Tuesday, November 06, 2007

Perhimpunan Agung Umno 2007 : Bidas Azalina cabar Rafidah, Wanita Umno amal kuku besi?

Azamin Amin
Tue | Nov 06, 07 | 1:09:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh)- Wanita Umno dilihat seolah-olah mengamalkan sikap 'kuku besi' dan tidak mempraktikkan sistem demokrasi yang membenarkan pertandingan jawatan apabila perbahasan hari ini menyaksikan betapa pemilihan jawatan Ketua Wanitanya itu seperti 'dihalang' daripada dicabar dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

Dilaporkan sebelum ini jawatan 'panas' itu bakal dipertandingkan dan Dato' Azalina Othman menjadi antara calon awalnya yang mencabar dan turut disokong oleh Umno Cheras sebelum ini.

Bagaimanapun sewaktu sesi usul pagi tadi, seorang perwakilan berasal Kelantan yang dikenali sebagai Ustazah Zaleha membidas dan menyelar pihak yang mencabar Ketua Wanita Umno yang disandang oleh Dato' Seri Rafidah Aziz malah menganggap pertandingan tersebut akan menyebabkan perpecahan dalam parti khususnya sayap kanan Umno tersebut.

Beliau yang kesal dengan pertembungan 'kuasa' itu turut menunjukkan sebuah akhbar tabloid yang diedarkan secara meluas kepada perwakilan dengan tajuk 'Azalina cabar Rafidah' yang bakal mengundang perpecahan dan suasana tidak sihat dalam Umno.

Ketika ditanya Pengerusi Wanita Umno Dato' Napsiah Omar, siapakah pihak yang mengedarkan akhbar tersebut, beliau menjawab :"Adalah...yang edar. Tengok tu...bawah kerusi pun ada."

"Sudah 15 thun saya tak berucap...saya beritahu Rafidah saya nak berucap," katanya yang dilihat tidak senang dengan tindakan Azalina mencabar ketuanya itu.

"Berpuluh tahun kita bina dan betapa susah payah kita bangun...nak runtuh hanya dalam sehari sahaja.Saya tidak rela Wanita ini 'dinodai' yang akan menyebabkan kita boleh runtuh," ucapnya sambil memandang kepada Rafidah yang berada di atas pentas.

Beberapa pemerhati berpendapat, ucapan perwakilan ini merupakan satu 'signal' kepada para perwakilan Wanita untuk terus 'menjulang' Rafidah sekali lagi yang umum telah mengetahui mempunyai pelbagai kepincangan selama berkhidmat dan menjadi menteri kabinet dan sebagai 'tamparan hebat' kepada Azalina supaya tidak 'menjolok sarang tebuan' ataupun mengusik wanita yng dikenali sebagai 'Iron Lady' itu.

Tindakan ini juga dilihat,bahwa Wanita Umno gentar dengan pemilihan jawatan yang sering kali mengundang 'padah' dan menyebabkan perpecahan di kalangan ahli sehingga wujud 'team' tertentu berbanding dengan parti lawan seperti PAS yang tidak pernah menghadapi masalah sungguhpun jawatan tertinggi dipertandingkan.

Pemerhati juga berpendapat, tradisi Umno yang mengamalkan 'sikap kuku besi' masih dipertahankan sehingga kini dan bukan sahaja melibatkan jawatan di dalam Wanita Umno sahaja malah apa jua jawatan tertinggi dalam parti tersebut terutama jawatan Ketua Pemuda Umno, Presiden dan Timbalannya yang sering 'dihalang' daripada dipertandingkan.

Dalam ucapan perwakilan ini jugakerapa memetik ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang amanh yang dipikul dan wajar menjadi tangugunjawab wanita untuk melaksanakannya.

Sebelum itu, beliau turut mengesyorkan supaya jawatan Hakim Mahkamah Syariah diserahkan kepada kaum wanita tetapi hanya tertumpu kepada pengkhususan Kekeluargaan sahaja bukannya dalam bidang Hudud dan Qisas.

Menariknya wanita ini turut secara sinis mengungkap:"wanita tidak suka merebut-rebut jawatan. Wanita ini kerja dengan penuh ikhlas dan tak suka rebut-rebut projek," katanya yang dilihat seolah-olah secara tajam menyindir kaum lelaki di dalam Umno yang sering 'bergelumang' dengan budaya tidak sihat itu.

"Muslimat PAS kata kita macam-macam dan membuat pelbagai tohmah. Tetapi Wanita Umno sentiasa tulus, kudus dan suci dalam perjuangannya," katanya. - mks.

Pemuda wajib hadir perhimpunan rakyat Sabtu ini, kata Salahuddin

Saidah Hairan
Tue | Nov 06, 07 | 12:25:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata; "Siapa yang mengaku menjadi ahli Pemuda PAS, wajib hadir dalam perhimpunan aman menuntut pilihan raya yang adil, Sabtu ini."

Beliau membuat arahan khas kepada ahli Pemuda seluruh negara supaya menyertai perhimpunan aman itu bagi memberi kesedaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan menjalankan pilihan raya secara telus.

Perhimpuanan aman anjuran (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu 10 November ini, bermula jam 3 petang.

Beliau mengingatkan ahli Pemuda PAS seluruh negara, kehadiran dalam perhimpunan aman itu amat penting jika mereka benar-benar ahli Pemuda PAS dan mahu meneruskan perjuangan dalam Islam.

"Buktikan yang kita cintakan keadilan serta keamanan," tegasnya.

Menurut beliau, jika sami-sami Buddha di Burma (Myanmar) sanggup berdemonstrasi di jalan raya untuk menuntut keadilan tidak ada sebab bagi Pemuda PAS tidak hadir dalam perhimpunan aman itu.

Beliau mengingatkan Pemuda seluruh negara supaya berani dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan halangan dan tidak perlu gentar amaran atau ugutan daripada pihak polis.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan seluruh Pemuda PAS supaya tidak melakukan sebarang provokasi dan mematuhi segala arahan daripada pihak pimpinan. - lanh


Ketua Muslimat minta hadiahkan sekuntum bunga kepada setiap polis

Saidah Hairan
Tue | Nov 06, 07 | 12:05:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh meminta Muslimat seluruh negara membawa sekuntum bunga seorang untuk dihadiahkan kepada setiap anggota polis pada perhimpunan aman Sabtu ini (Himpunan 100,000 Rakyat).

Ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang sedia berkorban menjaga keselamatan peserta, katanya.

Beliau mengingatkan Muslimat tidak takut dan gentar hadir, memberi sokongan kepada gerakan rakyat melalui perhimpunan itu.

Perhimpunan aman anjuran Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini, mulai jam 3 petang.

Dalam perhimpunan aman itu, beliau berharap anggota polis tidak mengikut telunjuk pihak atasan seperti membuat provokasi sebaliknya memberi peluang kepada rakyat menuntut hak asasi mereka secara aman.

"Saya amat berharap pihak polis supaya tidak membuat sebarang provokasi dalam perhimpuanan tersebut agar matlamat perhimpuan itu akan tercapai," tegasnya.

Beliau mengingatkan Muslimat bahawa sokongan padu daripada mereka amat penting bagi mengembalikan demokrasi sebenar di Malaysia.

"Tanpa usaha dan perjuangan yang bersungguh-sungguh daripada Muslimat, negara kita yang disayangi ini akan terus dibelenggu kezaliman Umno/BN dan kuncu-kuncunya," tegas beliau.

Menurut beliau, perjuangan PAS bukan untuk zaman sekarang sahaja tetapi adalah untuk survival anak serta cucu-cicit.

Justeru, katanya, sebagai tanda kasih pada diri sendiri, keluarga dan keturunan, rakyat diminta sama-sama turun ke jalan raya secara aman pada tarikh tersebut.

Beliau meminta para suami atau ketua keluarga supaya memberi kerjasama dan kebenaran terhadap isteri masing-masing untuk hadir pada perhimpunan itu.

"Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud; 'Lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dengan menyeru berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran'," katanya. - lanh


Himpunan 10 Nov: Apa hak anda bila berdepan dengan polis? (Siri IV)

Saari Sungib
Tue | Nov 06, 07 | 11:47:37 am MYT

Kehadiran segera isteri, anak, ahli keluarga, rakan-rakan dan peguam di luar balai polis di mana saudara ditahan boleh membantu agar saudara dibebaskan segera oleh polis.

Namun, jika pihak polis membuat keputusan untuk terus menahan saudara, saudara mesti tahu bahawa:

* Saudara mesti dimasukkan ke lokap tidak lewat dari dari pukul 6:30 petang dan berada sehingga pukul 6:30 pagi. (kecuali dalam kes-kes kecemasan seperti bagi mendapatkan rawatan perubatan).

* Saudara boleh minta agar saudara terus memakai pakaian saudara tanpa diarahkan untuk menukar kepada pakaian lokap.

* Sekiranya saudara diarahkan juga memakai pakaian lokap serta diberikan sepasang seluar pendek dan saudara tidak suka memakai seluar pendek, minta polis membekalkan saudara dengan sepasang seluar panjang.

* Saudara juga boleh meminta kain pelikat atau pakaian yang sesuai untuk sembahyang jika saudara beragama Islam atau apa-apa pakaian ibadat lain jika saudara penganut agama lain.

* Jika saudara tahu di balai tersebut ada sebuah surau yang selesa, minta polis membawa saudara untuk bersembahyang di surau setiap waktu solat.

* Maklumkan kepada pegawai yang bertanggungjawab di balai atau polis yang bertugas keadaan kesihatan saudara serta keperluan ubat-ubatan saudara.

* Minta polis membekalkan ubat-ubat yang saudara perlukan dengan segera.

* Semasa berada dalam lokap, sekali lagi saudara tidak perlu menjawab sebarang soalan yang dikemukakan oleh pihak polis.

* Jika ada polis 'berbudi bahasa' yang mengajak saudara bersembang-sembang, lebih baik saudara tidak layan sahaja polis tersebut.

* Jika saudara ditahan bersama-sama dengan tahanan lain dalam bilangan yang ramai, ingat segala kerenah dan keadaan buruk, kecoh dan haru-biru yang saudara lalui. Laporkan keadaan lokap seperti itu kepada peguam saudara sebaik sahaja saudara berpeluang bertemu dengan mereka.

* Sepanjang saudara berada dalam lokap, polis tidak berhak untuk menyakiti saudara termasuk mengeluarkan kata-kata kesat mahupun sindiran terhadap saudara. Saudara juga tidak boleh dilayan secara buruk ataupun dinafikan hak untuk mendapat makanan, minuman dan rehat yang secukupnya. Hak saudara untuk menjalankan ibadat menurut agama masing-masing juga tidak boleh dinafikan. Jika ini berlaku, laporkan kepada peguam saudara sebaik sahaja saudara berpeluang bertemu dengan mereka.

* Polis hanya boleh menahan saudara selama 24 jam dari masa saudara ditangkap di dalam lokap tanpa perintah reman daripada majistret (kecuali penahanan ISA)

* Bagi penahanan ISA, seorang Inspektor boleh menahan seseorang selama 24 jam, seorang ASP selama 48 jam dan seorang DSP selama 30 hari. Tiada rujukan kepada majistret dalam penahanan ISA (namun, keluarga tahanan mesti mengemukakan writ habeas corpus kepada mahkamah)

* Dalam kes selain ISA, polis MESTI membuat permohonan reman daripada majistret di mana majistret boleh membenarkan sejumlah maksimum 14 hari untuk tahanan reman (tidak termasuk masa perjalanan yang munasabah).

