduhan salahlaku oleh tribunal enam hakim itu, termasuk masing-masing seorang dari Singapura dan Sri Lanka.

Sesetengah pihak menganggap pemecatan hakim-hakim Mahkamah Agung itu (mahkamah tertinggi di negara ini pada ketika itu) yang kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan sebagai saat paling hitam dalam sejarah kehakiman negara.

"Sekiranya menurut definisi, kehakiman bermakna bebas, tidak korup dan berkecuali. Maka saya boleh katakan ia tidak wujud (di negara ini)...," ringkasnya.

Tun Salleh kemudiannya menyebut beberapa langkah yang perlu diambil untuk memulihkan badan kehakiman kembali ke era kegemilangannya.

Katanya, langkah-langkah tersebut termasuklah menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman untuk melantik dan menentukan kenaikan pangkat para hakim.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar memasukkan semula klausa kuasa kehakiman ke dalam perlembagaan untuk memberi kuasa semula kepada mahkamah.

"Tempoh perkhidmatan hakim mesti ditetapkan supaya mereka tidak bimbang untuk membuat keputusan, contohnya, perkhidmatan pesuruhjaya kehakiman secara kontrak dua tahun, tidak memboleh mereka melakukan tugas dengan bebas kerana mereka tertakluk kepada kenaikan pangkat atau ditamatkan perkhidmatan selepas tamat kontrak,"jelasnya.

Sementara itu, katanya,kaedah untuk menghentikan perkhidmatan para hakim yang tidak dapat menjalankan tugas atau atas alasan kesihatan perlu disemak semula.

Manakala, protokol hakim mesti diberi perhatian dan memberi anugerah kepada para hakim mestilah secara automatik apabila mereka memegang jawatan tertentu,tambahnya lagi.

Sementara itu seorang lagi ahli panel, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Shaikh Daud Ismail meminta rakyat turut sama bertindak bagi menangani krisis kehakiman.

Beliau menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran kerajaan sekarang khususnya dalam isu kehakiman menegaskan bahawa kerajaan yang ada tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan krisis yang berlaku, bahkan ia memburukkan lagi keadaan.

Menceritakan pengalamannya bertemu dengan Perdana Menteri (ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk berbincang mengenai keadaan mahkamah yang semakin teruk, beliau berkata, "kita berbincang selama sejam, tetapi tiada apa yang dilakukan selepas itu," ujarnya dalam nada kekecewaan.

Jelasnya walaupun terdapat Menteri Undang-undang yakni Dato' Seri Nazri Aziz, beliau (Nazri) berkata kerajaan tidak boleh campurtangan dalam badan kehakiman dengan hanya menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman.

"Menteri ini banyak cakap tetapi tak buat apa-apa," katanya.

Selain Tun Salleh dan Shaikh Daud, dua panelis yang turut memberikan ucapan adalah Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Majlis Peguam, K Ragunath.

Turut kelihatan dalam majlis tersebut adalah AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Mohamed Hanipa Maidin.

Forum yang menarik perhatian golongan pengamal undang-undang itu turut mendapat perhatian serius kerajaan dengan kehadiran beberapa orang pegawai polis bagi memastikan kuota kehadiran hanya 2,000 orang sehingga memaksa selebihnya mengikuti forum tersebut dari luar. - mks.


PM di'ambush' akibat pemusnahan Hutan Simpan Tanjung Tuan

Ali Bukhari Amir
Sun | Nov 18, 07 | 11:08:55 am MYT

Tahukah anda, kawalan keselamatan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sememangnya longgar di mana kita dapat 'ambush' beliau jika ingin menyampaikan pesanan, amanat dan wasiat penting jika segala saluran lain telah tertutup.

Tidak manis mengguna istilah 'ambush' kepada Perdana Menteri, apatah lagi selepas bahang perhimpunan Bersih 10 November lalu masih membara. Kelak terbakar rentung emosi Putrajaya. Seperkara lagi, 'ambush' adalah istilah penjajah.

Sebagai 'pejuang' bahasa yang masih merangkak saya rasa resah gelisah untuk menggunakan istilah ini. Tapi, mungkin inilah istilah yang paling tepat sehingga kini untuk menggambarkan hubungan Abdullah yang seolah-olah gagal tidak menghiraukan pesanan majoriti rakyat.

ImageIsu 'ambush' Abdullah mendapat sambutan hangat apabila seorang gadis menaiki pentas lalu mengirim bunga kepada beliau dalam satu perhimpunan suatu masa dahulu. Selepas itu telah menyusul komentar Puan Aliza (isteri bekas tahanan ISA) di Harakahdaily yang bercerita hal 'ambush' yang dilakukannya bersama bekas isteri-isteri tahanan ISA yang lainnya.

"Bagaimana tidak longgar kawalan, jika pengawal peribadi asyik lihat wanita cantik saja dalam perhimpunan tu?" demikian seloroh seorang aktivis pencinta alam sekitar, Mohd Basir Abdullah, 56, ketika berkongsi pengalamannya sendiri yang melakukan 'ambush' ke atas Abdullah.

"Tapi," kata Mohd Basir,"saya naik pentas itu bukan main-main melainkan kerana ada suatu pesanan penting yang perlu Abdullah jawab. Yang penting sekarang, saya mahu tanya beliau apakah tindakan Abdullah terhadap isi kandungan surat saya itu?

"Saya naik ke pentas itu bukan semata-mata mencari nama, tetapi ia kerana desakan hati saya yang paling dalam terhadap kemusnahan alam sekitar di Malaysia. Negara kita sebenarnya ada 'sesuatu' di dalamnya yang menyebabkan ia tenteram jika dibandingkan dengan negara lain."

Apakah isu yang amat penting itu, hingga beliau nekad menaiki pentas untuk mengirim surat kepada Perdana Menteri? Dan apakah 'sesuatu' yang ada dalam negara ini sehingga negara ini baik, aman tenteram dan sejahtera?

'Sesuatu' itu tetap menjadi rahsia. Mungkin, Abdullah perlu mengetahui apa hakikat 'sesuatu' itu. Tapi, yang menjadi sendi perjuangan Basir sehinggakan beritanya menaiki pentas tersebar secara meluas, ialah usaha menyelamatkan Hutan Simpan Kekal di Tanjung Tuan, Melaka.

"Tanjung Tuan telah rosak. Cuma, saya tumpukan kepada projek di kaki Gunung Angsi. Ada pihak tertentu yang mahu bawa dua ekor raja ular anakonda yang merbahaya dari Amerika Latin bagi tujuan membangunkan projek zoo ular terbesar di rantau ini.

"Segala spesis ular dari serata negara mahu dihimpunkan di situ. Sebagai pertukaran ular itu, orang utan kita telah diberikan kepada pihak luar," katanya yang pernah terserempak dengan Bigfoot di Ulu Bendul; sejenis spesis haiwan dari keluarga mawas dan orang utan.

"Tetapi, tidak terlintas mahu tangkap gambar walaupun kamera tergantung di dada. Saya siap berdepan lagi dengannya," katanya yang kerap melakukan aktiviti di hutan seminggu sekali.

Mohd Basir melakukan 'ambush' ke atas Perdana Menteri pada 29 Ogos tahun lalu, dua hari sebelum sambutan perayaan Hari Merdeka, kira-kira pukul 2.30 petang, di Dataran Kemang, Port Dickson ketika Rapat Umum Bistari Pemimpin dan Rakyat sedang berlangsung.

"Saya tercegat beberapa saat atas pentas. Abdullah sedang duduk ketika saya memberi salam. Dia terkejut, lalu saya beri surat itu agar dia campurtangan dalam kes Tanjung Tuan," katanya ketika mengulas fenomena Kabinet PM yang tidak banyak berfungsi menjaga persekitaran.

"Tanjung Tuan ada banyak pihak yang berkuasa di situ. Tapi di Malaysia ini, yang buat kerja adalah PM dan TPM sahaja. Dulu, ada masalah penternakan khinzir yang membabitkan alam sekitar. Abdullah ketika itu TPM, diamanahkan bagi menyelia jawatankuasa itu," jelas beliau.

ImageMohd Basir ditangkap pasukan keselamatan lalu dihantar ke hospital sebagai pesakit mental. Akhirnya, pada jam 10 pagi, dua hari kemudian, 31 Ogos hari merdeka, beliau dibebaskan dari Hospital Besar Seremban.

Paling menarik, selepas seminggu kesemua pesakit mental yang ditinggalkan bersama beliau akhirnya telah pulih dan dikembalikan ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kisah Mohd Basir 'ambush' Abdullah kerana isu pencerobohan Tanjung Tuan disiar di muka depan akhbar Cina - Sin Chew Jit Poh, Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau keesokannya.

"Metro letakkan berita itu di halaman sebelah dalam. Tapi, Utusan dan Berita Harian langsung tidak siarkan cerita itu pada hari yang sama akhbar Cina itu melaporkannya secara serentak.

"Tapi bukanlah hal itu yang mesti dihebohkan. Saya mahu media laporkan hal Tanjung Tuan dan kini banjaran Gunung Angsi. Ada beratus sungai jernih di atas sana. Hujannya jarang, tapi air sentiasa ada. Air itu datang dalam bentuk embun yang sentiasa membasahi gunung itu.

"Jadi, airnya selalu bersih dan tidak diperlukan kos rawatan air lagi. Ia memang sesuai dengan keadaan Negeri Sembilan di mana penduduknya sering mendapat gangguan bekalan air," ulas beliau dengan panjang lebar.

Tanjung Tuan ataupun Cape Rachado (dalam nama Portugisnya) terletak lebih kurang 16 km daripada Port Dickson. Kawasan ini lebih terkenal dengan rumah api (dibina sekitar 1529 oleh Portugis) yang menghadap Selat Melaka.

ImageKawasan ini walaupun berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, tetapi kaitannya lebih rapat kepada Negeri Sembilan daripada semangat kedaulatannya yang lalu. Hal ini mungkin terkait dengan sejarah, tambahan pula ia amat hampir kepada negeri adat tersebut.

Kawasan pantai tanjung itu sebenarnya memiliki sejarah unik. Ia adalah medan perang antara Belanda dengan Portugis pada tahun 1606. Lalu, dari saat inilah bermulanya detik-detik siri peperangan antara Johor - Belanda - Portugis (Melaka) yang akhirnya menumbangkan kuasa Portugis (Melaka) pada 1641.

Pada 23 Disember 1921, Tanjung Tuan telah diwartakan (No. Warta: 2066) dengan keluasan 80.97 hektar di bawah nama Hutan Simpanan Cape Rachado. Bagaimanapun, pada 1969, sebidang tanah seluas 16.19 hektar daripada kawasan tersebut telah dimansuhkan status asalnya atas tujuan tertentu. (No. Warta: 328 bertarikh 25 Disember, 1969).

Pada 5 Januari 1971, seluas 60.70 hektar kawasan itu diwartakan sebagai kawasan lindungan hidupan liar di bawah pentadbiran Jabatan Perhilitan dengan Ordinan Perlindungan Haiwan Liar dan Unggas dan Burung Liar, 1955.

