Saturday, November 03, 2007

Menjelang Perhimpunan Umno 2007: Perwakilan Johor masih 'risau' mengenai WPI

Wartawan Kita
Sat | Nov 03, 07 | 11:13:22 am MYT

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Hrkh) - Majorti ahli Umno di peringkat akar umbi begitu resah dan kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) bersama dengan kerajaan Singapura dan ia diharap dapat diluahkan oleh para perwakilan Umno dari negeri Johor semasa Persidangan Agung Umno 2007 pada 5-9 November depan.

Matlamat WPI ialah akan menjadi sebuah 'Bandaraya Metropolitan Bertaraf Antarabangsa' pada tahun 2005. Pelan Induk Pembangunan Komprehensif WPI (CDP) telah juga menyatakan bahawa WPI akan berperanan seperti Pulau Batam yang menerima limpahan (spill-over) pembangunan Singapura ekoran dari faktor kedekatan lokasinya.

"Kenapa WPI ini tidak mendapat kelulusan dari Parlimen memandangkan kita bersama-sama membangunkan dengan kerajaan asing iaitu Singapura?" resah seorang ahli Umno cawangan Air Hitam, Haji Shamsuddin Sidek yang terlalu kecewa dengan keputusan Presiden Umno ini.

Dia mengakui majoriti ahli Umno di peringkat akar umbi tidak bersetuju dengan keputusan Abdullah Ahmad Badawi ini memandangkan dalam jangka masa panjang hampir pasti banyak tanah-tanah Melayu akan tergadai kepada orang asing."Kita pasti Singapura akan mengenakan sekatan untuk keluar-masuk di kawasan yang dibangunkan sedangkan ia adalah tanah air kita".

Haji Shamsuddin bersetuju dengan keluhan dan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang tidak bersetuju langsung membangunkan tanah air sendiri bersama dengan negara asing. "Kami memang bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir terutamanya dari sudut jangka masa panjang kerana 'Melayu sememangnya mudah lupa' dan boleh berlaku 'menang sorak kampung tergadai'.

Dia menambah, sepatutnya Abdullah Ahmad Badawi perlu memikirkan lebih mendalam bagaimana mahu menyelesaikan masalah banjir, mengatasi kemungkinan beberapa daerah di Johor akan 'hilang' dan bukannya menjemput negara asing membangunkan tanah air sendiri. Dia yang berniaga sendiri akan turut hadir dalam Persidangan Agung Umno 2007 di Kuala Lumpur kelak.

Begitu juga pandangan ahli Umno di salah satu cawangan Johor Bharu Shahrom Sajuri yang turut mengakui betapa masalah orang Melayu pada masa akan datang berikutan membenarkan negara asing turut mentadbir negara sendiri.

"Memang sekarang dia boleh bercakap macam-macam seperti ada pemantauan dan jawatankuasa yang dilantik tetapi sejauh mana telus dan telitinya kita memantau pada masa akan datang," katanya yang menyebut sudah wujud 'silent protes' di kalangan ahli-ahli Umno peringkat akar umbi.

"Kita juga ingin tahu sejauh mana perwakilan Umno mahu mengkritik WPI ini di dalam Persidangan Agung Umno kelak walaupun Presiden berulang kali menyebut bahawa dirinya sedia untuk dikritik?. Benarkah perwakilan Umno ada keberanian dan yakin tindakan susulan akan dibuat oleh Presiden kelak?, soalnya lagi.

Dia juga menambah, wujudnya 800,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025 adalah suatu perkara di luar jangkaan kita sedangkan pada masa sekarang Kementerian Sumber Manusia ada menyebut lebih 90,000 lagi masih mencari pekerjaaan. "Selesaikan isu ini sekarang dan bukannya cerita 2025 akan datang”.

Sementara salah seorang Naib Ketua Umno bahagian yang juga menjadi perwakilan Umno ke Persidangan Agung Umno ini memberitahu, dia turut merasai tekanan kepimpinan Umno bahagian-bahagian terhadap isu ini.

"Saya tidak yakin perwakilan Johor benar-benar bersedia untuk mengkritik isu ini di Persidangan Agung Umno kelak memandangkan saat menjaga 'periuk nasi' adalah begitu hampir sekali," katanya.

Perwakilan dari Perhubungan Umno Johor dijangka akan berucap pada 6-8 November 2007 sebaik sahaja selesai ucapan dasar Presiden. - mns

Menjelang Perhimpunan Umno 2007: 'Harakah masih diperlukan oleh orang Umno'

Wartawan Kita
Sat | Nov 03, 07 | 10:50:29 am MYT

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) - Sesetengah ahli dan Perwakilan Umno yang mula membanjri ibu kota mengakui mereka sememangnya membaca akhbar Hakarah dan melihat laman Web pembangkang tetapi tidak mahu namanya disebutkan di dalam akhbar dan laman Web PAS ini dengan alasan 'periuk nasi'.

“Kami sememangnya mengharapkan agar akhbar pembangkang terutamanya Hakarah memainkan beberapa peranan penting terutamanya yang berkaitan dengan Melayu dan Agama Islam, kata beberapa orang ahli dan perwakilan Umno yang berasal dari Perak dan Negeri Sembilan.

“Mungkin ada beberapa berita yang dianggap keterlaluan dan terlalu `menyerang’ Umno tetapi banyak juga berita yang mempertahankan hak orang Melayu dan Agama Islam di negara ini, katanya.

Mereka menambah, walaupun Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berulang kali memberitahu bahawa dirinya bersedia untuk dikritik walaupun pahit tetapi apa yang berlaku kepada bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi pengajaran kepada mereka untuk lebih berhati-hati.

“Kami sendiri mendapat tahu ada kumpulan pemikir di dalam Umno yang memantau segala maklumat di dalam akhbar Harakah dan Laman Web PAS serta parti pembangkang yang lainnya.”Cukup 'berat' rasanya apabila nama kami didedahkan di dalam akhbar terbabit terutamanya yang mengkritik kepemimpinan Presiden," kata mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap memberi maklumat dan kerjamasa dengan wartawan dari akhbar pembangkang ini dari masa ke semasa.

Mereka juga melahirkan rasa 'kecewa' dengan peranan akhbar harian berbahasa Melayu yang lebih memberi keutamaan berita kepada menantu Perdana Menteri ini. “Walaupun mereka mempunyai alasan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk melayan segala berita dari Menteri Kabinet dan Menteri Besar yang terlalu ramai tetapi berita mengenai Khairy sentiasa mendapat keutamaan”.

Mengenai Pilhan raya Umum yang akan diadakan, mereka menganggap Barisan Nasional terutamanya MCA masih lagi menghadapi 'kepayahan' berikutan beberapa isu yang tidak menyebelahi mereka.

“Kemungkinan kenaikan harga gas, harga barang keperluan dan ketiadaan bonus terhadap kakitangan kerajaan masih belum dilihat berpihak kepada kami," kata mereka yang menanggap Umno juga perlu bekerja lebih keras jika mahu menang besar dalam pilihan raya umum kelak. - mns

Panduan Perhimpunan Rakyat Aman BERSIH: Apa hak anda bila berdepan polis?

Saari Sungib
Sat | Nov 03, 07 | 7:38:11 am MYT

Siri Pertama | Salam sejahtera kepada semua pendukung dan pejuang hak rakyat yang akan hadir ke Perhimpunan Rakyat Aman Bersih pada 10 November 2007, hari Sabtu, pukul 3:00 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zul Hasnan Najib Baharudin telah mengeluarkan amaran bahawa pihak polis akan bertindak terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Saya syorkan agar saudara-saudara tidak gentar dengan amaran tersebut. Ditangkap dan ditahan oleh polis tidak bererti saudara-saudara sudah bersalah. Dalam beberapa kes, polis telah dibuktikan oleh mahkamah sebagai pihak yang bersalah kerana membuat tangkapan secara tidak sah, berniat jahat dan bertindak semata-mata atas motif politik.

Kes bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussin baru-baru ini telah membuktikan bahawa Abdul Rahim Noor dan Borhan Daud bukan sahaja melakukan tangkapan tidak sah, tetapi juga telah dibuktikan oleh mahkamah telah mendera dan menyeksa Malek.

Sehingga permohonan rayuan mereka diterima oleh Mahkamah Rayuan, keputusan bertulis yang dikemukakan oleh Hakim Hishamudin Yunus adalah dianggap kukuh dan berwibawa.

Tahu dan hayati hak-hak anda

Sebagai rakyat Malaysia yang bakal turun bagi mempertahankan hak rakyat, saya harap kita sama-sama tahu dan hayati hak-hak kita.

Bila saudara berada di jalan raya atau di luar nanti, ingatlah bahawa:

* Polis memang boleh meminta seseorang itu untuk berhenti dan polis boleh bercakap dengan sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun adalah menjadi hak saudara sama ada mahu menjawab, melayan dan bekerjasama dengan mereka atau tidak. Saya syorkan agar saudara tidak perlu layan mereka. Jangan gentar! Ini adalah hak saudara yang dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang negara.

* Polis juga boleh cuba menyoal dan mendapatkan butiran tentang seseorang sekiranya orang itu telah melakukan kesalahan atau mengesyaki seseorang itu telah melakukan kesalahan. Sekali lagi, saudara tidak perlu menjawab soalan-soalan tersebut sehingga saudara mendapat bantuan daripada seorang peguam.

* Polis tidak boleh memeriksa badan, beg atau barang-barang yang saudara bawa semata-mata kerana saudara disangkakan oleh mereka akan menghadiri suatu perhimpunan.

* Polis boleh memeriksa kereta atau kenderaan yang saudara naiki, atau barang-barang yang saudara bawa, sekiranya mereka percaya pada saudara terdapat barang-barang yang dicuri, senjata atau dadah, peralatan yang digunakan untuk mencuri atau sebarang bukti bagi saudara untuk melakukan sesuatu kesalahan. Oleh itu saya ingatkan agar saudara tidak membawa barang-barang di atas dan teguhkan hati dan yakinkan diri saudara saudara bahawa polis tidak berhak memeriksa kenderaan, badan atau barang-barang saudara.

* Sebelum memeriksa saudara, polis mesti terlebih dahulu memberitahu siapa mereka dan dari balai polis mana mereka datang, kenapa mereka mahu memeriksa saudara dan memberitahu saudara bahawa saudara akan diberikan satu salinan rekod barang yang diperiksa oleh mereka. Jika mereka tidak menyatakan perkara-perkara ini, ingatkan mereka bahawa mereka sedang melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara!

* Ketika polis memeriksa badan, kenderaan atau barang-barang saudara, jika ditanya untuk memberi penjelasan, saudara tidak perlu memberitahu butiran terperinci bagi soalan-soalan mereka. Bahkan, saya syorkan saudara tidak perlu memberi sebarang jawapan.

* Polis mesti menyerahkan kepada saudara satu salinan rekod barang-barang yang diperiksa ketika proses pemeriksaan sedang berlaku atau sebaik saja pemeriksaan selesai mereka jalankan. Kegagalan polis untuk menyerahkan salinan rekod ini bererti mereka bertindak melanggar undang-undang negara.

Ingat, selama ini dalam banyak perkara pihak polislah yang lebih kerap meminggirkan dan mengetepikan undang-undang negara daripada kita para aktivis dan pembela hak rakyat. Jangan takut!

Kembalikan Hak Rakyat!

Dr. Mahathir rindu tunggang kuda

Oleh Norliza Abd. Rahman


DR. MAHATHIR Mohamad ketika berada di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana dengan ditemani isterinya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 2 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan beliau tidak akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan ekoran keadaan kesihatannya.

Dr. Mahathir berkata, dalam keadaan sekarang beliau tidak boleh terlalu terdedah di tempat yang mempunyai ramai orang.

Katanya, selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 21 Oktober lalu ada tempat yang beliau boleh kunjungi dan ada pula tidak.