* Semasa dibawa ke majistret, saudara MESTI gunakan kesempatan untuk memberitahu kepada peguam saudara dan majistret jika saudara dikasari, dilayan dengan buruk, diludah, dimaki, ditengking, disindir, diarah ketuk ketampi atau dipaksa berbogel sepanjang berada selama 24 jam di bawah tahanan polis! Jangan kasi can!

* Semasa dihadapkan ke majistret juga saudara boleh menyatakan keadaan kesihatan saudara. Jika saudara perlu berjumpa doktor, buat permohonan jumpa doktor di hadapan majistret. Kalau saudara takut atau cemas atau berada dalam keadaan tekanan mental dan emosi yang tinggi kerana berada dalam lokap polis, nyatakan juga perkara ini kepada peguam saudara dan majistret.

Bila ada peluang bercakap di depan majistret, cakap jangan tak cakap. Jangan takut! (Bersambung)


Mohammad Hassan MB pilihan Khairy yang gagal kata Badrul Hisham

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 8:37:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Masih teringat lagi antara isi kempen hebat kem Barisan Nasional/Umno pada Pilihan Raya 2004 di Dun Rantau ialah 'Harus undi calon BN Rantau (Dato' Mohammad Hassan) kerana beliau akan diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan' dan pengalaman korporat beliau akan memacu ekonomi Negeri Sembilan.

"Beliau tidak akan rasuah kerana memang sudah kaya raya dan pentadbiran kerajaan negeri akan berimej korporat yang cekap!," memetik kempen Pilihan Raya Umno Dun Rantau di mana ketika itu Dato' Mohamad Hassab (kini Menteri Besar) menentang calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin.

Kini setelah lebih dua tahun tahun lebih terbukti semua hujah tersebut palsu dan hanya retorik, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin.

Malah kem Barisan Nasional (BN)/Umno Negeri Sembilan juga semakin kucar-kacir di bawah Mohamad yang sangat lemah, katanya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Contoh paling hampir ialah ketika Mohamad mengumumkan kononnya Negeri Sembilan terima pelaburan RM1.56 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sekaligus melepasi sasaran RM1 bilion setahun yang ditetapkan kerajaan negeri, katanya.

Banyak kilang tutup

Malangnya dalam masa yang sama beberapa kilang tutup dan mengalihkan pelaburan ke luar negara, ujarnya.

Terbaru difahamkan, kilang pembuat tilam Dunlopillo di Senawang akan ditutup dan operasinya akan berpindah ke Vietnam, katanya.

Sementara beberapa agensi kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengalami krisis yang teruk dengan bebanan hutang, katanya.

PBT di Negeri Sembilan telah mengumpulkan tunggakan hutang sebanyak RM17 juta kepada Southern Waste Management (SWM) dan berikutan hutang tersebut mengakibatkan operasi SWM tertangguh dan mengancam kebajikan pekerja-pekerjanya, kata Badrul Hisham.

JBANS tenat

Selain itu, Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) juga sedang mengalami krisis kewangan yang teruk kerana beroperasi dengan tidak efisyen dan gagal memungut tunggakan dengan 'pengguna-pengguna' komersial, dakwanya.

"Tindakan hanya ditumpukan kepada pengguna domestik kecil seperti kita.Krisis kewangan di JBANS ialah kerana kelemahan pengurusan. Antara punca kerugian JBANS ialah kadar kehilangan air yang tinggi," katanya.

Ia berlaku bukan kerana kecurian air domestik tetapi kecurian air oleh pengguna kormesial, penggunaan bahan penyaluran air yang tidak berkualiti (kerana amalan korupsi) dan kegagalan menyediakan pasukan bertindak yang cekap, ujarnya.

Di Taman Bukit Chedang (Fasa dua) contohnya sebuah rumah telah banyak kali membuat aduan mengenai paip bocor sebelum meter berhampiran dengan rumahnya, katanya.

Melalui aduan suri rumah ini kepada Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan menyatakan JBANS meminta pengadu tidak bimbang kerana kebocoran sebelum meter dan tuan rumah tidak terlibat membayar kos air yang bocor, katanya.

Sehingga kini kebocoran telah berlanjutan selama lebih tiga bulan dan setiap saat wang rakyat tercurah ke longkang bersama air yang bocor.

Mohammad Hassan bebankan rakyat

Telah terbukti Mohamad tidak punya idea untuk menyelesaikan masalah krisis kewangan ini kecuali dengan membebankan rakyat semula, katanya.

Majlis Perbandaran Nilai pada 2006 contohnya telah menaikkan 85.19 peratus cukai taksiran dan cukai tanah di Jempol pernah mencatatkan kenaikan lebih 400 peratus, katanya.

Mohamad bukan sahaja gagal memperbaiki keadaan Negeri Sembilan malah kelemahan beliau telah membuka ruang krisis, amalan korupsi dan pembaziran yang melampau, ujarnya.

Melihat sedikit sejarah kemunculan Mohamad secara bidan terjun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau sendiri begitu asing dalam dunia pentadbiran dan pengurusan kerajaan malah dalam Umno itu sendiri, kata Badrul Hisham.

Beliau muncul kerana kejayaan beliau menyakinkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (menantu Perdana Menteri) bahawa beliau mampu menjaga kepentingan politik dan ekonomi kem Abdullah, katanya. - mks.


Najib perlekehkan Khairy?

Murtadza Ibrahim
Tue | Nov 06, 07 | 5:59:49 am MYT

Selaku Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak bijak mengelakkan provokasi yang dilakukan oleh wartawan Berita Minggu (4 November 2007) baru-baru ini.

Wartawan akhbar ini bertalu-talu bertanyakan soalan adanya generasi muda Umno yang mahu cepat naik di dalam politik. Najib bijak dan mengelak dari provokasi soalan tersebut. Akhirnya dia hanya menyebut:-

"Sebab itu yang saya kata tadi, biar kita faham realiti politik, tahu bawa diri dan kita mesti ada kebijaksanaan. Walaupun kita muda, tidak semestinya kita berfikiran macam orang muda tetapi kita mesti ada kematangan cara berfikir dan bertindak. Mereka kena belajar dan terus belajar menimba pengamalan berpolitik."

Itulah Najib. Dia yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia tidak mudah terperangkap dengan soalan provokasi lebih-lebih lagi di akhbar yang mungkin dikuasai oleh menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin.

Sama ada wartawan ini mendapat arahan halus untuk mengenal hati budi Najib ataupun mereka sememangnya mempunyai 'keberanian' mempersoalkan dan 'memperlekeh' sikap sesetengah Pemuda Umno yang mahu cepat naik ke atas politik.

Jika di lihat kepada persoalan yang dikemukakan, akhbar ini mahu melihat skop yang lebih luas perbezaan politik antara golongan tua dan golongan muda di dalam Umno.

Mereka cuba melihat skop dari cawangan, bahagian dan kepimpinan Umno pusat. Tetapi dari sudut yang tersirat, ia lebih dilihat fokus kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang sanggup menggunakan 'perlindungan' bapa mentuanya untuk naik ke atas.

Khairy dilihat seolah-olah cuba 'menolak' Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein agar dia dapat memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam Pemilihan Pemuda sebaik sahaja selesainya pilihan raya umum kelak.

Secara tersirat juga Khairy mahu melihat sejauhmana pandangan Najib terhadap dirinya walaupun dia tahu Najib tidak pernah memperkatakan sesuatu terhadap tindak tanduknya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini terutama secara terbuka di khalayak umum seperti di dalam akhbar harian dan elektronik.

Khairy tahu, jika melihat situasi yang ada,Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan suatu ketika nanti untuk memberi 'laluan' kepada Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri dan bagaimana pandangan politik Najib jika dia menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno kelak.

Sama ada soalan provokasi ini dirancang secara halus atau tidak, Khairy tidak perlu risau dengan pandangan Najib terhadap dirinya. Tidak mungkin Abdullah tidak memberikan Khairy tempat sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun dalam pilihan raya umum akan datang.

Tidak mustahil, Abdullah akan memberikan jawatan 'Senator' jika Khairy tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun.

Untuk menyelamatkan karier politik menantunya, Abdullah sendiri akan memberikan jawatan di dalam kabinet samada sebagai Menteri Penuh mahupun Timbalan Menteri.

Abdullah perlu bertindak demikian kerana itu berulangkali dia menyebut mahu kekal lagi sebagai Presiden Umno mahupun Perdana Menteri Malaysia. Amat mustahil Abdullah membiarkan Khairy terkapai-kapai di dalam politik sekadar Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada masa akan datang.

Khairy merasakan dirinya perlu cepat untuk naik ke atas semasa Abdullah berada di dalam kemuncaknya. Dia tidak mahu situasi merangkak, bertatih dan berjalan terlebih dahulu kerana ia boleh merosakan cita-cita politiknya untuk naik ke atas.

Dia perlu cepat dan pantas mengambil segala ruang yang ada untuk merubah sesuatu yang baru di dalam Umno. Khairy kini tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Dalam Perhimpunan Agung Umno 2007 ini, dia telah menyiapkan diri untuk meraih sebanyak mungkin publisiti agar orang memperkatakan mengenai dirinya. Inilah mungkin persiapan yang paling hebat kerana Perhimpunan Agung Umno 2007 adalah kali terakhir bagi orang-orang tertentu sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Khairy tidak perlu gusar pandangan Najib terhadap dirinya. Khairy juga tidak perlu takut jika Najib berpandangan negatif terhadap dirinya.

Khairy akan sentiasa selamat selagi Abdullah memegang jawatan Presiden Umno. Harapan Khairy untuk naik ke atas sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno sudah tidak menjadi halangan lagi.

Bagaimanapun Khairy perlu ingat, daripada 11 orang Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, hanya tiga orang yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda ini. Mereka adalah Najib, Hishamudin dan Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz. Bagaimanapun status Nazri sebagai Ketua adalah sebagai Pemangku apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik diminta melepaskan jawatannya kerana skandal. - mks.

Minda 'stereotype' Abdullah yang mengecewakan

Ruhanie Ahmad
Tue | Nov 06, 07 | 5:46:40 am MYT

Sempena Perhimpunan Agung Umno 2007, Dato' Seri Abdullah Ahmad memberikan peluang kepada Mingguan Malaysia (MM) menginterbiu beliau secara panjang lebar mengenai pelbagai isu, termasuklah soal koridor pembangunan yang ghairah dilancarkan kebelakangan ini.

Wawancara tersebut yang tersiar dalam MM 4 November 2007, pasti bertujuan memberikan kefahaman mendalam kepada para perwakilan perhimpunan Umno 2007 mengenai isu-isu besar. Ia juga pastinya bertujuan meredakan kemungkinan rasa tidak puas hati sesetengah perwakilan terhadap apa yang sedang berlaku mutakhir ini.

Sebagai anak Johor yang prihatin terhadap kedaulatan bumi Johor Darul Takzim - dulu, kini dan selamanya - saya kecewa dengan jawapan Abdullah mengenai isu koridor ini.

Minda 'stereotype'

Setelah membaca jawapan Abdullah secara menyeluruh dan teliti, saya dapati jawapan beliau menimbulkan satu 'stereotype' keadaan dan generalisation minda seperti berikut:

Bahawa seluruh kawasan koridor Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak mempunyai latar belakang political economy yang serupa.