Pada 15 Julai lalu, Basir merakam sendiri gambar-gambar kerosakan di Tanjung Tuan di mana ia menunjukkan beberapa jentera kerajaan telah digunakan untuk membina kawasan tersebut.

Mohd Basir berkata, beliau mempunyai bukti ke atas ketiga-ketiga pihak yang terlibat dalam kes Tanjung Tuan. Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah DatoĆ¢€™ Abu Seman, Adun Kuala Linggi Datuk Rahman Palet dan Pegawai Daerah Alor Gajah.

"Saya hantar laporan polis ketika pilihan raya kecil Machap sedang berlangsung. Saya hantar sendiri kepada golongan berwajib agar mereka bertindak ke atas ketiga-tiga pihak itu.

"Ada bukti jelas mereka lakukan kesalahan yang menyalahi perundangan negara. Saya minta mereka disiasat dan jika didapati bersalah, dihukum berdasarkan undang-undang," katanya.

Laporan polis itu menjelaskan kesalahan pihak terbabit sebagai: "... telah melakukan pecah amanah, rasuah, salahlaku dalam tugas mereka dan tanggungjawab yang diamanahkan."

Beliau berkata, ketiga-tiga pihak yang dinamakan di atas telah didapati menggunakan jawatan dan kedudukan mereka untuk melakukan 'jenayah' yang disebutkan di dalam laporan itu.

"Tanjung Tuan memiliki khazanah yang tidak ternilai. Di situ ada batu karang yang tidak boleh didapati di mana-mana. Malangnya, ada kalangan mereka yang memberikan kawasan itu kepada pihak tertentu yang tiada sebarang jasa terhadap negara," kata Basir.

Pada 9 Mei 2005, akhbar melaporkan pencerobohan di Tanjung Tuan dan kemudian diikuti kenyataan Ketua Menteri Melaka bahawa kawasan itu akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal warisan setelah pembahagian lot di hutan tersebut dikatakan telah ditarik balik.

ImageNamun, menurut Mohd Basir, pada awal Julai tahun lalu, sekumpulan pemaju telah turun ke tapak hutan simpan itu sekali lagi dengan membawa pelan perancangan mereka.

Beliau tidak menolak bahawa ada kemungkinan pihak atasan bersikap tunggu dan lihat, sehingga keadaan reda, barulah pihak berkenaan membuat penerokaan semula ke atas tanah tersebut.

"Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terkejut apabila mendapati lebih 11.1 hektar tanah telah diagihkan kepada individu tertentu. Kepada siapa dan bagaimana hal ini boleh terjadi? Mungkinkah ada pihak yang mahu menjualnya?" tulisan Basir dipetik dalam sebuah akhbar.

Sama ada 'ambush' Mohd Basir ke atas Abdullah di atas pentas ini mampu menggerakkan hati Perdana Menteri untuk ikut campurtangan ke atas Tanjung Tuan ini, hanya masa menentukan.

Abdullah dinasihatkan agar mewujudkan blog bagi mengelakkan dirinya di'ambush' sekiranya ada pihak sukar menyalurkan pandangan dan kritikan terhadapnya secara 'in person'. Setidak-tidaknya mereka boleh menemui Abdullah secara maya. Lagi pula, bukankah kita mahu menuju kepada kerajaan elektronik?

Mereka yang ingin mendapatkan butiran lanjut mengenai kemusnahan Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, bolehlah mengirim e-mel; mohamad.basir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya - mks.

Pengalaman satu penggal 'kayu ukur' manifesto PAS Terengganu

Awang Harun
Sun | Nov 18, 07 | 10:47:00 am MYT

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Hrkh) - Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dilihat semakin hampir meski pun tarikh tepatnya masih menjadi 'teka-teki' serta rahsia peribadi Perdana Menteri sejak 50 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

PAS Terengganu pula kini berada dalam keadaan siap sedia pada bila-bila masa dari sekarang jika tarikh keramat PRU itu diumumkan.

Sehubungan itu, satu Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 berjaya diadakan bagi memberi kefahaman yang sejelas-jelasnya berkenaan manifesto tersebut.

Selain itu, memberi peluang kepada para peserta mengemukakan pandangan serta idea berhubung dengan manifesto PAS Terengganu itu.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata pengalaman memerintah satu penggal (1999-2004) telah dijadikan 'kayu pengukur' memantapkan manifesto PAS Terengganu kali ini.

Ini kerana, katanya sepanjang usia satu penggal itu PAS Terengganu telah membuktikan kejayaan besar dalam meletakkan asas kepada sebuah kerajaan Islam.

"Kita (PAS) pernah memerintah negeri selama satu penggal dan telah membuktikan kejayaan besar sama ada dalam meletakkan asas kepada sebuah kerajaan Islam termasuk membuktikan keadilan yang dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan politik.

"Kita (PAS) telah mewujudkan satu keadaan berbeza dengan Barisan Nasional yang dapat dilihat oleh rakyat dengan terang dan nyata," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Dato' Wan Mutalib di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, semalam.

Namun begitu, katanya 'kelemahan' PAS kerana kekurangan bagi menghadapi demokrasi media yang berat sebelah kepada kerajaan BN.

"Cuma kita (PAS) kekurangan menghadapi demokrasi media. Saya yakin jika demokrasi media berlaku dengan sebaik-baik. Apa yang telah kita (PAS) capai dalam masa pemerintahan menjadi hujah yang kuat kepada perjuangan kita," ujarnya.

Dato' Seri Abdul Hadi menjelaskan manifesto PAS Terengganu kali ini juga menambah beberapa perkara baru yang lebih menguatkan lagi serta mengukuhkan perkara yang telah sedia dilaksanakan dahulu.

Oleh kerana, katanya perkara yang lalu telah ditunaikan dan bukan sahaja berjanji, maka penting juga supaya rakyat menyedari bahawa PAS akan melaksanakan perkara yang dijanjikan itu dalam manifesto.

Pada majlis tersebut pembentangan manifesto telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali serta soal jawab bersama para peserta lebih satu jam. - mks.


PAS Perlis edar risalah Bersih, Himpunan Rakyat

Bashir Ishak
Sun | Nov 18, 07 | 10:05:50 am MYT

KANGAR, 18 Nov (Hrkh) - Bagi menangkis kekeliruan masyarakat terhadap program Himpunan Rakyat 10 November lalu, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) mengambil inisiatif menyediakan risalah penerangan untuk edaran kepada orang ramai.

Risalah tersebut mengandungi ringkasan maklumat mengenai Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan mengapa diadakan himpunan serta hak rakyat untuk berhimpun pada muka hadapan.

Manakala di muka sebelahnya pula dipaparkan tuntutan-tuntutan Bersih sepertimana yang terkandung di dalam memorandum yang diserahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.

Jumaat lalu, DPPPs mengedarkan risalah tersebut di dua buah masjid di pinggir bandar Kangar yang dikunjungi ramai jemaah untuk bersolat Jumaat.

Masjid-masjid yang tersebut ialah di Bohor Empiang dan Bohor Pulai yang sering dipenuhi oramg ramai yang majoritinya para pekerja sektor awam dan swasta.

Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman sendiri mengetuai kumpulan di Masjid Bohor Empiang, manakala Pengarah Unit Amal Perlis, Ustaz Rosmadi Ramli pula mengetuai kumpulan di Masjid Bohor Pulai.

"Orang ramai menyambut baik program yang dianjurkan ini dan ramai yang menunggu-munggu risalah seumpama ini memandangkan mereka hanya mendapat berita dari media arus perdana sahaja," kata Utaz Ya'akub. - mks.


PM patut arah polis lebih serius banteras jenayah

Abdul Halim Mohd Rashid
Sun | Nov 18, 07 | 2:56:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub meminta Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan pihak polis memberikan tumpuan yang lebih serius kepada pembanterasan jenayah dan bukan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang diizinkan oleh Perlembagaan Malaysia.

"Apa yang berlaku sekarang, kita lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada tindakan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang tidak disenangi parti pemerintah walaupun kegiatan-kegiatan itu tidak bertentangan dengan perlembagaan," katanya.

Salahuddin juga meminta Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak mempersalahkan kaedah laporan media mengenai kejadian jenayah yang tinggi di negara ini sebaliknya mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan jawatan kerana semakin ketara beliau tidak kelihatan mampu mengendalikan soal keselamatan dalam negara yang semakin diancam jenayah.

"Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini Perdana Menteri berkata, cara penyampaian berita secara dramatik telah menggambarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat.

"Perdana Menteri mesti sedar jika tidak ada penyampaian berita secara dramatik pun, rakyat sudah merasa negara ini tidak lagi selamat lagi kerana jenayah yang semakin menjadi-jadi," katanya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini, katanya, pegawai-pegawai kanan polis bergaduh secara terbuka sesama sendiri dalam isu yang dikaitkan dengan ketua sindiket jenayah.

"Adakah Perdana Menteri tidak sedar bahawa rakyat tidak merasa selamat kerana pegawai tertinggi polis dilaporkan menjadi orang suruhan ketua sindiket jenayah atau beliau pura-pura tidak sedar?" soal beliau.

Salahuddin juga mempersoalkan mengapa tidak ada siasatan yang melampaui keraguan dibuat ke atas akuan berkanun anggota polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) di Cawangan D7 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), JSJ, Johor, Mior Fahim Ahmad yang mendedahkan penguasaan ketua sindiket jenayah ke atas polis.

"Lebih dari itu, mengapa tidak dibuat siasatan tanpa sebarang keraguan apabila bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof mengaitkan tindakan terhadapnya dengan penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh atau Tengku ke Jeli Kelantan.

"Mengapa JSJK terpaksa mendapatkan nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman yang kemudiannya membantu mereka menyediakan draf afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh bagi menolak permohonan pesalah itu untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya?

"Mengapa Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, enggan memberi nasihat dan sebaliknya mengarahkan Ramli dan pegawainya menyediakan afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh?" tanya Salahuddin sambil menyatakan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab oleh Abdullah selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut, banyak perkara pelik yang berlaku di bawah pentadbiran Abdullah dan beliau sepatutnya mengutamakan kepentingan negara dan keselamatan rakyat dengan meletakkan jawatan. - mks.

PAS tetap menjunjung kasih kerana memorandum tidak ditolak

Abdul Halim Mohd Rashid
Sun | Nov 18, 07 | 2:55:31 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - PAS tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberikan perkenan untuk menerima memorandum yang dikemukakan oleh Bersih kepada baginda, kata Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar.

Serentak dengan itu, beliau juga mengingatkan para pemimpin Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya jangan cepat merasa lega dengan kenyataan Dato' Wan Mohd Safiain Wan Hasan enam hari selepas "undi tidak percaya" 10 November lalu. Carian menunjukkan Wan Mohd Safiain ialah ahli Umno bahagian Gombak dengan nombor keahlian 03728983

"PAS menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agung kerana bersetuju menerima wakil-wakil yang dikemukakan kepada baginda untuk menghantar memorandum Bersih setelah baginda menitahkan agar draf memorandum Bersih dikemukakan kepada Baginda," kata beliau.