“Yang mana boleh pergi... pergi, masalahnya kalau orang ramai orang nak bersalam, keadaan terlalu sesak.

“Bila sihat nanti bolehlah jumpa, sekarang pun jumpa juga tapi sesetengah orang saja,” katanya ketika ditanya sama ada akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Kali Ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 5 hingga 9 November ini.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sewaktu mengunjungi pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu beliau ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di IJN pada 4 September lalu dan kemudiannya menjalani pembedahan membersihkan jangkitan pada 22 September.

Beliau pulang ke rumah pada 21 Oktober lalu setelah berada di IJN selama 50 hari.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut melahirkan rasa rindunya untuk melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menunggang kuda.

“Kuda...,” jawabnya spontan sambil tersenyum ketika ditanya apa yang ingin dilakukannya selepas keluar dari IJN.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah meluangkan masa kira-kira setengah jam di yayasan tersebut dan tidak melepaskan peluang memberi makan kepada puluhan ekor ikan kap Jepun yang dipelihara dalam dua buah kolam di situ.

Teruja

Sejurus tiba di yayasan tersebut, beliau dan isteri disambut oleh kakitangan yang kelihatan cukup teruja melihat keadaannya yang semakin sihat.

Dr. Mahathir naik ke tingkat satu dengan menaiki lif ke pejabatnya dan mengambil kesempatan duduk kira-kira lima minit di atas kerusinya.

Pada masa itu, beliau turut bertanya kepada seorang petugas wanita mengenai satu kotak kuih raya yang terdapat di atas mejanya tetapi tidak memakannya.

Walaupun hanya seketika berada dalam pejabatnya, Dr. Mahathir sempat membelek beberapa buah fail sambil dibantu oleh Dr. Siti Hasmah.

Beliau turut meninjau pemandangan tasik di tepi beranda sebelum keluar dari pejabatnya.

Dalam nada perlahan Dr. Mahathir memberitahu, beliau perlu melakukan aktiviti ringan seperti berjalan untuk menguatkan tenaganya.

“Saya rasa sihat, tapi kena perlahan-lahanlah... tak boleh buat kuat-kuat lagi, belum pulih sepenuhnya, nanti dah sihat bolehlah, suara pun tak kuat,” katanya sambil tersenyum.

Mengenai selera makan Dr. Mahathir, beliau sambil berseloroh berkata, walaupun tidak berselera untuk makan sesuatu tetapi perlu berbuat demikian bagi memulihkan kembali kekuatan tenaga badannya.

Dr. Mahathir sempat memberitahu, sudah dua bulan setengah beliau tidak mengunjungi Yayasan Kepimpinan Perdana selepas kali terakhir berbuat demikian pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, Dr. Siti Hasmah memberitahu, suaminya sudah melakukan beberapa aktiviti di luar rumah seperti berjalan-jalan pada waktu petang di tepi tasik Putrajaya dan berkebun.

“Kalau duduk dalam rumah sahaja pun Tun jemu, ini memang rancangan kita (mengunjungi yayasan) sebab Tun perlu buat banyak latihan dan ini sebahagian daripadanya.

“Selera makan Alhamdulillah... Ahad lepas Tun ke kebun, kelmarin (semalam) jalan-jalan dekat tepi tasik di sini,” katanya gembira.

Perwakilan Terengganu ketengah isu pembangunan

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

BESUT 2 Nov. – Terengganu akan mengetengahkan isu berkaitan pembangunan, pendidikan, agama serta konsep pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang akan merancakkan lagi ekonomi orang Melayu pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

Isu akan dibawa oleh empat wakil dari negeri yang telah dipilih untuk berucap.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perwakilan tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.

Menurutnya, dua lagi perwakilan ialah Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Khazan Che Mat dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail.

Menurutnya, perwakilan akan memberi fokus kepada kesemua aspek itu yang telah berjaya dilaksanakan di Terengganu sejak Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

“Perubahan dan keselesaan yang dinikmati oleh rakyat ekoran kenaikan harga komoditi utama iaitu getah dan kelapa sawit akan diberi penjelasan kepada para perwakilan pada perhimpunan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Aidilfitri Felcra Wilayah Timur di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Felcra, Datuk Nasaruddin Hashim dan Ketua Eksekutif Felcra Berhad, Mohd. Nasir Baba.

Idris yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perwakilan juga akan membangkitkan pelancaran ECER yang memberi nafas baru kepada pembangunan Terengganu.

Menerusi ECER, jelasnya, Terengganu bakal menjadi gerbang pelancongan sekali gus memberikan impak yang besar kepada bidang ekonomi dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

“Selain ECER, Terengganu akan menjelaskan pendekatan program Ulul Albab, Sekolah Imtiaz yang telah menjana kecemerlangan pendidikan di Terengganu termasuk kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan lain,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur dengan pemerintahan UMNO dan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana banyak mendatangkan kemajuan untuk dinikmati rakyat.

UMNO Johor sokong kekal format dwibahasa

KOTA TINGGI 2 Nov. – Kerajaan Johor mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran untuk meneruskan format dwibahasa dalam peperiksaan di sekolah pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bagaimanapun UMNO Johor akan terus memperjuangkan soal memartabatkan Bahasa Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

“Walaupun UMNO Johor telah membentangkan usul menolak pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tahun lepas, UMNO Johor pada masa yang sama tetap memikirkan perlunya rakyat di negara ini menguasai bahasa lain terutama Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Tinggi di Kampung Sungai Sembilang di sini hari ini.

Mengenai wakil negeri Johor yang akan berucap dalam Perhimpunan Agung nanti, beliau berkata, ucapan dasar Presiden akan dibahaskan oleh Ketua Penerangan UMNO Johor iaitu Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

“Isu ekonomi dan pendidikan akan dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh sementara isu agama akan dibahaskan oleh Ketua Pemuda Bahagian Sekijang, Ayub Rahmat.

“UMNO Johor akan mengambil kesempatan untuk menguatkan perjuangan UMNO dalam Perhimpunan Agung kali ini,” katanya.

Siaran khas ‘UMNO 25 tahun’ di RTM1 Ahad

KOTA BHARU 2 Nov. – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan semula dokumentari sejarah khas bertajuk ‘UMNO 25 tahun’ pada Ahad ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, dokumentari itu pernah ditayangkan pada tahun 1971 sempena ulang tahun ke-25 penubuhan UMNO.

Menurutnya, dokumentari bersejarah itu akan disiarkan selama 90 minit bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam di saluran televisyen RTM1.

‘‘Ia perlu ditonton semua lapisan rakyat kerana dokumentari ini memaparkan peristiwa-peristiwa politik yang bermakna dalam sejarah negara dan ada hubung kait dengan UMNO sehingga membawa kepada tercapainya kemerdekaan pada 31 ogos 1957.

‘‘Bukan itu sahaja, dokumentari ini juga menceritakan bagaimana UMNO turut memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan Kementerian Penerangan dan Majlis Komuniti Bestari di sini hari ini.

Menurut Zahid, dokumentari itu memaparkan sumbangan beberapa tokoh veteran negara antaranya bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak; Tan Sri Sardon Jubir, Ibu Zain; Senu Abdul Rahman dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.

Peraturan pemilihan dikaji semula: Najib

Oleh Wan Hazmir Bakar


CARI PENYELESAIAN: Najib mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat, di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamad Hatta Ab Aziz (dua dari kanan).

Kaedah lebih berkesan tangani masalah politik wang



PUTRAJAYA: Umno mengkaji semula peraturan pemilihan bagi mencari kaedah lebih berkesan bagi menangani masalah politik wang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa mahu menyatakan bentuk kaedah yang akan diperkenalkan itu, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan dilaksanakan ketika pemilihan parti akan datang.


"Kita mahu membanteras politik wang... perkara ini tidak timbul sangat tahun ini tapi bila kita ada pemilihan nanti, kita kaji semua peraturan untuk lihat cara dan kaedah yang lebih berkesan menangani masalah ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Najib diminta mengulas amaran Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail, kepada pemimpin Umno negeri dan bahagian parti supaya tidak cuba mengumpan hadiah kepada ahli bagi menentukan perwakilan untuk pemilihan akan datang.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, Rabu lalu, Tengku Ahmad Rithauddeen mendedahkan ada Ketua Perhubungan Umno negeri, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Puteri peringkat Bahagian memberi hadiah kepada ahli dengan mesej memilih perwakilan tertentu.

Katanya, Lembaga Disiplin mengesan perkara itu daripada keterangan yang diberikan saksi ketika siasatan aduan politik wang, tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tiada laporan khusus mengenai perkara berkenaan.

Pemilihan Umno yang ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum akan datang dijangka diadakan tahun depan.

Johor sentuh perjuangan bangsa Melayu

KOTA TINGGI: Umno Johor akan terus membangkitkan isu perjuangan bangsa Melayu dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum kerana parti itu adalah tulang belakang kepada kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata semua agenda Melayu yang diperjuangkan Umno negeri, adalah asas kepada penubuhan parti itu sejak 61 tahun lalu dan ahli parti tidak perlu takut untuk memperjuangkannya.

"Umno bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu tetapi juga kaum lain, jadi tidak perlu ahli parti takut untuk memperjuangkan agenda Melayu kerana kestabilan kerajaan dan BN terletak pada Umno," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Umno Bahagian Kota Tinggi di Kampung Sungai Sembilang, Felda Air Tawar di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Setiausaha Umno negeri, Datuk Ali Hassan dan barisan exco kerajaan negeri.

Abdul Ghani berkata, Perhimpunan Agung Umno sudah berlangsung sejak parti itu ditubuhkan, dan ia menjadi medan dan wadah terbaik untuk ahlinya, yang mewakili majoriti orang Melayu untuk memperkatakan mengenai sebarang isu mengenai orang Melayu.

"Mungkin, tahun lalu, terdapat sedikit sentimen disebabkan perhimpunan agung disiarkan secara langsung di televisyen tetapi saya berpendapat bahawa ia tidak sepatutnya menjadi halangan kepada ahli untuk memperkatakan mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu," katanya.

Ditanya sama ada Umno Johor akan terus memperjuangkan isu bahasa Melayu, Abdul Ghani berkata, perjuangan itu sebenarnya menjadi sebahagian kepada perjuangan Umno dari negeri lain kerana ia adalah asas perlembagaan parti.

"Perjuangan bahasa Melayu bukan dari Umno Johor saja, tetapi juga patut dari Umno negeri lain, kerana ia termaktub dalam asas perlembagaan parti.

"Bagaimanapun, kita tetap menyokong dasar kerajaan untuk meneruskan pengajaran bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik seperti yang diumumkan baru-baru ini, kerana ia akan meningkatkan keupayaan orang Melayu untuk menguasai bidang ilmu ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, Badan Perhubungan Umno negeri melantik Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Senator Dr Mohd Puad Zarkashi membahaskan ucapan dasar Presiden parti manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh membahaskan usul ekonomi dan sosial.

"Usul agama pula akan dibawa Ketua Pemuda Sekijang yang juga Adun Kemelah, Ayub Rahmat dan saya berharap ketiga-tiga ucapan ini, akan dapat mewakili hasrat sebenar perjuangan Umno Johor sebagai tulang belakang parti," katanya.

Perhimpunan Umno tak asing bagi Jeanne

Oleh Shamshul Azree Samshir


KONGSI CERITA: Jeanne berbual bersama wartawan pada majlis suai kenal bersama media serta jamuan Aidilfitri di Dewan Bankuet di Seri Perdana Putrajaya, semalam.

Isteri PM tidak campur urusan rasmi, mahu suami tenang di rumah

PUTRAJAYA: "Sebaik melangkah ke dalam dewan kelak, barulah saya tahu bagaimana perasaan saya," kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang untuk pertama kali akan mengiringi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu ini.