Bahawa seluruh kawasan koridor terbabit mempunyai masalah dan faktor strategik yang sama. Bahawa seluruh kawasan koridor berkenaan bersempadankan hakikat geopolitik yang sama. Adenda Melayu?

Berasaskan stereotype dan generalisation seperti ini, Abdullah pun menegaskan bahawa koridor-koridor berkenaan mendatangkan manfaat seperti berikut:

Memberikan peluang kepada perkembangan modal insan dan ilmu pengetahuan.

Memperluaskan lagi peluang memperoleh pendapatan tambahan, pendapatan baru.

Penduduk di kawasan tersebut yang majoritinya Melayu (dan Bumiputera) akan turut ditingkatkan (ekonomi dan mutu hidupnya).

Secara tidak langsung, pembangunan (koridor) ini sesuai dengan agenda Melayu.

WPI Berbeza

Daripada intisari jawapan seperti di atas, Abdullah seolah-olah mahu menenggelamkan hakikat bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor adalah amat berbeza dengan lain-lain koridor.

Kalau koridor Utara, Timur, Sabah dan Sarawak adalah di dalam kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera, kawasan rural-based dan kawasan agricultural-based, WPI tidak sepenuhnya rural-based atau agricultural-based.

WPI merangkumi beberapa kawasan membangun - beberapa estet perindustrian, berpuluh-puluh taman perumahan dan kampung tradisional, satu lapangan terbang dan dua pelabuhan besar.

Koridor Utara, Timur, Sabah dan Sarawak tidak menghadapi soal kedaulatan negara kerana kesemuanya tidak mengambilkira perkembangan di negara-negara asing yang terdekat.

Kedaulatan Negara

Tetapi, WPI membabitkan Singapura, sebuah negara asing yang sangat-sangat laparkan tanah dan memang sentiasa mencari kesempatan untuk meluaskan sifera politik dan ekonominya ke Malaysia. Sebab itulah, sepatah kata Abdullah sendiri, WPI adalah Shenzen kepada Singapura yang bertaraf seperti Hongkong di Negeri China.

Wilayah-wilayah koridor lain tidak membabitkan soal trans-border movement atau pergerakan melintasi sempadan.

Di WPI, Abdullah sampai tergamak menyatakan pada peringkat awalnya, bahawa orang dari Singapura tak perlu menggunakan apa-apa dokumen perjalanan untuk ke WPI. [Kenyataan dasar ini ditentang keras oleh rakyat Malaysia dan kini sudah pun diperbaiki.]

Tidak seperti WPI, lain-lain wilayah pembangunan tidak bersempadankan sebuah negara satelit Amerika Syarikat yang jadi pengkalan zionis terbesar di Asia Tenggara dan yang menjadikan Israel sebagai penasihat keselamatan dan pertahanannya.

Super Bridge

Tidak seperti lain-lainnya, di WPI telah diwujudkan satu jawatankuasa peringkat menteri Malaysia-Singapura untuk menasihati soal-soal pembangunan WPI.

Di WPI sudah diura-ura akan dibina sebuah jambatan besar atau super bridge kononnya untuk memudahkan lagi mobiliti duahala Malaysia-Singapura.

Perkara yang dikatakan ura-ura ini sebenarnya sudah pun diperincikan di Singapura beberapa bulan lalu. Satu peta mengenai cadangan super bridge ini juga sudah diedarkan kepada banyak pihak yang berminat.

Mungkinkah Abdullah akan menyetujui pembinaan super bridge seperti ini? Tidak mungkinkah di sebalik super bridge itu akan digandingkan juga agenda pertahanan dan ketenteraan Singapura yang ketulusannya terhadap Malaysia mesti sentiasa diragui?

Oleh itu, berasaskan jawapan Abdullah dalam MM 4 November 2007, adakah pembangunan WPI menepati agenda Melayu atau agenda nasional, khusus sekali dalam konteks kedaulatan, keselamatan dan pertahanan negara kita?

Saya tidak mahu menyenaraikan perincian mengenai banyak lagi perbezaan WPI dengan lain-lain koridor di seluruh negara. Saya juga tidak mahu menafikan bahawa koridor-koridor yang akan dibangunkan, melainkan WPI, pasti akan memberikan manfaat kepada Melayu dan Bumiputera.

Bagaimanapun, saya tetap mempersoalkan rasional kerajaan membangunkan WPI yang kini menimbulkan persepsi umum yang amat negatif.

Turut Berdosa?

Saya tidak anti-pembangunan. Tetapi, saya tetap sinis dengan matlamat sebenar di sebalik WPI. Adakah ianya benar-benar selaras dengan agenda Melayu dan agenda nasional?

Maka, kalau Abdullah boleh berkata, berdosalah beliau kalau pembangunan seluruh koridor di bawah rejim pentadbirannya meminggirkan Melayu dan Bumiputera, saya juga akan berdosa kalau tidak bertanya kepada Abdullah, apakah kerajaan pimpinannya telah meneliti seluruh aspek kedaulatan, keselamatan dan pertahanan negara ini dengan semasak-masaknya, sewaktu WPI digubal oleh pihak Khazanah Nasional, di mana ketua pakar ekonominya juga dikatakan adalah warganegara Singapura?

Lantas, adakah Abdullah akan terdorong untuk secara ikhlas menjelaskan kepada rakyat jelata bahawa WPI adalah lain daripada semua koridor yang akan dibangunkan di negara kita?

Polis Pakistan pukul peguam sertai protes



KENA TAHAN: Polis bersenjatakan rotan menahan seorang peguam di luar bangunan Mahkamah Tinggi Sindh, semalam.

Aktivis, pembangkang bantah isytihar darurat jadi sasaran

ISLAMABAD: Polis Pakistan melepaskan gas pemedih mata dan kayu belantan ke atas kumpulan peguam yang mengadakan tunjuk perasaan pada hari kedua itu sebagai membantah tindakan Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat serta penahanan beratus-ratus aktivis, pembangkang dan peguam sejak malam Sabtu lalu.

Edisi internet akhbar Daily Times melaporkan 14 hakim Mahkamah Agung yang enggan mengangkat sumpah di depan Musharraf Sabtu lalu, kini ditahan di kediaman mereka. Ini termasuk bekas Ketua Hakim, Iftikhar Chaudhry yang menjadi simbol tentangan Musharraf selepas membantah penggantungan tugasnya, Mac lalu sebelum dilantik semula.


Musharraf memberi alasan ancaman militan dan campur tangan badan kehakiman dalam urusan kerajaan sebagai punca beliau terpaksa mengisytiharkan darurat dan menggantung Perlembagaan.

Malah, semalam, Musharraf bertindak menolak khabar angin kononnya beliau sudah dikenakan tahanan rumah.

"Ini satu jenaka besar," katanya kepada agensi berita Reuters dari kediamannya di Islamabad, selepas menemui lebih 80 diplomat asing bagi menjelaskan keputusannya.

PENENTANGAN TERBUKA: Peguam wanita turut membantah pemerintahan darurat di Peshawar.

Musharraf juga dijadual bermain tenis, lewat petang semalam ketika keadaan di luar tembok Istana Presiden sebaliknya diselubungi kekacauan.

Ini termasuk kejadian anggota polis menggunakan kayu belantan, membelasah berpuluh-puluh peguam di luar Mahkamah Tinggi di Karachi.

Di LAHORE, anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke atas peguam di bandar Lahore selepas mereka menyerbu pejabat Ketua Hakim Punjab yang menyebelahi kerajaan.

Polis turut menahan 200 peguam di Lahore dan berpuluh-puluh lain di Karachi.

"Kami tidak gentar dengan penahanan ini. Kami akan meneruskan perjuangan ini biar dalam apa keadaan pun," kata peguam Karachi, Abdul Hafeez.

Laporan penahanan ramai peguam itu dibuat ketika parti pembangkang Islam, Jamaat-e-Islami pula mendakwa pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya 700 penyokongnya di wilayah selatan dan tengah Pakistan, kelmarin.

Polis sudah menahan 500 aktivis pembangkang dan penentang kerajaan yang disifatkan Islamabad sebagai langkah mengawal keadaan.

Sementara itu, dunia termasuk sekutu utamanya, Amerika Syarikat terus menyelar tindakan Musharraf dan menggesa Pakistan kembali kepada pemerintahan awamnya.

Pasaran saham Pakistan susut 4.7 peratus semalam yang mengulangi kerugian dialami sejak seminggu lalu.

Kalangan peguam, wartawan, pemimpin pembangkang dan rakyat biasa pula yakin motif utama Musharraf mengisytiharkan darurat adalah sebagai tindakan awal sebelum keputusan Mahkamah Agung membatalkan kemenangannya dalam pilihan raya Presiden, bulan lalu.

Mahkamah itu sepatutnya bersidang hari ini bagi menentukan kesahihan kemenangan Musharraf yang bertanding ketika masih bergelar Panglima Tentera.

Pakistan dibentuk pada 1947 selepas penjajahan Britain dan tempoh 60 tahun pemerintahannya dikuasai jeneral tentera. � Reuters

PBB, AS kecam penahanan hakim

GENEVA: Ketua badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Louise Arbour mengecam perisytiharan darurat di Pakistan dan penahanan hakim dan tokoh politik.

"Perisytiharan darurat hanya patut diguna dalam menangani ancaman keselamatan yang meruncing bukan untuk menjejas kewibawaan dan kebebasan kehakiman," kata pesuruhjaya tinggi hak asasi PBB itu dalam satu kenyataan.

Arbour menyatakan kebimbangannya terhadap laporan beberapa hakim utama, peguam dan aktivis politik ditahan atau diletakkan di bawah tahanan kediaman, termasuk utusan khas PBB berhubung kebebasan beragama dan kepercayaan, Asma Jahangir.

Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat Sabtu lalu dengan menyatakan ancaman militan dan kehakiman yang campur tangan dengan urusan kerajaan sebagai alasan bagi mengeluarkan perintah itu.

Perisytiharan darurat itu dibuat beberapa hari sebelum Hakim Mahkamah Agung sepatutnya dijadual bersidang hari ini berhubung kesahihan pemilihan Musharraf sebagai presiden.

Arbour berkata beliau agak terganggu dengan penggantungan hak asasi di bawah perintah darurat.

Di bawah undang-undang antarabangsa, hak kepada kehidupan, larangan terhadap tahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan layanan kejam dan tidak berperi kemanusiaan tidak boleh ditarik balik, walaupun dalam keadaan darurat, katanya.

Ketua hak asasi PBB itu menggesa pihak berkuasa Pakistan menjelaskan kedudukan mereka yang ditahan dan menjamin tidak ada siapa yang ditahan semata-mata kerana menggunakan secara aman hak politik mereka.

Sementara itu di BEIJING, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates mendesak Musharraf mengembalikan negaranya kepada demokrasi berperlembagaan.

"Kami mendesak Musharraf kembali kepada pemerintahan berlandaskan undang-undang, perlembagaan dan demokrasi secepat mungkin," kata Gates kepada wartawan.

Beliau berkata perisytiharan darurat dan penggantungan perlembagaan adalah perkembangan yang membimbangkan.

Seorang jurucakap Pentagon yang mengiringi Gates berkata Washington menggantung perbincangan pertahanan tahunan dengan Pakistan berikutan pergolakan di negara Asia Selatan berkenaan.

Bagaimanapun, Gates menjelaskan langkah Amerika itu tidak menjejaskan usaha memerangi keganasan Washington.