Kepada PAS, kesudian Yang di-Pertuan Agong menerima memorandum yang menyuarakan keresahan rakyat baginda itu sudah lebih dari mencukupi dan "PAS tidak pernah meminta atau mendakwa yang bukan-bukan".

"Sejak dari draf Memorandum Bersih dikemukakan kepada baginda sebelum baginda bersetuju menerima pengaduan rakyat itu, Yang di-Pertuan Agong tidak pernah menyatakan baginda menolak keresahan dan pengaduan rakyat baginda yang terkandung di dalam memorandum itu.

"Kalau baginda menganggap kandungan memorandum itu fitnah, sudah tentu baginda enggan menerimanya setelah membaca draf memorandum tersebut yang dikemukakan terlebih dahulu sebelum 10 November lalu," katanya.

Sebab itulah, katanya, PAS merasa amat terhutang budi dan menjunjung kasih kepada baginda sedangkan Perdana Menteri sendiri tidak pernah melayan rakyat sebegitu rupa.

"Jelas dan nyata Yang di-Pertuan Agong amat mengasihi dan bersimpati dengan rakyat baginda, tidak seperti Perdana Menteri yang bukan sahaja tidak bersimpati sedikit pun dengan keresahan rakyat malah dengan angkuh mengherdik rakyat bahawa beliau pantang dicabar manakala menantunya pula menghina rakyat dengan memanggil beruk kepada mereka.

"Sedangkan, rakyat hanya meminta pilihan raya yang adil dan bersih bukan hendak menggulingkan Perdana Menteri yang amat ketara begitu rakus menggunakan kedudukannya sekarang," kata beliau.

Mahfuz mengingatkan Perdana Menteri bahawa gabungan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima memorandum Bersih dan himpunan rakyat yang terbesar dalam sejarah di tengah-tengah ibu kota 10 November lalu adalah undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya serta perjalanan pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih yang dipertahankan dengan begitu angkuh.

"Hakikat bahawa rakyat telah menyahkan amaran Perdana Menteri dan alat perkakasnya serta turun seperti lautan kuning di tengah-tengah ibu kota merupakan bukti yang sangat jelas bahawa mereka sanggup berdepan dengan apa sahaja. Apa yang lebih penting kepada meraka ialah negara mesti diselamatkan," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, pihaknya hanya menyatakan bahawa penganjur Himpunan Aman Bersih diminta oleh para pegawai Istana Negara untuk mengemukakan senarai nama wakil-wakil Bersih yang akan menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

PAS tidak pernah menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong diminta atau diberikan, tegas beliau. - mks.


Pinda peraturan persidangan UMNO

KANGAR, 17 Nov. – UMNO akan meminda peraturan persidangan parti itu di semua peringkat untuk dikuatkuasakan mulai tahun depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.

“Draf pindaan itu akan dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti itu akhir bulan ini sebelum dikemukakan kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, semua cadangan itu dikumpul daripada anggota-anggota parti semasa kursus untuk setiausaha UMNO di semua peringkat tidak lama dahulu.

Antara perkara yang akan dipinda ialah peraturan mengenai kuorum, kata Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, tanpa menghuraikan lanjut.

“Pindaan ini bukan memperketatkan peraturan tetapi sebagai penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan sistem pemilihan parti bertambah baik, UMNO sedang meminda kod etika calon.

Katanya, setiap anggota UMNO yang berhasrat bertanding hendaklah menjelaskan yuran parti sebelum 31 Dis tahun ini kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak layak bertanding.

“Mereka bukan sahaja tidak boleh bertanding tetapi jika hadir persidangan, mereka juga tidak boleh mengambil bahagian dalam ucapan kerana hanya layak sebagai pemerhati,” kata Radzi.

Pada 2004 beberapa calon yang menawarkan diri untuk bertanding telah diketepikan kerana mereka tidak membayar yuran.

“Kalau boleh bayar sendiri yuran, jangan harap orang lain. Hanya RM1 sahaja,” katanya.

– Bernama

Lantik segera anggota Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Parti pembangkang mahu penubuhan dan pelantikan anggota Suruhanjaya Diraja disegerakan bagi menyelesaikan isu rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, penubuhan suruhanjaya itu tidak boleh dilengah-lengahkan dan senarai keanggotaannya perlu dikemukakan dengan segera kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tugas-tugas Suruhanjaya Diraja mestilah yang bukan menjurus kepada kesahihan video klip sahaja tetapi merangkumi perkara-perkara pokok.

‘‘Perkara-perkara pokok itu melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan integriti badan kehakiman hari ini,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja semalam.

Penubuhan suruhanjaya itu diputuskan setelah kerajaan mendapati kewajarannya berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Azmin berkata, keanggotaan suruhanjaya itu hendaklah terdiri daripada individu yang berkewibawaan dan berhemah tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai rekod bersih serta daripada kalangan yang tidak boleh dipengaruhi golongan politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, walaupun penubuhan suruhanjaya itu agak lewat tetapi sekurang-kurangnya ia ditubuhkan.

Guan Eng berkata, sekiranya Suruhanjaya Diraja itu tidak bebas maka orang ramai tidak akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh badan itu nanti.

Justeru, katanya, pelantikan anggota suruhanjaya itu amat penting agar dilihat oleh rakyat sebagai badan yang bebas dan berintegriti tinggi.

‘’Untuk tujuan itu, anggotanya mestilah mempunyai latar belakang perundangan yang kukuh, berkredibiliti tinggi, mempunyai rekod bersih dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan badan kehakiman negara,’’ jelasnya.

Pas, Keadilan selesai bahagi kerusi

KUALA TERENGGANU 17 Nov. – Pas telah selesai membuat pembahagian kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada bila-bila masa dari sekarang.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua parti sudah mencapai persetujuan berhubung pembahagian kerusi berkenaan yang ‘sudah lama’ diputuskan.

‘‘Keputusan berhubung pembahagian kerusi termasuk di Terengganu sudah lama dicapai dan ia telah diserahkan kepada Pas Pusat,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Murid cemerlang UPSR dapat basikal

LABIS 17 Nov. – Murid-murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 bakal menerima sumbangan basikal dan beg sekolah daripada Putera UMNO tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan itu akan disampaikan mengikut kawasan Parlimen di seluruh negara.

Menurut beliau, ia tidak hanya melibatkan murid Melayu yang mendapat 5A tetapi juga murid dari sekolah aliran Cina dan Tamil yang memperoleh 7A dalam peperiksaan itu yang diumumkan di seluruh negara, kelmarin.

‘‘Sumbangan ini dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk murid berkenaan terus meraih kejayaan akademik hingga ke sekolah menengah.

‘‘Program ini juga merupakan satu daripada usaha parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menyemarakkan pencapaian dalam pendidikan tanpa mengira bangsa atau kaum murid-murid yang cemerlang dalam keputusan UPSR,” katanya.

Abdul Azeez berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran sumbangan Basikal kepada murid-murid cemerlang UPSR 2007 Parlimen Labis di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, dekat sini hari ini.

Pelancaran pertama program seumpamanya di kawasan Parlimen itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek merangkap Ahli Parlimen Labis yang menyaksikan 100 murid menerima sumbangan tersebut.

Semalam, Kementerian Pelajaran mengumumkan sebanyak 48,400 atau 9.7 peratus daripada 500,786 calon peperiksaan UPSR tahun ini memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran.

Menurut Abdul Azeez, sumbangan itu membuktikan Putera UMNO dan BN sentiasa berusaha meningkatkan mutu pendidikan selain menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Sementara itu, Soi Lek berkata, langkah yang diambil oleh Putera UMNO membuktikan BN tidak mementingkan perbezaan kaum dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Ahli Puteri jangan melaram

ALOR STAR 17 Nov. – Ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO diingatkan agar tidak menjadikan tempoh menghadapi pilihan raya umum akan datang sebagai pentas untuk melaram atau meminta-minta sesuatu daripada parti.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, sebaliknya lebih 400,000 ahli pergerakan itu perlu menjadikan tempoh berkenaan sebagai medan untuk melancarkan kempen besar-besaran bagi membantu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN).

“Apabila mahu menghadapi pilihan raya, bukan bermakna itulah masanya kita mengira dan bertanya berapa banyak baju kita terima. Ini bukan budaya kita.

“Tetapi ia merupakan persiapan dan permulaan untuk saudari-saudari semua bekerja keras kerana pilihan raya tidak menunggu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Pergerakan Puteri UMNO Kedah di Dewan Sri Mentaloon, di sini semalam.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 1,200 ahli Puteri UMNO negeri itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Shahanim Mohamad Yusoff.

Noraini menambah, memandangkan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, ahli-ahli Puteri UMNO perlu mengambil inisiatif dengan turun padang berjumpa dan mendekati kumpulan fokus.

Umno tidak terima rayuan ahli gagal bayar yuran

KANGAR: Umno tidak menerima sebarang rayuan daripada ahli yang gagal menjelaskan yuran tahunan keahlian RM1 sehingga menyebabkan mereka tidak boleh bertanding pada pemilihan parti tahun depan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata ahli mempunyai tempoh sebulan setengah sehingga 31 Disember untuk menjelaskan yuran.

"Kita jangka berlaku pertandingan hebat membabitkan semua peringkat sama ada cawangan, bahagian dan peringkat Pusat pada pemilihan parti tahun depan.

"Justeru, saya mengingatkan mereka menjelaskan yuran sebelum berhasrat bertanding kerana selepas 31 Disember, ibu pejabat tidak layan ahli yang gagal menjelaskan yuran," katanya selepas majlis Jasamu Dikenang, di sini semalam.

Beliau berkata, bagi memudahkan ahli, Umno mewujudkan sistem warna mengandungi nama senarai ahli yang layak menghadiri mesyuarat Umno di cawangan masing-masing tahun depan.

Katanya, lima kategori warna akan diedarkan ke setiap cawangan dengan kuning mengandungi senarai nama keseluruhan ahli yang menjelaskan bayaran yuran, manakala Putih untuk cawangan, Pemuda (biru), Wanita (merah) dan Puteri (merah jambu).

"Senarai nama mengikut warna ini akan diedarkan ke cawangan selewat-lewatnya Februari ini dan dipamerkan untuk semakan di dewan mesyuarat ketika persidangan. Mereka yang tiada dalam senarai hanya layak sebagai pemerhati," katanya

Mohd Radzi berkata, pada pemilihan parti 2004 lalu, pihaknya menerima banyak rayuan ahli untuk membolehkan mereka bertanding selepas gagal menjelaskan yuran RM1.

"Terlupa dan sibuk adalah alasan yang kerap diterima. Selepas 31 Disember ini, kita menutup sebarang rayuan bagi menumpukan perkara lain yang lebih besar. Kita perlu tegas soal yuran ini," katanya

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi jumlah sebenar ahli masih tidak menjelaskan yuran tetapi menyatakan ramai daripada 3.3 juta ahli Umno belum menunaikan tanggungjawab itu.