Bagi Jeanne, kehadiran beliau pada perhimpunan itu sebagai isteri Presiden Umno adalah pengalaman baru, walaupun sudah lima bulan bergelar isteri Perdana Menteri dan menemani Abdullah dalam pelbagai majlis rasmi di seluruh negara.

Namun, Jeanne berkata Perhimpunan Agung Umno bukan sesuatu yang asing baginya kerana beliau pernah menghadiri perhimpunan itu sebelum ini.


"Saya tidak tahu (untuk menggambarkan perasaan itu sekarang). Bagaimanapun, saya tahu (suasana) persidangan yang akan diadakan dan apa yang boleh dijangka," katanya kepada pemberita pada majlis suai kenal bersama media serta jamuan Aidilfitri di Dewan Bankuet di Seri Perdana di sini, semalam.

Lebih 150 anggota media tempatan menghadiri majlis itu yang diadakan dalam suasana santai dan sederhana.

Ditanya apakah beliau mengikuti dan sukakan politik, Jeanne berkata beliau tidak mencampuri urusan Perdana Menteri dan Abdullah juga tidak membawa soal kerja ke rumah.


Malah, katanya, beliau tidak akan bertanya mengenai soal kerja selepas melihat sendiri apa yang terpaksa dilalui Abdullah saban hari.

"Saya melihat suami saya, mengikuti beliau ke sana-sini, memberikan ucapan demi ucapan... Jadi, saya tidak mahu beliau bimbang lagi, rumah adalah syurga," katanya sambil menambah matlamat utamanya ialah untuk sentiasa menemani dan memberi sokongan kepada suaminya.

Jeanne berkata, beliau akan memastikan Abdullah menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini dengan sempurna, khususnya aspek penampilan.

"Saya secara kasar tahu apa yang perlu dipakai... kami sudah mengeluarkan beberapa (persalinan Baju Melayu) dan memilih yang mana paling sesuai," katanya.

Pada majlis itu, Jeanne turut berkongsi banyak cerita mengenai kehidupannya termasuk perkara yang ingin dilakukan bersama dua anak kesayangannya, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie Othman.

Katanya, Nadiah dan Nadene hanya berpeluang menemuinya pada masa terluang atau sebelum beliau memenuhi temujanji yang sudah diatur.

"Saya rindukan masa bersama mereka berdua, keluar bersama-sama untuk menikmati kopi, menonton wayang atau bersiar-siar," katanya.

Jeanne berkata, walaupun menyedari kehidupannya kini agak terkawal, beliau tidak mahu memikirkannya sehingga menjadi beban.

"Saya tiada masa untuk berasa bimbang sebaliknya saya ambil langkah satu persatu... setiap hari apabila saya bangun dari tidur, saya akan ikuti program (yang disusun) dan selalunya memang penuh... saya akan ikut apa yang patut dibuat," katanya.

Jeanne berkata, beliau sungguh terharu dengan sambutan yang diberikan rakyat dalam lawatannya di seluruh negara dan berazam untuk membalas kebaikan itu.

"Apabila saya pergi negeri lain, memang ramai hendak jumpa saya dan saya rasa berbesar hati... amat mengagumkan, saya mendapat sambutan baik, maka perlulah saya membalasnya dengan cara baik termasuk membantu mana yang boleh," katanya.

Menyentuh mengenai misinya untuk menggalakkan rakyat berkebun di halaman rumah, Jeanne berkata sejak kecil, beliau dididik mencintai tumbuh-tumbuhan.

Katanya, bapanya, Matthew Danker, suka menanam pokok atau sebarang tumbuhan sebanyak empat batang untuk dijaga mereka empat beradik.

"Saya selalunya akan memastikan pokok dijaga baik, jika ia berbuah saya akan berusaha membungkus buah dengan rapi menggunakan kertas, diketip atau digam supaya nampak kemas," katanya yang banyak menanam ulam-ulaman dan herba di kediamannya sekarang.

Seperti yang sering dialami pasangan yang baru berkahwin, Jeanne tidak terlepas daripada soalan bagaimana beliau dilamar. Namun beliau mahukan detik manis itu menjadi rahsia mereka berdua.

"Saya sudah menjadi isteri Perdana Menteri dan apa yang berlaku (bagaimana beliau dilamar) adalah antara kami berdua dan kami mahu ia kekal sebagai rahsia kami," katanya.

Mengenai isu wanita dan kanak-kanak yang menjadi perhatian sekarang, Jeanne berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, melakukan tugas dengan baik dan percaya semua isu boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan semua pihak.

Jeanne berkata, wanita berkarier perlu mengorbankan kehidupan sosial dan memberikan sepenuh tumpuan dan masa kepada anak-anak.

"Ibu perlu menghabiskan sebanyak mungkin masa bersama kanak-kanak... Ia perlu kerana kanak-kanak mudah meniru perlakuan kita, jadi perlulah kita memberi contoh terbaik kepada mereka," katanya.

Wanita tidak halang ahli bertanding

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno tidak menghalang ahlinya bertanding pada pemilihan parti itu, dengan syarat tidak mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga, kata Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, selama ini, keputusan untuk menjadi calon pada mana-mana pemilihan parti itu terletak pada ahli pergerakan itu, bukan atas desakan pihak tertentu, termasuk kepemimpinan parti.

"Tidak ada siapa yang halang wanita bertanding, kalau rasa dia layak nak bertanding ketua cawangan atau bahagian, silakan bertanding. Kita memang amalkan konsep terbuka, memang bebas.

"Tetapi kadang-kadang wanita itu sendiri tidak mahu bertanding terutama pada peringkat bahagian yang membabitkan calon lelaki. Lagi pun dulu bertanding senang, tetapi sekarang kalau nak bertanding...kalau tidak beriya-iya berkempen, orang tidak akan pandang.

"Ada juga wanita Umno yang bagus dan pandai, tetapi ada anak kecil pula. Saya tidak mahu dia mengabaikan anak, suami dan rumah ditinggalkan hanya untuk mengejar jawatan ketua bahagian," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Rafidah berkata, pergerakan itu juga tidak mengongkong ahlinya untuk mengetengahkan kewibawaan dan keupayaan mereka sebagai pemimpin, walaupun sedar ia sukar dilaksanakan terutama di kalangan wanita berkeluarga.

"Wanita Umno susah sikit (berkempen), nak bebas sampai ke malam jam 2 atau 3 pagi duduk di coffee house, jadi mungkin ada yang kata tidak perlu dan cukup sekadar berkhidmat dalam parti, bukan kerana jawatan.

"Sebenarnya berkhidmat pada peringkat akar umbi lebih berharga daripada jawatan, ada kalanya wanita menilai dirinya dan menganggap jika bertanding dengan lawannya lelaki.. mungkin nanti tak pasal-pasal menjadi korban," katanya.

Berikutan itu, katanya, ramai wanita yang berpendirian adalah lebih baik kekal dalam pergerakan itu dan berkhidmat pada peringkat bahagian, bukannya memberi tumpuan khusus untuk merebut kerusi ketua bahagian.

Beliau berpendapat keberkesanan melaksanakan tugas untuk parti tidak bergantung pada jawatan, sebaliknya perjuangan pada peringkat akar umbi juga mampu membawa perubahan kepada wanita negara ini.

"Kita tidak boleh desak (wanita bertanding) sebab tidak mahu wanita berkenaan menjadi ketua bahagian hanya untuk sepenggal saja dan lepas itu digugurkan kerana tidak berkesan... lepas itu merajuk dan orang tak lantik jadi jawatankuasa bahagian... habis langsung," katanya.

Pemimpin Pemuda berpeluang berucap

MELAKA: Majoriti pembahas Pergerakan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan terdiri daripada ketua pemuda negeri bagi memberi laluan kepada mereka yang kebanyakannya akan tamat tempoh usia pemuda pada tahun ini.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim akan berucap sebagai pencadang bagi Usul Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno, manakala Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria sebagai penyokong.

Daripada 12 pembahas yang mewakili setiap negeri pula, tujuh adalah Ketua Pemuda Negeri iaitu Mohd Rawi Abdul Hamid (Kedah); Dali Husin (Kelantan); Ashakari Abu Noor (Melaka); Shukor Idris (Selangor); Datuk Khairuddin Yaakob (Pahang); Razali Ibrahim (Johor) dan Zainol Fadzi (Perak).

Empat lagi adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian terdiri daripada Mohd Zaidi Said (Permatang Pauh); Abd Samad Ibrahim (Kuala Pilah); Hamunir Hamzah (Kuala Kangsar) dan Osman Ahmed (Sipitang). Terengganu pula diwakili Naib Ketua Pemuda Bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki.

Azimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa usul Pemuda berkata, kebanyakan ketua pemuda negeri akan tamat tempoh usia pemuda pada tahun ini dan sewajarnya mereka diberi peluang untuk bercakap di perhimpunan kali ini.

Dari segi isu yang akan dibahaskan kata beliau, ia tidak ditetapkan cuma panduan diberi secara kasar yang meminta supaya setiap jurucakap memberi respons dan cuba membahaskan isu semasa.

"Soal pilihan raya mungkin tidak banyak yang bercakap kerana belum tiba masanya lagi, walaupun ia rutin bagi kita. Mungkin antara lain perkara yang akan dibincangkan ialah berkaitan tindakan membakar bendera di Terengganu, peningkatan kadar jenayah dan kemasukan pekerja asing.

"Pemuda akan lebih banyak membincangkan isu semasa," katanya sambil menambah setiap tahun barisan pembahas Pemuda membuat penyelidikan dan rujukan sebelum bangun berucap.

Azimi berkata, sebelum perhimpunan berlangsung, kesemua pembahas akan dipanggil untuk melihat topik yang dibincangkan dan dari sudut mana mereka nak sentuh.

"Ini tidak bermakna kita mahu menghalang mereka daripada menyentuh mengenai apa saja isu yang mereka nak cakap," katanya.

"Cuma kita nak tahu isu yang mereka nak bawa kerana kita tak nak lihat perbahasan yang akan memberi kesan negatif terhadap imej Pemuda dan Umno," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Perhimpunan Agung Umno untuk orang Melayu, jadi mereka boleh bercakap apa saja untuk kepentingan orang Melayu.

"Inilah pandangan kita, walaupun mungkin perlu sedikit berhati-hati untuk kita menjaga hubungan sesama parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), dalam masa sama kita tidak boleh nak sekat atau halang seseorang itu daripada bercakap apa saja dia rasa perlu dan penting untuk memperlihatkan Umno sebagai parti yang memperjuangkan hak serta kepentingan orang Melayu.

"Nasihat saya, apa anda nak cakap... cakaplah, tetapi yang penting setiap jurucakap perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dia ucapkan," katanya.

Menu tradisional, Barat, Jepun untuk perwakilan

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Lebih 140,000 kilogram (kg) bahan mentah pelbagai jenis untuk menyediakan makanan sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 yang berlangsung lima hari bermula 5 hingga 9 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Yaakob Mohammad, berkata sebanyak 55 bahan mentah seperti ikan, ayam, sotong udang harimau selain pelbagai sayuran dan bahan perisa disediakan bagi menyediakan 100,500 set makanan pagi, tengah hari dan malam untuk ribuan perwakilan dan pemerhati Umno, jemputan serta wartawan sepanjang perhimpunan itu.

Beliau berkata, pelbagai jenis makanan termasuk hidangan tradisional, Barat dan Jepun akan disediakan 77 pekerja dapur dan chef tetap PWTC dengan dibantu 33 pekerja sementara yang kini sibuk membersihkan bahan mentah sebelum memulakan kerja memasak pada Ahad ini.

"Antara bahan mentah yang akan digunakan ialah 50 kg beras; 20,000 potong ayam pandan; 15,000 kg ayam; 10,000 kg daging; 5,000 kg udang harimau dan 10,000 kg tauhu Jepun untuk masakan lebih 12,000 orang. Ini termasuk hidangan untuk majlis makan malam Perdana Menteri pada 7 November dan Timbalan Perdana Menteri pada 8 November.