"Kami sedang menyemak semula semua bantuan yang diberi kepada Pakistan sebelum ini tetapi kami tetap mengambil kira ia tidak akan menjejaskan usaha memerangi keganasan di rantau Asia," kata Gates. � AFP

Peguam, polis bertempur -- * 350 peguam ditahan * Indeks saham Pakistan jatuh


Polis antirusuhan bertempur dengan sekumpulan peguam yang membantah perisytiharan darurat oleh Presiden Pervez sewaktu tunjuk perasaan di luar Mahkamah Tinggi Lahore, semalam. – AFP.

ISLAMABAD 5 Nov. – Polis Pakistan yang bertempur dengan sekumpulan peguam di luar Mahkamah Tinggi di Karachi hari ini terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan belantan untuk menyuraikan mereka.

Lebih 350 peguam ditahan sementara pihak berkuasa meneruskan operasi menahan musuh politik Presiden Pervez Musharraf hari ini, walaupun tindakan itu dikecam oleh sekutu rapat Pakistan, Amerika Syarikat (AS).

“Kami tidak takut ditangkap dan kami akan meneruskan perjuangan walau apa pun yang berlaku,” kata seorang peguam, Abdul Hafeez sebelum ditolak masuk ke dalam sebuah kereta polis.

Persatuan Peguam Karachi berkata, Presidennya, Iftikhar Javed Qazi adalah antara mereka yang ditahan.

Penangkapan itu dilakukan selepas parti pembangkang utama berhaluan Islam, Jamaat-e-Islami melaporkan, pihak berkuasa menahan 600-700 penyokongnya di wilayah di selatan dan tengah negara ini malam tadi.

Pihak berkuasa telah pun menangkap 400-500 musuh politik dan peguam pembangkang sebagai langkah “pencegahan.”

Indeks saham Pakistan pula dilaporkan jatuh 4.3 peratus berikutan khabar angin kononnya Pervez diletakkan dalam tahanan di rumah oleh timbalan ketua tentera, Ashfaq Kityani.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice melahirkan rasa kecewa dengan Pervez dalam kenyataan yang jarang didengari daripada pegawai kanan AS sepertinya.

Washington sebelum ini sering memuji pemimpin Pakistan itu kerana sokongannya memerangi rangkaian Al-Qaeda yang didakwa sebagai dalang keganasan dunia.

“AS tidak pernah meletakkan seluruh harapannya pada Pervez,” kata Rice sambil menggesa Pakistan kembali kepada pemerintahan demokrasi dan memberi amaran bantuan AS kepada sekutunya itu perlu dikaji semula.

– Reuters

Pervez langgar perlembagaan – Iftikhar

ISLAMABAD 5 Nov. – Ketua Hakim Pakistan yang dipecat, Iftikhar Muhammad Chaudhry menyifatkan semua pelantikan oleh Presiden Pervez Musharraf selepas mengisytiharkan darurat sebagai “melanggar undang-undang dan perlembagaan.”

Pervez memecat Iftikhar dan melantik Hameed Dogar sebagai Ketua Hakim untuk mengetuai Mahkamah Agung selepas mengisytiharkan darurat, kelmarin.

Jeneral itu menggantung Perlembagaan negara dan mengeluarkan Perintah Perlembagaan Sementara (PCO) tetapi kebanyakan hakim Mahkamah Agung dan empat hakim Mahkamah Tinggi enggan mengangkat sumpah di bawah perintah baru itu.

Semua hakim yang ingkar itu dilaporkan tidak dibenar meninggalkan kediaman mereka.

“Segala-gala yang berlaku kini adalah menyalahi undang-undang dan perlembagaan serta bercanggah dengan perintah Mahkamah Agung,” kata Iftikhar kepada akhbar The News dalam kenyataan pertama beliau sejak krisis politik menyelubungi Pakistan.

Menurutnya, sebuah panel tujuh hakim yang diketuainya telah mengingkari PCO dan mengarahkan para hakim Mahkamah Tinggi supaya tidak mengangkat sumpah di bawah PCO tersebut.

Semua hakim yang dilantik kelmarin dan semalam tidak mempunyai sandaran undang-undang, katanya.

“Allah memberi kejayaan kepada saya dalam krisis lalu dan kali ini saya yakin Dia akan memberi kejayaan serupa kepada kami yang enggan mengangkat sumpah semula di bawah PCO,” katanya.

– AFP

‘Khabar angin Pervez ditahan tidak berasas’

ISLAMABAD 5 Nov. – Kerajaan Pakistan hari ini menafikan khabar angin yang melanda negara itu bahawa Presiden Pervez Musharraf dikenakan tahanan dalam rumah oleh timbalan ketua tentera kerana tindakannya mengisytiharkan darurat, kelmarin.

Jurucakap Pervez, Rashid Qureshi berkata, khabar angin itu adalah sesuatu yang “mengarut dan tidak berasas” sama sekali.

“Ia adalah pembohongan semata-mata, tidak berasas dan fitnah. Kita bimbang orang ramai akan percaya sepenuhnya pembohongan tersebut.

“Presiden baru sahaja mengangkat sumpah di depan Hakim Mahkamah Syariah Persekutuan, sebelum memberikan taklimat kepada para diplomat asing mengenai situasi semasa,” tegas Timbalan Menteri Penerangan, Tariq Azim.

Pervez telah memilih timbalannya, Ashfaq Kityani bagi mengambil alih kedudukannya apabila beliau meletakkan jawatan dalam tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Pakistan bagi penggal kedua pada 15 November ini.

Beliau bagaimanapun mengisytiharkan darurat selepas bimbang Mahkamah Agung membuat keputusan yang tidak memihak kepada dirinya mengenai kesahihan pemilihannya sebagai Presiden pada 6 November lalu.

– AFP

Presiden dituduh mungkir janji

ISLAMABAD 5 Nov. – Ikrar Presiden Pervez Musharraf untuk melepaskan jawatan sebagai ketua tentera dan menjadi seorang pemimpin awam kini “dalam keadaan terawang-awang” berikutan perisytiharan perintah darurat kelmarin.

Timbalan Menteri Penerangan, Tariq Azeem hari ini berkata, Pervez memberi jaminan kepada Mahkamah Agung beliau akan melepaskan jawatan tenteranya sebelum mengangkat sumpah sebagai Presiden tetapi isu itu sekarang belum dapat diperjelaskan.

Pervez pada September lalu berkata, beliau akan melepaskan peranannya dalam tentera sebelum mengangkat sumpah untuk penggal kedua selepas memenangi pemilihan Presiden pada 6 Oktober lepas.

Langkah itu dijangka diambil pada akhir penggal pentadbirannya sekarang iaitu pada 15 November ini tetapi semuanya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Agung berhubung kesahihan pemilihan beliau.

Banyak pihak melihat kes di Mahkamah Agung itu sebagai faktor yang mendorong Pervez mengisytiharkan darurat.

Pilihan raya umum yang dijadualkan pada Januari ini juga tidak dapat dipastikan berikutan perisytiharan tersebut.

Perdana Menteri, Shaukat Aziz semalam menyuarakan kemungkinan pilihan raya itu tergendala sampai setahun.

“Sukar untuk mengadakan pilihan raya umum dalam keadaan darurat kerana parti-parti pembangkang akan menentangnya,” kata Tariq.

Beliau memberitahu, rundingan sedang dijalankan antara parti-parti komponen dalam kerajaan campuran untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis sekarang.

– AFP

Setem kenangan Irwin mula dijual

SYDNEY: Jabatan Pos Australia mengeluarkan setem khas bagi menghargai jasa hos siri 'Crocodile Hunter,' mendiang Steve Irwin.

Australia Post berkata, setem yang memaparkan Irwin bersama anak-anaknya, Bindi dan Bob, mula dijual semalam.

Pelancaran setem itu dibuat bersama majalah New Idea yang turut memaparkan muka depan khas sebagai mengenang kematian Irwin.

Pemilihan Irwin untuk dipaparkan dalam setem khas berkenaan, dibuat menerusi kaji selidik bagi mengumpul pendapat awam.

Hasil jualan setiap setem berharga AS$0.50 sen (RM1.56) itu, akan disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan alam sekitar Irwin, Wildlife Warriors.

Irwin, berusia 44 tahun ketika maut disengat ikan pari sewaktu menjalani penggambaran di Terumbu Karang Besar Australia.

Beliau yang pernah menjadi Pengarah Zoo Australia, sehingga ini sudah merakamkan hampir 70 episod The Crocodile Hunter; 53 episod Croc Files; 43 episod Croc Diaries dan siri televisyen terbarunya, The New Breed Vets.

Irwin juga dikenali di serata dunia dengan perwatakan ceria, berambut perang, berbaju dan seluar pendek dan sering melakukan aksi berani termasuk lagak ngerinya sendiri. � AFP

Nik Aziz puji PM lebih telus bangunkan Kelantan

PASIR PUTEH 5 Nov. – Kepimpinan Pas Kelantan memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bersikap lebih terbuka dalam aspek membangunkan Kelantan walaupun tidak sehaluan dalam politik.

Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendekatan dan sikap seperti itu wajar dicontohi oleh semua pihak.

Beliau berkata, sikap penyayang dan keprihatinan pucuk pimpinan negara itu tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Pak Lah terlebih dahulu sayang kepada saya sehingga naik dan turun pentas beliau sentiasa memimpin tangan saya,” katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat hajat sempena Pelancaran Tabung Derma Pembinaan Asrama Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Hidayah di sini hari ini.

Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika ditanya tentang keakraban beliau bersama Abdullah pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Bharu pada Isnin lalu.

Asrama Maahad Tahfiz yang menempatkan 96 pelajar musnah terbakar pada 22 Oktober lalu.

Sementara itu, Nik Aziz dalam masa yang sama mengakui rasa terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan berharap perubahan itu akan diteruskan bukan oleh sebelah pihak sahaja pada masa-masa akan datang, malah di kalangan pimpinan Pas sendiri.

“Perubahan itu sewajarnya diikuti oleh pengikut kedua-dua belah pihak UMNO dan Pas di peringkat bawahan yang sebelum ini ada yang tidak bertegur sapa kerana perbezaan politik.

‘‘Lagi pula perjuangan Islam sememangnya menuntut penyatuan sesama umat dan sebab itu pada satu ketika Pas pernah menyertai Barisan Nasional (BN). Tetapi nasib tidak baik bila kita tolong, dia sepak dan tendang kita balik (BN dahulu),” katanya.

Ditanya mengenai hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kajian Strategik Negeri Kelantan (KRIS) yang mendapati 70 peratus ahli Pas Kelantan mahu beliau terus menyandang jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum kelak, Nik Aziz berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu jika parti masih memerlukan khidmatnya.

“Pencalonan saya yang pilih tetapi selepas itu parti yang menentukannya dan saya pun dah memegangnya (jawatan Menteri Besar) selama 18 tahun.

‘‘Saya pun bercita-cita nak suruh orang lain (menggantikan), kerana saya ini macam pemimpin kanan ajar orang lain. Takkan nak ajar selama-lamanya” katanya.

BPR jumpa Nik Aziz dua jam

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Betty Subaryati


BERI KERJASAMA: Nik Aziz keluar dari pejabatnya selepas direkodkan keterangan oleh BPR di Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam mengambil masa dua jam merekodkan keterangan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung dakwaannya menerima tawaran rasuah RM1 juta daripada seorang tauke balak.