Beliau berkata, bagi mengelak kekeliruan, ahli diminta hadir sendiri menjelaskan yuran di Umno bahagian tanpa menggunakan pihak ketiga, termasuk ketua cawangan.

"Kita sedar ada ahli menyerahkan kepada ketua cawangan menjelaskan yuran. Ada ketua cawangan pula memilih ahli tertentu saja. Bila berlaku pemilihan, timbul kekecohan kerana ahli terbabit tidak layak bertanding,” katanya.

Selain itu, Mohd Radzi berkata, Umno sedang merangka sistem baru membabitkan etika kempen, mesyuarat dan pertandingan.

Pemimpin komponen BN bidas taktik kotor lawan

Oleh Norfatimah Ahmad, Abdul Razak Raaff, Osman Lisut dan Srihanasham Noordin

KUALA LUMPUR: Penjelasan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai dakwaan baginda dan Istana Negara menyokong perhimpunan haram pada 10 November lalu mendedahkan tembelang dan niat buruk pembangkang menggunakan institusi Raja untuk kepentingan politik mereka.

Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) membidas taktik kotor pembangkang yang cuba mencemar kedaulatan baginda semata-mata mahu meraih sokongan rakyat, terutama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Sambil menyatakan sokongan penuh berhubung penjelasan baginda tidak pernah menyokong perhimpunan haram yang menyalahi undang-undang, mereka sepakat berkata, helah pembangkang itu umpama ‘membuka pekung di dada’.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata penafian baginda dan Istana Negara itu jelas menunjukkan tembelang sebenar pembangkang dan usahanya menarik sokongan rakyat.

Katanya, ia memberi tamparan hebat kepada pembangkang kerana cuba membabitkan serta mahu memperalatkan institusi Raja untuk kepentingan politik mereka.

“Tembelang penganjuran perhimpunan haram, termasuk parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah nampak dan jelas menunjukkan mereka gagal,” katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata penjelasan baginda itu jelas menunjukkan institusi Raja menentang keras perbuatan pembangkang dan NGO yang cuba mengelirukan rakyat dengan dakwaan tidak berasas.

Katanya, ia menunjukkan pembangkang tidak menghormati martabat institusi Raja dan pendirian tegas baginda menerusi penjelasan itu sekali lagi menegaskan mereka tidak langsung menyokong sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata penafian itu amat jelas dan tidak perlu dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, ia juga membuktikan dakwaan pembangkang tidak benar dan mereka cuba babitkan institusi Raja selain mahu menjejaskan keamanan negara.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata pembangkang perlu menghormati dan mendaulatkan institusi Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selain mementingkan keamanan negara.

Beliau berkata, perhimpunan haram yang didalangi pembangkang serta cubaan mempolitikkan institusi Raja adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan bertentangan undang-undang negara.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Datuk Reezal Merican Naina Merican, kesal dengan tindakan pihak berkenaan mengaitkan baginda semata-mata mahu menghalalkan tindakan mereka.

Katanya, kenyataan baginda jelas membayangkan institusi Raja tidak akan membenarkan budaya demokrasi jalanan menjadi kaedah politik sempit dan berkonsepkan matlamat menghalalkan cara.

“Kerajaan perlu bertindak tegas supaya demokrasi jalanan tidak menjadi mainan politik pembangkang selain generasi muda, terutama pelajar universiti tidak membiarkan diri mereka dijadikan alat propaganda pembangkang.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan kerajaan menghukum penganjur perhimpunan haram itu kerana melanggar undang-undang dan memanipulasi rakyat.

“Penganjur perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran pada masa akan datang. Mereka perlu diingatkan Malaysia mempunyai undang-undang dan bukan sesuka hati boleh menganjurkan perhimpunan tanpa permit.

“Begitu juga perbuatan menipu rakyat yang kononnya perhimpunan itu mendapat perkenan Istana Negara yang jelas pembohongan besar. Selain dihukum, penganjur perlu meminta maaf secara terbuka kepada warga Malaysia berikutan pembohongan mereka dengan cuba mengaitkan institusi diraja,” katanya.

Di JOHOR, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman membidas tindakan pembangkang yang menggunakan institusi Raja untuk kepentingan politik dan menganggap mereka hanya ingin mendapatkan perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa bagi memberi imej negatif kepada negara.

Katanya, motif pembangkang jelas tidak sihat dengan mengatakan sistem pilihan raya negara ini tidak mengikut demokrasi dan terus memberi tekanan kononnya, meminta kerajaan mengadakan pilihan raya yang lebih telus dan bersih.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata rakyat jangan terpedaya dengan dakyah parti pembangkang yang menggambarkan diri mereka seperti ahli parti politik yang terdesak.

Katanya, rakyat juga mesti yakin dan tidak hilang pedoman terhadap kerajaan yang selama ini menjadi tempat mereka bergantung harapan kerana pembangkang hanya berniat menimbulkan huru-hara dalam negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom, yang ditemui selepas Pertandingan Golf Perdana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tahun 2007 di Sungai Long Golf & Country Club di Kajang, semalam, berkata, kumpulan atau individu yang dikesan menggunakan nama Raja-Raja Melayu, terutama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kepentingan peribadi atau politik boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ketegasan kerajaan berhubung perkara itu adalah jelas dan polis serta Pejabat Peguam Negara boleh menentukan bentuk hukuman terhadap pihak terbabit.

“Jika benar berlaku dan terbukti ada pihak mengambil kesempatan menggunakan nama Raja-Raja Melayu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

“Bagaimanapun, perlu disiasat sejauh mana nama Raja-Raja Melayu itu digunakan dan apa tujuan mereka melakukan sedemikian,” katanya.

Putera lancar program bantuan basikal UPSR

Oleh Junita Mat Rasid

SEGAMAT: Putera Umno melancarkan program sumbangan basikal kepada murid yang mendapat keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, di seluruh negara bagi menggalakkan mereka terus mencapai kejayaan cemerlang.

Sebagai permulaan, 100 pelajar di kawasan Parlimen Labis menerima basikal, beg sekolah dan wang tunai RM100 seorang bagi menghargai kejayaan memperoleh 5A atau 7A dalam UPSR diumumkan dua hari lalu.

Majlis pelancaran sumbangan dilakukan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, dekat sini, semalam.


Turut hadir Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Pengerusi Putera Umno Johor, Rusdin Mahamud.

Abdul Azeez berkata, program itu dilancarkan di kawasan Parlimen terpilih seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang murid. Siri kedua program akan diadakan di Kedah, esok sebelum ke semua negeri.

"Jelajah Putera Umno diadakan untuk memberi suntikan semangat dan mengangkat martabat anak kita yang mendapat kecemerlangan dalam UPSR kerana ini kali pertama mereka menduduki peperiksaan besar.



"UPSR penting untuk meniup semangat pelajar menghadapi peperiksaan seterusnya, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program berkenaan.

Katanya, sumbangan juga selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meningkatkan pendidikan negara melalui pemansuhan yuran dan kemudahan buku teks kepada semua rakyat.

Dr Chua turut memuji dan berbangga dengan program Putera Umno kerana ia membabitkan sumbangan kepada semua tanpa mengira perbezaan kaum.

Katanya, program tidak bermusim itu bukan untuk memancing undi berikutan pilihan raya umum hampir tiba, sebaliknya kegiatan tahunan untuk memberikan sumbangan kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang.

Saturday, November 17, 2007

‘Pilihan raya tidak semesti dalam tempoh terdekat’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pilihan raya umum akan berlaku pada bila-bila masa, tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga berminat untuk mengetahui tarikh sebenar pilihan raya umum akan datang.

“Saya juga berminat nak tahu, saya akan tanya dia,” katanya secara sinis mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa mengakui tahu tarikh pilihan raya akan diadakan.

Abdul Rahman dipetik berkata, kelmarin, dia tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Yayasan CIMB, sebuah yayasan dengan sandaran dana terbesar di Malaysia setakat ini apabila Kumpulan CIMB mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tempoh akan datang.

Ditanya lanjut wartawan bahawa kenyataan Abdul Rashid itu mencetuskan gelora minat rakyat, Najib berkata, pilihan raya umum boleh diadakan pada sebarang tarikh dan ia tidak semestinya berlaku dalam tempoh terdekat.

“Anda kena tanya dia (Abdul Rahman),” katanya sebelum meminta wartawan menumpukan kepada Yayasan CIMB dan bukannya isu pilihan raya kerana hampir setiap sidang media yang dihadirinya wartawan akan bertanya mengenai tarikh dan persediaan kerajaan menghadapi pilihan raya.

Pilihan raya umum ke-11 diadakan pada Mac 2004 dan bulan ini genap tiga tahun lapan bulan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat besar dalam pilihan raya itu.

Mengikut peraturan pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai masa sehingga pertengahan 2009 sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Abdul Rashid, bekas Setiausaha SPR sebelum dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu sudah menguruskan enam pilihan raya umum.

Demonstrasi jejas perniagaan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di persekitaran Dataran Merdeka dan Masjid Jamek Sabtu lalu, menyebabkan pengusaha dan peniaga pelbagai sektor di sekitar kawasan berdekatan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Perhimpunan yang menyaksikan ramai anggota polis terpaksa dikerah mengawal keadaan, turut menjejaskan industri pelancongan, khususnya di ibu negara dengan kawasan Bukit Bintang menerima kesan teruk.

Berikutan itu, pemimpin dan wakil 80 pertubuhan pengusaha dan peniaga serta badan bukan kerajaan (NGO) lain sekitar Bukit Bintang semalam mengadakan bantahan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perhimpunan berkenaan.

Penasihat kepada 80 pertubuhan dan NGO terbabit, Datuk Dr Lee Chong Meng, berkata perhimpunan itu bukan saja menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada peniaga, malah membantutkan usaha kerajaan menarik pelancong asing ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2007).

“Kami sedih perhimpunan itu menyebabkan banyak kedai di kawasan Bukit Bintang iaitu kawasan nukleus di ibu negara terpaksa ditutup sekurang-kurangnya separuh hari, jalan sesak, hotel dan pusat perniagaan kosong.

“Persatuan pengusaha hotel memaklumkan ada tempahan menginap dibatalkan pelancong dari China, Korea dan Hong Kong berikutan kejadian itu, selain ejen pelancongan tempatan menerima banyak pertanyaan daripada ejen pelancongan asing mengenai keadaan di ibu negara.

“Oleh itu, kita adakan sesi ini untuk maklumkan kepada parti politik tertentu supaya jangan buat kacau.

“Kami berharap perhimpunan haram seperti ini tidak berlaku lagi, cukuplah kerana ia menjejaskan perniagaan,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Jalan Pudu, semalam.

Perhimpunan itu disertai hampir 100 pemimpin dan ahli persatuan mewakili peniaga, pengusaha dan pemborong barangan harian, pakaian, kedai kopi, restoran, hotel, agensi pelancongan, teksi dan sektor Rukun Tetangga.