"Sepanjang seminggu perhimpunan, dapur ini akan beroperasi 24 jam dan pekerja mengikut syif ditetapkan. Walaupun terpaksa menyediakan makanan dalam jumlah besar, kita mahu memastikan pekerja menitikberatkan kebersihan makanan," katanya pada sidang media "Persiapan di Sebalik Tabir" sempena Perhimpunan Agung Umno di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar, pengurusan PWTC akan dibantu 920 kakitangan, selain menggunakan khidmat 800 petugas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk memantau soal keselamatan dan mengawal kawasan persekitaran.

Selain itu, katanya, latar pentas untuk perhimpunan kali ini juga mendapat sentuhan berbeza apabila mempamerkan wajah ceria Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta rentetan peristiwa penting negara dan prinsip Islam Hadhari.

"Pentas sepanjang 85 kaki dan ketinggian 60 kaki itu juga dihiasi latar belakang berkonsep angkasa lepas, 10 prinsip utama Islam Hadhari sebagai panduan masyarakat Malaysia tidak kira di dalam dan luar negara. Oleh kerana perhimpunan ini dijalankan pada Syawal, kita turut menyelitkan konsep hiasan hari raya," katanya.

"Kita juga mengambil berat soal keselamatan awam dan sudah menyediakan bilik kecemasan dan perubatan di tingkat tiga PWTC yang diketuai seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan selama lima hari. Khidmat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) turut disediakan," katanya.

sambil menambah pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk melakukan persiapan perhimpunan itu.

Yaakob yang juga Setiausaha Kerja Umno berkata, pihaknya juga meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan tiada sebarang 'bahan' terlepas kepada perwakilan, terutama sepanjang tempoh sekretariat Umno menguruskan pengisian beg untuk perwakilan.

Beliau berkata, lebih 4,000 perwakilan daripada 191 bahagian Umno akan hadir, selain 33 parti politik dari 30 negara diundang menyaksikan perhimpunan itu dan setakat ini, 12 parti dari 12 negara membabitkan 34 delegasi sudah mengesahkan kehadiran, selain 57 wakil dari 68 Kelab Umno Luar Negara.

Katanya, seramai 1,400 wartawan, jurugambar dan jurukamera media cetak dan elektronik akan membuat liputan sepanjang perhimpunan itu. Selain itu, sebanyak 298 lot gerai jualan pelbagai jenis produk oleh ahli Umno seluruh negara disediakan di lobi PWTC.

Peraturan pemilihan dirombak

PUTRAJAYA: Umno akan mengkaji semula peraturan pemilihan bagi mencari kaedah lebih berkesan bagi menangani masalah politik wang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa mahu menyatakan bentuk kaedah yang akan diperkenalkan itu, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan dilaksanakan ketika pemilihan parti akan datang.

"Kita mahu membanteras politik wang... perkara ini tidak timbul sangat tahun ini tapi bila kita ada pemilihan nanti, kita kaji semua peraturan untuk lihat cara dan kaedah yang lebih berkesan menangani masalah ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Najib diminta mengulas amaran Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail, kepada pemimpin Umno negeri dan bahagian parti supaya tidak cuba mengumpan hadiah kepada ahli bagi menentukan perwakilan untuk pemilihan akan datang.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, Rabu lalu, Tengku Ahmad Rithauddeen mendedahkan ada Ketua Perhubungan Umno negeri, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Puteri di peringkat Bahagian memberi hadiah kepada ahli dengan mesej memilih perwakilan tertentu.

Katanya, Lembaga Disiplin mengesan perkara itu daripada keterangan yang diberikan saksi ketika siasatan aduan politik wang tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tiada laporan khusus mengenai perkara berkenaan.

Pemilihan Umno yang ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum akan datang dijangka diadakan tahun depan.

Piket besar-besaran kakitangan bank tuntut bonus, kenaikan gaji

Roy Rasul/Muhammad Nor
Sat | Nov 03, 07 | 3:03:41 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) - Kira-kira 13,000 kakitangan bank yang terdiri daripada ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) mengadakan piket besar-besaran di hadapan Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini sejak pagi tadi.

Mereka yang datang dari seluruh pelusuk tanah air menuntut pihak majikan memberikan bonus dan kenaikan gaji di samping melahirkan rasa tidak puas hati terhadap layanan majikan ke atas mereka.

Suasana di hadapan Menara Maybank menjadi hiruk pikuk dengan laungan peserta piket "We want bonus" beserta hon kereta lalu lalang yang memberikan sokongan kepada mereka.

Bagaimanapun keadaan masih terkawal dengan bantuan pihak polis dan RELA yang yang ditempatkan di situ untuk mengawal keadaan.

Menurut jurucakap piket berkenaan, J. Solomon yang juga Setiausaha Agung NUBE, pada pukul 2.45 peserta yang beragama Islam (lelaki dan perempuan) akan berarak ke Masjid Jamek berdekatan untuk mengadakan solat hajat.

Selain itu beliau juga berkata bahawa piket yang serupa akan terus diadakan sekiranya pihak majikan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tuntutan yang dibuat selama ini.

Turut kelihatan dalam piket tersebut ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahrir Syed Mohamud, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Tian Chua dan wakil beberapa NGO seperti Jerit dan lain-lain.

Dalam ucapannya di piket tersebut Syed Shahrir menyeru supaya pihak bank segera memenuhi tuntutan yang dibuat dan menggesa Menteri Sumber Manusia Dato' Dr Fong Chan Onn segera campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Piket yang dianjurkan dijangka berakhir jam 3.00 petang. - mns

Terengganu pilih topik pembangunan

JERTIH: Umno Terengganu akan memberi penekanan terhadap isu pembangunan dan program pendidikan yang bakal dinikmati rakyat di negeri ini ketika perbahasan di Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata, selain itu wakil Umno Terengganu juga akan menyentuh program pembangunan gerbang pelancongan, Taman Ilmu dan Kuala Terengganu sebagai Bandar Pesisir Air dalam rangka pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Katanya, rakyat negeri ini yang kini hidup selesa dan bakal menikmati pelbagai program pembangunan amat menghargai sumbangan Umno dan perhimpunan minggu depan akan memberi penjelasan kepada seluruh rakyat.

Idris yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata, kejayaan negeri ini melaksanakan pelbagai program terutama dalam bidang pendidikan dan agama akan mencetus semangat baru kepada perjuangan parti.

Katanya, ahli parti juga begitu bersemangat dengan perhatian berat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap usaha yang dilakukan untuk memajukan Terengganu.

"Saya yakin ahli parti akan turut serta memberi sokongan terhadap apa yang sedang dan akan berlaku di negeri ini dalam tempoh terdekat," katanya selepas menghadiri majlis Aidilfitri Felcra Wilayah Timur, di sini, semalam.

Idris berkata, Umno negeri melantik empat wakil sebagai jurucakap untuk berbahas pada perhimpunan kali ini. Katanya, wakil yang dilantik ialah Ketua Parlimen Kemaman merangkap Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai jurucakap utama, Datuk Ahmad Razali Ismail (Ahli Parlimen Kuala Terengganu) yang akan menyentuh isu pendidikan, Khazan Che Mat (Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Rakit) dan Datuk Wan Hisham Wan Salleh (ekonomi).

Beliau yakin empat tokoh dari Terengganu itu mampu mengetengahkan isu berkaitan pada perhimpunan kali ini.

Idris menyifatkan perhimpunan minggu depan amat menarik kerana negeri di Pantai Timur diberi perhatian dalam usaha memajukan wilayah dan sudah tentu seluruh rakyat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri.

Friday, November 02, 2007

Menjelang perhimpunan Umno, Khairy perlu jawab 10 isu

Murtadza Ibrahim
Fri | Nov 02, 07 | 2:23:08 pm MYT

Baru-baru ini dalam Berita Harian (31 Oktober 2007) Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata dia sedia menerima sebarang kritikan terhadapnya secara terbuka terutama status sebagai menantu Perdana Menteri yang dipandang serong ramai pihak.

Dia berkata, ketika menyertai politik lebih tujuh tahun lalu dia sudah bersedia untuk segala kritikan yang dianggapnya sebagai asam garam politik.

“Apabila saya memilih bidang ini (politik) saya harus menerima dan sedia untuk segalanya. Saya bukan jenis orang yang hanya melakukan sesuatu dengan cukup syarat. Kalau itu yang saya lakukan tiada guna saya berada dalam politik.

“Rakyat akan menjadi HAKIM kepada kepemimpinan kita. Mereka boleh tidak mengundi kita pada pilihan raya jika merasa kita tidak melakukan tanggungjawab dengan baik,” tambah beliau dalam Majlis Cempaka Annual Leadership Night 2007 di Sekolah Sri Cempaka Cheras.

Bekas pelajar Oxford ini dipetik sebagai berkata, sebagai pemimpin tidak semua keputusan diambilnya difahami orang ramai sehingga menjadi sasaran kritikan.

Khairy tidak salah berkata demikian di dalam politik Umno dan politik Malaysia. Tiada undang-undang yang tidak membenarkan menantu, anak mahupun saudara mara berada di dalam politik. Bukan sahaja undang-undang Malaysia tetapi juga undang-undang di negara-negara luar juga juga tidak termaktub keluarga dilarang menyertai politik.

Tetapi Khairy tersilap apabila berkata sebagai pemimpin semua keputusan diambilnya tidak difahami orang ramai sehingga menjadi sasaran kritikan. Melainkan umat yang kurang berpendidikan atau di bawah sedar, semua faham mengenai pemimpin. Majoriti pemimpin tertinggi dunia faham tiada anak atau menantu yang menjadi ahli politik semasa mereka berkuasa. Anak dan menantu akan menjadi ahli politik sepenuh masa apabila ayah atau ibu mereka berhenti mahupun dipecat.

Yang paling hampir, semasa era Tun Dr Mahathir Muhamad, beliau tidak membenarkan anaknya Dato Mokhzani aktif di dalam politik walaupun sebagai Bendahari Pergerakan Pemuda Umno. Dr Mahathir dan pemimpin tertinggi Umno yang cerdik begitu faham dengan peranan 'kuasa' seandainya anak atau menantunya terbabit dalam politik Umno. Anak dan menantu yang mahu berniaga tidak memberi impak besar kepada pemimpin tertinggi mahupun rakyat tetapi peranan 'kuasa' bukan sahaja boleh menghancurkan pemimpin terbabit bahkan parti yang didokonginya.

Oleh kerana Khairy sememangya bersedia untuk mendengarkan kritikan secara terbuka, dia perlu terlebih dahulu menjawab 10 perkara sebelum diajukan 10 perkara yang lain. 10 perkara tersebut adalah:

* Apakah kemenangan beliau tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda Umno pada tahun 2004 adalah kerana kekuatan, kewibawaan dan populariti peribadi sendiri tanpa dikenali sebagai menantu Presiden Umno?

* Apakah benar beliau tidak terbabit menjatuhkan Dato Mukhriz Mahathir dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kubang Pasu yang dimenangi oleh Hj Mohd Ros @ Zulkifli Ahmad.

* Apakah sebab dengan kedudukan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan menantu kepada Presiden Umno, beliau tergesa-gesa menghantar pasport antarabangsa Dato Seri Anwar di kediaman Dato Seri Anwar di Bukit Damansara? Apakah Presiden Umno ini tidak mengetahui langsung sedangkan bekas Timbalan Presiden Umno ini akan memegang jawatan Penasihat KeADILan? Bagaimanakah perasaan Dato Seri Najib Tun Razak dan Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien serta ahli Umno yang lainnya?

* Semasa Dr Mahathir menyebut mengenai penjualan MV Augusta dengan harga satu euro sahaja, hanya Khairy sahaja yang menjawab secara 'detail' semasa merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda Umno bahagian-bahagian pada tahun 2006 lalu. Dia hanya Naib Ketua Pemuda dan bukannya mempunyai jawatan dalam kerajaan mahupun kabinet. Kenapa bapa mentuanya tidak menjawab ketika itu?