Tiga pegawai BPR Kelantan diketuai Pengarahnya, Md Yusoff Md Zain, tiba di pejabat Menteri Besar Kelantan itu di Kota Darulnaim itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum masuk bertemunya 30 minit kemudian.


Pada pertemuan itu, Nik Aziz ditemani beberapa pegawainya, termasuk Setiausaha Politik, Anual Bakhri Haron. Sesi terbabit ditangguhkan seketika apabila mereka berjemaah solat Asar dalam pejabat itu.

Sesi mengambil keterangan itu tamat pada jam 5 petang apabila Nik Aziz keluar dari pejabatnya sambil diikuti Md Yusoff bersama dua pegawainya kira-kira 15 minit kemudian.

Ketika ditemui, Nik Abdul Aziz berkata, beliau sudah memberi kerjasama penuh kepada BPR berhubung dakwaan tawaran rasuah RM1 juta itu.

JALANKAN TUGAS: Md Yusoff keluar dari pejabat Menteri Besar Kelantan selepas berjumpa dengan Nik Aziz.

"Perkara itu sudah lama berlaku, kenapa sekarang baru ditimbulkan," katanya yang yakin BPR menerima penjelasannya berhubung kegagalan membuat laporan tawaran rasuah yang diterimanya kira-kira 16 tahun lalu.

"Sudah tentu," katanya ketika ditanya sama ada BPR menerima penjelasan yang diberikannya.

Sementara itu, Md Yusoff turut enggan memberi sebarang kenyataan media berhubung pertemuan dengan Mursyidul Am Pas itu.

"Tak ada apa-apa, Saya nak balik, lain kali!," katanya yang enggan memberi ulasan, sama ada Nik Aziz akan dipanggil lagi untuk memberi keterangan.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan mengarahkan BPR Kelantan mengambil keterangan Nik Aziz yang mengaku ditawarkan rasuah RM1 juta ketika dilantik menjadi Menteri Besar.

Katanya, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya melaporkan kepada BPR jika ditawarkan rasuah kerana kegagalan berbuat demikian dianggap menyalahi Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pada 29 Oktober lalu, selepas merasmikan Konvensyen Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Kebangsaan ke-24 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2007 di sini, Nik Abdul Aziz mengaku kepada media beliau ditawarkan rasuah jutaan ringgit oleh pihak tertentu sepanjang mentadbir Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menolak tawaran itu kerana menganggap pihak yang memberi atau menerima rasuah adalah golongan yang rendah tahap pemikirannya.

Kelmarin, beliau menjelaskan, tawaran rasuah terbabit dibuat oleh seorang tauke balak yang mahu mendapatkan konsesi pembalakan di Kelantan ketika beliau memulakan tugas sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, menjelaskan pertemuannya dengan Nik Abdul Aziz, kelmarin tiada kaitan dengan kes rasuah yang sedang disiasat oleh BPR itu.

Katanya, pertemuan terbabit adalah kunjungan hormat pertamanya ke atas Menteri Besar itu sejak dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan, tiga bulan lalu.

"Kunjungan itu untuk memberi taklimat dan fokus mengenai keselamatan di negeri ini saja, tiada kaitan dengan isu rasuah kerana itu adalah bidang tugas BPR," katanya.

Nik Aziz terharu layanan mesra Perdana Menteri

PASIR PUTEH: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kemesraan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melayan beliau walaupun mereka tidak sehaluan dalam pegangan politik patut dicontohi oleh anggota parti itu peringkat bawahan.

"Pak Lah (Abdullah) sayang kepada saya sehingga naik dan turun dari pentas beliau memimpin tangan saya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Derma Pembinaan Asrama Maahad Tahfiz Al Quran Nurul Hidayah di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan mesranya dengan Abdullah yang terserlah pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Baharu pada Isnin lepas khususnya apabila Perdana Menteri dilihat membantu memegang beliau ketika menuruni pentas ucapan.


Nik Aziz berkata, beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri dan berharap ini akan dijadikan contoh oleh pengikut Pas dan juga Umno peringkat bawahan.

Ketika ditanya mengenai kajian Institut Penyelidikan dan Kajian Strategik Negeri Kelantan (KRIS) yang mendapati 70 peratus anggota Pas Kelantan mahukan beliau terus menyandang jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum kelak Nik Aziz, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu sekiranya parti mahukannya.

"Biarlah parti menentukannya. Saya pun dah memegangnya masuk ke-18 tahun, saya pun bercita-cita nak suruh orang lain, takkan saya selama-lamanya," katanya. � Bernama

Formula 4M hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan pendekatan 4M sebagai formula persediaan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden UMNO berkata, M pertama ialah merapatkan barisan sesama ahli UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) manakala M kedua ialah meneruskan program menambah ahli dan pengundi.

“M ketiga ialah mesra rakyat yang melibatkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya sementara M keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan cekap serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib yakin pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mendapat sokongan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri.

Beliau berkata, semangat sukarela dan komitmen tinggi kepada pelbagai aktiviti telah mekar menjadi budaya cemerlang dalam UMNO.

“Wanita dan Pemuda pula terus melangkah gagah dengan pelbagai program yang menarik dan suara mereka semakin lantang menyuarakan hati nurani bangsa.

“Puteri pula terus menyerlah dalam meremajakan parti melalui pelbagai aktiviti kreatif, mewakili suara generasi baru wanita muda. Kecanggihan era digital dan perubahan tahap pendidikan menjadikan kewujudan Puteri bertambah relevan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib meminta ahli-ahli merakyatkan perjuangan UMNO dengan menyebarkan semangat perjuangan parti kepada seberapa ramai rakyat.

“Semangat perjuangan UMNO adalah untuk membela semua kaum di negara ini. Apabila kita membasmi kemiskinan, kita membasmi tanpa mengira kaum. Jika membuat kebajikan melalui program sosial, tumpuan kita kepada semua. Limpahan gema perjuangan kita melangkaui batasan bangsa dan agama.

“Gembira tidak terkata seorang yang miskin apabila rumah yang bocor kita ganti atapnya, lantai yang reput kita tukar baru dan anak yang ramai kita bantu persekolahan. Inilah contoh tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebat,” ujarnya.

Katanya, merakyatkan perjuangan juga bermaksud membuka pintu UMNO seberapa luas kepada semua orang Melayu.

“Oleh itu, gerakan menambah ahli mesti diteruskan melalui Kempen Keluargaku Ahli UMNO yang telah pun dilancarkan. Kita mesti memastikan anak-anak dan saudara-mara kita terlebih dahulu menjadi ahli UMNO. Semakin ramai ahli, maka semakin merakyatlah perjuangan kita,” tegasnya.

Sementara itu, Najib berkata, pelbagai langkah juga perlu dilakukan bagi mengukuhkan akar umbi perjuangan parti yang berpusat di peringkat cawangan.

“Baiki cawangan kita dengan menambah ahli, mendaftar pengundi, mengadakan aktiviti, bersama membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana banjir, membantu orang kurang upaya, ibu dan bapa tunggal, warga emas dan berkempen rumah ke rumah.

“Hendaklah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di lingkungan pengaruh kita,” ujarnya.

Tambah beliau, data terkini menunjukkan bilangan ahli UMNO ialah seramai 3,345,612 orang dengan 20,391 buah cawangan, 191 bahagian di 13 negeri.

“Andainya kita mempunyai tiga atau empat pemimpin iaitu ketua cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, maka UMNO mempunyai hampir 60,000 orang pemimpin akar umbi di seluruh negara. Inilah bukti kehebatan parti kita yang menjadi tonggak pelbagai kejayaan,” katanya.

Noraini Ahmad letak jawatan

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ayer Hitam, Johor atas alasan tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja parti peringkat bahagian berkenaan.

Surat peletakan jawatan Noraini diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali akhir Julai lalu.

Selain tidak dapat memberi fokus kepada kerja-kerja parti di bahagian berkenaan, Noraini dalam suratnya turut menyatakan keputusan itu diambil atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Hasrat Noraini meletakkan jawatan telah dibincangkan oleh UMNO bahagian itu bulan lalu dan dipanjangkan kepada pucuk pimpinan UMNO Johor.

Samsol ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan perkara itu.

Menurut Samsol, Noraini memegang jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ayer Hitam sejak tahun 2004.

‘‘Noraini masih menjadi ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam.

‘‘Sebagai Ketua Bahagian, saya menerima (peletakan jawatan Noraini)... mungkin beban tugasnya sebagai Ketua Puteri UMNO banyak,’’ katanya.

‘Samy Vellu sepatutnya berani terangkan perkara sebenar’

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu perlu berani menerangkan kepada masyarakat India bahawa tindakan merobohkan kuil Hindu di Padang Jawa, Shah Alam baru-baru ini diputuskan oleh mahkamah dan bukannya bertindak menimbulkan ketegangan dengan menyusahkan orang lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Presiden MIC itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak kerana keputusan mahkamah dibuat setelah mengambil kira pembinaan kuil tersebut dibuat di atas tanah milik swasta.

Katanya, keputusan mahkamah itu telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo kepada Samy Vellu dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, kata Mohd. Ali, pihak kerajaan negeri juga telah menyediakan tapak baru untuk pembinaan semula kuil tersebut.

“Bukan sahaja kuil pernah dirobohkan oleh kerajaan, bahkan surau dan masjid pun, yang dibuat atas sebab tertentu. Saya percaya ada unsur-unsur luar yang menekan Samy Vellu. Tetapi sebagai pemimpin, kita kena berani menghadapinya walaupun perkara itu pahit.

“Sebagai pemimpin lama yang banyak pengalaman, beliau sepatutnya boleh menghadapi perkara ini dengan tenang,” kata Mohd. Ali kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian ketika mengulas satu perkembangan berkaitan langkah merobohkan kuil tersebut.

Mohd. Ali berharap perkara itu tidak diperbesar-besarkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh mengguris perasaan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain termasuk UMNO.

Bangkitkan isu kebajikan bukan Melayu

PETALING JAYA 5 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meminta perwakilan UMNO supaya turut membahaskan faedah bersama serta kebajikan kaum bukan Melayu dalam Perhimpunan Agung parti itu yang bermula hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sebagai parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN), UMNO tidak seharusnya hanya memperjuangkan hak-hak orang Melayu.

‘‘Ucapan-ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini juga menekankan isu perpaduan negara.

‘‘Saya rasa berpuas hati dengan kenyataan Perdana Menteri berhubung isu itu dan berharap setiap individu dapat belajar dan memahami kebudayaan setiap kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan Malaysia 2007 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penggabungan MIC dan Parti Progresif Rakyat (PPP), beliau berkata: “Perkahwinan (penggabungan) antara dua parti itu tidak mungkin berlaku tetapi MIC boleh ‘mengintai’ ahli-ahlinya.’’

Pertelagahan antara dua parti itu sampai ke kemuncaknya minggu lepas apabila MIC mengancam akan meminta BN menyingkirkan PPP kerana sering mengkritik parti itu berhubung isu kaum India.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perbalahan itu dihentikan kerana ia tidak berfaedah dan bukannya cara BN atasi masalah.

Bagaimanapun, Samy Vellu enggan mengulas apabila ditanya mengenai teguran Najib itu.

‘‘Saya akan tulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri berhubung isu ini,” katanya.

Khidmat 360 ahli majlis PBT mungkin dilanjut

IPOH 5 Nov. – Kerajaan negeri bercadang melanjutkan tempoh perkhidmatan 360 ahli majlis di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Chang Ko Youn berkata, usaha itu perlu kerana tempoh setahun sebagai ahli PBT boleh membantutkan rancangan mereka untuk melaksanakan program PBT terlibat.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan.