Pelbagai sepanduk termasuk tertera ‘Rakyat Malaysia Bukan Hooligan’, ‘Rakyat Malaysia Tolak Demonstrasi Jalanan’ dan ‘Kami Menyokong Pelancongan’ dibawa pada perhimpunan itu.

Wakil pemborong pakaian, Tan Hooi Weng, berkata kerugian dialami beratus-ratus pemilik pusat fesyen di Jalan Merlimau dan Jalan Kenanga mampu mencecah antara RM3 hingga RM4 juta.

“Perhimpunan itu menyebabkan kami kerugian besar. Bayangkan ada pengusaha mampu meraih jualan sehingga RM30,000 tetapi pada hari itu (perhimpunan haram diadakan) kosong, tiada pelanggan,” katanya.

Beberapa wakil pertubuhan lain turut mengakui perhimpunan menyebabkan mereka menanggung kerugian kerana terpaksa menutup premis lebih awal dan kurang pelanggan.

Friday, November 16, 2007

Pilihan raya dan persoalannya (Siri II): Peranan pengundi

Ustaz Zain Hashim
Fri | Nov 16, 07 | 9:44:06 am MYT

Dalam perbincangan siri pertama lalu, kita telah membincangkan persoalan kewajiban serta tangungjawab semua yang individu yang bernama Islam untuk keluar mengundi, kerana matlamat 'Amar Makruf dan Nahi Mungkar' tidak akan tercapai pelaksanaannya melainkan dengan menentukan kepimpinan dalam pilihan raya, iaitu kepimpinan yang mendasari perintah Allah dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma' dan al-Qias.

Penglibatan dan penyertaan para pengundi amat penting bagi menentukan corak pentadbiran negara yang lebih efisyen pada masa-masa akan datang dengan memilih calon yang lebih Islamik dalam segenap aspek kehidupan.

Pengundi yang berorientasikan ajaran Islam tidak akan merugikan undinya dengan memilih calon yang mensia-siakan peranan, tugas serta tanggungjawabnya sebagai wakil mereka, apatah lagi calon yang pernah disabitkan seperti dalam laporan akhbar terlibat dalam menerima atau memberi rasuah, dengan kata lain ia terkenal sebagai pengamal rasuah.

Mana-mana pengundi yang tersalah pilih calon yang bertanding dalam pilihan raya dengan memberi kemenangan mudah kepadanya, akan disoal di hadapan Allah pada hari akhirat mengapa bersekongkol dengan pihak yang menganiyai golongan yang tertindas, selepas pilihan raya, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak, tol, tarif air, mungkin juga elektrik dan sebagainya dengan pelbagai alas an yang tidak munasabah.

Pengundi merupakan majikan (bos) ketika pilihan raya

Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 54 surah al-Zukhruf yang bermaksud: "Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik."

Jelas daripada apa yang diungkapkan Allah dalam ayat di atas menunjukkan bahawa para pengundi diumpamakan Allah sebagai golongan yang fasik jika masih terus meyokong, bersama-sama atau cenderung kepada golongan yang menggunakan pengaruh atau pangkat bagi memperdaya golongan yang diperintah.

Justeru, pengundi ibarat majikan kerana calon yang bertanding dalam pilihan raya menagih kerja daripada pengundi buat tempoh lima tahun, tetapi selepas menang, segala sumpahan janjinya terhadap pengundi diabaikan, malah pengundi diperbodoh-bodohkan.

Mengapa pengundi mensia-siakan peluang dengan memilih calon yang tidak komited pada janji apatah lagi kepada Islam, mereka patut dihukum dengan tidak diberi peluang untuk terus berkuasa.

Mana janji-janji mereka untuk mendaulatkan agama Islam, sedangkan syiar-syaiarnya seperti surau dirobohkan, ke mana menghilang mereka yang dipilih oleh pengundi dengan membisu seribu bahasa, sedangkan pada masa yang sama penganut agama lain sanggup berdepan dengan pelbagai rintangan dan risiko.

Di mana jati diri pemerintah yang beragama Islam dalam isu ini?

Pilihan raya adalah salah satu bentuk jihad

Menurut Setiausaha Agung Gerakan Islam Lubnan, Syeikh Faisal Molawi merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Eropah menegaskan, bahawa penyertaan pengundi dalam memilih bakal pemimpin dalam pilihan raya adalah satu tindakan jihad.

Ini kerana apabila calon yang menang daripada kalangan mereka yang berjiwa Islam, akan menggunakan pengaruh, peranan serta tanggungjawabnya bagi memberi khidmat kepada Islam, iaitu dengan menolak segala usaha pemerintah yang mahu meneruskan agenda mungkar seperti penganjuran program maksiat seperti Akademi Fantasia dan Konsert Jom Heboh.

Walaupun usaha tersebut dianggap payah untuk dilakukan, kerana pemerintah yang ada telah menanam benih maksiat dalam jiwa dan sanubari khususnya golongan remaja yang disifatkan sebagai golongan yang akan memberi undi kepada mereka, namun seagal itu adalah kerja Allah SWT yang tidak mustahil memenangkan golongan yang bercita-cita untuk mendaulatkan hukum al-Quran.

Sehubungan itu Allah menjelaskan menerusi ayat 7 surah Muhammad: "Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong agama Allah maka Dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu."

Penyertaan dalam pilihan raya dianggap jihad kerana mampu menahan/menyekat kerakusan pihak berkuasa yang telah menyimpang jauh dari amalan ajaran agama Islam, maka melakukan pembaikan/pengislahan itu menepati matlamat penyertaan dalam pilihan raya.

Justeru, menurut Syeikh Molawi lagi, mana-mana individu atau kumpulan atau kelompok Islam yang tidak mengikut serta dalam membuang undi bagi memenangkan calon-calon yang berjiwa Islam pada pilihan raya, adalah dianggap berdosa kerana seolah-olah mereka bersetuju dengan tindakan nagatif yang dilakukan oleh pemerintah yang sedia ada.

Tidak boleh dianggap ringan untuk membuang undi bagi mengalahkan golongan yang berorientasikan fahaman Sekular, Sosialis, Kapaitalis, Komunis dan sebagainya, kerana ia bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sesungguhnya hukum menyertai pilihan raya bukanlah kekal, ia boleh dimansuhkan jika yang memerintah itu kembali kepada proses pemilihan pucuk pimpinan seperti yang pernah dilakukan oleh paa Khulafa' Rasyidun. - lanh


Pilihan raya, demokrasi Denmark bagaikan pesta

Warga Prihatin
Fri | Nov 16, 07 | 8:17:01 am MYT

Saya adalah salah seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Denmark. Tujuan saya bukan berniat menyinggung mana-mana pihak tetapi mahu berkongsi dengan rakan-rakan di tanahair bagaimana sebuah negara bukan Islam menjalankan proses pilihan raya secara demokrastik. Pada 13 Nov 2007 yang lepas ialah Pilihan Raya Umum Denmark.

Setelah Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada 24 Oktober 2007, bermakna itulah tarikh terakhir untuk rakyat Denmark menukar "kommune" atau pusat komuniti. Buat pengetahuan semua, adalah kewajipan setiap rakyat berdaftar dengan pusat komuniti, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menukar pusat komuniti melainkan berpindah rumah. Setiap perpindahan hendaklah disertakan surat perjanjian sewa/beli rumah.

Setiap rakyat berumur 18 tahun secara automatik layak mengundi di bawah kawasan pusat komuniti mereka dan semua pengundi akan menerima kad mengundi yang dihantar oleh pusat komuniti mereka. Kad mengundi adalah wajib dibawa sebagai bukti mereka adalah pengundi yang sah di kawasannya.

Jentera parti diberi kebebasan untuk berkempen melalui TV, radio, akhbar, iklan, internet dan lain-lain media massa.

Semua parti diberi kebebasan untuk menganjurkan debat secara terbuka atau siaran langung.

Dua minggu sebelum pilihan raya, bakal-bakal perdana menteri diberi peluang berdebat secara langsung di TV membincangkan isu dan topik kempen mereka.

Dua hari sebelum pilihan raya, semua ketua parti mesti menghadiri forum membincangkan isu kempen secara live di TV. Masing-masing diberi peluang melontarkan soalan kepada parti lawan, tapi mereka bagaikan profesional, gelak ketawa dan emosi masing-masing terkawal sepanjang forum itu.

Pilihan raya bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, suasana sunyi macam tiada apa yang berlaku. Dewan Gymnasium sekolah, berdinding kaca lut sinar dijadikan pusat membuang undi.

Di pusat membuang undi pulu, ia bagaikan satu pesta, setiap orang datang membuang undi tanpa rasa takut.

Anak kecil, kanak-kanak boleh dibawa masuk ke tempat membuang undi, bahkan ada yang meminta anak kecilnya memasukkan kertas undi.

Tiada seorang polis pun menjaga dewan undi mereka.

Tiada undi pos, polis tentera dan semua yang terlibat dengan pilihan raya mengundi macam biasa.

Alangkan sedihnya bila difikirkan, sebuah kerajan bukan Islam boleh telus dalam menjalankan pilihan raya demokrasi.

Fikir-fikirlah, renung-renungkanlah.

Laman web berkaitan:

www.dr.dk/nyheder/Temaer/Politik%20temaer/2007/Valg
www.cphpost.dk/get/104102.html

Novel Shit Shahnon kembali bergema di Dewan Bahasa

Ali Bukhari Amir
Fri | Nov 16, 07 | 7:31:58 am MYT

Salah satu karya Sasterawan Dato' Shahnon Ahmad yang pernah dianggap jijik malah hampas oleh pihak tertentu iaitu Shit! kini kembali diulang sebut di dalam Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad pada 13 - 14 November lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sesiapa yang pernah mengikuti meniti gelombang Reformasi 1998 pastinya tidak dapat melupakan Shit yang telah menggegarkan perkembangan dunia sastera tanahair. Gara-gara Shit, Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mula meraba-raba dalam gelap untuk mencari ayat al-Quran yang menunjukkan Tuhan itu mencarut.

Biarpun Shahnon dikecam hebat gara-gara Shit, tetapi suatu hal atau hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kehadiran watak Wirawan dalam novel Shit itu adalah respon atas tindakan memecat Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan secara zalim dan menjijikkan.

Ertinya, 'kesalahan dan kesilapan' (jika mahu ayat ini digunakan dan dikekalkan sampai bila-bila) Shit itu berpunca daripada tindakan penguasa yang melakukan kesalahan dan kesilapan yang menjijikkan sebagai yang tergambar dalam novel itu, walaupun media propaganda Zam berusaha keras menjatuhkan reputasi dan mencalarkan imej Shahnon.

Sehubungan itu, salah seorang peserta, Razali Endun dalam seminar itu telah bangkit mengesyorkan supaya Shit kembali diangkat sebagai suatu karya penting dalam realiti politik kini yang serba mencabar.

"Bukankah ini suatu masa yang sesuai untuk kembali meneliti pengalaman politik negara dan menoleh peristiwa lalu dalam novel ini?" kata Razali meminta jawapan para panelis.