* Apakah benar beliau tidak pernah terbabit di dalam Khazanah Holding semasa saorang individu dari negara India (kini sudah tiada) dalam meluluskan beberapa projek di luar negara? Pernahkah beliau mengarahkan segala minit mesyuarat tidak perlu dihantar kepada Dato Shahrir Samad selaku Pengerusi PAC di dalam beberapa projek di Khazanah Holding?

* Apakah benarkah beliau tidak pernah terbabit untuk menukarkan dua orang pegawai polis di KLIA dalam tempoh 24 jam kerana memeriksa pasport antarabangsanya mengambil masa yang lama? Benarkah dua orang pegawai polis terbabit kini bertugas di sekitar negeri Selangor?

* Apakah benar beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana Menteri Besar atau Menteri Kabinet supaya memberikan projek kepada kroni beliau? Begitu juga ibu beliau tidak terbabit?

* Apakah dengan pengaruhnya sekadar Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, TV3 boleh menyiarkan program realiti My Team secara live pada Mei 2006 dan Oktober 2007 sedangkan untuk menyiarkan perlawanan yang membabitkan negara begitu sukar sekali?

* Apakah benar dengan pengaruhnya sekadar Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, begitu kerap akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan berita beliau walaupun ia tidak mempunyai nilai berita (news value)?

* Apakah pekerjaan beliau sekarang sebaik sahaja melepaskan jawatan Ahli Lembaga Pengarah ECM-Libra? Adakah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno mempunyai gaji yang begitu lumayan sehingga beliau boleh bergerak merata tempat dan kononnya mempunyai beberapa orang pegawai peribadi? Kenapa kes ECM-Libra masih belum diumumkan siasatannya jika mempunyai isu yang `mencurigakan’?

Ini adalah 10 perkara yang perlu Khairy jawab sebelum 10 perkara lain akan ditimbulkan untuk mengelakkan kewibawaan dan kehebatan beliau tercalar; bukan disebabkan sebagai menantu kepada Perdana Menteri dan tidak pernah menggunakan pengaruh kuasa dalam situasi tersebut.

Khairy boleh menjawab dia bersedia dengan segala kritikan terhadap dirinya secara terbuka dan begitu juga dengan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menyebut dia bersedia mendengar kritikan walaupun pahit.

Masyarakat umum sudah mengetahui dengan sikap pemimpin dan ahli Umno terutamanya semasa berlangsungnya Persidangan Agung Umno 2007 yang bermula pada 5 November depan. Tetapi masyarakat umum akan menjawab kenyataan menantu Abdullah Ahmad Badawi yang menyebut Rakyat Akan Menjadi HAKIM kepada kepimpinan kita. Mereka BOLEH TIDAK MENGUNDI jika merasa kita tidak lakukan tanggungjawab dengan baik.

Khairy tidak perlu risau jika dia menjadi calon BN, Ahli Parlimen mahupun Adun di Negeri Sembilan. Tetapi Khairy perlu berhati-hati dan 'sedikit risau' dengan kedudukan bapa mentuanya selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Apakah rakyat kita masih menerima dengan kedudukan BN yang menang besar tetapi menghadapi kenaikkan harga gas dan taraf hidup berbanding dengan kedudukan wujudnya pembangkang yang kuat? Tepuk dada tanya selera. Mungkin Khairy yang sedang 'berselera' sekarang!

Polis didakwa cuba mengugut untuk batalkan perhimpunan 10 Nov

Roy Rasul
Fri | Nov 02, 07 | 5:02:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Pasukan polis dilihat cuba membuat ugutan untuk menggagalkan perhimpunan aman rakyat Malaysia yang dianjur oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) di Dataran Merdeka pada 10 November ini, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Ini katanya, berikutan beliau menerima surat dari Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman bertarikh 29 Oktober lalu menyatakan bahawa Bersih perlu mengemukakan permohonan untuk perhimpunan tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk pertimbangan selanjutnya.

Walhal katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini, Bersih telah memaklumkan kepada pihak keselamatan bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman.

"Pada saya walaupun saya bukan sekretriat Bersih tetapi polis tidak sepatutnya mengeluarkan ugutan menangkap mereka yang hadir pada perhimpunan tersebut di bawah Akta Polis," katanya.

Sementara itu, surat daripada polis berkenaan yang bertajuk Perhimpunan Aman Rakyat Malaysia telah menjelaskan bahawa mereka menerima maklumat mengenai perhimpunan/perarakan di Dataran Merdeka itu.

Bagaimanapun, mereka mengatakan setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi belum menerima sebarang permohonan untuk itu.

"Dengan ketiadaan lesen polis untuk menganjurkan perhimpunan tersebut ia adalah satu kesalahan di bawah Sek 27 (3) Akta Polis 1967 dan polis boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah seksyen tersebut," surat tersebut dipetik.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media yang difakskan kepada Harakah hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam berkata, hak berhimpun secara aman mesti dibenarkan seperti yang diperuntuk dalam perlembagaan artikel 10 dan artikel 20 United Nation Declaration of Human Right (UDHR).

Bagaimanapun katanya, perhimpunan yang diadakan perlu mematuhi undang-undang sedia ada dan hak berhimpun mesti berada dalam rangka kebebasan yang dibenarkan undang-undang. - mns

Bersih anjur kempen 'hit n run', ajak rakyat sertai himpunan 10 Nov

Intan Abdullah
Fri | Nov 02, 07 | 4:29:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah melancarkan kempen 'Gelombang Kuning semalam di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan akhbar yang dihantar kepada Harakahdaily, jurucakap Bersih, Faisal Mustafa berkata melalui kempen tersebut, para pendokong dan pencinta demokrasi diminta mengenakan pakaian serta apa sahaja yang berasaskan kuning bagi menyatakan protes dan bosan terhadap demokrasi 'pada nama' yang diamalkan di negara ini.

Sementara itu, ujarnya Bersih juga mengadakan penyebaran Handbill dan riben kuning bermula dari 1 hingga 10 November di beberapa di sekitar Kuala Lumpur.

3 November jam 3 petang di Masjid India, 4 November di Lot 10, Bukit Bintang pada jam 2 petang, di KL Sentral pada 5 November jam 4.30 petang, 6 November jam 5 petang di stesen LRT Universiti dan 7 November di Jalan Petaling pada jam 5 petang.

Selain itu, terdapat juga beberapa blog dan laman web yang disediakan bagi membantu promosi kehadiran perhimpunan tersebut.

Selain www.bersih.org, laman web yang sering dikunjungi ialah 10november.perhimpunan.com, serta beberapa blog iaitu faisalmustafa.blogspot.com, blackinkorea.blogspot.com dan chekgubard.blogspot.com. - mr

Tiada apa yang baru dalam ECER, cuma kempen pilihan raya

Basiron Abdul Wahab
Fri | Nov 02, 07 | 12:32:24 pm MYT

Makna 'ECER' di dalam Kamus Dewan bermaksud menjelejehkan contohnya menjelejehkan air, minyak dan sebagainya atau menaburkan (di sana-sini), menceritakan atau mengheboh-hebohkan.

Sama ada ia difahamkan dengan maksud menceritakan atau menjejejehkan atau mengheboh-hebohkan, erti ECER dalam konteks wilayah ekonomi pantai timur tidaklah berbeza daripada apa yang dimaksudkan itu.

Plan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (WEPT/ECER) yang dilancarkan pada 29 Oktober lalu adalah projek gembar-gembur menjelang pilihan raya dan ia akan di 'wiridkan' setiap saat oleh media arus perdana sehingga ia melekat dalam pemikiran rakyat khususnya penduduk di negeri-negeri pantai timur.

Mungkin kenyataan itu agak keterlaluan tetapi untuk menafikan ECER tidak digembar gembur adalah tidak benar, kerana kerajaan Barisan Nasional telah menjelejeh ECER sama seperti program Rancangan 2020, Rancangan Malaysaia ke-9, Angkasawan sebelum ini .

Plan pembagunan wilayah yang dikatakan terbesar itu meliputi kawasan seluas 66,736 km persegi meliputi empat buat negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Johor (sebelum ini Johor sudah mempunyai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), ertinya Johor mempunyai dua Plan pembangunan wilayah ekonomi.

Turut di heboh, Ecer melibatkan kos pelaburan berjumlah RM112 billion untuk tempoh 12 tahun (2007 - 2020) atau RM9.33 bilion setahun iaitu meliputi tiga Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia ke-9, 10, dan 11.

ECER mempunyai 227 projek di keempat-empat buah negeri itu.

Lebih separuh (53%) daripada pembiayaan ECER datangnya daripada peruntukan kerajaan persekutuan (39%), Syarikat Kerajaan (GLC) 14 %, bakinya (47%) daripada swasta iaitu Inisiatif Swasta (27%) dan Sektor Swasta (20%).

Komponen pelaburan utama ialah Pengangkutan dan Infranstruktur (43%), Pelancongan (15%), Pendidikan dan kemudahan awam (15%), Pengeluaran dan petrokimia (9%) dan Pertanian (4%).

Program membina kemudahan pengangkutan awam seperti pembesaran Lapangan Terbang, lebuh raya baru dan pelabuhan sememangnya amat diperlukan oleh rakyat di ketiga-tiga negeri itu. Rakyat di negeri-negeri tersebut sudah lama menggunakan jalan raya sempit lagi buruk.

Lebuh raya Kuala Lumpur–Karak yang dibina sekitar 80’ an sebenarnya bukanlah lebih raya yang selamat digunakan kerana struktur jalannya banyak selekoh berbahaya. Ia perlu diganti dengan lebih raya baru yang lebih moden sebagaimana Lebuh raya Pantai Timur (LPT) yang menhubungkan Karak-Kuantan-Kuala Terengganu dan seterusnya ke Kota Bahru (tetapi belum pasti dibina kerana Kelantan diperintah oleh PAS).

Keperluan-keperluan asas

Pemodenan sistem jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang merupakan keperluan asasi bagi rakyat begitu juga dengan sistem keretapi sepatutnya juga diberi perhatian sama di dalam ECER khususnya bagi menghubungkan bahagian tengah Semenanjung dengan bahagian pantai timur dan barat semenanjung yang mempunyai pelabuhan.

Perkhidmatan kereta api Wakaf Baru-Gemas-Singapura sepatutnya dipertingkatkan dengan menggunakan kereta api lebih moden dan baru. Hari ini jika anda menaiki kereta api Gua Musang– Gemas ia adalah pengalaman yang menyiksakan (terutama kereta api waktu petang) di mana sistem pendingin hawanya sering rosak. Ia lebih mirip kepada manaiki kebuk panas untuk pembakaran kek, bukannya menaiki kereta api!

Sistem pengkutan jalan darat di antara Kuala Lipis dan Gua Musang dengan pantai barat Semenanjung iaitu Selangor dan Perak juga perlu dipertingkatkan supaya dua kawasan tengah semenjung Malaysia dapat dihubungkan dengan jalan raya lebih sempurna agar ia tidak lagi menjadi kawasan terpencil dan menakutkan kepada kakitangan kerajaan terutama Doktor untuk berkhidmat di kedua-dua kawasan tersebut.

Hasrat untuk melihat sektor pertanian dan pemakanan bertaraf dunia amatlah besar seperti yang disentuh di dalam ECER, tetapi sebenarnya peruntukan yang disedia adalah kecil (4%) berbanding sektor pengeluaran dan perokimia (9%). Dengan peruntukan terkecil itulah amat diragui keupayaan sektor pertanian dan penternakan untuk menjadi pengeluar makanan terbesar di Malaysia .

Projek herba yang turut disentuh di dalam ECER telah lama diusahakan di Kelantan dan Pahang. Begitu juga ternakan lembu di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang dikatakan akan menggunakan ladang kelapa sawit sebagai pusatnya telah lama diusahakan oleh peneroka di rancangan-rancangan Felda.