‘‘Khidmat ahli PBT itu diperlukan kerana tempoh kesemua mereka akan berakhir 31 Disember tahun ini.

Berkhidmat

‘‘Saya mendapati mereka masih baru dan perkhidmatan mereka amat diperlukan untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Geran Keseimbangan PBT, di sini hari ini.

Ko Youn berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah RM27 juta bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban pembangunan dan pembayaran gaji kepada 15 PBT di negeri ini.

Katanya, bantuan tersebut meningkat berbanding RM17 juta tahun lalu kerana semua PBT terpaksa membayar kenaikan gaji dan kolar kepada kakitangan PBT.

‘‘Dalam tempoh Julai hingga Disember tahun ini sebanyak RM13 juta pembayaran gaji dan kolar kepada kakitangan PBT di negeri ini.

‘‘Peningkatan itu menyebabkan ada PBT tidak mampu dan memerlukan bantuan tersebut,” tambahnya.

Ko Youn menjelaskan, PBT merupakan kerajaan tempatan yang dekat dengan rakyat dan mereka perlu dibantu bagi membolehkan pembangunan diberikan kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap PBT mempercepatkan perkhidmatan termasuk kelulusan pengeluaran lesen dan pelan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Selain itu, mereka juga perlu mengurangkan kos penggunaan elektrik, air dan kertas.

Beliau berharap PBT meneruskan projek pembangunan bagi membolehkan ia dinikmati oleh rakyat.

Puteri perlu kuasai ilmu, kemahiran

Siap sedia hadapi cabaran masa depan: Noraini

KUALA LUMPUR: Semua ahli Puteri Umno diminta supaya memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu serta kemahiran bagi membolehkan mereka dapat terus berdiri teguh serta mantap menghadapi cabaran pada masa depan.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata mereka juga perlu merebut setiap peluang yang kebanyakannya kini menjurus ke arah pengisian kemerdekaan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Katanya, ahli pergerakan itu seperti juga rakyat lain negara ini tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada pelbagai bantuan kerajaan seperti subsidi untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka pada masa depan.

"Kita perlu menghayati nasihat presiden parti semalam yang meminta kita semua supaya tidak leka dengan pelbagai kemudahan serta bantuan disalurkan kerajaan dan sebaliknya perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran mendatang.

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan kita di Malaysia ini seolah-olah terlalu manja kerana banyak sangat menerima subsidi.

"Beliau juga menegaskan bahawa di sebalik setiap cabaran itu mesti tersedia peluang dan terserah kepada kita semua untuk merebutnya," katanya selepas menghadiri majlis taklimat tertutup Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Noraini menasihatkan ahli Puteri supaya turut serta dalam menjayakan tiga program pembangunan koridor wilayah yang dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata Perdana Menteri dalam taklimatnya semalam, antara lain memberi jaminan terhadap peluang masyarakat Melayu untuk terbabit secara langsung dalam pembangunan di wilayah Selatan, Utara dan Timur Semenanjung.

"Dalam masa sama, Pak Lah juga berkata usaha perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar. Katanya, masyarakat luar bandar juga perlu mengambil setiap peluang yang disamping perlu sentiasa rajin," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, pula berkata Presiden parti dalam taklimat tertutupnya mengajak semua ahli-ahli Umno melihat ke bawah, melihat kepada realiti, soal pembaziran dan perlunya semua rakyat bekerja kuat.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga menyentuh mengenai harga barang dan memberi peringatan penting supaya kita semua sentiasa beringat-ingat serta jangan memandang ringan cabaran yang menanti di hadapan kita.

MIC harap sidang bincang isu perpaduan

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berharap Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini, akan membincangkan soal perpaduan yang menjadi tunggak kekuatan rakyat negara ini.

Samy berkata, beliau sentiasa menaruh harapan besar kepada Perhimpunan Agung Umno kerana Umno kini bukan lagi dianggap sebagai parti untuk Bumiputera tetapi untuk semua kaum.

Katanya, Perhimpunan Agung Umno yang membincangkan agenda negara sentiasa menjadi fokus utama rakyat daripada pelbagai kaum.

"Perdana Menteri pula dalam ucapannya sentiasa menekan soal perpaduan dan pembangunan manakala kami dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) sentiasa bermuafakat bersama seperti keluarga.

"Saya berharap perkara ini akan diikuti perwakilan dalam pembahasan mereka untuk memberi pandangan dengan mengambil kira kepentingan kaum lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan, anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini semalam.

Samy yang juga Menteri Kerja Raya berkata, negara ini bertuah kerana mempunyai kepimpinan yang baik hingga rakyat hidup bersatu padu dan aman damai.

"Bagi generasi akan datang, saya berharap rakyat negara ini tidak lagi dibelenggu dengan soal perkauman dan hidup bersatu padu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang meminta MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menghentikan perbalahan secara terbuka kerana tindakan itu bertentangan dengan amalan dan prinsip BN, Samy berkata, beliau akan menulis surat kepada Najib berhubung perkara itu.

"Saya akan menulis surat dan bercakap dengan Datuk Seri Najib (berhubung perkara itu)," katanya.

Najib sebelum ini mahu hubungan semua parti komponen BN berjalan baik dan mengelak daripada cabar mencabar serta kutuk mengutuk sesama sendiri.

Landasan rangka agenda parti

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno yang bermula semalam perlu digunakan sebagai landasan untuk berbincang dan merangka agenda parti bagi masa depan seluruh ahlinya dan rakyat serta negara.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata lebih penting memberi perhatian bagaimana langkah memastikan parti sentiasa disanjung rakyat serta pemimpin melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Justeru, katanya, setiap ahli Umno perlu menjadikan peringatan apabila Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mahu perwakilan menjadikan Perhimpunan Agung Umno, tempat melobi untuk menonjol diri atau menjadi calon pilihan raya.

"Perhimpunan Agung Umno bukan tempat melobi. Tempat itu tidak boleh disalahgunakan (untuk agenda peribadi).

"Dalam perhimpunan agung, yang lebih penting ialah mencari jalan bagaimana memastikan parti sentiasa disanjung rakyat, pemimpinnya pada semua peringkat dapat melaksanakan tugas dengan baik, selain apakah agenda parti untuk masa depan ahli dan rakyat.

"Umno bukan parti untuk orang Melayu saja tetapi juga pemimpin kepada Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kerajaan negara ini.

"Dalam konteks Perhimpunan Agung Umno, perwakilan perlu bercerita dan berbincang apakah peranan Umno dalam konteks lebih besar dan menggunakannya dengan cara yang betul, bukan tempat untuk individu mengangkat diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran penaja cabaran Piala Monsun yang akan berlangsung pada 28 November hingga 2 Disember ini, di Pulau Duyung, Terengganu, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib kepada perwakilan Umno supaya tidak menjadikan perhimpunan agung sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, tidak lama lagi.

Beliau berkata, perwakilan juga tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan melobi bagi menyerlahkan peluang mereka menjadi calon kerana cara itu boleh �menikam diri sendiri�.

Mengenai ramalan pemerhati politik yang menjangka perhimpunan kali ini menjadi medan kepada perwakilan menyentuh isu sensitif yang mungkin mengundang rasa tidak puas hati dengan rakan parti komponen BN, Idris yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata, sukar untuk menjangka dan mengawal apa yang akan diperkatakan perwakilan.

"Kita tidak boleh mengawal semua supaya bercakap perkara yang kita nak mereka cakap. Tetapi, dengan kematangan, kita harap perwakilan boleh menggunakan perhimpunan ini dengan cara sebaik-baiknya.

"Yang penting setiap isu yang dibahaskan biarlah untuk kebaikan BN dan rakyat sebagai parti pemerintah," katanya.

Mengenai usul yang akan dibawa Umno Terengganu pada perbahasan perhimpunan itu, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada keupayaan Umno dan BN membangunkan negeri itu dalam masa singkat selepas mengambil alih daripada Pas pada Pilihan Raya Umum 2004.

Katanya, Umno Terengganu juga mahu menyatakan perubahan dibawa kerajaan BN turut mengubah pemikiran rakyatnya yang bersemangat untuk terus membangunkan negeri terutama dengan pengumuman Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka mampu memberi manfaat yang besar.

"Kalau dulu Terengganu dianggap sebuah negeri yang tercorot, kurang pembangunan, tetapi sekarang sudah berubah sama sekali dan antara negeri yang mampu menganjurkan pelbagai acara bertaraf dunia.

"Dari segi menghadapi pilihan raya umum akan datang juga, kita sudah bersedia dan perpaduan Umno Terengganu juga amat mantap," katanya.

Tebus nasib petani tumpuan utama



ISU PENTING: Muhyiddin dikerumuni wartawan selepas Majlis Taklimat Presiden di PWTC, semalam.

Nilai tambah tawar hasil lebih tinggi: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula hari ini antara lain membincangkan isu paras ekonomi petani Melayu yang kini jauh ketinggalan dan memerlukan perubahan, terutama dalam kerangka minda.

Walaupun membanting tulang, hasil keringat mereka diraih keuntungan berlipat ganda oleh pihak lain selepas ketinggalan daripada aktiviti nilai ditambah, yang menjadikan pendapatan dari ladang mereka masih kecil berbanding yang lain yang meraih sebahagian besar hasilnya.


Petani Melayu adalah golongan terbawah dalam rangkaian nilai pada peringkat pengeluaran yang hanya membekalkan hasil pertanian sedangkan golongan lain melakukan nilai tambah dan menjual pada harga yang tinggi, sekali gus mengaut keuntungan.

Orang yang paling arif mengenai isu ini tidak lain, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu perubahan segera dilakukan terhadap cara orang Melayu mengusahakan bidang pertanian.

Ketika memberi contoh, Naib Presiden Umno itu berkata, pengusaha sawah Melayu yang memiliki tanah hanya memperoleh kira-kira lima peratus pendapatan industri tetapi bukan pemilik tanah meraih sebahagian besar hasilnya melalui aktiviti lain.

Ketika Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, yang julung kali dianjurkan bersama oleh Umno dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Seremban, baru-baru ini, Muhyiddin mahu perkara itu dan isu penting lain ditangani segera.

Proses berkenaan akan membantu menambah pendapatan masyarakat petani Melayu yang menjadi kumpulan majoriti iaitu kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada 856,000 orang yang terbabit dalam pertanian dalam negara.

"Petani Melayu bukan tidak diberi bantuan, tapi sudah tiba masanya bagi mereka berubah dan bergerak dalam rangkaian nilai untuk memulakan aktiviti seperti pengangkutan, pemprosesan dan pembungkusan," katanya.

Beliau berkata, 80 peratus orang Melayu adalah masyarakat perladangan dan perikanan dan mereka tidak banyak terbabit dalam aspek perniagaan dan rangkaian bekalan sektor itu serta pengeluaran berasaskan pertanian.

"Sudah lama Melayu menjadi petani, nelayan, penternak, penguasaan dan mereka hanya setakat di ladang, jadi nilai tambah mereka terhad," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan konvensyen itu juga mahukan golongan itu meningkatkan usaha dan kekuatan mereka.

Abdullah mencabar golongan berkenaan supaya bertanya pada diri mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan berkata segala usaha bukan dengan jalan mudah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika menutup konvensyen berkenaan berkata, kerajaan akan meneliti cadangan itu.