Aliran kiri

Keringnya bahan sastera aliran kiri di pasaran yang bersifat menolak kezaliman penguasa dan penjajahan adalah antara faktor yang menyumbang ke arah hal kelumpuhan kreativiti massa dalam membangkitkan upaya merakyatkan kesedaran reformasi pelbagai bangsa.

Seorang pengkritik sastera Dr Hashim Ismail dalam pembentangannya tatkala menilai kesan pasca kolonial yang tertuang lewat karya sasterawan ini, menyimpulkan bahawa pada diri Shahnon itu telah terhimpun padanya nilai seorang pejuang demokrasi.

"Bagi saya sasterawan Shahnon adalah pengamal demokrasi. Jika tidak, tidak terhasillah Shit. Itulah contoh demokrasi yang diamalkan oleh beliau. Seperti yang kita tahu, antara ahli politik dan penulis, siapakah yang lebih demokrasi?"

"Pramoedya Ananta Toer di Indonesia, dikurung di penjara. Walaupun karyanya tersekat dalam negaranya, tapi ia mendapat sambutan di luar negara, tidak di Indonesia," jelasnya yang seperti memujuk khalayak pendengar ke arah mempromosikan pandangan bahawa kaum penulis lebih demokratik berbanding penguasa.

Hujah seperti ini adalah antara subjek yang lazimnya menjadi bahan pemikiran kelompok pemikir. Mahathir contohnya menyebutkan wartawan kurang layak bercakap soal rakyat kerana kelompok itu tidak diangkat sebagai mewakili rakyat melalui pilihan raya.

Sebaliknya, watak-watak pejuang bangsa Tun Syed Nasir dalam suatu ucapannya pernah menyebut bahawa kaum penulis itulah yang telah banyak memainkan peranan penting di dalam mengangkat darjat bangsa. Setelah era penjajahan barulah ahli politik menuai hasil daripada perjuangan kaum penulis yang lebih awal daripada mereka itu.

Maulana Muhammad Iqbal pula menyimpulkan melalui syairnya, bahawa segala bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, tetapi bangsa-bangsa itu boleh terus hidup dan mati bergantung kepada politikus. Pendek kata, golongan pemikir terawal adalah pembangun bangsa. Selepas itu, tergantung kepada politikuslah yang akan terus membangunkan atau meruntuhkan pembinaan sebuah negara bangsa.

"Sepanjang masa kita berbincang mengenai pasca kolonial, hal ini boleh membelenggu pemikiran kita.

"Apabila membincang tajuk ini, hanya dua sikap saja dapat diambil, sama ada membenci atau agungkan penjajah. Kita akan terdorong untuk berfikir sebagai mangsa penjajahan, berfikir sebagai masyarakat hamba.

"Antara watak yang dihidupkan di dalam novel Shahnon ialah Luqman yang menyatukan bantahan Melayu ke atas Malayan Union. Luqman adalah Dato' Onn. Watak itu ditonjol bagaimana beliau berjaya menyatukan orang Melayu pelbagai ragam untuk menentang penjajah. Inilah yang dikutip lalu dijadikan bahan melalui novelnya," kata Dr. Hashim

Zaman inilah, menurut beliau, orang-orang Melayu berada lama dalam penjajahan. Imej dan watak yang degil dalam kalangan Melayu ini susah untuk disatukan.

Demonstrasi budaya Umno

"Shahnon telah berjaya menunjukkan bagaimana watak Luqman yang saya lihat sebagai Dato' Onn ini berusaha keras dalam mempengaruhi Pok Nik di Kelantan, serta Daud di Terengganu dan lain-lain untuk berdemonstrasi menentang British.

"Tetapi, sekarang ada suara yang menyatakan demonstrasi bukannya sebahagian daripada budaya kita. Walhal inilah budaya Umno yang menyebabkan British akhirnya keluar dari Malaya dan kita akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan," tambah beliau lagi.

Menurut catatan sejarah, Tunku bersama rombongannya setelah ketika berjaya mendapat kata putus daripada British di London, telah pulang menuju ke Bandar Hilir, Melaka yang mana telah berhimpun segala rakyat secara aman demi meraikan kejayaan itu.

Kembali kepada persoalan asal, siapakah yang lebih demokratik? Penulis atau politikus? Nampaknya, Shahnon lebih demokratik berbanding ahli politik. Jiwa kepengarangannya dalam transisi masa pembikinan Shit itu cuba dijelmakan dalam penglibatannya di dalam PAS, gerakan politik untuk menegakkan sendi demokrasi.

Sebenarnya, sebelum itu Shahnon bermodalkan jiwa Islamnya, telah berjinak-jinak pula dengan jemaah al-Arqam di bawah teraju Ustaz Ashaari. Ketika itu beliau berkhidmat di USM di mana dalam era 1980-an, pengaruh al-Arqam amat kuat di universiti berkenaan.

Sehubungan itu, Dr Sohami Abdul Aziz ketika beliau menyentuh pemikiran Shahnon dan pembabitannya dalam kerjaya politik dan gerakan demokrasi telah merujuk autobiografi Detik-Detik Diri Di Daerah Daif dan Perjalananku Sejauh Ini, Sebuah Autobiografi.

"Nyata al-Arqam memberi kesan kepada pembentukan personalitinya yang cenderung kepada Islam. Dan kecenderungannya kepada Islam dapat dikonkritkan lagi dengan melihat kepada penglibatannya dalam politik Islam. Beliau telah memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Beliau mendapati tujuan jemaah PAS ada persamaan dengan al-Arqam iaitu berjuang atas landasan Islam.

"Kepimpinan ulamak yang menerajui PAS telah juga menarik perhatian Shahnon. Jika Ustaz Ashaari menjadi daya penarik di dalam al-Arqam, maka Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Fadhil Nor menjadi daya tarikan kepada Shahnon untuk menyertai PAS.

Satu penggal

"Penyertaannya dalam PAS telah menjadikan beliau menjadi wakil rakyat Sik, Kedah. Namun, usia sebagai wakil rakyat di Parlimen tidak lama, iaitu sekadar satu penggal. Beliau tidak tertarik untuk terus menjadi wakil rakyat kerana dunia politik bukan dunianya yang sebenar," kata Dr Sohaimi.

Gelaran Yang Berhormat itu, menurut Dr Sohaimi, sangat berat dan Shahnon tidak begitu selesa kerana begitu banyak kepalsuan yang ditemui.

"Bagi Shahnon jiwanya adalah jiwa pengarang dan bukan politikus. Kemenangan dalam pilihan raya itu dan kemudian diangkat menjadi seorang wakil rakyat daripada PAS pada 1999 tidak membawa banyak erti kepada kehidupannya," katanya merumuskan pendirian politik Shahnon, sama ada beliau cenderung ke arah jiwa kepengarangan atau kepartian.

Bagaimanapun, jasa Shahnon dalam gerakan demokrasi untuk tempoh pasca kolonial dan merdeka terbentang sebagai hakikat yang tak boleh dinafikan. Shahnon telah cuba bergiat menapak di daerah persuratan dan siasah mengikut kesesuaian dan perkembangan zaman.

Shit adalah respon ke atas pendirian Umno-BN yang telah bertindak memecat Anwar dari sebarang jawatan kerajaan dan parti dan beliau telah men cuba sedaya upaya membentuk peru bahan sedaya mungkin melalui kegiatan politik, lalu kembali ke akar perjuangannya melalui kegiatan persuratan

Ketika 'seterika masih panas' dan rakyat ghairah ingin tahu ...

Ahmad Lutfi Othman | Foto Nasir Sudin
Thu | Nov 15, 07 | 7:47:46 pm MYT

Demonstrasi 10 November lalu, bagi saya, cukup istimewa dan tidak mungkin dapat dilupakan. Sekurang-kurangnya ia bekalan paling manis bagi mendepani pilihan raya umum ke-12, yang boleh diadakan bila-bila masa, meskipun ramai beranggapan bulan Februari 2008. "Hari ini saya rasa lebih gembira daripada menyambut 1 Syawal baru-baru ini," kata seorang wartawan yang membuat laporan perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara.

ImageIa ibarat sebuah kenduri besar, melibatkan begitu ramai petugas dan menjemput puluhan ribu tetamu, apabila bukan saja aktivis politik dari seluruh pelosok tanah air membanjiri ibu kota Kuala Lumpur, malah penggiat NGO, orang awam dan paling manis, anak-anak muda awal 20-an nampak begitu ceria memeriahkan perhimpunan bersejarah itu.

Siapa bilang orang muda sudah sejuk amarahnya terhadap penyelewengan dan amalan rasuah sang penguasa? Mereka kelihatan cukup bersemangat, dan anda silap kalau menjangkakan mereka gentar dengan gertakan Ketua Polis Negara. Fenomena ini, pada hemat saya, perlu diperhatikan, kerana ia mampu menjana satu kebangkitan baru, yang silap-silap gaya, boleh mengejutkan Putrajaya.

Ya, segala mehnah - seperti ugutan Abdullah Ahmad Badawi (malunya kita apabila Perdana Menteri bersikap keanak-anakan meniru lagak menantunya, Khairy Jamaluddin), sekatan polis, rampasan baju-T kuning, ancaman untuk ditangkap dan dipenjarakan - dihadapi penuh berani dan yakin diri.

Sengaja mahu menyekat kehadiran

ImageSaya ketawa kecil menatap gambar dalam The Sunday Star 11 Nov yang memaparkan kesesakan teruk jalan raya, di Sprint Expressway, Petaling Jaya. Nampak jelas lebuh raya empat lorong mengecut menjadi hanya satu lorong sedangkan dua anggota polis yang bertugas hanya memerhatikan sahaja, tanpa membuat apa-apa pemeriksaan, malah tidak pun memandang ke arah kenderaan yang melalui sekatan.

Seingat saya ada kenyataan pihak polis Kuala Lumpur bahawa antara tujuan mereka mengadakan roadblock itu adalah untuk mengesan pihak luar yang mungkin membawa senjata, termasuk mortar! Sedangkan ramai kawan-kawan yang terperangkap memaklumkan bahawa sekatan polis di segenap penjuru untuk masuk ibu kota hanya untuk melambatkan pergerakan. Akibatnya, mungkin 25 peratus yang sudah keluar rumah menuju Dataran Merdeka terpaksa gigit jari kerana tidak dapat menikmati keunikan petang 10 November, yang mungkin hanya berulang 10 tahun lagi!

Menarik sekali, ya, bayangkan saja, kebanyakan peserta demonstrasi datang dalam keadaan santai, malah seolah-olah berpesta, sambil membawa keluarga dan anak-anak kecil, yang kemudiannya masih boleh bergelak-ketawa biar pun semasa dikejar polis, ditembak meriam air kimia, dan disembur gas pemedih mata. Hampir tiada ketegangan (diukur dalam standard demo era reformasi dahulu) meskipun ada yang ditahan dan dibelasah polis.