Penternakan

Perlu diingat, Pahang pernah mengusahakan ternakan lembu komersil secara besar-besaran sekitar tahun 70-an dahulu melalui sebuah anak syarikat agensi kerajaan negeri yang dinamakan Majuternak.

Malangnya Majuternak ini tidak maju, Majuternak gagal menuruti jejak penternak di Australia, New Zealand atau Argentina akhirnya syarikat yang tubuh menggunakan wang rakyat itu berkubur dan kini cuba diulangi semula di bawah ECER.

Dalam memajukan bidang ternakan ini, kerajaan pasti tidak akan menggunakan kepakaran penternak sedia ada. Syarikat di bawah ECER pastinya akan menggunakan warga asing di ladang-ladang mereka.

Selain bidang pengeluaran dan petrokimia, suatu lagi bidang yang menjadi tumpuan ECER ialah pelancongan.

Difahamkan Pahang adalah destinasi utama pelancong berbanding Kelantan dan Terengganu. Pahang sebenarnya tidak mempunyai produk pelancongan yang menarik sebagaimana Kelantan dan Terengganu. Tetapi jumlah pelancong yang datang ke Pahang adalah yang tertinggi berbanding dua jirannya itu.

Kekuatan pruduk pelancongan Pahang berpunca daripada produk pelancongan perjudian.

Pelancongan perjudian

Perkara ini pernah menjadi perdebatkan dan oleh wakil rakyat BA, Jefri Abdul Rahsid (ketika itu menjadi Ahli Dewan Negeri kawasan Cini). Jefri mencabar kerajaan Pahang supaya menutup sementara operasi pusat perjudian di Genting Highlands selama enam bulan bagi mengkaji jumlah pelancong yang datang dalam ke Pahang.

Menurut Jefri jumlah pelancong yang ramai bertadang ke Pahang sebenarnya adalah pelancong perjudian. Pelancong yang datang ke Pahang bukan kerana produk pelancongan tetapi kerana ingin berjudi. Justeru kerajaan perlu menghentikan sementara operasi pusat perjudian itu bagi tujuan kajian, katanya.

Reaksi awal Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ECER ialah tiadanya perkara baru ditimbulkan di dalam plan ECER. Katanya projek yang sebut itu adalah sedia ada.

Pandangan tersebut bersesuaian dengan apa yang disebut oleh naib Presiden Pembangunan dan Perangcangan Korporat Petronas, Dato' Nasaruddin Md Isa yang secara jelas menyatakan tidak ada konsep baru dan asing disogokan di dalam ECER.

Ertinya ECER hanya mengemukakan rancangan lama yang di 'make up' supaya kelihatan baru dan cantik menjelang pilihan raya umum.

Jika kenyataan Nasruddin itu benar, maka mengumumkan ECER dengan gah dan diberi liputan luas menyamai maksud ECER seperti yang ditakrif oleh Kamus Dewan iaitu 'mengheboh-hebohkan' perkara yang sudah dan akan disebut di dalam Rancangan Malaysia ke-9 , 10 dan 11. - mns

Himpunan 10 November : Anak muda Negeri Sembilan lancarkan 'Gelombang Kuning'

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 02, 07 | 12:15:37 pm MYT

SEREMBAN, 2 Nov (Hrkh) - Atas rasa tanggungjawab dan kesedaran melihat pembersihan demokrasi di negara ini, Gabungan Anak-anak Muda Negeri Sembilan telah melancarkan kempen 'Gelombang Kuning' sempena himpunan 10 November ini, kata Jurucakap Sekretariat Kempen, Norazizi Aziz.

"Ia dibuat bagi memastikan perhimpunan rakyat 'Selamatkan Malaysia' pada 10 November ini berjaya, gabungan anak-anak muda Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Sekretariat Mobilisasi Rakyat Negeri Sembilan,"kata Norazizi kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Sekretariat ini didokong oleh parti politik antaranya, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), PAS, DAP serta turut menggabungkan badan-badan NGO di Negeri Sembilan seperti GERAK, TERAS, ABIM, JIM dan ISMA, kata Norazizi.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu perkembangan sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan mengenai himpunan 10 November baru-baru ini.

Himpunan paling bersejarah

Bercakap mengenai himpunan 10 November, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shahrin pula berkata, perhimpunan ini adalah yang terbesar dan bakal menjadi himpunan paling bersejarah di Malaysia .

"Fokus utama perhimpunan ini adalah untuk menuntut pilihan raya bersih yang tidak dinodai oleh penyelewengan dan penipuan," katanya.

Selama ini, dunia disogok dengan propaganda media yang kononnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, namun hakikatnya Malaysia mengamalkan demokrasi yang tempang, ujarnya.

Justeru, seluruh rakyat Negeri Sembilan perlu hadir untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan, kata Badrul Hisham yang juga merupakan penasihat kepada sekretariat ini.

Sementara itu, Pengerusi sekretariat, Mohd Taufek Abdul Ghani turut mengumumkan pelantikan jawatankuasa peringkat Negeri Sembilan.

Sasar 5000 dari Negeri Sembilan sertai himpunan

Sekretariat ini ditubuhkan sebagai medium kepada rakyat Negeri Sembilan untuk mendapatkan penerangan tentang peri pentingnya pilihan raya yang bersih.

"Kita juga turut menubuhkan unit pendaftaran yang meletakkan sasaran seramai 5000 orang bagi menyertai perhimpunan ini,"katanya.

Pihak sekretariat juga telah merangka beberapa program kearah menjayakan perhimpunan ini.

Mohd Taufek yang mengetuai Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan turut melancarkan 'Gelang Kuning' sebagai simbolik kepada perhimpunan ini.

Setiap ahli jawatankuasa sekretariat diwajibkan memakai gelang kuning sepanjang kempen 'Selamatkan Malaysia' sebagai tujuan promosi, tambah beliau.

SPR kuda tunggangan

Sementara itu, Pengerusi GERAK Negeri Sembilan, Ustaz Suhaimi Kasim turut mengharapkan agar setiap badan NGO di Negeri Sembilan memberikan solidariti terhadap perhimpunan ini.

"Kita tidak perlu gentar untuk menyertai himpunan aman ini," tegasnya.

GERAK juga melihat bahawa isu rasuah dan korupsi telah menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sanggup ditunggang dengan mengenepikan amanah sebenar, katanya.

SPR yang sepatutnya bebas telah sanggup bersekongkol demi menjamin kelangsungan politik mereka yang mempunyai kepentingan, katanya.

Kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang ingin mendaftar dan ingin mendapatkan cenderahati berwarna kuning seperti kemeja, topi, ikat kepala, 'button badg'e dan payung, bolehlah menghubungi Sekretariat Mobilisasi Negeri Sembilan, Tze Tze (012-3696474) dan Ariffin Birham (016-2862481)

Audit Negara: Selepas seminggu pendakwaan, menteri terus dilepaskan

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Nov 02, 07 | 9:03:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Walaupun selepas seminggu pendakwaan dibuat ke atas beberapa kakitangan di beberapa kementerian atas laporan Audit Negara namun hingga kini tidak ada seorangpun menteri yang diheret ke mahkamah, kata Timbalan Ketua Pemuda Angkatan Muda KeADILan (AMK), Fariz Musa.

"AMK ingin menyatakan desakan rakyat agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) terus 'membuat kerja' dengan tidak hanya 'menangkap ikan bilis' dan melepaskan 'jerung' di kalangan menteri," kata Fariz dalam satu ulasannya berhubung isu pendakwaan laporan Audit Negara semalam.

Hampir seminggu berlalu, pendakwaan BPR ke atas pegawai-pegawai kerajaan berkenaan penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2006 kini hanya tinggal berita, katanya.

Pegawai kerajaan di peringkat bawahan dan pertengahan terus diheret ke muka pengadilan, ironinya menteri yang terlibat terus berkeliaran lari tanpa risau dengan sebarang tindakan susulan, ujarnya.

AMK begitu kesal dengan pendakwaan selektif yang dijalankan oleh BPR, apabila mendiamkan sebarang penglibatan menteri, khususnya Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Ini bukan sekadar dakwaan, malahan dijelaskan dengan terperinci di dalam Laporan Audit berkenaan di bawah perkara (17.4.3:), ujarnya.

Bagaimanapun, pada bulan September 2001, Menteri Belia Dan Sukan (Hishamuddin) ketika itu pula memutuskan projek perolehan peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dibuat secara rundingan terus atau tender terhad bagi membolehkan pengambilan pelatih pada bulan Julai 2002, Fariz memetik isu laporan audit tersebut.

Ekoran daripada itu, permohonan telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan projek perolehan peralatan secara rundingan terus, katanya.

Tindakan BPR ini menambahkan lagi keparahan imej BPR yang kian tercalar berikutan kegagalan badan itu menjadi sebuah entiti yang bebas dan berintegriti, dakwa Fariz.

Ia dapat dilihat apabila BPR sanggup diperalatkan dalam siasatan kes klip video VK Lingam yang didedahkan oleh Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kegagalan BPR untuk mengheret Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said ke muka pengadilan juga adalah sesuatu yang amat mendukacitakan, katanya.

Ia memperlihatkan seolah-olah begitu mudah bagi Azalina untuk melepaskan diri dengan menunding jari ke arah orang lain, ujarnya.

AMK tegas menyatakan pendirian agar BPR berusaha memperbetulkan keadaan dengan mengheret menteri-menteri ini yang terbukti melakukan penyelewengan sebagaimana didedahkan Laporan Audit tersebut, katanya.

"BPR telah berada di tahap yang begitu rendah kredibilitinya kini, maka wajar mereka melakukan sesuatu untuk kembali memartabatkan pembudayaan integriti di kalangan penjawat awam," tegasnya.

PULAU PINANG 1 Nov. – Bekas Bendahari MCA Bahagian Balik Pulau terbunuh apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya tiba-tiba terbakar di Jalan Persi

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Panel bebas khas akan bermesyuarat Isnin ini bagi membentangkan pendapat ahli-ahlinya sebelum membuat keputusan muktamad mengenai ketulenan rakaman klip video perbualan seorang peguam kanan dan seorang hakim.

Ketua panel, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, beliau dan dua ahli panel iaitu aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar sedang menyediakan pandangan masing-masing berdasarkan laporan dua pakar tempatan yang mengkaji ketulenan rakaman video itu.

Beliau yang juga bekas Hakim Besar Malaya berkata, pada pertemuan tersebut, ketiga-tiga ahli panel akan membanding-bandingkan pendapat mereka untuk mencapai kata sepakat bagi membolehkan laporan disediakan dan diserahkan kepada kerajaan sebelum 9 November ini.

Ketika ditanya mengenai pendapat yang dijangka dikemukakan, Haidar menjelaskan, panel perlu berpuas hati dengan pendapat ahli-ahlinya sebelum membuat keputusan sama ada rakaman klip video yang telah disunting itu tulen atau palsu.

Sewaktu diminta kepastian mengenai lokasi mesyuarat, beliau berkata, ia diadakan di tempat lain bukan seperti kebiasaan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Menara Tun Razak di sini.

Sehubungan itu, beliau menolak laporan sebuah stesen televisyen tempatan semalam yang membayangkan seolah-olah panel tersebut sudah membuat keputusannya.

‘‘Belum ada apa-apa keputusan. Mesyuarat Isnin ini kami akan mencapai kata sepakat sama ada secara majoriti atau sebulat suara mengenai kesahihan klip video itu.

‘‘Keputusan tersebut tidak akan dicapai pada hari yang sama, mungkin sedikit masa lagi sebelum tarikh mati penyerahan laporan kepada kerajaan pada 9 November ini,’’ ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Haidar ditanya hasil keputusan panel terhadap laporan dua pakar tempatan yang dilantik oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mengkaji ketulenan rakaman klip video selama lapan minit itu.