Selepas dua, hari konvensyen itu meluluskan resolusi yang dijangka dibentangkan Muhyiddin pada Perhimpunan Agung Umno kali ini yang berkemungkinan besar diterima anggota parti.

Resolusi yang diluluskan pada konvensyen itu termasuk saranan supaya diadakan koperasi pertanian, menyusun semula institusi pertanian supaya mereka melihatnya sebagai perniagaan serta menubuhkan pusat sehenti bagi membantu Melayu dalam perniagaan pertanian serta rangkaian bekalan pertanian. � Bernama

Wakil Wilayah Persekutuan bahas guna pendekatan 3B

KUALA LUMPUR: Umno Wilayah Persekutuan akan membahaskan isu relevan berkaitan pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui pendekatan 3B � Bersama, Bersatu dan Berjaya pada Perhimpunan Agung esok.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata isu berkenaan selaras dengan wawasan Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera yang diterapkan untuk Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pendekatan 3B menjadi teras utama Umno dan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mengharungi perjuangan parti kerana ia mempunyai semangat setiakawan jitu dan menjadi landasan memperkukuhkan dan memperkuatkan jentera Umno dan BN.

Pada perhimpunan kali ini Umno Wilayah Persekutuan akan menampilkan Ketua Umno Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Labuan membahaskan ucapan dasar Presiden, Pemangku Ketua Umno Bandar Tun Razak Datuk Rahim Baba membahaskan usul ekonomi dan pendidikan, manakala Ketua Umno Batu, Datuk Yusuff Hamid usul sosial dan agama.

"Kita mengenalpasti beberapa elemen penting untuk diketengahkan pada perhimpunan kali ini termasuk isu pembangunan ekonomi Bumiputera di bandar, pembangunan Melayu bandar dan beberapa penting relevan yang lain.

"Kita juga akan memperincikan persiapan BN Wilayah Persekutuan menghadapi pilihan raya umum menerusi konsep 3B yang merangkumi semua aspek termasuk persediaan, sistem penyampaian, kesejahteraan rakyat dan perpaduan," katanya.

Zulhasnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Umno Wilayah Persekutuan yakin amanat Presiden parti tahun ini akan menjurus kepada perpaduan kaum, persiapan menjelang pilihan raya umum dan yang penting kekuatan Umno .

Justeru, beliau berkata, Umno Wilayah Persekutuan juga mengenalpasti dan telah mengambil tindakan dari semasa ke semasa menangani masalah rakyat serta gerakan yang efektif dan efisyen bagi memperkukuhkan jentera parti.

Kawalan 24 jam di PWTC

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuat persiapan rapi dengan menugaskan anggota secukupnya bagi menjaga keselamatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan kawasan sekitarnya sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2007 yang berlangsung mulai semalam hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abd Rahman, yang juga Pegawai Medan bagi perhimpunan berkenaan, berkata polis sudah menugaskan anggotanya berkawal 24 jam sehari bagi menjaga keselamatan perwakilan serta keselamatan awam.

"Kami sudah membuat persiapan dari segala aspek keselamatan sejak sebulan lalu bagi memastikan keselamatan di dalam PWTC dan kawasan sekitarnya sentiasa terkawal," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, bagi tempoh 24 jam itu pegawainya akan bertugas secara bergilir-gilir di kawasan strategik di dalam dan luar PWTC. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk melancarkan perjalanan perhimpunan kali ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pegawai yang bertugas kerana faktor keselamatan. � Bernama.

'Negara rugi jika tak guna tenaga wanita'

KUALA LUMPUR: Negara akan kerugian jika meminggirkan tenaga wanita yang berkelayakan dalam semua sektor, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, wanita harus diberi tempat dalam semua sektor atas keupayaan diri sendiri bukannya sekadar memenuhi kuota yang ditetapkan.

"Negara tidak mampu mendiskriminasi kerana setiap peluang harus diberikan kepada semua tidak kira lelaki mahupun wanita yang berkelayakan. Jika kita ketepikan wanita, kita akan rugi kerana ini bukan masanya untuk menyeimbangkan bilangan antara gender.

"Wanita Malaysia sudah berupaya dan setanding dengan lelaki. Malah, dalam sesetengah bidang jumlah wanita yang cemerlang lebih daripada lelaki, misalnya di universiti, politik dan perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak serta kalangan pemimpin Umno.

Rafidah berkata, beliau akan terus menerajui kepimpinan Wanita Umno jika terus mendapat sokongan daripada semua ahli.

"Selagi mendapat sokongan selagi itu saya akan terus menerajui Wanita Umno. Masih banyak yang perlu dilakukan dan saya pasukan saya dalam Wanita Umno yang bekerja bersama saya dan memberi idea dalam memajukan Umno," katanya.

Mengenai soal pertandingan dalam parti itu, Rafidah berkata, tiada yang perlu dibimbangkan selagi semua menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Beliau juga tersentuh hati apabila ahli pada peringkat akar umbi hanya mahu melihat pemimpin memberi khidmat terbaik mereka tanpa mempedulikan soal retorik atau falsafah politik.

"Mereka pada peringkat akar umbi ini hanya mahu perkara asas daripada pemimpin untuk melaksanakan tugas dengan baik dan membentuk kerajaan yang bagus. Sebab itu saya masih terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen sehingga sekarang," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Wanita Umno turut mengadakan majlis memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-64 pada 4 November lalu.

"Saya pun tidak tahu yang mereka mengaturkan majlis sambutan hari lahir saya ini tetapi saya sangat gembira dan berterima kasih dengan semua pihak. Presiden dan Timbalan Presiden turut mengucapkan selamat hari jadi kepada saya," katanya.

Tumpu hala tuju 50 tahun



RAI MAJLIS: Abdullah, Jeanne, Najib dan Rafidah memotong kek pada majlis rumah terbuka Aidilfitri pergerakan Wanita sambil diperhatikan pemimpin tertinggi Umno lain di PWTC, semalam.

Semua Ketua Wanita Umno negeri diberi peluang berbahas, kemuka usul

KUALA LUMPUR: Perbahasan dalam perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini akan menumpukan kepada melihat kembali peristiwa sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan serta hala tuju Malaysia untuk 50 tahun akan datang.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata semua pembahas akan mengupas perkara itu secara komprehensif dengan dimulakan pembentang usul ucapan terima kasih terhadap ucapan Ketua Wanita.


Pembentang usul itu ialah Pengerusi Biro Bantuan Guaman Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, yang akan menyentuh aspek pendidikan, ekonomi, agama dan politik.

"Ia adalah usul membahaskan ucapan ketua tetapi ia merangkumi pelbagai aspek. Ia adalah satu usul yang komprehensif," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat sebelum Perhimpunan Agung Wanita Umno yang akan diadakan hari ini.

Buat pertama kali, Rafidah berkata, perbahasan usul kali ini akan membabitkan semua Ketua Wanita Umno negeri bagi mewakili negeri masing-masing.


"Ia suatu yang luar biasa kerana tahun ini kita menyambut 50 tahun kemerdekaan negara dan akan menghadapi pilihan raya umum, jadi kami beri peluang mereka berbahas dan menyatakan pendapat mereka," katanya.

Katanya lagi, pergerakan itu akan menganugerahkan pingat emas pelajar cemerlang kepada tiga pelajar bukan Bumiputera selain 18 pelajar Bumiputera.

"Ini adalah pertama kali kita menganugerahkan pingat emas kepada tiga pelajar bukan Bumiputera dari Universiti Teknologi Petronas, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaya yang dibuat kerana semua rakyat Malaysia bersama berjuang memajukan negara sepanjang 50 tahun kita merdeka," katanya.

Semua 21 pelajar itu akan menerima pingat emas, sijil dan wang tunai RM1,000.

Rafidah berkata, sepanjang perhimpunan agung itu, Wanita membuka kaunter pemeriksaan kanser prostat untuk lelaki selain kaunter pemeriksaan barah payu dara. Perhimpunan Agung Wanita Umno 2007 akan dihadiri 800 anggota perwakilan.

Mengenai persiapan pilihan raya, Rafidah mengarahkan supaya ketua wanita Umno negeri supaya mengemaskini dan memantau ahli serta pengundi di peringkat akar umbi.

"Saya mahu laporan itu secepat mungkin supaya kita dapat merangka strategi lebih berkesan untuk pilihan raya depan," katanya.

Penghayatan generasi muda

KUALA LUMPUR: Generasi muda harus mempersiapkan diri dan menghayati perjuangan Umno bagi meneruskan kesinambungan parti itu untuk meneruskan kegemilangan bangsa dan negara.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata langkah itu penting kerana golongan muda bakal mewarisi dan mendominasi perjuangan serta idealisme parti itu untuk tempoh 50 tahun akan datang.

"Umno adalah parti yang banyak menarik minat generasi muda sejak ditubuhkan 1946. Golongan ini penting kerana mereka bakal menjadi faktor kepada penyelesaian mengenai pelbagai isu seperti kemiskinan, kemunduran dan kemajuan luar bandar yang menjadi antara agenda perjuangan Umno sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Beliau berkata, golongan muda perlu membawa lonjakan terhadap perjuangan parti berdasarkan kepada permasalahan yang berlaku mengikut peredaran zaman.

"Tempoh 50 tahun pertama perjuangan Umno selepas kemerdekaan iaitu dari 1957 hingga 2007 sudah tamat. Kita sudah memasuki tahap kedua, 2007 hingga 2057," katanya.

Ahli perlu persiapkan minda

DARI MUKA 1



subsidi yang ditanggung kerajaan.

“Beliau juga mengingatkan rakyat supaya dipersiapkan daripada minda, pengurusan diri, keluarga dan mengelak pembaziran sebagai persediaan jika harga minyak meningkat lebih tinggi pada masa depan dan di luar kawalan kerajaan,” katanya.

Selain itu, kata Muhyiddin, Abdullah meminta ahli Umno memahami isu berkaitan hubungan antara kaum dan agama supaya dapat membantu kerajaan menjelaskan isu semasa kepada rakyat.

“Ahli dan pemimpin Umno diingatkan supaya tidak mengambil sikap lepas tangan dan mesti mempersiapkan diri dengan segala pengetahuan dan latar belakang untuk membantu pimpinan menangani sebarang masalah,” katanya.

Ketua Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Abdullah juga mengingatkan rakyat supaya menerima kenyataan ada ketika kerajaan akan membuat sesuatu keputusan yang tidak popular.

“Kita tak lagi mampu untuk bermewah macam dulu lagi dan sampai satu ketika nanti kerajaan membuat keputusan yang tidak popular kepada semua rakyat,” katanya,

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata pada masa ini terlalu banyak subsidi yang diberikan kerajaan bagi membantu rakyat.

Ketika ini, kerajaan membelanjakan RM35 bilion untuk pemberian subsidi atau 87.5 peratus daripada perbelanjaan pembangunan berjumlah RM42 bilion.

“Paling menggerunkan menjelang 2011, kita akan jadi pengimport petroleum dan gas, jika kita tak urus sumber asli kita dengan berhemah,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata taklimat presiden kali ini adalah antara amanat paling penting yang disampaikan Abdullah selepas empat tahun menjadi Perdana Menteri.

“Banyak perkara yang saya rasa penting dan kritikal telah didedahkan Presiden kepada ahli Umno untuk sama-sama kita fikirkan cara terbaik untuk menguruskan masalah dan cabaran berkenaan.