Manakala cucu penceramah terkenal Pak Yazid Jaafar, iaitu Aleyasak Hamid mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek. (Ini mengingatkan saya seorang penduduk Kg Memali yang lumpuh, dan seterusnya meninggal dunia, selepas dipijak di pinggangnya ketika diseret polis dalam tragedi berdarah 22 tahun lalu).

Menemukan kawan-kawan lama

ImageLokasi sekitar Dataran Merdeka, Kompleks Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni, Masjid Negara dan Istana Negara juga menemukan ramai kawan-kawan lama yang terpisah, selain bersua muka dengan tokoh-tokoh yang jarang dapat ketemu dalam suasana unik itu. Ramai yang tertanya-tanya siapa pimpinan yang tidak sempat hadir, bukannya tercari-cari siapa pula yang memeriahkan pesta demokrasi itu. (Ia bagai menyediakan wadah untuk warga prihatin dari pelbagai ceruk rantau bertemu wajah, bertanya khabar, dan ini membantu memperkukuhkan komitmen dalam perjuangan).

Gelombang kuning itu besar maknanya. Kesediaan Agong, melalui wakil baginda, untuk menerima rombongan Bersih akan ditafsir dalam pengertian yang begitu luas. Tidak hairanlah tersebar khabar angin tentang hubungan tegang tentera-polis, mengulangi kisah lama era reformasi dulu, apabila ada anggota tentera sendiri tertanya-tanya kemungkinan pihak tentera masuk campur jika perarakan menuju istana dihalang polis. Saya kurang berminat dengan cerita-cerita seumpama itu tetapi masih sedia menadah telinga untuk merisik apa sebenarnya yang menjadi bualan dan tanggapan ramai.

Apa pun tafsiran yang dibuat, yang pastinya, persefahaman dan persepakatan yang terjalin di antara pelbagai sektor dan lapis masyarakat 10 Nov itu adalah merentasi kepentingan politik mana-mana kelompok. Ada objektif lebih besar mahu digapai dan rakyat nampak teruja untuk menggerakkan perubahan demi kesejahteraan bersama. Cuma, ada yang berpesan agar pimpinan politik oposisi dapat "membaca" dan "menangkap" segala gerak dan riak; usah mengambil mudah membuat rumusan untuk "syok sendiri".

Merujuk perarakan raksasa itu, saya kira masyarakat semakin berubah tanggapan terhadap demonstrasi yang dulunya sering disalahfaham sebagai rusuhan. Ungkapan "demonstrasi" juga tidak wajar digandingkan dengan "aman", seolah-olah tanpa disusuli dengan istilah "aman", ia dianggap perhimpunan untuk mencetuskan "huru-hara" dan ini mengesahkan "kebebalan" Zam, si Menteri Penerangan itu, yang mahu meracuni penonton RTM bahawa demonstrasi mesti berakhir dengan keganasan. Sejarah panjang Umno-Perikatan-BN sendiri menunjukkan demonstrasi juga menjadi kaedah perjuangan politik mereka.

Semasa melintasi Jalan Raja Laut berdekatan simpang Dataran Merdeka, saya terlihat dua anak muda mengambil kanister gas pemedih mata yang bersepah-sepah di atas jalan. "Aku nak tunjukkan pada anak cucu nanti, kita menjadi saksi pada 10 November 2007, pihak polis bertindak kasar menyuraikan perhimpunan orang awam yang hanya menuntut pilihan raya bersih," seorang daripadanya bersuara agak keras, sambil berlari anak mencari tempat teduh dari hujan. Saya membisikkan kepada sahabat di sebelah, "tengok, belum berkahwin pun sudah bercakap soal anak cucu!"

Biar pun media cuba menggelapkan detik bersejarah itu daripada dikongsi oleh khalayak yang lebih luas, malah memberikan gambaran palsu, terutama tentang jumlah kehadiran, fenomena dunia siber dan kecanggihan teknologi komunikasi mudah menolak propaganda murahan itu. Wibawa pihak makin polis merudum apabila lagak dan kenyataan Tan Sri Musa Hassan tidak ubah seperti menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Media alternatif menjadi tumpuan

Pengunjung Harakahdaily misalnya meningkat berkali ganda, bermula tengahari Sabtu, memuncak sebelah petang dan malamnya, berlanjutan dua tiga hari selepas itu. Kami yang sejak awal menjangka demo itu menjadi tumpuan negara, mengerahkan hampir semua wartawan KL, dibantu beberapa wakil negeri yang turut hadir berdemonstrasi, untuk membuat liputan "secara langsung". Laman-laman web alternatif lain turut mendapat hits yang cukup tinggi, malah ada yang tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang meningkat mendadak.

Pemerintah boleh saja terus membohongi pembaca, pendengar dan penonton media tradisi, namun kebenaran makin sukar untuk disembunyikan. Isu-isu sensasi (tetapi palsu) seperti "sigah Kristian" dalam kempen pilihan raya 1990 yang menyebabkan impian Tengku Razaleigh Hamzah berkubur mungkin sukar untuk mempengaruhi pengundi lagi. Seolah-olah nampak senario baru ini memihak pembangkang; seolah-olah!

Selalunya dalam kempen sesingkat tujuh setengah hari, BN masih mampu "menyihirkan" pengundi dan rakyat hanya tersedar selepas kerajaan dapat dibentuk.Menggerakkan satu program besar seperti himpunan 10 Nov menuntut pengorbanan tinggi, kerja kuat dan perancangan sistematik.

PAS penggerak utama

Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, tidak jauh dari lokasi utama Imageperhimpinan, umpama bilik operasi, dan kombinasi semua aktivis terbabit, dalam jumlah yang besar, pasti membawa banyak manfaat bagi mempersiapkan pembangkang berdepan pilihan raya. Rasanya siapa saja berada dalam kelompok besar demonstran 10 Nov itu pasti akan mengakui sumbangan besar PAS bagi menjayakannya, terutama kejayaan menggembleng kekuatan akar umbi di negeri-negeri.

Sesungguhnya kali ini tiada kedengaran lagi suara sumbang mempersoalkan kewajaran demonstrasi perlu diangkat sebagai satu pendekatan strategik. Terbukti tidak berasas kebimbangan di peringkat awal bahawa ada aktivis memandang sepi ajakan menghadiri perhimpunan "yang tidak diasaskan pada isu-isu agama". Apakah hal sepenting pilihan raya adil dan bebas tidak dapat dikaitkan dengan tuntutan suci agama?

Sebenarnya, jika ada kesungguhan untuk mempengaruhi rakyat atas isu-isu Imageyang kita lihat penting dan mendesak, umpama tuntutan pilihan raya bersih ini, akhirnya mereka akan terpanggil juga. Apa lagi dengan tekanan hidup seharian yang boleh mendorong rakyat untuk menjadi lebih kritikal terhadap persekitaran.

"Momentum 10 Nov harus dikekalkan," kata seorang pemerhati. "Jangan tanya saya bagaimana caranya, tapi ia amat penting untuk menarik perhatian rakyat kepada isu-isu pokok yang selama ini membantut kemenangan pembangkang. Semangat hebat pendokong parti harus dikobarkan lagi." Dan saya hanya dapat mengangguk, mengiakan.

Polemik bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh, dan harus, campur tangan dalam politik dapat membawa perdebatan sihat yang memungkinkan rakyat kian terdedah dengan Perlembagaan, sistem imbangan kuasa dan sesekali mencuri pandang apa yang berlaku dalam kancah siasah luar negara.

Sekurang-kurangnya ia mendorong saya membuka kitab Perlembagaan, misalnya Perkara 114 (1) dan (2): "SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja ... Pada melantik ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

Tanpa keyakinan ramai, Pengerusi SPR boleh dipecat

Begitu tinggi martabat ahli-ahli SPR, sehingga mereka perlu sentiasa mendapat kepercayaan awam, sesuatu yang Perlembagaan tidak tekankan kepada jawatan lain yang tidak kurang pentingnya, termasuk perlantikan hakim-hakim. Himpunan 10 Nov jelas menunjukkan Pengerusi dan Setiausaha SPR tidak (pernah) mendapat keyakinan awam majoriti rakyat. Perdana Menteri sebagai ketua gabungan parti yang ber tanding dalam pilihan raya sudah tentu tidak dapat bersikap neutral ketika merumuskan apa-apa peraturan atau perjalanan pilihan raya. Mana mungkin seorang pemain bola misalnya, dilantik menjadi pengadil dalam permainan antara pasukannya dengan pihak lain?

Apakah barisan pembangkang dapat lakukan selepas ini jika kerajaan terus mengambil sikap "pekak-badak" dengan segala tuntutan Bersih itu? Apakah kita akan turun sekali lagi ke jalan-jalan bagi memastikan, kalaupun tidak semua tuntutan dipenuhi, hal-hal paling asas seperti empat tuntutan terpenting mesti dipenuhi? Soalnya, mampukah kita "bermain tarik-tali" dengan penguasa BN pada hal Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa dari sekarang?

Sewaktu "seterika masih panas", eloklah dipergiatkan usaha mendesak "dibersihkan" proses pilihan raya yang banyak cacat-celanya ini. Wajar dimanfaatkan keghairahan masyarakat yang didorong rasa ingin tahu terhadap kandungan tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong itu, sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tekanan lebih menyeluruh kepada Abdullah dan kerajaan pimpinannya.

Pertembungan Zam dengan agensi media antarabangsa berpengaruh, Al-Jazeera, berhubung laporan peristiwa 10 Nov boleh meletakkan kerajaan Abdullah dalam posisi mempertahankan diri, yang seterusnya menambahkan lagi "bebanan sakit kepala" Perdana Menteri selepas "terlepas kata" dalam majlis penutup persidangan Umno yang lalu. - lutfi_detik@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

Bersambung ....


‘Saya tahu tarikhnya’ -- Namun tidak dapat nyatakan bila pilihan raya diadakan – Ab. Rashid

Oleh Norizan Abdul Muhid

MELAKA 15 Nov. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

“Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila (tarikh) pilihan raya umum akan datang. Saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua pihak membuat persediaan,” katanya.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, beliau meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

‘‘Bila SPR sudah buat program taklimat seperti ini, harap-harap parti politik juga mula buat persediaan. Malah sebelum ini saya sudah banyak kali keluarkan amaran bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan pada bila-bila masa.

‘‘Apa yang saya boleh jamin, pilihan raya ke-12 nanti akan berjalan dengan telus dan adil tetapi jangan campur aduk dengan isu lain yang tidak berkaitan dengan bidang kuasa SPR,” katanya.

Rashid berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya umum ke-12 peringkat negeri Melaka di sini hari ini.

Taklimat itu antaranya berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Bermula di Melaka hari ini, SPR akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat serupa di setiap negeri.

Rashid berharap pilihan raya umum dapat diadakan selepas selesai SPR mengadakan semua taklimat itu yang dijangka mengambil masa selama sebulan setengah.