Mesyuarat panel pada 29 Oktober lalu menerima laporan dua pakar tempatan daripada syarikat Cyber Security diketuai oleh Ketua Forensik Digital, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin bagi membantu panel melengkapkan laporan berhubung ketulenan rakaman itu.

Menurut Haidar, panel turut membuat keputusan untuk tidak akan melayan mana-mana pihak yang tampil memberi maklumat mengenai ketulenan klip video tersebut kerana pihaknya sudah memberi tempoh yang mencukupi untuk mereka berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai masa yang terhad untuk menjalankan tugas dan menyediakan pandangan kepada kerajaan iaitu selama 30 hari bekerja selepas ahli-ahli panel menerima surat pelantikan pada 27 September lalu.

Bekas Bendahari MCA terbunuh dalam kebakaran kereta

PULAU PINANG 1 Nov. – Bekas Bendahari MCA Bahagian Balik Pulau terbunuh apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya tiba-tiba terbakar di Jalan Persiaran Mayang Pasir, Bayan Baru di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Tan Cheng Hai, 61, yang juga bekas Pengerusi MCA cawangan Sungai Tiram melecur 60 peratus badannya, mati di tempat kejadian.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Ismail Mohd. Zain berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.55 pagi dan tujuh anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

‘‘Semasa sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan mangsa pula ditemui dalam keadaan terlentang di tepi kenderaannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambahnya, menurut saksi, semasa kejadian mangsa yang dalam perjalanan balik ke rumahnya memberhentikan keretanya di tepi jalan dan keluar.

Jelas beliau, mangsa kemudiannya masuk semula ke dalam kereta dan sejurus masuk, kenderaan itu terbakar.

‘‘Api dipercayai marak dari dalam kereta dan siasatan masih dijalankan,” ujarnya.

Hadi, Husam bercanggah sasaran jumlah kerusi

KUALA TERENGGANU 1 Nov. – Ketika Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengurangkan sasaran kerusi Parlimen yang boleh dimenangi pada pilihan raya umum akan datang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sebaliknya.

Malah, beliau yakin Pas akan menang lebih daripada 60 kerusi Parlimen pada pilihan raya itu, sekaligus mengurangkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi berkata, sasaran itu adalah berdasarkan mood rakyat dan suasana dalam negara sekarang ini.

“Peluang Pas dan sekutunya untuk menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum kali ini sememangnya cerah.

“Sasaran Pas sebenarnya tidak pernah berubah dan goyah... siapa kata kami goyah kerana impian untuk menang penting bagi membolehkan Pas dan BA memerintah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Perhubungan Pas Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Husam yang menyebut sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang, dikurangkan kepada 20 hingga 30 kerusi sahaja.

Husam yang juga Exco Kerajaan negeri Kelantan berkata, Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

Katanya, mendapat 40 kerusi adalah sasaran utama tetapi Pas juga ada sasaran B iaitu mendapatkan 20 hingga 30 kerusi berdasarkan kepada mood rakyat.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sasaran Husam itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian serta sasaran sebenar Pas.

Selain menambah kerusi di seluruh negara, beliau juga yakin Pas akan dapat mengekalkan tampuk pemerintahan di Kelantan yang dikuasainya 17 tahun lepas.

“Pas juga yakin dapat merampas negeri Kedah, Terengganu dan beberapa kawasan lain yang kini berada dalam genggaman UMNO,'' kata Hadi lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali ketika ditemui pula berkata, Pas sebenarnya tidak mempunyai masalah besar untuk mempertahankan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, peluang menguasai negeri Terengganu adalah 50-50.

Hukuman penjara 18 bulan terhadap Azmin Ali diketepikan

Oleh Amiruddin Harun

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan yang dihadapi oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali atas kesalahan memberi keterangan palsu, kira-kira lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Kadir Musa memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Azmin yang tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen pada 2 Mei 2001.

Azmin, 42, mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu, Akhtar Tahir yang mensabitkannya atas tuduhan pindaan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mac 1999 di Mahkamah Tinggi, Jalan Raja di sini.

Dia didakwa menyatakan kepada majistret mengapa tempoh tahanan reman terhadapnya tidak boleh dilanjutkan kerana tindakan dan ugutan polis ketika dia ditahan adalah terlalu kejam dan memaksanya membuat pengakuan yang membabitkan ‘Saudara Anwar’ (Lampiran A).

Azmin selaku saksi pendakwa ke-14, ketika itu disoal dalam pemeriksaan semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).

Pada masa itu, Anwar dibicarakan atas empat tuduhan pindaan menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Mahkamah mendapati dia bersalah mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Azmin pada awalnya dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Hamdan Indah (kini Pengerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah) daripada tuduhan tersebut bagaimanapun dia dipanggil membela diri oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail setelah pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pembelaan Azmin dibuat di hadapan Akhtar (kini Pendaftar Mahkamah Rayuan) yang kemudiannya mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara tersebut.

Akhtar bagaimanapun membenarkan sabitan dan hukuman berkenaan ditangguhkan sementara rayuannya selesai didengar.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Kadir berkata, beliau bersetuju sepenuhnya dengan Hakim Mahkamah Sesyen pertama (Hamdan) bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Azmin.

Jelas beliau, penggunaan perkataan ‘mengapa’ dalam Lampiran A menunjukkan apa yang dirasakan oleh perayu (Azmin) mengapa tempoh penahanannya tidak boleh dilanjutkan dan ia menyangkal penemuan Hakim Abdul Wahab yang membuat kesimpulan bahawa tidak ada cadangan bahawa perayu telah dipaksa, diugut atau dikejami.

Menurutnya, keputusan oleh Hakim Abdul Wahab pada dasarnya berpaksi kepada interpretasi hakim tersebut ke atas fakta-fakta yang relevan dan bukannya mengikut interpretasi undang-undang.

“Interpretasi itu yang tidak saya persetujui berbanding dengan Hakim Mahkamah Sesyen pertama yang berada dalam kedudukan yang boleh melihat sendiri setiap saksi termasuk tingkah laku, bahasa tubuh dan perkara-perkara lain yang seumpamanya.

“Dengan itu, beliau (Hamdan) mempunyai segala peluang untuk membuat penilaian dan interpretasi yang lebih tepat terhadap fakta-fakta yang relevan secara keseluruhan dan bukan secara berasingan,’’ ujar beliau.

Berada dalam kedudukan sedemikian, kata Hakim Abdul Kadir, peluang untuk Hamdan ‘membuat rumusan secara spekulatif’ terhadap fakta-fakta tersebut seperti yang diputuskan oleh Hakim Abdul Wahab adalah sangat mustahil.

Azmin bebas tuduhan beri keterangan palsu

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Mohamad Azmin Ali, semalam dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara 18 bulan berhubung tuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sembilan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Kadir Musa mengetepikan sabitan dan hukuman itu selepas membenarkan rayuan Mohamad Azmin, 42, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 2 Mei 2001 itu.

Mohamed Azmin yang ditemui selepas itu berkata, beliau bersyukur kerana kes itu selesai selepas sembilan tahun.

"Saya menunggu terlalu lama untuk menghabiskan rayuan ini, tetapi bersyukur dengan keputusan mahkamah itu," katanya yang diwakili peguam C V Prabhakaran.

Keterangan yang didakwa palsu itu berbunyi: "Saya memberitahu majistret mengapa reman saya tidak boleh dilanjut kerana ancaman dan kekerasan yang digunakan oleh polis ke atas saya ketika saya ditahan adalah terlalu kejam dan memaksa saya membuat pengakuan membabitkan saudara Anwar yang tidak berasas sama sekali."

Kenyataan itu dibuat Mohamad Azmin ketika menjadi saksi pembela ke-14 pada perbicaraan rasuah terhadap Anwar pada 9 Mac 1999.

Bekas setiausaha sulit Anwar itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 1999 atas tuduhan berkenaan, tetapi dibebaskan pada peringkat pendakwaan selepas Hakim Hamdan Indah memutuskan tiada kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi yang mana Hakim Datuk Abdul Wahab Patail memerintahkan Mohamad Azmin membela diri, dengan menghantar kes itu semula ke Mahkamah Sesyen untuk menyambung perbicaraan pada pada peringkat pembelaan.

Berikutan itu, dia didapati bersalah dan dihukum penjara 18 bulan oleh Hakim Akhtar Tahir. Mohamad Azmin kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sehubungan itu, dalam keputusannya semalam, Abdul Kadir berkata, kata-kata yang didakwa palsu itu perlu dibaca dengan mengambil kira keseluruhan keterangannya, bagi memahami apa sebenarnya hendak disampaikan Mohamed Azmin pada perbicaraan rasuah terhadap Anwar itu.

"Keadaan kes ini memaksa saya lebih cenderung menerima pandangan hakim perbicaraan pertama (Hamdan) dalam penghakimannya, iaitu kata-kata yang didakwa palsu itu sebenarnya menunjukkan perayu benar-benar berasakan dirinya dalam bahaya jika terus berada dalam tahanan polis.

Jangan timbulkan isu perkauman – Zam

Oleh Azran Fitri Rahim

KOTA BHARU 1 Nov. – Pertubuhan media tidak memainkan isu perkauman semata-mata mahu melariskan jualan akhbar atau rating televisyen kerana ini tidak membawa kebaikan kepada negara.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, kecenderungan akhbar tertentu sejak akhir-akhir ini yang menyiarkan berita sedemikian perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan harmoni dalam negeri serta imej negara.

“Hentikanlah memainkan sentimen kononnya ada penduduk di negara ini terdiri daripada golongan kelas pertama atau kedua.

“Kerajaan sama sekali tidak mengamalkan dasar apartheid atau untuk mewujudkan masyarakat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua dan masyarakat Melayu sebagai kelas pertama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan 3/2007 di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Chia Kwang Chye.

Zainuddin meminta pengarang media cetak dan elektronik supaya tidak menjadikan isu-isu sosial, alam sekitar dan kemalangan sebagai isu perkauman dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah penonton dan melariskan jualan akhbar.

“Malah isu-isu perkauman yang dibangkitkan pada persidangan Majlis Peguam telah disiarkan oleh akhbar yang mengambil kesempatan untuk menjalankan agenda politik bagi menimbulkan persepsi kerajaan menekan kebebasan media.

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana media yang menimbulkan isu perkauman tetapi mereka sepatutnya belajar daripada sejarah dahulu,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Majlis Penerangan hari ini melihat pendemokrasian media yang diharapkan akan mendatangkan pandangan yang lebih positif kepada Malaysia sebaliknya telah disalah gunakan untuk menimbulkan prasangka yang buruk terhadap keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Menurutnya, di bawah kebebasan yang diberikan beberapa media lebih menampakkan kecenderungan untuk menidakkan nilai-nilai kebebasan yang telah diamalkan di negara ini sejak merdeka.

“Mereka (media) lebih cenderung untuk merendahkan taraf kebebasan yang telah wujud di negara ini dengan percubaan-percubaan menyiarkan perkara-perkara yang sensitif kepada masyarakat majmuk.

“Justeru, mesyuarat telah mengambil keputusan untuk mengerakkan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan bagi menjelaskan kepada rakyat dengan lebih aktif lagi dasar dan perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam semua bidang,” katanya.

Tambahnya, kementerian tersebut telah mengenal pasti Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak untuk memberikan lebih banyak penerangan.

Wanita minta Rafidah, Shahrizat dikekalkan

KOTA KINABALU 1 Nov. – Pergerakan Wanita UMNO Sabah sebulat suara mahu Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan sebagai Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Ketuanya, Datuk Armani Mahiruddin berkata, keputusan menyokong Rafidah dan Shahrizat kekal bagi kedua-dua jawatan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Wanita UMNO Sabah, semalam.