“Apa yang dibangkitkan mungkin belum sampai ke satu tahap yang boleh kita sampaikan kepada masyarakat umum kerana banyak perkara perlu diperhalusi dengan lebih teliti lagi sebelum kita tahu bagaimana nak bertindak sebagai parti dan juga sebagai kerajaan.

“Saya sendiri berpendapat apa yang disampaikan presiden mengenai cabaran masa depan ini memang bukan cabaran kecil.

“Ini cabaran besar dan dalam dewan tadi, tidak ada sebarang bunyi yang boleh kita dengar kerana perwakilan terlalu khusyuk dan mungkin kerana rasa risau serta bimbang dengan cabaran yang digaris dan dibangkitkan Perdana Menteri,” katanya.

Wakil Pemuda digesa elak isu sensitif

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda yang berbahas pada perhimpunan pergerakan itu, diingatkan supaya tidak membangkitkan isu sensitif seperti berkaitan agama dan sebaliknya memfokuskan kepada usaha mengukuhkan parti bagi menghadapi cabaran masa depan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu adalah selaras dengan ingatan yang disampaikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam taklimat tertutup Presiden parti, semalam.

"Bayangkan apa yang berlaku di luar sana, kalau kita sesama kita dalam Umno tidak dapat berbahas dan sebaliknya hanya memikirkan isu yang mungkin sensitif seperti berhubung kait dengan agama," katanya selepas majlis tertutup taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyentuh mengenai pentingnya wakil pembahas yang dipilih menggunakan kebijaksanaan dan kepimpinan terbaik selaras dengan kematangan pergerakan itu.

Katanya, sebagai pemimpin pelapis, mereka perlu melihat lebih jauh ke depan dan mengukuhkan terus kekuatan sayap kanan parti itu yang berdepan kesukaran pada 1998, sebelum berjaya bangkit semula.

"Kita tidak nafikan sedikit sebanyak mungkin ada di kalangan pembahas atau perwakilan yang dipilih ini cuba membangkitkan perkara yang sudah lama terbuku di hati mereka.

"Namun saya ingin menekankan di sini, betapa pentingnya untuk kita semua melihat lebih jauh ke depan dan menjadikan perjumpaan ini dalam semangat kekeluargaan yang baik sekali," katanya.

Dalam pada itu, mengenai inti pati ucapan Abdullah semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Perdana Menteri menggariskan pelbagai cabaran yang kita hadapi sekarang dan masa depan, selain memaklumkan bagaimana rakyat perlu mencari peluang untuk maju dan berjaya seperti program angkasawan.

"Presiden parti juga memberi jaminan dalam keadaan kita menghadapi masalah, jangan menyerah kalah, sebaliknya beliau memberi semangat kepada ahli Umno supaya merapatkan barisan untuk menjayakan aspirasi rakyat," katanya.

Selain itu, katanya, ahli Umno juga diingatkan mengenai persaingan global dan mengutamakan ilmu untuk membina insan dan bina upaya diri untuk menjamin kejayaan bangsa.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Perdana Menteri turut menyentuh isu kenaikan harga barang, subsidi serta mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Mengenai isu keagamaan, Presiden Umno meminta semua ahli supaya sentiasa berhati-hati membincangkan hal itu untuk menjaga hati bukan saja orang Melayu tetapi juga kaum lain," katanya.

Pantun pelengkap hujah



DEMI PERJUANGAN: Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri menyanyikan lagu Negaraku sebelum ucapan perasmian persidangan di PWTC, malam tadi.

Kejayaan misi angkasa lepas jadi pendorong kebangkitan Melayu

KUALA LUMPUR: Jika tahun lalu perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno didedahkan dengan istilah Glokal, kali ini Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, melontarkan istilah baru iaitu Mengangkasa Tamadun Bangsa dan 'bangsa angkasa' pada perasmian serentak persidangan tiga sayap Umno itu malam tadi.

Ungkapan yang merujuk atau sekurang-kurangnya dipengaruhi kejayaan misi angkasawan negara baru-baru ini, memberi mesej jelas kepada lebih 2,350 anggota Wanita, Pemuda dan Puteri, iaitu di bahu mereka terletak amanah untuk meningkatkan tamadun bangsa ke tahap tertinggi.

'Mengangkasa' bermaksud menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, manakala bangsa angkasa adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi serta memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global.


Seperti pemimpin Umno lain, Najib turut menyulami ucapan perasmiannya dengan pantun bagi memperjelaskan lagi maksud dan mesej yang hendak disampaikan.

Beliau memulakan dengan pantun enam baris bagi menjelaskan amanah yang menjadi tanggungjawab ahli.

Aman, makmur, harmoni,
Tamadun bangsa, diangkasakan,
Di tanah air tercinta ini,
Satu idealisme perjuangan,
Mari bersama kita renungi,
Tanpa noktah, tiada kesudahan.

PENUH SEMANGAT: Hishammuddin dan Khairy bersama ahli Pemuda melaungkan 'sedia gempur' di PWTC, semalam.

Timbalan Presiden Umno turut menggunakan dua rangkap pantun untuk menyampaikan pesanan kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri berhubung tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan bagi menjamin kemenangan besar Umno dan Barisan Nasional (BN).

Jika berkata, dari kalbu,
Bila berjanji, orang percaya;
Mari kita, bersatu padu,
Untuk menangi, pilihan raya.

Bila berjanji, orang percaya,
Perlu diingat, jati diri;
Untuk menangi, pilihan raya,
Membela rakyat, membangun negeri.


Pantun empat kerat berikut pula bagi menyatakan betapa perpaduan Melayu itu amat penting dan sebarang perpecahan hanya mengundang petaka kepada bangsa dan agama.

Tegak rumah, kerana sendi,
Runtuh sendi, rumah binasa;
Tegak bangsa, kerana budi,
Runtuh budi, bangsa binasa.

Jika berfikir, jangan termenung,
Mencari idea, kerja berkat;
Bulat air, kerana pembetung,
Bulat manusia, kerana muafakat.


Timbalan Perdana Menteri turut mengulangi pantun seorang veteran Umno yang menyindir perlakuan politik wang dalam parti.

Tebang buluh dengan kapak,
Bila hulur baru nampak.
Ada duit, mudah dikuit,
Tiada wang, tergolek seorang.

Najib arah 3 sayap bersedia hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 dengan mengadakan aktiviti menemui rakyat pada peringkat akar umbi.

Sambil mengakui isyarat pilihan raya semakin jelas, Timbalan Presiden Umno bagaimanapun, menegaskan persiapan yang dimaksudkan bukan berkempen untuk menjadi calon, sebaliknya mengaktifkan jentera pilihan raya di cawangan, peti undi, kawasan Dewan Undangan Negeri dan bahagian.

"Paling penting ialah persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya. Bukanlah persediaan itu maknanya menempah 'bush jacket' baru atau baju kurung bergemerlapan atau mula mengadu domba dan ke sana sini membawa salinan biodata diri.

"Jika kita sudah ditakdirkan dipilih, maka terpilihlah kita. Sama ada terpilih atau tidak, terimalah segalanya dengan reda kerana setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya," kata Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan ketiga-tiga sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Dalam ucapan bertema �Mengangkasa Tamadun Bangsa�, Najib berkata, memenangi pilihan raya menjadi realiti politik di negara ini.

"Kemenangan pula hendaklah dengan majoriti lebih dua pertiga untuk memerintah dengan berkesan demi untuk memastikan kestabilan," katanya sambil yakin Barisan Nasional (BN) akan mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, keyakinan itu sangat berasas berdasarkan kemenangan pada pilihan raya kecil lalu apabila BN menang dengan cemerlang kerana sokongan rakyat yang mantap.

"Walaupun parti pembangkang bersyarah bagai halilintar, terbukti rakyat dan pengundi lebih pintar. Mereka bijak memilih yang mana kaca dan yang mana permata," katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri Umno supaya terus melaksanakan pendekatan 4M, iaitu merapatkan barisan, menambah ahli dan pengundi, mesra rakyat dan menyelesaikan masalah bagi memastikan kejayaan BN.

Katanya, Umno perlu menambat hati serta minda orang ramai dengan khidmat yang baik dan menghindar perbuatan yang dibenci.

"Apabila hati rakyat sudah tertambat � umpama dara dan teruna yang sedang berkasih akan membawa ke jenjang pelamin � nescaya sokongan rakyat kita dapat. Bila BN menang, rakyat akan senang," katanya.

Najib juga mengingatkan anggota ketiga-tiga sayap parti berkenaan supaya menjaga perpaduan bangsa kerana orang Melayu hanya mengundang padah jika mereka berpecah belah.

"Sedarilah, realiti politik hari ini yang mana kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh jika kita bertikai dan berpecah. Kelemahan politik dan ekonomi akan mengembalikan orang Melayu ke zaman sebelum merdeka di mana kita daif, lekeh dan tidak ada jati diri.

"Ingatlah, bahawa bangsa yang malas akan malap, bangsa yang merempit akan merempat dan bangsa yang tiada wawasan akan ditewaskan," katanya.

Teguran Umno bukan perlekeh sektor awam



TAKLIMAT PRESIDEN: Abdullah berucap pada majlis taklimat tertutup Presiden Umno di PWTC, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam.

Kelemahan khidmat kakitangan kerajaan perlu dibaiki: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua kakitangan awam memberi tumpuan isu pembangunan negara dan perkhidmatan awam yang dibangkitkan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Perdana Menteri juga mahu mereka menganggap sebarang isu pembangunan dan perkhidmatan awam yang mungkin dibangkitkan sebagai luahan perwakilan dan bukan untuk mencaci atau mengeji.

"Tentulah dalam mesyuarat (Perhimpunan Agung Umno 2007) ini macam-macam yang terdengar berhubung hal pembangunan negara, mungkin hal kelemahan dalam perkhidmatan awam dan sebagainya.


"Dengarlah apa diluahkan kerana mereka bukan mengeji atau mencaci, sekadar melahirkan perasaan berhubung beberapa perkara. Mungkin juga tiada apa-apa dilahirkan langsung," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula semalam, dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun datang.

Malah, perbahasan pada perhimpunan dihadiri 2,522 perwakilan dari 190 bahagian itu dijangka menjurus kepada agenda memperkukuhkan parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum kedua di bawah kepemimpinan Abdullah.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan perlu mendengar dengan teliti sebarang perkara dibangkitkan anggota perwakilan Perhimpunan Agung Umno kerana ia datang dari parti kerajaan.

Sementara itu, Abdullah berkata, beliau mahu penjawat awam kekal dalam sistem kerajaan kerana individu yang dianggap terbaik menjadi aset berharga.

"Mereka ini menjadi aset penting kepada perkhidmatan awam dan kita mahu ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"Kita menghargai yang terbaik yang kita ada, tanpa mengira kaum atau agama kerana semua yang ada dalam perkhidmatan awam adalah bersaudara, semuanya rakan sejawat, yang bekerja bersama membantu untuk menjayakan apa yang menjadi matlamat yang sama," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu terus mengekalkan kakitangan awam terbaik bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Abdullah yakin tahap kecekapan kakitangan awam semakin meningkat, terutama menerusi beberapa inisiatif yang diambil termasuk penubuhan pusat sehenti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau turut bersyukur tiada kakitangan JPM terbabit dalam nahas jalan raya ketika pulang bercuti di kampung halaman sempena Aidilfitri, bulan lalu.