Pilihan raya umum ke-11 diadakan pada Mac 2004 dan bulan ini genap tiga tahun lapan bulan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat besar dalam pilihan raya tersebut. Mengikut peraturan pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai masa sehingga pertengahan 2009 sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Rashid, bekas Setiausaha SPR sebelum dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu, telah menguruskan enam kali pilihan raya umum.

Menurut beliau, pilihan raya di negara ini sentiasa dijalankan secara adil, bebas dan telus mengikut undang-undang sedia ada.

“Undang-undang yang sama masih terpakai sekarang dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan undang-undang itu, saya rasa patut mereka jangan salahkan SPR.

‘‘Mereka kena cari saluran untuk menentukan supaya pihak berwajib diyakinkan bahawa undang-undang itu patut dikaji,” jelasnya.

Beliau menambah, SPR sedia untuk berdialog dengan pihak yang menuduh kononnya SPR tidak adil, tidak bebas dan tidak telus.

Menurutnya, SPR sentiasa membuka pintu perbincangan dan forum terbuka kepada mereka yang tidak berpuas hati berkaitan fungsi dan tanggungjawab SPR.

‘‘Jangan ganggu kami, biar SPR jalankan kerja dan bebas mengendalikan pilihan raya nanti. Saya jamin pilihan raya umum ke-12 kelak akan berjalan dengan adil, telus dan bersih.

‘‘Bidang kuasa yang dihadkan kepada SPR hanya berkenaan dengan undang-undang pilihan raya. SPR hanya bergerak berdasarkan Perlembagaan sedia ada. Kalau ada yang tidak puas hati dengan undang-undang pilihan raya, mereka boleh cari saluran yang sesuai untuk kemukakan rasa tidak puas hati itu,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khidmatnya sebagai Pengerusi SPR yang berakhir Disember ini, Rashid berkata:

‘‘Saya dengar ada ura-ura perkhidmatan saya akan bersambung tetapi saya rasa lebih elok saya selesaikan tugas sehingga selesai pilihan raya ke-12.

“Rasanya tidak adil untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada pengganti baru.”

Malaysia bidas badan hak asasi manusia

PUTRAJAYA 15 Nov. – Malaysia hari ini membidas badan hak asasi manusia terutama di peringkat antarabangsa yang menuntut negara lain melakukan sesuatu tetapi hanya melihat sahaja perlanggaran hak asasi di negara sendiri.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, sepatutnya badan berkenaan melihat terlebih dahulu masalah yang berlaku di dalam negara mereka sebelum mengajar negara lain mengenai apa yang perlu dilakukan.

‘‘Saya tidak fikir badan hak asasi manusia negara lain patut beritahu negara lain apa yang perlu dilakukan. Saya fikir apabila mereka memberitahu supaya dilakukan sesuatu, maka berlaku pelbagai masalah di negara berkenaan.

“Apabila mereka berjaya membaikinya, barulah orang lain boleh belajar daripada mereka, tapi jangan beritahu kita apa yang perlu dilakukan kerana jika rakyat melanggar peraturan, mereka perlu berhadapan dengan akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Bosnia dan Herzegovina, Sven Alkalaj di sini, hari ini.

Alkalaj bersama beberapa pegawai dari kementeriannya berada di negara ini selama tiga hari mulai hari ini.

Klip video: Suruhanjaya Diraja mungkin ditubuh

Oleh Abdul Razak Raaff dan Irwan Shafrizan Ismail

KUALA LUMPUR: Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tidak menolak kemungkinan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan inkuiri berhubung kesahihan rakaman perbualan telefon yang didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.

Dr Rais yang juga seorang daripada tiga menteri yang ditugaskan memberi pandangan dari perspektif perundangan mengenai hasil laporan panel bebas khas yang menyiasat rakaman itu, mengesahkan beliau sudah menerima dan meneliti salinan laporan berkenaan.

"Menteri Kabinet lain juga sudah menerimanya dan masing-masing ada kerja yang perlu dilaksanakan... sampai masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan umumkan, jangan bimbang... tidak lama lagi.

"Saya sudah lihat video dan dengar suara yang dirakam... tapi tidak bolehlah bocorkan apa yang Kabinet bincangkan.

"Panel turut mencadangkan perkara itu (penubuhan Suruhanjaya Diraja). Perdana Menteri akan membuat pengesahan kemudian, tapi kecenderungan ke arah itu sudah jelas," katanya selepas melancarkan buku antologi cerpen Turunnya Sebuah Bendera, karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan panel bebas khas yang menyiasat mengenai kesahihan rakaman itu sepakat mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.

Panel yang ditubuhkan September lalu dan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, dilaporkan bersetuju supaya inkuiri diadakan terhadap dakwaan itu.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, sudah memberi taklimat kepada Kabinet mengenai kandungan laporan panel itu.

Nazri berkata, semua anggota Kabinet akan diminta memberi input masing-masing, manakala tiga menteri yang mempunyai latar belakang undang-undang diberi tugas untuk memberi pandangan dari perspektif perundangan.

Selain beliau dan Dr Rais, seorang lagi ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Rais berkata, kerajaan mungkin menimbang penubuhan suruhanjaya itu kerana panel bebas khas yang menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu, tidak disertai kuasa khusus.

"Kerajaan berpendirian telus dan akan memikirkan cara lain sekiranya usaha menerusi jawatankuasa atau panel khas tidak memadai," katanya.

Sementara itu, Nazri yang ditemui di lobi Parlimen semalam, berkata beliau serta Dr Rais dan Radzi tidak akan berjumpa bagi membincangkan pandangan masing-masing berhubung laporan panel itu.

Nazri berkata, mereka akan memberi pandangan dan cadangan secara berasingan untuk dikemukakan kepada jemaah menteri.

Katanya, semua anggota Kabinet akan diminta memberi input masing-masing berkaitan laporan berkenaan.

"Lebih baik mendapatkan maklum balas daripada 32 menteri berbanding tiga menteri," katanya.

Nazri berkata, beliau akan membaca dan menilai laporan panel khas itu ketika menghadiri mesyuarat Kesatuan Parlimen Asia di Tehran, Iran.

Beliau akan berlepas ke negara berkenaan Sabtu ini dan pulang untuk memberi pandangan dan maklum balas pada pagi Rabu depan.

Polis ambil keterangan tiga AJK Bersih

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Tiga ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini dipanggil untuk memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini berhubung demonstrasi haram yang diadakan di sini 10 November lalu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah; Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu dan Ahli Jawatankuasa Pas, Dr. Syed Azman Nawawi tiba di pekarangan pejabat Jabatan Jenayah Komersial kira-kira pukul 10.30 pagi bersama peguam masing-masing.

Kesemua mereka diambil keterangan selama hampir dua jam secara berasingan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah Komersial, Asisten Supritendan Amran Md. Jusin.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan.

'Pilihan raya semakin hampir'

Oleh Misiah Taib

SPR jangka selepas selesai sesi taklimat pegawai pengurus di seluruh negara

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka Pilihan Raya Umum ke-12 akan diadakan seawal-awalnya selepas sesi taklimat SPR di semua negeri berakhir satu bulan setengah lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata sesi taklimat untuk pegawai pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PPKPR) itu bermula di negeri ini semalam.

Beliau berkata, sesi taklimat di setiap negeri itu dijangka mengambil masa satu setengah bulan dan selepas itu pilihan raya mungkin diadakan.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya semakin hampir, beliau mengingatkan semua pihak supaya membuat persiapan mulai sekarang.

"Saya tak boleh nak bohong... saya tahu bila pilihan raya akan datang. Saya perlu adil kepada semua pihak, saya dah beri isyarat yang mencukupi... kalau SPR dah bersiap sedia macam sekarang, pihak yang berminat (menyertai pilihan raya) kena bersedia juga, kalau tidak akan ketinggalan.

"Ia bukan pilihan raya mengejut, sudah banyak isyarat dan amaran diberi supaya bersiap sedia. Saya beri jaminan bahawa pilihan raya kali ini akan dijalankan secara adil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan PPKPR Pilihan Raya Umum ke-12 di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohamed Noor; Timbalan Setiausaha, Noordin Che Ngah; dan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Dzulkifli Ab Rahman.

Beliau berkata, majlis taklimat di Melaka itu adalah yang pertama untuk Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan kebanyakannya pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, selain pegawai pendidikan daerah, jurutera daerah dan pegawai pertanian.

"Kebanyakannya adalah kakitangan awam kerana lebih mudah melatih mereka, selain mereka mempunyai organisasi besar yang boleh membantu melaksanakan tugas diamanahkan.

"Mereka yang dilantik dilarang sama sekali bersikap memihak, perlu adil dan saksama kepada semua pihak yang bertanding, sentiasa berkomunikasi dengan SPR serta tidak bertindak menolak sebarang kertas pencalonan kecuali selepas merujuk kepada SPR.

"Inilah sistem yang kita pakai selama ini dah 11 pilihan raya dan kita berjaya menjalankan pilihan raya dengan baik, telus, adil dan bebas," katanya.

Abdul Rashid juga membayangkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi SPR yang akan tamat akhir bulan depan akan dilanjutkan sehingga pilihan raya.

"Mungkin tempoh saya akan dilanjutkan untuk habiskan pilihan raya kali ini saja... tak adil nak serah tugas ini pada muka baru ketika pilihan raya semakin hampir. Bukan saya nak sangat terus duduk di sini, saya lama dah nak pergi, tapi demi untuk negara, saya teruskan khidmat saya," katanya.

Abdul Rashid cabar pihak dakwa SPR tidak telus

MELAKA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencabar pihak yang mendakwa badan itu sebagai tidak telus, tidak adil dan tidak bebas supaya membawa SPR ke mahkamah.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ialah pihak terbabit yang mempunyai kepentingan politik, hanya pandai bercakap tanpa sebarang bukti, sebab itu mereka tidak menggunakan forum sah untuk bersuara, sebaliknya memilih untuk mengadakan demonstrasi jalanan.

"Bila kita panggil mereka berdialog dengan SPR, tak pernah mereka bangkitkan isu tak adil, tak telus, tak bebas. Itu semua klise, tanpa makna. Bila kita tanya apa yang tak adil, tak telus dan tak bebas... mereka hanya ternganga.

"Mereka hanya mempolitikkan kata-kata. Saya dah banyak kali minta bukti daripada mereka, tapi mereka tak dapat tampil dengan bukti. Mereka cuma bermain dengan kata-kata... klise semata-mata.

"SPR sentiasa bekerja dalam kerangka undang-undang yang diwujudkan. Undang-undang tak pernah berubah, cuma proses yang dipinda untuk meningkatkan lagi kecekapan proses pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) Pilihan Raya Umum ke-12 Negeri Melaka, di sini, semalam.

Beliau memilih majlis taklimat pertama untuk negeri itu sebagai medan untuk buat pertama kalinya menjawab dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) yang mengadakan perhimpunan haram dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sabtu lalu.

Abdul Rashid berkata, sejak beberapa hari lalu media asyik memburu beliau susulan tindakan menghantar memorandum berkenaan sehingga beliau tak senang hendak tidur.