‘‘Kami mahu Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada pemilihan akan datang. Kami ingin menegaskan bahawa Wanita UMNO Sabah tidak pernah berubah pendirian, malah terus menyokong kedua-duanya.

‘‘Itu adalah prinsip kita,” tegas Armani selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan sebelum menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bangunan UMNO, Karamunsing di sini semalam.

Pada 7 Oktober lalu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyatakan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Sementara itu, Armani berkata, pergerakan itu akan bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk mempergiatkan aktiviti turun padang serta mengenal pasti masalah yang timbul di peringkat akar umbi.

‘‘Saya telah mengarah semua Ketua 10 (K10) bersama ketua-ketua penerangan serta jawatankuasanya agar mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah. Ia bagi membantu pengundi berdaftar memeriksa kedudukan mereka.

Dalam pada itu, Armani berkata, pergerakan itu juga akan menghantar 102 perwakilan dari 25 bahagian pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Menurutnya, jumlah keahlian Wanita UMNO Sabah setakat Jun tahun ini adalah seramai 174,473 ahli.

Isu panas tidak dibahas

PULAU PANGKOR 1 Nov. – Isu–isu ‘panas’ dijangka tidak akan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Zambry Abd. Kadir berkata, sebaliknya perbahasan pada perhimpunan kali ini akan bertumpu kepada isu memperkemaskan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, dua perkara utama iaitu masa depan UMNO dalam 50 tahun akan datang dan pilihan raya umum dijangka menjadi tajuk utama yang dibahaskan oleh para perwakilan.

Katanya, ia adalah berdasarkan pemerhatian beliau daripada ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sebelum ini.

“Melihat kepada dua aspek itu, barangkali isu yang akan dibahaskan ialah untuk memperkemaskan parti termasuk membersihkan perkara-perkara yang mungkin menjadi halangan dalam pilihan raya.

“Saya juga yakin Presiden parti akan menjelaskan sedikit sebanyak perkara yang mendatangkan tanda tanya dan kekeliruan kepada rakyat semasa Perhimpunan Agung ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Pertahanan Awam Pulau Pangkor, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPA) Malaysia, Selamat Dahalan dan Pengarah JPA Perak, Khor Swee Lim.

Zambry juga bersetuju dengan pandangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO bahawa Perhimpunan Agung kali ini bukanlah masa sesuai untuk melobi calon masing-masing untuk jawatan tertentu semasa pemilihan parti.

Ketepikan kepentingan diri

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Ahli-ahli UMNO diingatkan supaya menumpukan perhatian kepada agenda melonjakkan perjuangan bangsa Melayu selepas 50 tahun merdeka pada Perhimpunan Agung UMNO pada 5 November ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, mereka patut menyedari perhimpunan setahun sekali itu diadakan untuk membincangkan perjuangan dan seterusnya bagaimana untuk menjadikan Melayu hebat dalam pelbagai bidang.

“Sekiranya kepentingan peribadi dibincangkan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum merdeka, saya kira sampai hari ini negara masih dijajahi British,” kata Muhammad ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan UMNO sekiranya terdapat ahli-ahli menggunakan perhimpunan agung itu untuk melobi atau mengedar senarai calon untuk memenuhi jawatan tertentu semasa pemilihan parti.

Menurut beliau, ahli-ahli UMNO perlu meneruskan semangat pemimpin UMNO sebelum merdeka dengan mewujudkan kekuatan yang lebih besar bagi memajukan Melayu ke tahap lebih tinggi selepas 50 tahun negara merdeka.

Beliau menambah, ahli-ahli perlu memahami dasar perjuangan parti dan sekiranya para pemimpin dilihat memperjuangkan kepentingan peribadi, maka rakyat akan menolak UMNO.

“Hal melibatkan kepentingan peribadi patut diusahakan sendiri dan bukan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO untuk mencapai matlamat yang diidamkan,” jelas beliau.

Persidangan hala tuju usahawan Melayu esok

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan menganjurkan persidangan mengenai Hala Tuju dan Dilema Usahawan Melayu di Bangunan UMNO Shah Alam pada Sabtu ini.

DPMMS dalam satu kenyataan di sini memberitahu, persidangan tersebut bertujuan mengumpul pendapat-pendapat bernas mengenai masa depan usahawan Melayu untuk dijadikan resolusi sebelum dikemukakan pada Perhimpunan Agung UMNO bermula 5 November ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 60 wakil persatuan perniagaan menyertai persidangan tersebut yang akan membincangkan kertas kerja antaranya `Impak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Ke Atas Usahawan Melayu’, `GLC-Peranan dan Komitmen Dalam Membina Usahawan Melayu’ dan `Usahawan Melayu-Ketulenan dan Ketirisan’.

Persidangan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail dan wakil Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (Gapums) itu turut membincangkan peranan semua pihak dalam menambahkan lagi bilangan usahawan Melayu khususnya di Selangor.

Kesemua resolusi akan diserahkan kepada Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib pada pukul 2.30 petang.

MT akan dimaklum pelantikan Razak

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

BUTTERWORTH: Pelantikan Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Ketua Penaja Umno bahagian itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno, hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata beliau hanya berkesempatan menulis surat itu hari ini (semalam) kerana baru pulang dari lawatan kerja ke New Zealand, kelmarin.

"Saya akan maklumkan kepada MT esok (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Prai, semalam.


Hadir sama, Pengarah Fama negeri, Mohd Ariffin Awang.

Azhar mengulas pelantikan Abdul Razak, 38, sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Jelutong yang diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri ini pada pertemuannya dengan pemimpin kanan Pemuda Umno negeri, minggu lalu.

Azhar menjelaskan nama Abdul Razak dicadangkan oleh jawatankuasa kecil mentadbir Umno bahagian itu yang dilantik oleh MT, mulai 1 Jun lalu.


"Dalam mesyuarat jawatankuasa kecil itu, pemilihan Abdul Razak dilihat terbaik bagi menyelesaikan krisis dalaman yang melanda Umno Bahagian Jelutong," katanya.

Pada 31 Mei lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata MT memutuskan Umno Bahagian Jelutong digantung berkuat kuasa serta-merta berikutan pelbagai masalah dalamannya.

Keputusan itu dibuat untuk mencari penyelesaian bagi memulihkan masalah dalam bahagian berkenaan.

Berikutan keputusan itu, bahagian berkenaan ditadbir sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor, Senator Datuk Omar Faudzar.

Sebelum ini, pengurusan Umno Bahagian Jelutong pernah diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Negeri sebanyak dua kali kerana masalah dalamannya, selain jawatan ketua bahagian dan timbalannya turut digantung pada 2005.

Azhar berkata, pelantikan Abdul Razak menerima maklum balas yang positif daripada ahli dan semua sayap Umno di bahagian itu walaupun ia agak mengejutkan.

"Umno negeri juga berharap bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Abdul Rashid Ismail dan Datuk Mohd Nor Hussain memberi sokongan kepada Abdul Razak demi kepentingan parti dan perpaduan ahli," katanya.

Azhar juga berkata, Abdul Razak akan diarahkan menubuhkan jawatankuasa pilihan raya bagi membolehkan jentera pilihan raya Umno bahagian itu digerakkan bagi menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Perhimpunan Agung Umno 2007: 'Jangan hanya petah berucap'

Oleh Amir Mamat

Perwakilan dinasihat bijak kawal emosi

JASIN: Perwakilan yang berbahas pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan diingatkan supaya tidak bermegah dengan kepetahan bercakap, sebaliknya harus sentiasa peka kepada aspek perjuangan sebenar parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, berkata pembahas juga perlu mengelak daripada dipengaruhi rasa marah bagi mengelak apa yang diperkatakan tersasar daripada perjuangan membela bangsa.

Beliau berkata, setiap pembahas perlu bijaksana bagi memastikan keutuhan parti dan perpaduan bangsa sentiasa terpelihara berdasarkan tiga lapisan utama politik yang sering diamalkan pemimpin terdahulu.

"Politik ini punyai tiga lapisan iaitu pertama, nampak di mata; kedua, yang tersirat di hati dan ketiga, pelaksanaan. Kalau kita dapat menganalisis semua lapisan itu, saya yakin perjuangan Umno dalam menentukan kestabilan parti dan keharmonian pelbagai kaum dalam negara akan tercapai.

"Justeru, saya harap perwakilan tidak hanya bermegah dengan dengan kepetahan berbicara tanpa memikirkan perasaan orang lain. Jika itu berlaku, ia tidak ubah seperti 'lebih lajak daripada laju' yang akhirnya akan menyebabkan mereka tersilap langkah.

"Ini akan hanya mengakibatkan mereka sendiri serta seluruh masyarakat tersasar daripada perjuangan sebenar," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan geran hak milik tanah tapak rumah Mukin Semujuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Hamdin Abdollah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Abu Pit serta Pengerusi Felcra, Datuk Nasharuddin Hashim.

Abdul Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kesilapan pembahas dalam mengemukakan pendapat mereka juga boleh memberi impak besar kepada perpaduan kaum yang secara tidak langsung boleh membawa kesan negatif.

"Perwakilan yang petah bercakap saya puji, tapi dia mestilah bijaksana. Kalau tidak, kita akan terperangkap dalam kegagalan politik. Saya minta perwakilan sedar mereka ada tanggungjawab untuk diri, keluarga serta masyarakat," katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menasihatkan penerima geran di bawah skim berkenaan supaya menghargai pemberian itu dengan menjaganya dengan baik serta sempurna.

"Pemilik tanah juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan janji manis pihak tertentu yang menghasut supaya mereka menjual tanah berkenaan," katanya.

Jangan mengikut nafsu untuk mendapatkan duit cepat dengan jual tanah yang diberikan.

"Tanah ini adalah harta yang bakal dinikmati anak cucu kita. Jadi jangan terpengaruh dengan umpan dan kata manis orang yang mahu membelinya," katanya.

Thursday, November 01, 2007

PAS mampu menangi 70 kerusi! - Husam tepis dakwaan Utusan

Razak Beghani
Thu | Nov 01, 07 | 11:24:47 am MYT

KOTA BHARU, 1 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, dengan pelbagai isu semasa yang melanda negara dan kepimpinannya, PAS bertambah yakin akan dapat memenangi lebih banyak kerusi parlimen dengan meletakkan sasaran kerusi yang lebih besar.

Tegas beliau, walaupun PAS sudah menetapkan 40 kerusi untuk dimenangi, namun mendapat keyakinan baru berikutan perkembangan isu semasa dan menambah lagi sasarannya sebagai strategi parti itu menghadapi PRU ke 12.

"40 kerusi sasaran utama kita kategori kelas A, tapi dengan pelbagai isu terkini, kita menambah 20 hingga 30 kerusi lagi yang saya sifatkan sebagai target kategori kelas B," ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya dicampur kedua-dua target kelas A dan B tersebut, PAS mampu memenangi sehingga 70 kerusi parlimen.

Husam berkata sekiranya berlaku 'vote swing' 15 peratus dari penyokong BN kepada pembangkang, sasaran 40 kerusi itu tercapai.

"Sekiranya berlaku 'vote swing' melebihi 15 peratus, maka sasaran di antara 60 hingga 70 kerusi mampu dicapai," ujarnya.

Husam berharap penjelasan beliau dapat memperbetulkan kekeliruan laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Keyakinan PAS Mula Goyah".

Laporan itu secara salah mengatakan bahawa sasaran PAS memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila Naib Presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Laporan itu menyebut PAS mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

Dalam hal ini, Husam yakin mood pengundi akan berpihak kepada pembangkang dalam pilihan raya akan datang berdasarkan kepada pelbagai isu termasuk dalam BN sendiri, badan kehakiman, polis, BPR, kenaikan harga barangan dan desas desus kenaikan harga minyak, gas memasak serta tarif eleterik.

Beliau juga menjangkakan pelbagai faktor tersebut mendesak BN untuk mengadakan pilihanraya lebih awal, mungkin pada tahun ini juga. - mr